Bab 58

Romance Completed 59279

"Angah, datang rumah Uncle Is sekarang. Isha... Ada kecemasan,"  

Emir memandu dengan laju, hatinya penuh dengan keresahan. Destinasinya kali ini adalah rumah Isha, tempat di mana sesuatu yang lebih besar daripada sekadar pertemuan sedang menunggu. Datuk Emran, bapa Emir, telah menghubunginya pagi tadi, memintanya datang segera kerana ada kecemasan. Namun, tiada penjelasan lanjut diberikan. Setibanya di rumah Isha, dia langsung terkejut melihat suasana di dalam.

Pelamin yang dihias cantik terletak megah di ruang tamu rumah Isha. Emir terhenti seketika, perasaannya bercampur-baur antara kekeliruan dan kemarahan. Dia memandang sekeliling, tetapi Isha tidak kelihatan di mana-mana. Datuk Emran dan Iskandar, ayah kepada Isha, berdiri dengan wajah penuh kegelisahan, tetapi mereka tidak bersuara.

"Kenapa dengan Isha, pa?" soal Emir. "Apa semua ni? Pa? Uncle Is?" sambung Emir lagi.

Beberapa lelaki datang menghampiri Emir, memintanya ikut mereka ke sebuah bilik di tingkat atas. Emir cuba bertanya apa yang sedang berlaku, tetapi tiada jawapan diberikan. Hanya arahan untuk dia mandi dan bersiap. Emir semakin keliru dan mula merasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ketika dia hendak keluar dari bilik untuk meminta penjelasan, dua lelaki bertubuh sasa berdiri di hadapan pintu, menghalangnya.

"Maaf Encik Emir, saya Amsyar, PA Tuan Iskandar."seorang lelaki tiba-tiba muncul di muka pintu cuba untuk masuk ke dalam bilik.

"Awak nak apa? Apa berlaku ni? Mana Isha?" bertubi-tubi soalan diberikan namun Amsyar tidak menjawab. Sebaik sahaja pintu bilik ditutup, riak wajah Amsyar yang tadinya tenang berubah.

"Maaf Encik Emir, saya kena siapkan Encik Emir untuk majlis pernikahan..."

"Pernikahan?" suara Emir sedikit tinggi menyebabkan Amsyar terkejut. 

Amsyar angguk. "Saya cuma ikut arahan Datuk dengan Tuan Iskandar. Tolong ya Encik Emir, kegembiraan Atok saya di tangan Encik Emir. Saya minta sangat Encik Emir beri kerjasama," Amsyar senyum tawar.

"Amsyar, apa sebenarnya yang berlaku? Mana Isha?" tanya Emir, cuba memahami situasi yang semakin pelik ini. Amsyar diam.

"Jangan kata yang awak pun diugut juga?" mereka bertentangan mata seketika.

Amsyar mengangguk perlahan, matanya menunjukkan kesedihan. "Ya. Atok saya Ketua security guard dekat Jutaya Holdings (JH). Kalau saya tak buat apa yangDatuk dengan Tuan suruh, dia orang akan berhentikan atok saya. Atok saya dah berpuluh tahun kerja dekat JH, dan dia sayang sangat dengan tempat kerja tu. Saya tak sampai hati nak biarkan dia dikhianati."

Emir menarik nafas panjang, cuba menahan marahnya. "Awak tak perlu buat semua ni, Amsyar. Saya akan selesaikan semuanya."

Emir mulai merencana sesuatu dalam otaknya. Dia masuk ke bilik mandi, membersihkan diri dengan perasaan yang semakin tidak keruan. Sebaik keluar, Amsyar sudah menyiapkan pakaian berwarna putih untuk Emir. "Pakai ni, Encik Emir," katanya.

Setelah berpakaian, Emir memandang Amsyar dengan serius. "Awak ada nampak Isha?"

Amsyar mengeleng. "Tadi, sebelum Encik datang, Cik Isha dan Tuan Iskandar bergaduh di bawah. Cik Isha ugut nak lari kalau Tuan Iskandar nak teruskan juga. Saya diarahkan untuk kunci bilik Cik Isha supaya dia tak boleh lari,"

"Saya nak jumpa dia," kata Emir tegas, nada suaranya mencengkam ketegangan yang menyelimuti situasi ini. Dia segera membuka pintu, cuba melangkah keluar, tetapi lelaki-lelaki berbadan sasa yang menjaga pintu menghalangnya.

"Saya nak jumpa bakal isteri saya!" kata Emir dengan tegas, akhirnya dua lelaki itu memberikan laluan.

Amsyar mengekori Emir sambil mengambil kunci dan membuka pintu bilik Isha. Sebaik pintu terbuka, Emir melangkah masuk ke dalam bilik, matanya segera tertancap pada Isha yang terbaring lemah di atas katil. Wajahnya pucat, dan dia kelihatan sangat tidak berdaya. 

"Astaghfirullahalazim!Sha... Sha... Bangun Sha! Apa kau buat ni? Bukan ini caranya! Ya Allah!" Emir menampar-nampar pipi Isha. 

Emir menukar posisi Isha. Badannya dibaringkan mengiring dengan kepala sedikit miring ke bawah untuk memastikan laluan udara tidak tersumbat. Matanya melilau mencari sesuatu. Botol ubat yang dimakan Isha digengam kemas di tangannya. 

Isha perlahan-lahan membuka matanya. "Emir? Emir aku tak nak kahwin. Dia orang suruh aku sign borang tu,"Isha menutup matanya semula. Emir memanggil-manggil nama Isha tetapi tiada respon dari wanita itu. 

Baru hendak mengangkat Isha, Iskandar meluru masuk ke dalam bilik anak gadisnya. "Ya Allah Isha! Isha!" suara Hana, ibu Isha menjerit.

"Abang anak kita, bang" tangis Hana. Iskandar segera mengangkat anaknya untuk dibawa ke hospital dibantu Amsyar. 

Emir menggenggam penumbuknya, menahan marah yang kian meluap-luap. Dia merentap kasar borang nikah itu dari meja dan menggenggamnya erat. Dengan penuh kemarahan, Emir melangkah turun ke ruang tamu, suaranya bergema di seluruh rumah.

"Papa! I've had enough!" Emir menjerit, matanya merah menyala, nadanya penuh dengan kekecewaan dan marah yang lama terpendam. Semua orang di ruang tamu,  terpana mendengar suaranya yang kuat.

"Kami tak nak kahwin, pa! Apa yang papa dan Uncle Is buat ni? Sanggup gadaikan anak-anak sendiri untuk syarikat Jutaya Holdings? Untuk harta? Papa, harta tak bawa mati!"

Datuk Emran memandang anaknya dengan wajah terkejut, tetapi dia tidak berkata apa-apa.

Emir terus bersuara, melepaskan segala yang terpendam di hatinya. "Sejak bila harta lebih penting daripada kebahagiaan anak-anak? Pasal keluarga konon! Ini semua bukan pasal hubungan keluarga, ini pasal tamak, pasal harta!"

Dia memandang Iskandar yang terkocoh-kocoh mencari kunci keretanya. Pandangan penuh benci. "Pat your back! You're probably going to lose another daughter of yours! Hope you happy! Isha telan ubat tidur sebab tak nak kahwin! Tak.Nak. Kahwin! Faham tak?!" Emir melayang-layangkan botol oren di tangannya.

Emir menggenggam borang nikah yang ada di tangannya, lalu mengoyaknya dengan kasar di hadapan mereka. Borang itu hancur berkeping-keping, berselerakan di lantai. Dengan wajah yang marah, Emir berpaling dan melangkah keluar dari rumah tanpa menoleh ke belakang. Suasana di dalam rumah itu menjadi tegang dan sunyi, namun Emir tidak lagi peduli.

Hatinya sudah cukup terluka dengan permainan mereka, dan kali ini, dia tidak akan membiarkan sesiapa pun memaksa atau mengawalnya lagi.  Emir memecut laju, hatinya masih dipenuhi kemarahan yang bergolak setelah keluar dari rumah Isha. 

Dia menepis panggilan berulang-ulang dari Datuk Emran, enggan menjawab sebarang persoalan atau penjelasan dari lelaki yang selama ini memaksanya hidup mengikut kehendak dirinya. Fikirannya hanya tertumpu kepada satu tempat—rumah ibu bapanya di Austral, tempat yang selama ini menjadi pelindungnya dari segala masalah. Namun hari ini, ia tidak lagi membawa makna yang sama.

Sebaik tiba di rumah, dia masuk ke dalam rumah tanpa memberi salam. Nafasnya turun naik menahan amarah. Dia nekad hendak keluar drai rumah ini.  Tidak lama kemudian, ibunya, Datin Fauziah, yang terlihat dari dalam rumah segera menghampirinya. Wajahnya penuh kebimbangan melihat gelagat anaknya yang resah.

"Ängah, kenapa ni? Apa yang berlaku?" tanya Datin Fauziah dengan lembut, cuba mencari jawapan di wajah anaknya.

Emir tidak menjawab terus sahaja keluar memjinjit beg pakaiannya. 

"Angah, mama tanya ni. Kenapa?" suara Datin Fauziah kuat menagih jawapan.

Emir menoleh memandang ibunya, bibirnya terketar hendak memulakan kata-kata, tetapi sebelum sempat dia menjawab, bunyi kereta kedengaran di belakang mereka. Kereta Datuk Emran masuk ke perkarangan rumah dengan laju dan berhenti secara mengejut.

Emir tersentak. "Mama tanyalah suami mama tu," jawab Emir dengan penuh sindiran, jarinya menunjuk ke arah Datuk Emran yang sedang keluar dari kereta.

Datuk Emran keluar dari perut kereta dengan langkah yang tergesa-gesa, wajahnya memerah dengan kemarahan yang jelas. Sebelum sempat Emir membuka mulut, Datuk Emran mendekatinya dan, tanpa amaran, mengangkat tangan lalu menampar wajah Emir kuat-kuat.

PANG! Tamparan itu membuatkan Emir terdorong ke belakang, Datuk Emran bagai dirasuk mendekati Emir lalu menendang kuat kaki Emir, membuatkan Emir jatuh terjelepok ke tanah sambil menjerit kesakitan.

"Abang!" Datin Fauziah menjerit dengan panik, segera berlari ke arah anaknya yang terhentak ke tanah. Dia memandang Datuk Emran dengan wajag terkejut.

Emir, yang menahan kesakitan, cuba bangun dengan perlahan. Matanya memandang tajam ke arah bapanya. Tangan kirinya menggenggam tanah di bawahnya, menahan marah yang kian memuncak. 

"Kenapa bukan kau yang mati dulu?! Anak tak guna!" Jeritan Datuk Emran bergema di perkarangan rumah, penuh dengan kebencian yang membara. "Along aje yang dengar cakap aku! Aku bunuh kau! Apa malang nasib aku dapat anak macam kau ni!"

Emir masih terkial-kial untuk berdiri, tetapi kata-kata bapanya seterusnya menghentikan pergerakannya.

"JH tu yang bagi kita makan sampai tujuh keturunan, tahu tak?! Apa yang kau dapat dengan Sofia? Anak pembunuh itu tak layak jadi menantu aku!" suara Datuk Emran penuh dengan kebencian dan penghinaan terhadap Sofia.

Tersentap dengan kata-kata itu, Emir akhirnya berjaya bangun dengan susah payah. Namun, riak wajahnya kekal tenang walaupun hatinya sedang berperang dengan emosi.

"Papa tak perlu risau lagi, mulai hari ini, anggap saja angah pun dah mati! Angah tak akan pijak rumah papa lagi!" balas Emir dengan suara tegas, penuh kebencian. "Papa nak ambil balik pelaburan papa dalam HLKK, kan? Ambil! Ambil semua jangan tinggalkan satu sen pun!"

"HLKK tu duit aku! Aku akan pastikan kau tak dapat run company tu!" Jeritan Datuk Emran menambah ketegangan, tetapi Emir tidak mengendahkannya. Sebaliknya, Emir membuka dompetnya.

Dia melangkah kembali ke arah bapanya dan meletakkan kad kredit dan kad bank di atas tangan Datuk Emran. "Angah tak pernah guna duit yang papa bagi untuk bangunan dan tanah HLKK. HLKK tu hasil titik peluh angah sendiri, dari gaji yang angah kumpul selama ini. Gaji yang angah dapat hasil kerja keras angah di Rasa Riang. Papa nak ambil gaji angah jugakah? Atau papa nak cakap yang gaji tu pun milik papa?"

PANG! Satu lagi pukulan hinggap di pipi Emir, diikuti oleh beberapa lagi tumbukan yang bertubi-tubi. Emir, yang tidak mahu melawan bapanya sendiri, hanya mampu bertahan. Dia pasrah diperlakukan sebegitu.

"Kurang ajar! Kau anak tak berguna! Tak henti-henti nak malukan aku! Macam mana aku boleh dapat anak macam kau?!" Datuk Emran menjerit dengan penuh kemarahan, pukulan terus menghujani Emir tanpa belas kasihan. "Semua ni salah kau! Salah kau! Kau rosakkan semuanya!"

Datin Fauziah berlari ke arah mereka, cuba menarik suaminya. "Abang, cukup! Berhenti, dia anak kita!" tangisnya sambil cuba menahan tangan suaminya, tetapi Datuk Emran menolaknya kasar.

Pemandu Datuk Emran, Halim, yang melihat kejadian itu dari jauh, segera bergegas ke arah majikannya. Dia cuba memegang tangan Datuk Emran, menahannya daripada terus memukul Emir. "Tuan, sudah! Jangan buat macam ni! Dia anak tuan!"

Namun, Datuk Emran menolak Halim ke tepi, tidak mahu mendengar sebarang nasihat. "Kau diam, Halim! Dia bukan anak aku lagi! Anak aku yang sebenar dah mati, yang ni tak ada guna langsung!"

Halim terus cuba meredakan majikannya, walaupun suaranya semakin goyah. "Tuan, ini tak betul. Emir tu darah daging tuan. Tuan marah, tapi jangan cederakan dia macam ni. Cukup, tuan."

Emir, yang sudah terhuyung-hayang dari serangan yang bertalu-talu, cuba berdiri dengan payah. Nafasnya tersekat-sekat, dan darah menitis dari tepi bibirnya yang sudah pecah. Dia mengesat darah di bibirnya dengan belakang tangan, wajahnya penuh luka lebam. Matanya yang merah berair memandang Datuk Emran buat kali terakhir.

Dengan nafas yang berat, dengan nada yang lemah tetapi tegas, "Dengan ini, angah harap semua hutang dan amarah papa pada angah dah selesai." Kata-kata Emir menusuk jauh ke dalam hati Datuk Emran, tetapi lelaki tua itu tidak membalas. 

Emir mendekati ibunya dengan langkah yang perlahan, wajahnya penuh dengan kekecewaan. Dia memeluk ibunya erat, air matanya yang selama ini ditahan akhirnya gugur juga.

"Mama, you know where to find me," bisik Emir dengan lembut ke telinga ibunya, namun kata-kata itu membawa makna yang dalam.

"Angah... Jangan tinggalkan mama," rayu Datin Fauziah dengan nada sayu, air mata mengalir di pipinya.

Selepas memeluk ibunya, Emir melepaskannya dengan perlahan. Dia berjalan dengan langkah tempang menuju ke keretanya dan tanpa menoleh lagi, dia memandu keluar dari rumah itu. Datin Fauziah hanya berdiri kaku di situ, menahan diri daripada mengejar anaknya, manakala Datuk Emran memandang kosong, hilang kata-kata.

Emir tahu, selepas hari ini, hubungan dia dan bapanya tidak akan pernah sama lagi. Tetapi dia juga tahu, inilah satu-satunya cara untuk dia membebaskan dirinya dari kawalan keluarga yang terlalu tamak akan harta dan kuasa.

Sepanjang perjalanan pulang ke The White Cottage, tubuh Emir terasa semakin lemah, dan kepalanya semakin berat. Namun, dia masih berusaha untuk kekal fokus, matanya terbuka walaupun pandangannya semakin kabur. Setelah tiba di rumah, Emir terus menghubungi Jeremy.

"Jeremy, busy? I need help,"

Suara Emir kedengaran berat dan penuh keletihan. Di hujung talian, Jeremy terkejut dengan permintaan Emir, tetapi dia hanya menjawab, "I'm coming"

Setengah jam kemudian, Jeremy tiba di The White Cottage. Sebaik sahaja dia melangkah masuk, matanya terbeliak melihat keadaan Emir. Wajah bosnya lebam teruk, bibirnya berdarah, dan ada kesan bengkak di sekeliling matanya. Pakaiannya comot, dan jalannya tempang, jelas menunjukkan kecederaan yang lebih serius pada kakinya.

"Oh my god! Bos! Apa yang dah jadi ni?!" Jeremy bertanya dengan suara penuh panik, bergegas menghampiri Emir.

Emir cuba tersenyum, tetapi wajahnya menegang kerana kesakitan. "Hantar aku ke hospital. I don't think I can't drive,"

Jeremy mengangguk laju, wajahnya penuh dengan kebimbangan. "Baik bos! Tapi apa dah jadi?" soalnya sambil memapah Emir masuk ke dalam kereta.

Emir meletakkan jarinya di bibir. "No question, Jer"

Namun, Jeremy tidak mengendahkan bantahan Emir. "Saya perlu tahu, bos. Kalau melibatkan keselamatan bos, saya kena buat laporan polis. Apa dah jadi?"

Melihat Jeremy yang bersungguh-sungguh, Emir menjawab dengan lemah. "If you insist on calling the police, you might lose your job," Jeremy terdiam. Wajah Emir dipandang sekilas. 

Sampai di hospital, Emir segera dibawa ke wad kecemasan untuk pemeriksaan lanjut. Doktor yang memeriksanya memandang keadaan Emir dengan wajah serius. Setelah beberapa ujian dilakukan, mereka memutuskan untuk menahan Emir di hospital untuk rawatan susulan.

"Encik Emir, kaki yang baru nak sembuh tu macam ada problem sikit, so kita kena tahan awak untuk pemeriksaan lanjut,"kata doktor dengan tegas.

Emir hanya mengangguk lemah, tubuhnya sudah terlalu letih untuk memberikan sebarang bantahan. Matanya mula berat, dan dia akhirnya tertidur, kesakitan di tubuhnya hanya sedikit hilang dengan rehat yang sangat diperlukan itu.

Apabila Emir tersedar, cahaya dari lampu malap di bilik hospital menyambutnya. Suasana sunyi sepi, dia memandang ke arah jam dinding—sudah pukul 2.00 pagi. Emir mengerling ke sebelah, mendapati Jeremy masih duduk di kerusi yang terletak di tepi katilnya. Jeremy masih menekan-nekan dada telefonnya, jelas menandakan dia belum tidur lagi.

Emir menghela nafas perlahan, cuba mengangkat sedikit tubuhnya untuk duduk. Rasa sakit masih terasa di segenap tubuh, tetapi Emir cuba menahannya.

"Jeremy... kenapa kau tak tidur lagi?" Emir bertanya dengan suara serak, memandang ke arah pembantunya yang setia.

Jeremy menoleh, matanya sedikit layu, tetapi dia tersenyum nipis. "Bos, mana boleh tidur kalau tengok keadaan bos macam ni. Saya risau."

Emir mengangguk kecil, mengerti kebimbangan Jeremy. "Kau tak perlu risau sangat. Aku akan okey." Emir berhenti seketika, matanya merenung ke siling bilik hospital itu sebelum menambah, "Kenapa kau masih di sini, Jer? Aku dah suruh kau balik."

Jeremy menggeleng kepala, duduk tegak di kerusinya. "Bos, saya tak boleh balik macam tu aje. Saya risau. Apa sebenarnya yang berlaku? Apa maksud bos kalau saya call polis, saya hilang kerja?"

Emir terdiam seketika, matanya merenung kosong ke arah dinding. Perasaannya bercampur-baur—antara marah, kecewa, dan penat. Setelah beberapa saat berlalu dalam keheningan, Emir akhirnya membuka mulut, bercerita tentang pertembungannya dengan Datuk Emran dan situasi yang semakin tidak terkawal. Dia ceritakan bagaimana pertelingkahan dengan bapanya sudah sampai ke tahap yang tidak dapat diselamatkan lagi.

"Aku tak tahan lagi, Jer. Papa... dia cuma nampak harta dan kuasa. Dia tak peduli langsung pasal aku, pasal perasaan aku. Aku tak boleh terus hidup macam ni," ujar Emir perlahan tetapi tegas, menahan rasa perit yang menghambat hatinya.

Jeremy memandang Emir lama, memproses apa yang baru didengarinya. Dia kemudian menarik nafas panjang, sebelum berkata dengan nada yang tenang tetapi penuh makna, "Betullah apa bos buat tu, bukan baru bos, berulang kali dia buat macam ni. Saya pun ikut stress,"

"Bila nak buka HLKK bos? Kalau kita kekal di Rasa Riang, lagilah Datuk senang nak kawal hidup bos. Kalau kita di HLKK, kita tak terikat dengan dia. Saya ikut bos mana aje bos pergi,"

Emir terdiam sejenak, memandang Jeremy dengan rasa berterima kasih. 

"Jeremy... kau tak perlu buat macam ni. Kau boleh terus kerja di Rasa Riang. Aku tahu papa masih perlukan kau di sana," ujar Emir dengan suara yang sedikit tergetar.

Jeremy menggeleng kepala lagi, kali ini dengan senyuman penuh keyakinan. "Tak, bos. Saya takkan tinggal di sana kalau awak tak ada. Saya setia dengan bos, kita sama-sama bangunkan Rasa Riang, dan kita akan teruskan bersama. Kalau awak tukar tempat kerja, saya nak ikut."

Emir memandang Jeremy lama, berasa bersyukur tetapi juga serba salah. "Jeremy, kau tak patut korbankan kerjaya kau sebab aku. Kau ada masa depan cerah di Rasa Riang,"

Jeremy tersenyum lagi, kali ini dengan nada lebih yakin. "Bos, masa depan saya ada di mana bos ada. Kita dah lalui macam-macam sama-sama. Kalau bos keluar dari syarikat, saya ikut. Kita boleh buat apa saja, asalkan kita buat bersama."

Emir menahan sebak, matanya sedikit berkaca. Dia memandang Jeremy dengan penuh penghargaan dan rasa hormat yang mendalam. "Kau ni memang lain daripada yang lain, Jer. Aku tak tahu apa nasib aku kalau tak ada kau."

Jeremy ketawa kecil, cuba menghilangkan suasana emosi yang berat. "Bos, sanggup nak lepaskan saya? Rahsia bos luar dalam ada dalam gengaman tangan saya tau,"

Emir tersenyum lemah, rasa bersyukur menyelinap di hatinya. Dalam keadaan yang penuh kekecewaan dan tekanan, dia sekurang-kurangnya tahu ada seseorang yang tetap setia berada di sisinya, apapun yang berlaku. Emir merebahkan dirinya kembali ke bantal, menahan sakit di tubuhnya, tetapi hatinya terasa sedikit ringan dengan kehadiran Jeremy di sisinya.

"Baiklah, Jer. Kalau macam tu, kita teruskan. Kita cari jalan baru... tanpa papa saya, tanpa Rasa Riang," kata Emir akhirnya..

Jeremy mengangguk, tersenyum lebar. "Bila-bila bos. Saya sentiasa ada."

Dengan itu, Emir menutup matanya, membiarkan dirinya tertidur kembali. Malam ini, walaupun kesakitan masih terasa di tubuhnya, dia berasa sedikit tenang. Dia tahu, selagi ada Jeremy di sisinya, dia akan mampu menghadapi apa sahaja yang datang selepas ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience