Bab 49

Romance Series 33257

Fikiran Emir masih terganggu dengan Sofia, bayangan wajahnya sentiasa menghantui. Dalam tempoh dua hari ini juga, Emir tenggelam dalam kesibukan mesyuarat-mesyuarat atas taliannya yang berlangsung secara berterusan. Setiap kali makan, Emir hanya meminta Elly, untuk menghantarkan makanan ke dalam bilik. Hubungannya dengan papanya, Datuk Emran, masih dingin, mereka belum bercakap sejak beberapa hari yang lalu.

"Angah, makan. Nanti sejuk tak sedap," pesan Elly. Dia menuju ke katil abangnya sebelum berbaring kekenyangan.

"Okay, sekejap lagi. Dah nak siap dah ni," jawab Emir tanpa memandang Elly.

Elly mengeliat. "Dah kenyang mengantuk pula," katanya lagi.

"Tidurlah dik, aku nak tengok Sofi kejap lagi. Kau tengokkan anak-anak aku ya," 

Elly mengangguk saja. Laju tangannya bermain-main di dada telefonnya. Ketukan pintu kedengaran.

"Masuk!" izin Emir.

Senyuman nipis terbit di bibir Jeremy. Tanpa membuang masa, dia terus menyerahkan beberapa dokumen penting pada Emir. 

"Kenapa atur cara ni mula jam 8.00 pagi? Bukankah saya dah cakap masa meeting semalam, majlis kita mula jam 10.00 pagi. Jam 8.00 pagi ni Tan Sri Mahfuz tak sempat nak attend," ujar Emir sambil memandang Jeremy dengan pandangan serius.

"Ada apa-apa lagi belum selesai?" tanya Emir lagi.

"Semua dah beres, bos. Saya dah semak semuanya. Cuma, senarai jemputan VIP dengan dokumen untuk press belum settle lagi. Kalau tak ada apa-apa esok boleh settle," balas Jeremy sambil tersenyum, cuba menenangkan bosnya yang kelihatan resah.

"Pastikan ada plan B untuk semua ni ya? Saya tak nak masa perasmian ada masalah pula," pesan Emir.

"Dah ready plan b, bos. Yang ini nanti saya betulkan semula ya," Jeremy mengambil fail hitam dari tangan Emir.

"Bagus. Aku tak nak ada apa-apa yang terganggu. Hotel ni penting untuk aku. Aku dah laburkan banyak masa dan tenaga untuk projek ni. Kita tak boleh gagal," tegas Emir.

"Projek ni akan berjaya, bos. Bos dah buat yang terbaik. Saya akan pastikan semua orang dalam pasukan kita berkerja keras untuk pastikan semuanya berjalan lancar," tambah Jeremy lagi, memberi jaminan kepada Emir.

Selepas selesai dengan perbincangan mengenai kerja, Jeremy menolak kerusi roda Emir menuju ke pintu. Namun, langkah mereka terhenti apabila Datuk Emran tiba-tiba muncul di hadapan mereka.

"Nek ke mana ni?" soal Datuk Emran dengan kerutannya jelas kelihatan di dahi.

"Kami nak ke hospital, Datuk. Nak tengok..." 

"Tak payah! Jangan pergi hospital hari ini," suara Datuk Emran tegas, memecah keheningan.

"Kenapa tak payah pula?" tanya Emir, kebingungan dengan arahan tersebut.

"Uncle Is nak datang petang nanti untuk bincangkan tentang majlis perkahwinan kamu yang kita percepatkan. Papa tak mahu ada sebarang gangguan," Datuk Emran menjelaskan dengan nada yang tidak boleh dibantah.

Datuk Emran menarik nafas panjang sebelum menyambung , "Emir, kalau kamu tak setuju, papa akan tarik balik semua pelaburan papa dalam hotel baru kamu. Kamu pilihlah, perkahwinan atau masa depan hotel kamu,"

Emir terdiam. Ancaman itu menusuk dalam hatinya. Dia tahu betapa pentingnya pelaburan itu untuk kejayaan hotel barunya. Namun, dia juga tahu betapa tidak ikhlasnya hatinya untuk meneruskan perkahwinan ini.

Sebelum Emir sempat memberi sebarang jawapan, Datin Fauziah muncul dengan beg di tangannya. Tanpa mengendahkan suaminya, dia menolak kerusi roda Emir ke arah pintu, bersedia untuk membawanya ke hospital.

Dalam kereta, Datin Fauziah teringat kembali perbualannya dengan Datuk Emran malam tadi. Malam yang penuh dengan ketegangan dan perasaan marah.

"Abang, tolonglah fikirkan semula keputusan ni. Gee tak pernah ingkar kata-kata abang sebelum ni, tapi kali ni Gee mohon sangat. Jangan paksa angah kahwin dengan Isha," rayu Datin Fauziah dengan air mata yang bergenang di matanya.

Datuk Emran memandang isterinya dengan wajah yang keras. "Gee pun tahu abang dengan Iskandar tu dah berkawan sejak kecil, kan? Kalau kita tak teruskan, abang takut putus silaturahim antara kita dengan diaorang," jawab Datuk Emran, suaranya penuh dengan kerisauan.

"Silaturahim dengan dia abang jaga, tapi dengan Gee dan anak-anak, abang tak hiraukan langsung. Apa yang penting sangat sampai angah perlu korban masa depannya?" bentak Datin Fauziah dengan perasaan marah yang tidak dapat dibendung lagi.

"Gee, ini bukan soal memilih. Ini soal tanggungjawab dan maruah keluarga," jawab Datuk Emran, cuba mempertahankan keputusannya.

"Maruah? Maruah keluarga kita atau maruah abang sendiri? Gee tak sanggup tengok angah terseksa, abang. Gee takkan biarkan perkahwinan ini diteruskan!" tegas Datin Fauziah sebelum dia keluar dari bilik, meninggalkan suaminya tanpa sebarang kata.

Sehingga petang ini, mereka belum bercakap sepatah pun antara satu sama lain. 

Cahaya matahari petang yang menerobos masuk melalui tingkap terasa damai di hati Emir. Kekacauan yang berlaku antara dia, papanya, dan hal perkahwinan yang bakal diatur bersama Isha terus menghantui. 

Datin Fauziah memandang anaknya dengan hati yang berat. Dia tahu betapa terlukanya hati Emir, tetapi dia juga tahu keputusan suaminya, Datuk Emran, adalah sesuatu yang sukar diubah.

"Ngah, mama tahu papa terlalu tegas dalam hal ni, tapi angah jangan risau, mama akan pastikan papa ubah keputusannya." kata Datin Fauziah memulakan perbualan.

Emir menoleh sedikit, matanya merenung ibunya dengan keletihan yang jelas. "kenapa papa tak boleh faham? Angah dengan Isha tak ada perasaan pada satu sama lain. Isha tu, selagi dia nampak muka angah, dia akan ingat along ma..." balas Emir dengan nada suara yang rendah.

"Perasaan angah pada Sofia ni tak boleh dipadam, ma. Walaupun angah cuba perasan angah tak pernah malap," Emir tunduk. 

Datin Fauziah menarik nafas panjang, cuba mencari kata-kata yang sesuai. "Mama faham perasaan angah sebab tu mama janji mama akan buat apa saja untuk angah dan Sofi,"

"Apa yang begitu penting dengan hubungan antara kita dengan keluarga Isha sampai angah perlu korban masa depan dan perasaan angah sendiri?" tanya Emir, suaranya sedikit keras. Kekecewaan yang dia pendam akhirnya terluah.

"Angah pun sedia maklum,kan? Diaorang berdua itu berkawan dari kecil. Susah senang tak pernah berpisah. Papa nak mengukuhkan lagi persahabatan antara diorang," jelas Datin Fauziah, walaupun suaranya agak tersekat-sekat.

Emir terdiam sejenak, memproses kata-kata ibunya. "Jadi, persahabatan papa lebih penting daripada hidup angah? Angah kena tanggung semua beban ni sebab papa tak nak berpisah dengan Uncle Is?" tanya Emir, suaranya penuh dengan kepedihan.

Datin Fauziah menggelengkan kepala. "Angah, sebab tu mama cuba bercakap dengan papa malam tadi. Mama cuba buat dia faham, tapi angah kenal papa... dia keras kepala."

"Ma,angah dah tak tahu nak cakap macam mana dengan papa. Angah tahu angah punca along meninggal tapi dah bertahun papa hukum angah ma. Angah ikut semua kemahuan papa. Kali ni nak jadi apa, jadilah!" kata Emir, nekad.

Datin Fauziah menepuk bahu Emir. "Jangan cakap mavam tu ngah. Along meninggal bukan sebab angah, jangan cakap macam tu," cetusan kata-kata Emir menusuk jauh ke sanubarinya.

"Tak naklah fikir macam tu, angah buat saja apa-apa yang angah rasa betul. Mama akan sentiasa kat belakang angah," Datin Fauziah senyum.

Perbualan mereka habis di situ saat kereta mereka tiba di hospital. Emir cuba untuk tidak memikirkan hal lain dan hanya fokusnya kepada Sofia yang masih dirawat di hospital. 

"Bos, saya park dulu ya," kata-kata Jeremy hanya dibalas dengan anggukan. 

Tanpa membuang masa, Datin Fauziah menolak kerusi roda Emir ke dalam bangunan hospital. Mereka menuju ke unit rawatan rapi. Sepanjang perjalanan itu, Emir terdiam, memikirkan nasib yang akan menanti mereka.

Ketika mereka tiba di hadapan bilik ICU, pintu itu terbuka dan seorang jururawat keluar sambil membawa beberapa dokumen. Emir cuba mengintai ke dalam bilik itu, namun alangkah terkejutnya dia apabila melihat katil Sofia kosong.

"Excuse me nurse, Pesakit yang bernama Sofia Irdina di mana ya? Kenapa katil dia kosong?" tanya Emir, nadanya cemas.

Jururawat itu membelek dokumen ditangannya. Beberapa ketika, terbit senyuman di bibirnya "Puan Sofia dah dipindahkan ke Wad Kenanga di tingkat dua untuk rawatan lanjut,"

Mendengar berita itu, hati Emir bercampur baur antara lega dan cemas. Tanpa membuang masa, Datin Fauziah segera menolak kerusi roda Emir menuju ke arah lif untuk ke Wad Kenanga.  Setibanya di Wad Kenanga, mereka disambut oleh seorang lagi jururawat yang menunjukkan bilik Sofia. Emir mengambil nafas dalam-dalam sebelum mereka melangkah masuk. Namun, sebelum pintu dibuka, Emir sempat memandang ibunya.

"Nervous pula ma," Emir senyum nipis.

Datin Fauziah memukul bahu anaknya sambil ketawa kecil. "Mengada-ngadalah angah ni!"

Emir menarik nafas dalam. Belum sempat memulas tombol, Mia dan Hani menyapa mereka.

"Kamu dari mana? Saya boleh masukkan? Nak jumpa Sofi," ujar Emir.

"Dari jumpa doktor tadi," Mia menjawab.

Emir memandang Mia semula, " Doktor cakap apa? Kenapa awal sangat doktor pindahkan dia ke wad biasa?" 

"Doktor kata peningkatan kesihatan Sofi ke arah posiif, lagipun luka Sofi tak dalam cuma ada beberapa inci lagi nak sampai kat saluran pernafasan sebab tu dia dimasukkan kat ICU," jawab Mia.

"Tapi sebab dia dah okay tak ada komplikasi, diorang pindahkan dia kat sini," sambung Mia lagi.

Emir mengangguk perlahan, Mia dan Hani memberikan kesempatan pada Emir dan Datin Fauziah untuk masuk melawat Sofia. 

Mereka terus ke katil Sofia yang sedang berbaring dengan mata tertutup. "Assalamualaikum," Emir bersuara perlahan.

Wajah Sofia kelihatan lebih tenang berbanding kali terakhir dia melihatnya. Perasaan lega sedikit demi sedikit meresap ke dalam hati Emir.

"Waalaikumsalam," Sofia membuka matanya perlahan. Tanpa suara, mereka saling bertatapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience