Matanya melilau mencari kelibat Emir di antara orang ramai di kawasan ketibaan. Bagasi berwarna merah jambu di sisinya mencuri perhatian beberapa orang, tetapi Sofia tidak peduli. Dia berdiri dengan resah, tangannya menggenggam erat tali beg. Fikirannya kembali pada pagi tadi, betapa kelam-kabutnya dia bila Elly dan Hani menyatakan tiket ke Kuala Lumpur sudah siap ditempah. Dalang utama? Yasmin Hani.
"Kau tak payah risau apa-apa. Aku dengan Hani ada jaga si kembar," kata Elly sambil tersenyum menenangkan Sofia yang sedikit cemas.
Hani hanya ketawa kecil. "Kau tak payah banyak fikir. Kau pergi aje jumpa suami kau. Kita orang dah plan semuanya."
Walaupun masih sedikit skeptikal, Sofia akhirnya berangkat juga. Kini, dia berdiri di KLIA, dikelilingi oleh hiruk-pikuk penumpang yang baru tiba dan keluarga yang menunggu. Sesekali, Sofia mengerling jam di pergelangan tangan. Di mana dia ni? fikir Sofia.
Hampir dia menjerit apabila satu tangan sasa diletakkan di bahunya. Serentak itu, bau cologne yang sudah biasa menyapa hidungnya. Sofia berpaling dengan mata yang membulat.
"Sayang!" Emir berdiri di belakangnya dengan senyuman lebar, matanya bersinar gembira. Tanpa amaran, Emir menarik Sofia ke dalam pelukannya.
"E-Erm—" Sofia tergagap. Wajahnya terasa membahang. Jantungnya seperti mahu melompat keluar dari dada.
"Rindu saya tak?" bisik Emir dekat ke telinga Sofia.
Sofia terpempan, membisu. Dia tidak tahu hendak menjawab bagaimana. Perasaannya bercampur baur—malu, gembira, dan sedikit keliru.
"Jom," kata Emir sambil melepaskan pelukan dan memimpin tangan Sofia menuju ke arah keretanya.
Sofia mengikut, tetapi dia sedar betapa sesaknya nafasnya. Tangannya yang digenggam erat oleh Emir terasa seperti tidak ada tulang, lembik tetapi pada masa yang sama begitu selesa. Dia mencuri pandang ke arah lelaki itu beberapa kali. Emir tidak berkata apa-apa, hanya terus tersenyum.
Di dalam kereta, Emir masih enggan melepaskan tangannya. Sesekali Sofia menarik perlahan, tetapi Emir mengetatkan genggaman sambil memandang jalan.
"Awak tak penat? Lama tunggu tadi?" soal Emir tiba-tiba, memecahkan kesunyian.
"Tak... tak lama," jawab Sofia perlahan.
"Awak tak rindu sayakah?" Soal Emir dengan nada serius.
Sofia tersentak. "Taklah..." Wajahnya kembali memerah. Dia cuba mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Emir menguis pipinya "Yalah tu tak rindu..."
Mereka saling berpandangan sebelum serentak ketawa kecil. Sepanjang perjalanan ke hotel, hanya gambar semalam berulang tayang dalam kepala Sofia tetapi dia belum punya keberanian untuk mendengar jawapan Emir.
Sebaik sahaja tiba di hotel, Emir memimpin Sofia masuk ke bilik mereka. "Awak rehatlah dulu. Nanti dalam 30 minit saya kejutkan awak ya, kita keluar makan malam,"
Sofia hanya mengangguk lemah, kakinya terasa berat melangkah ke katil. Usai meletakkan begnya di sudut bilik, dia merebahkan diri. Tidak sampai seminit, matanya terpejam. Tidur yang amat dinantikan selepas semalaman hanya tidur-tidur ayam.
Emir melabuhkan badannya di atas katil sambil meningkat kepalanya dengan tangan kirinya. Matanya tidak lepas dari memandang isterinya yang kelihatan sangat penat tetapi tetap menawan di matanya. Senyum kecil terukir di wajahnya.
"Ya Allah, terima kasih," bisik Emir perlahan, matanya masih tertumpu pada Sofia. "Terima kasih sebab kembalikan dia dalam hidup saya. Terima kasih, beri saya peluang kedua untuk bahagiakan dia. Saya janji akan jaga dia sebaik mungkin, Ya Allah. Jangan biarkan saya kecewakan dia lagi." Dia mengusap lembut pipi Sofia.
Doanya terhenti apabila telefon bimbit di poket seluarnya berbunyi. Dia cepat-cepat melangkah ke sudut bilik supaya deringannya tidak mengganggu tidur Sofia. Nama Elly muncul di skrin. Emir tersenyum besar sebelum menjawab panggilan video itu.
"Hello, papa!" Farish menjerit kecil, wajahnya memenuhi skrin. Irina melambai di sebelahnya, turut tersenyum lebar.
"Shhh... pelan-pelan sikit, mama tengah tidur," ujar Emir sambil meletakkan jari telunjuknya di bibir. Dia menoleh ke arah Sofia yang masih lena di katil. Kamera telefonnya dialihkan untuk menunjukkan Sofia.
"Mama penat ya, papa?" soal Irina dengan nada lembut, wajahnya kelihatan risau.
"Penat sikit aje. Tadi mama travel jauh nak datang sini jumpa papa," jawab Emir sambil tersenyum.
Farish menyeringai. "Papa, tadi kat sekolah, Rin terjatuh masa main kejar-kejar!" dia ketawa kecil, menyebabkan Irina mencebik.
"Bukan Rin aje, Ayish pun jatuh tadi," Irina cepat membalas, membalas sengihan Farish.
Emir ketawa perlahan. "Macam mana boleh jatuh? Papa dah cakap kan, kalau main tu kena hati-hati,"
Farish mengangkat bahunya sambil ketawa lagi. "Tapi tak sakit pun, papa. Ayish kuat!" Sambil menunjukkan lengannya. "Tapi Rin nangis sikit, papa." Sambung Farish.
Emir mengangkat kening. "Kenapa nangis? Teruk sangat ke jatuh?" tanyanya pada Irina.
"Taklah sakit sangat. Ayish ni gelakkan Rin. Malulah Rin," Irina mengadu, matanya memandang Farish dengan geram.
Emir tersenyum sambil menggeleng kepala. "Ayish, Ayish... lepas ni kalau Rin jatuh lagi, Ayish kena tolong, okay? Jangan gelak aje."
"Okay, papa. Janji!" Farish mengangkat tangan, menunjukkan tanda jari kelingking untuk berjanji.
"Bagus. Papa nak Ayish dan Rin saling tolong-menolong," ujar Emir.
"Papa, bila papa balik?" soal Irina dengan suara manja.
Emir memandang Sofia yang masih tidur, kemudian kembali menatap skrin. "Lagi beberapa hari aje, lepas urusan papa selesai, papa dengan mama balik, okay?"
Kedua-dua anak kembarnya bersorak kecil, tetapi segera menutup mulut apabila Emir meletakkan jari telunjuknya di bibir lagi.
"Lepas ni jangan lupa gosok gigi dan tidur awal. Esok sekolah, kan?"
"Yes, papa!" jawab kedua-duanya serentak sebelum melambai dan menamatkan panggilan.
Emir memandang skrin telefonnya yang kini gelap, senyumannya masih melebar. "Alhamdulillah, Ya Allah. Terima kasih atas nikmat ini," bisiknya sekali lagi sebelum melangkah ke arah Sofia. Dia membetulkan selimut isterinya yang tersingkap sedikit. Dia mengejutkan Sofia lembut tapi wanita itu tidak bangun. Selepas mencuba beberapa kali dia akhirnya mencapai sehelai kertas kecil dan menulis nota ringkas:
"Saya kejutkan awak tapi awak tidur nyenyak sangat. Saya keluar dulu ya. Love you."
Nota itu diletakkan di atas meja sisi katil, jelas kelihatan jika Sofia membuka matanya. Emir mengangkat beg dengan perlahan dan keluar dari bilik tanpa sebarang bunyi, berhati-hati agar tidak mengganggu tidur isterinya.
Sofia mengeliat panjang, tubuhnya terasa segar selepas tidur yang lena. "Sedap betul tidur lama ni," gumamnya sambil duduk di atas katil. Matanya terpaku pada nota kecil yang terletak di meja sisi. Dia tersenyum kecil membaca tulisan tangan Emir.
Sofia mencapai tuala dan menuju ke bilik mandi. Usai mandi, dia mendirikan solat sebelum terdengar bunyi telefon bimbitnya berbunyi. Dengan cepat, dia melangkah mendapatkan telefon yang terletak di meja.
Muncul keresahan yang menyeksakan saat melihat pemberitahuan masuk daripada alamat emel yang sama seperti semalam. Bibirnya diketap rapat, tangan Sofia sedikit menggeletar ketika dia membuka email itu
Kali ini, gambar Emir bersama wanita yang sama, berdiri di hadapan pintu bilik. Pandangan Sofia jatuh pada postur wanita itu yang kelihatan mesra. Sofia menghela nafas dalam-dalam, cuba menahan rasa gundah yang mula mencucuk-cucuk hatinya.
Beberapa minit berlalu, bunyi ding dari telefonnya membuatkan Sofia segera menekan ikon emel. Kali ini, gambar dari sudut lain. Wanita itu memegang lengan Emir, keduanya sedang berjalan menuju ke arah lif.
"Aku kena tenang," bisiknya. Namun, jauh di sudut hati, keresahan itu mula menular, mengaburi kepercayaannya terhadap Emir.
Sofia yang gusar melangkah keluar dari bilik hotelnya. Perutnya yang berkeroncong tidak membenarkan dia terus termenung memikirkan emel yang diterimanya. Dengan langkah perlahan, dia menuju ke arah lif, merancang untuk makan di mana-mana.
Apabila pintu lif terbuka, Sofia terkejut melihat Emir berdiri bersama wanita dalam emelnya tadi. Emir terpempan melihat isterinya. "Sofia?" Suaranya kaget, dia tersenyum pada Sofia, dia mengerling ke arah wanita berdiri hampir di sebelahnya.
Dia segera berdiri di sebelah Sofia, hendak memegang tangan isterinya, tetapi Sofia dengan cepat mengelak. Sofia melontarkan pandangan penuh tanda tanya pada Emir.
"Sabby, ni wife I, Sofia," Emir memperkenalkan Sofia kepada wanita itu.
Wanita itu tersenyum manis, menghulurkan tangannya. "Sabrina Ali, tapi Emir aje panggil Sabby," katanya dengan nada mesra.
Sofia menyambut tangan Sabrina, menggenggamnya sedikit kemas. "Sofia Irdina," dia memperkenalkan dirinya, cuba menahan riak wajahnya agar tidak menunjukkan sebarang emosi.
Emir memandang Sabrina."Okay, see you tomorrow. Thank you so much," ujar Emir lembut.
Sabrina mengangguk. "Sure, have a good night," katanya sambil memegang lengan Emir sebelum melangkah menuju ke arah berlawanan dari bilik Emir dan Sofia.
Sofia memandang Emir seketika sebelum anak mata mereka saling bertaut. "Sabby tu
Kawan saya dulu kat UK. Ni hotel ayah dia, dia yang bantu saya dapatkan pelabur-pelabur untuk HLKK nanti,"
Sofia hanya diam, melangkah tanpa memandang Emir.
"Sofi, awak nak pergi mana ni?" tanya Emir, memecahkan kesunyian.
"Nak makan. Awak keluar makan tapi tak bungkuskan saya makanan pun," jawab Sofia memandang Emir yang balik dengan tangan kosong.
"Er... Saya ingatkan awak..."
"Tak apa," Sofia memintas kata-kata Emir.
Sofia masuk semul ke dalam bilik terus masuk ke bilik air. Dia membiarkan air matanya merembes. Emel diterimanya dan kemesraan Sabrina membuatkan hati Sofia remuk redam. Dia mulai mempersoalkan keputusannya untuk bersama Emir semula.
"Awak okay tak?" tanya Emir, sambil mengetuk pintu bilik air.
"Sofi?" Panggil Emir
Sofia tetap senyap. Hanya air mengalir yang berbunyi mengisi keheningan antara mereka.
Emir menghela nafas perlahan. "Sayang, janganlah buat saya risau. Awak okay tak ni? Awak tak buka pintu ni, saya pecahkan nanti,"
Sofia segera mengesat air matanya. Dia membasuh mukanya lalu membuka pintu. pandangannya bertaut dengan Emir. "Saya penat, nak tidur,"
Kata-kata itu cukup untuk menghentikan Emir dari terus bercakap. Dia membiarkan Sofia memanjat katil, walaupun hatinya berat dengan kebisuan isterinya. Dia segera berbaring di sebelah Sofia.
Walaupun hati Sofia masih terusik, dia membiarkan saja Emir memeluk pinggangnya erat. Pelukan itu terasa hangat, walau perasaannya bercampur-baur antara marah, ragu dan bahagia.
Emir menarik Sofia ke dalam pelukannya. "Kenapa ni, Sofi? Awak okay?" Emir bertanya lembut.
Sofia memejamkan matanya, cuba mengelak dari bertentang mata dengan Emir.
Emir menekan sedikit dagu Sofia agar wajah isterinya menghadapnya. "Awak marah saya keluar berdua dengan Sabby, kan? Awak cemburu eh?," usiknya dengan senyuman nakal.
Sofia menjeling ke arahnya, bibirnya terjuih sedikit. Lama Sofia berfikir, "Baik saya duduk rumah dengan anak-anak kalau awak nak makan berdua dengan Sabby," katanya menyembunyikan separuh daripada kebenaran dalam hatinya
Emir tergelak kecil mendengar jawapan Sofia. "Awak ni... tadi saya dah kejutkan awak tapi awak tak bangun. Macam penat sangat, saya tengok. Saya nak awak rehat. Tapi, okay..." Emir mengangkat dagu Sofia dengan lembut, memandang isterinya tepat ke dalam mata. "Esok, lepas jumpa seorang lagi investor, kita keluar berdua. Saya janji," pujukan itu disertai dengan senyuman manis.
Sofia mencebik kecil tetapi diam. "Awak ni comellah bila merajuk," Emir berkata, mencuri ciuman di pipi Sofia sebelum melepaskan pelukan. Dia mencapai tuala di atas rak dan menuju ke bilik air.
"Saya mandi dulu ya," katanya sambil melangkah pergi.
'Mandi bersih-bersih. Hilangkan bau minyak wangi Sabby tu! Sakit hidung tahu!' Sofia berkata-kata dalam hati.
Bunyi telefon Emir berdering beberapa saat selepas pintu bilik air tertutup. Sofia memandang telefon yang tergeletak di meja sebelah katil.
"Sofi, tolong tengok telefon tu," suara Emir bergema dari dalam bilik air.
Sofia mencapai telefon tersebut, dan matanya terus terpaku pada mesej yang tertera:
You, I sakit kepalalah. You dah masuk bilik? Wife you dah tidur? I lupa beli panadol pula. You ada panadol tak? Kalau tak ada, boleh tolong tak?
Sofia mendengus panjang. "Panadol? Bukan ni hotel bapa dia? Kenapa tak minta tolong staff sendiri!" bisiknya, sambil mengerling pintu bilik air yang masih tertutup.
Dia meletakkan telefon itu semula di meja, wajahnya masam mencuka.
"Siapa? Elly?" soal Emir dari bilik air.
"Sabby," jawab Sofia pendek. Dengan hati yang semakin berat, Sofia mencapai baju tidur dari dalam almari, menukar pakaiannya, dan mematikan lampu bilik. Tanpa menunggu Emir keluar, dia merebahkan diri ke atas katil, menarik selimut hingga ke bahu.
Share this novel