Bab 69

Romance Completed 59279

Sofia memusingkan badannya ke kiri dan ke kanan, mencari posisi tidur yang selesa. Tetapi semakin dia cuba, semakin jauh lena darinya. Matanya terasa pedih kerana mengantuk, tetapi fikirannya enggan berhenti berputar. Dia menarik nafas perlahan dan meraih telefon bimbit di sisi.

WhatsApp dibuka, matanya tertancap pada mesej terakhir dari Emir yang dihantar dua jam lalu.

Saya dah sampai KL. Nnt sampai hotel, saya call awak, okay?

Sofia membaca mesej itu berulang kali, berharap rasa lega menyusup ke hatinya. Tetapi tidak, rasa resah terus membelenggu. Dia mula menaip balasan tetapi berhenti. Tangannya mengetuk skrin beberapa kali sebelum akhirnya memadam mesej yang belum selesai itu.

Dia menghembus nafas perlahan dan menyisipkan telefon bimbitnya di bawah bantal. Matanya dipejamkan semula, tetapi dua saat kemudian, dia membuka matanya dengan rasa tidak puas hati.

Sofia duduk di atas katil, mengikat rambutnya perlahan-lahan. Telefon bimbitnya diraih kembali, dan dengan langkah perlahan, dia menuju ke tingkat bawah. Di ruang tamu, dia membaringkan dirinya di atas sofa. Remote TV dicapai dan dia mula menukar saluran tanpa henti, mencari sesuatu yang mampu mengalihkan perhatiannya.

Tetapi tiada satu pun rancangan menarik minatnya. Remote itu akhirnya dilepaskan ke atas meja. Sofia mengeluh panjang.

Tiba-tiba, bunyi ding dari telefon bimbitnya membuatkan dia tersentak. Sofia duduk tegak, menekan dada telefon untuk melihat notifikasi itu. Sebuah email masuk, dihantar dari alamat yang tidak dikenali.

Keningnya berkerut. Jarinya menekan ikon email, dan sebaik sahaja kandungannya terbuka, tubuh Sofia membeku bagai disimbah air sejuk.

Gambar pertama menampakan Emir, sedang makan bersama seorang wanita berambut perang dan ikal di sebuah restoran mewah. Kedua-duanya kelihatan bergelak tawa, sangat akrab. Gambar kedua memperlihatkan mereka melangkah masuk ke dalam kereta yang sama.

Telefon di tangannya terasa semakin berat. Mata Sofia tidak berkedip, jantungnya berdetak kencang seiring dengan gelora rasa yang mula menyelubunginya. "Apa semua ni?" bisiknya perlahan, separuh bergetar.

Sofia meletakkan telefon di atas meja kopi, menarik nafas panjang untuk menenangkan dirinya. Tetapi matanya kembali ke arah skrin telefon, memaksa dirinya menatap gambar itu sekali lagi. Kepala mula dipenuhi soalan yang tidak mampu dijawab.

"Siapa dia ni?" bisiknya lagi. Hatinya mula dilanda ribuan teka-teki.

Sofia masih terpaku di sofa, matanya melekat pada skrin telefon yang kini gelap selepas dia menekan butang kunci. Tetapi dalam fikirannya, gambar-gambar itu terus berulang, membanjiri fikirannya tanpa henti.

Kata-kata Emir sebelum ini terngiang-ngiang di telinganya.

"Awak tak takut saya ke KL dengan perempuan?"

Dia memicit dahinya dengan kedua-dua belah tangan. Soalan itu seolah-olah kini menjadi bayangan yang mencengkam jiwanya. Perasaan resah bercampur marah mula menghuni dirinya.

Nama Emir tertera di skrin telefon apabila jarinya menekan ikon telefon bimbit. Jantungnya berdetak kencang. Sebahagian dirinya mahu menekan butang panggil, mahu mendapatkan penjelasan dari lelaki itu. Tetapi sebahagian lagi berbisik agar dia tidak bertindak terburu-buru.

Sofia menarik nafas dalam, jemarinya tergantung beberapa saat di atas skrin sebelum dia memutuskan untuk membatalkan niatnya. Telefon itu dimatikan terus, dilemparkan ke sisi sofa. Hatinya bergolak hebat, tetapi dia tahu menelefon Emir dalam keadaan emosinya yang bercelaru ini hanya akan menambah kekusutan.

Dengan perlahan, dia mencapai remote TV semula, menekan butang-butang tanpa tujuan yang jelas. Dia berhenti seketika pada saluran drama, tetapi tidak mampu memberi tumpuan pada jalan cerita. Sofia menghela nafas panjang, tubuhnya disandarkan ke sofa. Pandangannya kosong, jauh melayang. Cuba mengalihkan perhatian kepada TV, tetapi hatinya tetap bergelodak.

"Kenapa aku nak fikir bukan-bukan? Mungkin ada penjelasan..." bisiknya pada diri sendiri. Tetapi perasaan ragu itu lebih kuat, mencengkam hatinya seperti rantai besi.

Sofia membuka matanya perlahan apabila tubuhnya digoncang keras. Matanya terbeliak melihat Elly berdiri di hadapannya dengan wajah penuh kerisauan.

"Elly? Kau buat apa kat sini? Jam berapa ni?" Sofia bertanya dalam nada bingung, suaranya serak. Dia bangkit sedikit dari posisi baring, menggosok matanya yang masih berat.

Elly meletakkan tangan di pinggang sambil menghembus nafas panjang. "Mana telefon kau?" soalnya tegas.

"Telefon?" Sofia mengerutkan dahi, bingung dengan pertanyaan itu. "Ada kat atas... Ke bawah tadi? Entah."

Elly mencekak pinggang. "Abang aku macam nak gila call aku suruh datang tengok kau! Dia tak dapat call kau, tahu tak?!"

Sofia terdiam sejenak, baru menyedari betapa risau wajah Elly. Dia memandang ke arah jam di dinding. Pukul 3.45 pagi. Mata Sofia kembali pada Elly, yang menghulurkan telefonnya sambil menekan dada telefon itu. "Ambil ni, cepat call Emir," arah Elly.

Tanpa banyak soal, Sofia menerima telefon itu. Jemarinya menekan butang panggilan yang sudah disambungkan. Suara Emir yang penuh kebimbangan menyapa di hujung talian.

"Kenapa saya tak dapat call awak? Sofi, awak okay tak?" tanya Emir, suaranya agak keras, tetapi jelas penuh kegusaran.

Sofia mengerutkan dahi, masih bingung dengan situasi itu. "Apa?" soalnya perlahan.

"Saya tanya, kenapa saya tak dapat call awak?" Emir mengulangi soalan itu dengan nada lebih tegas.

Sofia memandang Elly yang memerhatikan dirinya sebelum menggaru kepalanya perlahan. "Telefon saya? Entah... Sekejap," dia meraba-raba sofa tempat dia berbaring. Skrinnya gelap. Sofia menekan butang. Tiada respons. Tanpa berfikir panjang, dia menjawab, "Bateri habis, kot. Entah, tak perasan."

"Sofia!" suara Emir kedengaran lega, tetapi masih ada nada marah. "Kenapa tak cas telefon? Awak tahu tak saya risau? Saya tak dapat call awak, awak tak balas mesej. Saya sampai minta Elly datang tengok awak!"

Sofia mengerling ke arah Elly, yang kini bersandar di sofa sambil memeluk tubuh. Dia menarik nafas dalam sebelum menjawab perlahan, "Saya okay je. Awak tak perlu risau sampai macam ni."

"Tak payah risau?" suara Emir semakin perlahan tetapi tajam. "Saya call awak berkali-kali, tahu tak? Saya tak tahu apa jadi kat sana."

Sofia menggigit bibir. "Saya... Maaf, Emir. Saya tak sangka telefon saya habis bateri. Tapi saya betul-betul okay. Awak rehatlah, esok ada mesyuarat kan?"

Emir diam sejenak. "Awak janji dengan saya. Lepas ni jangan lupa cas telefon, boleh?"

"Okay, okay. Saya cas lepas ni," Sofia menjawab lembut.

"Lepas ni saya call balik, awak angkat ya," pesan Emir sebelum memutuskan talian.

Sofia berpusing hendak menyerahkan telefon Elly, tetapi mendapati gadis itu sudah terlelap di sofa. Dia berdiri kaku seketika, memerhatikan wajah Elly yang kelihatan letih.

Dengan perasaan bersalah, Sofia berjalan perlahan menuju ke arah telefon bimbitnya. Dia mencucukkan pengecas, menghidupkan semula telefon itu. Sebaik sahaja telefon itu menyala, matanya membulat melihat 58 panggilan tidak terjawab daripada Emir.

Sofia menghempaskan tubuhnya di atas sofa. Tangannya menutup wajah, hatinya bercampur baur antara kesal dan rasa bersalah. Perlahan-lahan, matanya terpejam sambil menarik nafas panjang.

Telefon Sofia berdering di atas meja. Nama Emir tertera di skrin. Sofia mendengus kecil sebelum menekan butang hijau. Suara Emir yang lembut dan penuh kerinduan menyapa di hujung talian.

"Assalamualaikum, sayang. Awak tak tidur lagi, kan?" suara Emir perlahan tetapi jelas.

Sofia menjawab malas, "Waalaikumsalam. Siapa kata? Saya dah nak tidur."

Emir ketawa kecil. "Awak tak boleh tipu saya, Sofi. Saya tahu awak tak boleh tidur bila saya tak ada."

Sofia terdiam sejenak, memicit hidungnya. "Awak ni... siapa kata saya tak boleh tidur? Saya okey aje."

"Betul?" soal Emir, suaranya seakan memancing sesuatu. Tanpa menunggu jawapan Sofia, Emir menyambung, "Kalau betul, kenapa awak tulis dalam surat tu, awak tak boleh tidur kalau saya tak ada?"

Sofia terkejut, matanya membulat. "Apa?" soalnya teragak-agak.

"Surat yang awak tulis tu... kan ada awak cakap, dari dulu memang susah nak tidur. Tapi bila kita kahwin, awak rasa selamat tidur sebelah saya. Itu buat awak lena." Emir membaca nada surat itu perlahan. "Awak tulis, 'tidur di sisi awak adalah satu ketenangan. Macam ada benteng yang lindungi saya.'"

"Emir!" Sofia melompat turun dari sofa, memanjat tangga dengan pantas menuju ke bilik. Tangannya laju membuka kabinet yang menyimpan beg bagasi mereka. Dadanya berdebar kencang.

"Awak buat apa tu, Sofi?" Emir bertanya tenang.

"Saya nak tengok surat tu. Awak cakap surat tu dalam beg, kan? Emir! " Sofia membebel dalam keadaan kelam-kabut, satu persatu beg digeledahnya.

"Awak tak perlu susah payah tengok, Sofi. Surat tu ada dengan saya," jawab Emir selamba sambil ketawa kecil.

Sofia terhenti, terpaku di hadapan kabinet. "Apa? Awak cakap surat tu dalam beg?" suaranya marah.

"Betul, saya cakap dalam beg. Tapi saya tak cakap surat tu dalam beg awak, kan? Saya maksudkan dalam beg saya," jawab Emir sambil ketawa kecil.

"Emir!" Sofia mengetap bibir, geram dengan sikap selamba suaminya.

"Sayang..." Emir memanggil lembut. "Jangan marah-marah. Cepat baring balik, okey? Dah nak pukul 4 pagi ni."

Sofia memandang jam di dinding. Jarum pendek sudah hampir menunjuk ke angka empat. Dia mendengus, menutup kabinet dengan kuat dan kembali ke katilnya.

"Awak ni... dah lah buat saya penat. Cepat tidur. Esok ada mesyuarat, kan?" Sofia membalas dengan suara lembut tetapi tegas.

Emir menguap kecil di hujung talian. "Saya nak tidur dah ni. Tapi saya rindu awak. Rindu anak-anak juga."

Sofia mengetap bibir, cuba menyembunyikan perasaannya. "Pergilah tidur, Emir. Tak payah nak rindu-rindu sangat. Nanti balik pun jumpa juga."

Emir ketawa kecil. "Saja nak cakap, rindu ni. Awak ingat saya tak tahu? Awak pun rindu saya."

"Siapa kata?" Sofia sengaja membalas dengan nada menyindir.

Sofia mengetap bibir, malas mahu membalas. Dia cuba menukar topik. "Macam mana dinner tadi? Kenapa lambat sangat balik?"

"Dinner okey. Lepas jumpa investor tu saya keluar makan dengan kawan lama masa saya belajar dulu," jawab Emir tanpa menyedari perubahan halus dalam suara Sofia.

"Oh... kawan lama?" Sofia cuba bersikap biasa.

"Ya... Dari dulu memang dia aktif dalam dunia perhotelan ni. Sembang-sembang tadi pun banyak idea dia kongsi. Harapnya ada rezeki dengan projek ni nanti," cerita Emir panjang lebar, penuh semangat.

Sofia mendengar tanpa banyak bicara. Hatinya terasa berbelah bagi. Dia cuba tersenyum walaupun Emir tidak nampak. "Baguslah kalau macam tu. Dah, tidur sekarang."

Emir diam sejenak. "Awak okey tak ni, Sofi?"

"Okey," jawab Sofia pendek.

"Betul?"

"Betul."

"Kalau okey, esok saya call awak awal pagi. Jangan lupa cas telefon. I love you."

Sofia terdiam sejenak sebelum menjawab perlahan, "Hmm... Assalamualaikum."

Emir tersenyum puas di hujung talian. "Waalaikumsalam, good night, sayang. Tidur lena ya."

"Goodnight." Sofia mematikan panggilan dan menghela nafas panjang. Dia memandang telefon di tangannya. Surat-surat itu... Emir betul-betul membacanya. Jantungnya berdegup kencang mengingatkan apa lagi yang mungkin Emir tahu tentang isi hatinya.

Dia menyimpan telefon di meja dan berbaring semula. Namun, perasaannya masih bercampur baur, antara malu dan risau. Sofia memejamkan mata, cuba mengabaikan degupan jantungnya yang masih belum mahu tenang.

Azan berkumandang dari telefon Sofia. Suara muazin yang merdu memecah keheningan dinihari, mengajak untuk menunaikan solat Subuh. Mata Sofia terbuka perlahan-lahan. Dia mengerling jam di sisi katil, 5.40 pagi. Sofia menarik nafas dalam, berusaha mengusir sisa kantuk yang masih memberatkan kelopak matanya.

Dengan langkah perlahan, Sofia menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Sejuk air menyentuh wajahnya, memberikan sedikit kesegaran. Selesai solat, dia mengangkat tangan memohon doa, meminta ketenangan dalam hatinya yang berkecamuk sejak beberapa hari lalu.

Sofia kembali ke rang tamu, melipat telekungnya dengan kemas sebelum mengejutkan Elly. Sebaik Elly bantun, dia merebahkan tubuhnya. Baru saja dia memejamkan mata, telefon bimbitnya berbunyi.

Sofia mencapai telefon yang terletak di meja sisi. Sebuah mesej daripada Emir muncul di skrin.

Saya tak dapat tidur. Rindu awak.

Sofia membaca mesej itu dan meletakkan telefon kembali. Belum sempat dia melelapkan mata, telefon itu berbunyi lagi.

Saya rindu awak dengan anak-anak.

Sofia menghela nafas panjang, jari-jemarinya mengetuk perlahan pada telefon. Pesanan lain menyusul.

Boleh saya call awak? Saya rindu.

Eh, awak mesti dah tidur kan?

Sofia menggeleng perlahan, tidak tahan lagi. Dia menekan butang panggil. Tidak sampai dua deringan, suara Emir sudah kedengaran di hujung talian.

"Awak tak tidur lagi?" soalan pertama Emir keluar dengan nada risau.

"Baru lepas solat Subuh," jawab Sofia pendek. "Lepas ni nak tidur balik."

"Kalau macam tu, tidur. Jangan lupa tutup mata, Sofi." Suara Emir kedengaran lembut tetapi penuh usikan.

"Awak suruh tidur, tapi nanti mesej non-stop lagi," Sofia membalas sambil membetulkan selimutnya.

Tawa kecil Emir pecah. "Saya tak sangka saya tak boleh tidur. Ingatkan awak dengan anak-anak. Entah kenapa rasa sunyi sangat malam ni," luah Emir dengan jujur.

Sofia menggigit bibir, cuba menyembunyikan senyum. "Anak-anak tunggu panggilan awak dari malam tadi. Awak yang sibuk."

Emir diam sejenak. "Maaf, Sofi. Penuh betul jadual,"

"Okay," Sofia menjawab perlahan, cuba menutup rasa kecewa yang muncul.

"Nanti tengah hari saya ada lunch dengan investor," tambah Emir.

"Investor?" soalan itu terkeluar sebelum Sofia sempat berfikir.

"Ya, yang ni lain lagi tapi masih bincang projek HLKK. Doakan semuanya berjalan lancar ya," suara Emir penuh harapan.

Sofia diam, tidak membalas. Fikirannya melayang, membayangkan perempuan berambut perang ikal itu.

"Awak?" Emir memanggil lembut. "Awak dengar tak ni?"

"Ya," Sofia membalas ringkas.

"Kenapa diam?" soal Emir, cuba membaca nada Sofia.

Sofia tarik nafas dalam. "Tak ada apa. Awak fokus aje dengan kerja awak. Kami okey kat sini."

"Kalau awak perlukan apa-apa, call saya terus, okey?" pesan Emir, suaranya penuh perhatian.

"Okay."

"Jaga diri, sayang. Saya rindu awak," bisik Emir lembut.

Sofia hanya mampu menggumam, "Hmm... jaga diri juga."

Selepas panggilan tamat, Sofia merebahkan tubuhnya kembali. Dia memandang siling bilik yang kosong, Suara Emir tadi terngiang-ngiang, tetapi bayangan gambar dari emel itu terus menghantui.

Ada beberapa bab lagi sebelum final. Semoga masih ada pembaca novel ini. Thank you semua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience