Aidil berdiri di hadapan sebuah rumah lama di pinggir bandar. Rumah itu berpenghuni, tetapi aura di sekelilingnya terasa suram dan mencurigakan. Lampu di bahagian ruang tamu menyala malap, menandakan ada penghuni di dalamnya, tetapi suasana tetap sepi, seakan-akan menunggu sesuatu berlaku.
Beberapa detik kemudian, pintu kayu berwarna coklat gelap itu dikuak dari dalam.
Seorang lelaki muda berdiri di hadapannya, berwajah serius tetapi tenang.
"Encik Aidil?"
Aidil mengangguk perlahan, masih berhati-hati.
Lelaki itu membuka pintu lebih luas, memberi isyarat agar Aidil masuk. "Jemput masuk."
Aidil melangkah ke dalam, matanya liar memerhati keadaan rumah itu. Ruang tamu sederhana dengan perabot lama, tetapi kemas. Bau kopi yang masih hangat memenuhi udara.
Lelaki itu menutup pintu perlahan sebelum berbalik menghadap Aidil.
"Aku Ziyad," katanya sambil menghulurkan tangan.
"Ya, Encik Ziyad. Saya Aidil." Aidil menyambut tangan Ziyad.
"Awak kata nak bincang...,"
Ziyad tersenyum tipis. "Aku bukan nak buat rumah. Aku cuma guna alasan itu supaya kau datang ke sini."
Aidil tersentak. "Apa?"
Belum sempat dia bertanya lebih lanjut, pintu di hujung ruang tamu terbuka. Dari bayangan gelap di dalam bilik itu, seseorang melangkah keluar.
Aidil terasa jantungnya berdegup kencang.
Kelibat itu semakin jelas.
Emir.
Wajah Aidil berubah serta-merta. Amarah yang ditahan sejak semalam kembali membara.
Emir kelihatan sedikit letih, tetapi matanya tetap tajam memandang Aidil dengan penuh harapan.
"Aidil..." Emir memanggil dengan suara rendah.
Aidil tidak menunggu walau sesaat. Dengan pantas, dia melangkah ke belakang, bersedia untuk keluar dari rumah itu.
"Tunggu!" Emir mengangkat tangan, cuba menahan Aidil daripada pergi.
Tetapi Aidil lebih pantas. Dia menepis kasar tangan Emir yang cuba menggenggam lengannya.
"Boleh tak dengar dulu? Tolonglah," rayu Emir.
Aidil ketawa sinis. "Dengar kau? Kau fikir aku bodoh? Kau fikir aku akan percaya satu lagi pembohongan kau?"
Emir diam. Dia membiarkan Aidil melepaskan marahnya.
"Aku menyesal, Emir! Aku menyesal sebab aku sendiri yang bagi peluang kau masuk balik dalam hidup Sofi!"
Dada Aidil turun naik, emosinya semakin meluap-luap.
"Dan sekarang, kau nak aku dengar kau? Untuk apa? Untuk kau putar belit lagi semua yang dah berlaku?"
Emir masih diam, membiarkan kata-kata itu menusuk ke dalam dirinya. Beberapa saat berlalu, tetapi suasana terasa begitu berat.
Aidil menghela nafas panjang, cuba mengawal amarahnya. "Aku tak ada masa untuk dengar alasan kau, Emir."
Aidil berpaling, bersedia untuk keluar.
Tetapi kali ini, suara Emir lebih tegas.
"Kau dah kenal aku lama. Kau percaya aku buat semua tu?"
Langkah Aidil terhenti.
Emir mengambil peluang itu untuk meneruskan, suaranya lebih mendalam.
"Kau boleh terus marah aku, tapi kau tak boleh abaikan fakta yang sebenar."
Aidil mengetap bibir. Tangannya mengepal di sisi.
Dia berpaling semula, wajahnya masih menyinga. "Apa maksud kau?"
Emir memandangnya tepat ke mata.
"Kalau kau betul-betul nak tahu kebenaran, duduk. Dan dengar."
Aidil masih berdiri kaku, matanya tajam menikam wajah Emir.
"Baik," suara Aidil berat, seolah-olah terpaksa menerima. "Aku dengar. Tapi kalau kau masih cuba menipu aku, aku sumpah, Emir! ini kali terakhir kau dalam hidup aku dan Sofi."
Emir mengangguk perlahan. "Aku faham."
Ziyad yang sejak tadi hanya memerhati kini melangkah ke hadapan. "Aidil, sebelum aku jelaskan segalanya, kau perlu tahu siapa aku sebenarnya."
Aidil menoleh ke arah lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Ziyad tadi.
"Aku ni PI yang selalu bekerja dengan unit jenayah siber."
Aidil mengerutkan dahi. "Jenayah siber?"
Ziyad mengangguk. "Ya. Aku bekerja dengan pihak berkuasa dan kadang-kadang individu tertentu untuk menyiasat kes-kes berkaitan penggodaman, scam, pemalsuan data, dan jenayah digital lain. Dan Emir... dia minta bantuan aku selepas dia mula syak sesuatu tak kena dengan telefon dia."
Aidil diam, cuba menghadam maklumat itu.
"Aku nak kau tengok sendiri bukti yang aku jumpa," kata Ziyad, lalu melangkah ke satu pintu di hujung ruang tamu. "Jom,"
Aidil menoleh ke arah Emir yang hanya mengangguk kecil. Dengan berat hati, Aidil mengikut Ziyad masuk ke dalam bilik tersebut.
Bilik itu gelap, hanya diterangi cahaya skrin komputer yang tersusun di sepanjang meja kerja. Beberapa monitor besar memenuhi ruang, menampilkan kod-kod program, grafik pergerakan siber, dan peta digital. Kabel berselerak di lantai, menyambungkan pelbagai alat dan peranti yang kelihatan canggih.
Di salah satu sudut, ada rak besi dipenuhi dengan pelbagai jenis telefon bimbit, pemacu USB, dan hard disk. Sebuah papan putih di dinding pula dipenuhi dengan gambar-gambar, nama-nama, dan lakaran garis masa, seperti kes penyiasatan polis yang kompleks.
Ziyad menarik sebuah kerusi dan duduk di hadapan komputer utama. Dia menaip beberapa kod, dan serta-merta salah satu skrin menampilkan gambar telefon Emir yang dipenuhi kod-kod aneh. Simbol-simbol yang hanya pakar IT dapat fahami.
"Apa semua ni?" Aidil bertanya, masih cuba menghadam suasana yang asing bagi dirinya.
Ziyad menekan satu butang di keyboard. "Ini... bukti yang telefon Emir dijangkiti virus spyware."
Aidil memandang Emir dengan renungan tajam. "Spyware?"
Emir menghela nafas sebelum bersuara. "Ya. Aku mula syak telefon aku ni something wrong sejak minggu lalu. Setiap kali aku terima call atau mesej, mesti ada benda tak kena, kadang-kadang suara di telefon bergema, kadang-kadang panggilan terputus tanpa sebab,"
Aidil masih skeptikal. "Itu boleh jadi masalah rangkaian."
"Tidak," Ziyad mencelah. "Masalahnya lebih daripada itu."
Aidil mengerutkan dahi. "Maksudnya? Boleh tak cakap guna bahasa yang aku faham?" Aidil serabut.
"Maksudnya ada orang yang boleh akses semua data dalam telefon Emir," jawab Ziyad.
Emir mengangguk. "Itulah sebab aku mula rasa ada sesuatu yang tak kena."
Ziyad menekan satu butang di komputer, dan serta-merta salah satu skrin menampilkan satu paparan dengan garis masa serangan spyware itu.
"Spyware ini masuk ke dalam telefon Emir selepas dia tekan satu pautan dalam emel yang diterimanya daripada seorang pelabur berpotensi," jelas Ziyad.
Aidil mengerutkan dahi. "Emel?"
Ziyad mengangguk dan menaip sesuatu. Beberapa saat kemudian, skrin menampilkan satu emel yang dihantar kepada Emir dua hari sebelum dia berangkat ke Kuala Lumpur.
Pengirim: Matthew Smith, Pengurus Hotel CD LTD
Subjek: Peluang Pelaburan Eksklusif untuk HLKK
Aidil membaca isi emel itu. Tawaran pelaburan dalam HLKK dengan butiran lengkap tentang cadangan dana, jumlah pelaburan, dan jangkaan keuntungan. Di bahagian akhir emel, ada satu pautan dengan arahan:
"Sila klik pautan ini untuk membaca lebih lanjut tentang terma dan syarat kami."
Aidil berpaling ke arah Emir. "Kau tekan link ni?"
Emir mengangguk perlahan. "Aku tak syak apa-apa waktu tu. Yalah, nampak profesional... Lagipun, aku memang sedang mencari pelabur untuk syarikat aku. Jadi aku tekan aje link itu."
Ziyad menekan butang lain, dan skrin seterusnya menunjukkan aktiviti yang berlaku sebaik sahaja Emir menekan pautan tersebut.
"Tiga saat selepas Emir klik link itu," Ziyad menerangkan, "spyware dimasukkan ke dalam telefon dia. Ia terus mengambil semua data—mesej, lokasi, panggilan, dan yang paling penting..." Ziyad berhenti sebentar, sebelum menekan satu lagi butang.
"Nombor telefon Sofia," jari Ziyad menari rancak di atas papan kekunci. Skrin kini menampilkan gambar-gambar yang dihantar kepada Sofia.
Aidil tergamam.
Gambar-gambar Emir dan Sabby di lobi hotel, di restoran, di lorong menuju ke bilik hotel.
"Aku dah analisis metadata gambar-gambar ni," jelas Ziyad. "Gambar ini diambil dengan kamera telefon seseorang yang berada di tempat kejadian. Dan kalau kau tengok tarikh dan masa pada setiap gambar..."
Aidil memfokuskan mata ke skrin, membaca butiran yang dipaparkan. Aidil terkedu. Dia menelan air liur, cuba memahami implikasi perkara ini.
"Jadi... gambar-gambar ni dah diambil sejak Emir ke KL?"
"Ya," Ziyad mengesahkan. "Long story short, aku rasa orang yang buat ni, memang plan untuk pisahkan Emir dan Sofia," sambung Ziyad.
Aidil terdiam, mindanya cuba menyusun setiap maklumat yang baru diterima. Dan kali ini, dia mula menyedari sesuatu.
Emir tidak menipu.
Emir tidak curang.
Emir adalah mangsa sebenar dalam permainan ini.
Emir pula diam, matanya beralih dari skrin ke wajah Aidil, menunggu reaksi daripada lelaki itu.
"Ini... bukan kerja orang biasa," Aidil akhirnya bersuara, suaranya perlahan.
Ziyad mengangguk tanpa berpaling dari skrin. "Ya. Spyware yang dipasang pada telefon Emir bukan aplikasi biasa yang boleh dimuat turun dari dark web. Ini sesuatu yang lebih canggih."
Ziyad menekan beberapa butang, dan tiba-tiba, satu skrin baru muncul. Paparan itu menunjukkan beberapa mesej sulit dari telefon atau komputer si pelaku.
Ziyad bersandar ke belakang, menatap skrin dengan penuh minat. "Tapi..." Ziyad senyum. "Aku berjaya menggodam masuk ke dalam sistem dia orang."
Aidil terkedu. "Kau berjaya hack diaorang balik?"
Ziyad mengangguk dengan wajah bangga terpancar di wajahnya.. "Dia orang terlalu yakin dia orang berada selangkah di hadapan. Tapi dia orang tak sedar... sebenarnya dia orang sedang diperhatikan juga."
Emir menegakkan tubuhnya. "Apa yang kau jumpa?"
Ziyad menarik nafas dalam. Dia menekan satu butang, dan serta-merta mesej-mesej misteri itu muncul dalam kotak dialog di skrin utama.
Aidil dan Emir membaca mesej-mesej itu dengan teliti.
Mesej dihantar pada tiga hari lalu
Penghantar: Tidak dikenali
Penerima: Tidak dikenali
"Target masih percaya Emir curang. Dia dah mula menjauhkan diri."
Mesej dihantar pada malam kejadian di hotel
Penghantar: Tidak dikenali
Penerima: Tidak dikenali
"Misi berjaya. Sofia kini yakin Emir memang lelaki tak guna. Langkah seterusnya?"
Mesej terbaru – dua jam lalu
Penghantar: Tidak dikenali
Penerima: Tidak dikenali
"Emir dah mula syak sesuatu. Jika perlu, buat dia diam."
Jantung Emir serta-merta berdetak laju. Dia memandang Aidil. Aidil menelan air liur. "Apa maksud 'buat dia diam'?"
Ziyad mengetap bibirnya, kemudian menoleh ke arah Emir. "Ini bukan sekadar cubaan memporak-perandakan hubungan kau dan Sofia."
Ziyad mengetuk jari pada meja. "Kau masih nak teruskan?"
Emir menarik nafas panjang. "Kalau mereka nak aku diam... itu bermakna aku semakin hampir dengan kebenaran. Teruskan aje."
Ziyad tersenyum tipis. "Dan sebab itulah kita perlu bertindak sebelum mereka buat langkah seterusnya."
Emir memandang Ziyad. "Apa langkah seterusnya?"
Ziyad menyandarkan tubuhnya ke belakang, wajahnya serius. "Kita umpan mereka keluar. Kita biarkan mereka fikir mereka masih mengawal keadaan."
Dia mengangkat satu USB drive kecil berwarna hitam.
"Dan apabila mereka mula bergerak... kita serang balik."
Emir berdiri di sisi, memerhati segala pergerakan di skrin dengan penuh perhatian. Aidil pula duduk di hujung meja, lengan bersilang di dada, masih cuba menghadam semua yang sedang berlaku.
Namun, di sebalik fokus mereka terhadap misi ini, satu perkara mula mengganggu fikiran Emir.
Jeremy.
Sejak pagi tadi, Emir cuba menghubungi Jeremy—tetapi tidak berjaya. Emir mengeluarkan telefonnya lagi dan mendail nombor Jeremy untuk kali kesekian kalinya.
Tiada jawapan. Emir mengeluh, rasa gelisah menjamah hati
Aidil menoleh. "Jeremy masih tak jawab?"
Emir menggeleng. "Dari pagi tadi. Bukan dia langsung tak balas, tapi aku nampak mesej aku cuma 'delivered', tak dibaca."
Ziyad memandang kedua-duanya. "Kalau kau nak, aku boleh cuba jejak keberadaan dia."
Emir dan Aidil sama-sama menoleh ke arah Ziyad.
"Kau boleh buat macam tu?" tanya Aidil.
Ziyad tersenyum tipis. "Selagi dia ada signal telefon atau jejak digital, aku boleh cari."
Tanpa menunggu lebih lama, Ziyad mula menaip di komputer utamanya. Dia membuka beberapa program pengesanan lokasi yang sering digunakannya..
"Kali terakhir WhatsApp Jeremy aktif ...," kata Ziyad, membaca data yang muncul di skrin. "Pukul 9:32 pagi tadi,"
Emir mengangguk. "Itu kali terakhir aku nampak dia 'online' juga."
Ziyad terus menaip beberapa kod, matanya fokus pada skrin. "Sekarang aku akan cuba kesan lokasi terakhir telefon dia sebelum ia 'offline'."
Beberapa saat kemudian, satu peta digital muncul di skrin, dengan satu titik merah menandakan lokasi terakhir Jeremy dikesan sebelum telefonnya dimatikan.
Lokasi: Kawasan perindustrian lama di pinggir bandar.
Emir dan Aidil saling berpandangan.
Aidil menyempitkan mata. "Apa dia buat kat sana?"
Ziyad mengetuk jari di atas meja. "Itu yang kita kena cari tahu."
Emir menggenggam tangannya erat. "Aku nak ke sana."
Aidil serta-merta membantah. "Kau gila? Kita tak tahu apa yang berlaku pada Jeremy! Kalau ini perangkap macam mana?"
"Tapi kalau dia dalam bahaya, aku tak boleh duduk diam," balas Emir. ""
Ziyad menghela nafas perlahan. "Kalau kau nak pergi, kau tak boleh pergi sendiri. Itu terlalu berisiko."
Aidil mendengus. "Aku ikut."
Emir memandang Aidil. "Aku tak nak kau terlibat dalam bahaya ni."
Aidil membalas dengan suara tegas, "Aku dah terlibat sejak kau kahwin dengan Sofi. Kau fikir aku akan biarkan kau buat kerja bodoh seorang-seorang?"
Emir terdiam. Dia tahu Aidil tidak akan mengalah.
Ziyad menekan satu butang di komputernya, lalu mencabut sebuah alat kecil berbentuk seperti keychain dan menyerahkannya kepada Emir.
"Apa ni?" tanya Emir.
"Track beacon," jawab Ziyad. "Tekan butang ni kalau ada kecemasan. Aku boleh kesan kau dalam masa nyata kalau sesuatu berlaku."
Emir mengambil alat itu dan memasukkannya ke dalam poket jaketnya.
Aidil menepuk bahu Ziyad. "Kau tak ikut?"
Ziyad menggeleng. "Aku akan pantau dari sini. Kalau ada apa-apa, aku boleh panggil bantuan lebih cepat."
Emir menarik nafas panjang. "Baik. Kita bergerak sekarang."
Aidil mengangguk, dan tanpa membuang masa, mereka berdua keluar dari rumah itu, menuju ke destinasi.
Share this novel