Malam yang dingin itu membuatkan Aidan tidak dapat melelapkan matanya. Dia bangun dari katil dan menghidupkan alat pemanas suhu yang berada di sebelah pintu masuk untuk memanaskan biliknya. Cuaca di kota London menjadi terlalu dingin memandangkan musim salji telahpun tiba.
Dia memandang jam yang terletak di dinding. "Baru pukul satu pagi rupanya." bisiknya perlahan. Dia kembali baring di katilnya semula sambil merenung tingkap biliknya. Sudah ada butir-butir salji yang memutih turun di luar sana.
Aidan kini dalam tahun terakhirnya menyambung pelajaran di United Kingdom. Perasaan rindu kepada keluarganya semakin membuak-buak. Tidak sabar rasanya dia mahu pulang ke tanah air untuk kembali bersama dengan keluarganya.
Ditangannya tergenggam erat Seru Laksamana, azimat yang dihadiahkan oleh Rendra kepadanya ketika hendak kembali ke dunia nyata dari Inderapati. Keadaan azimat itu masih cantik kerana dijaga rapi oleh Aidan.
"Rindu juga aku nak kembali ke Inderapati. Tapi bagaimana? Misi aku sebagai Penjejak Mimpi telah pun berakhir. Apa khabarnya agaknya Rendra disana? Melur... apa yang dia sedang buat sekarang?" bisik Aidan perlahan, dia merenung azimat itu sambil mengimbas kenangan manis ketika di dunia mimpi tersebut.
Sudah tujuh tahun peristiwa di Inderapati berlalu, sejak itu Aidan tidak pernah lagi dapat kembali ke sana. Dia hanya mampu merindui saat-saat indahnya ketika berada di Inderapati bersama rakan-rakan.
Selepas memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang cemerlang, Aidan mendapat tawaran menyambung pelajaran di sebuah universiti tempatan yang terletak di Kuala Lumpur. Dia berjaya menghabiskan pengajiannya selama tiga tahun di universiti tersebut dan membuat keputusan untuk menyambung lagi pelajarannya ke luar negara.
Dia terus merenung babak-babak hidupnya sambil baring diatas katil, tangannya diletakkan diatas dahi dan memandang siling yang ada diatasnya. Dia tertidur beberapa minit selepas itu.
Pagi menjelang tiba dengan cahaya matahari menyinari kota London. Jalan-jalan serta bangunan diselimuti salji yang turun sejak pagi hinggalah subuh. Aidan bangun lantas mempersiapkan diri untuk pergi ke kelas.
Setelah siap menyikat rambut, dia mengintai ke bahagian luar bangunan dari celah langsir yang menutupi tingkap biliknya. Dia dapat melihat Tony Dylan, kawan sekelas yang berasal dari Birmingham setia menunggunya dibawah.
Aidan segera mengambil buku dan nota pelajaran lalu mengunci pintu biliknya. Dia lalu menuruni anak tangga dengan berhati-hati untuk mendapatkan kawannya itu. Tony yang menyedari kehadiran Aidan terus menegurnya. "Kau okay ke Aidan? Macam tak cukup tidur je?" tanya Tony selepas melihat Aidan sedikit tidak bersemangat pada pagi itu.
"Aku okay je bro. Cuma tak lena sangat semalam. Mungkin sebab cuaca sejuk." jawab Aidan sambil tersenyum. Tony yang mendengar jawapan itu hanya mengangguk tanda faham. Dia tidak mahu bertanya lebih lanjut kerana mahu cepat sampai ke kelas Encik Robert, pensyarah yang sangat tegas tentang perihal kehadiran pelajarnya. Dia tidak mahu menjadi mangsa bebelan pensyarah itu pada pagi yang dingin ini.
Mereka terus mempercepatkan langkah untuk sampai ke kelas dengan segera kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk yang membeku itu.
Untungnya, bilik yang disewa oleh Aidan tidaklah terlalu jauh daripada kawasan kampus. Jaraknya hanya memakan masa sepuluh minit sahaja jika berjalan kaki ke sana.
Sampai sahaja di pagar kampus, Aidan terdengar satu bisikan suara. "Masa kau akan tiba Penjejak Mimpi." langkah Aidan terhenti secara tiba-tiba. Dia memandang sekeliling dengan cemas mencari dari mana datangnya suara itu.
Tony terkejut dengan kelakuan Aidan yang tiba-tiba itu, turut menghentikan langkahnya. "Kau kenapa Aidan? Ada masalah ke?" tanya Tony.
Aidan memandang Tony dengan perasaan serba salah. "Tak...tak ada apa-apa. Mungkin bunyi angin je kot." jawab Aidan sambil mempercepatkan langkahnya. Tony hanya menggelengkan kepala, pelik melihat kelakuan Aidan.
Di dalam hati Aidan, penuh persoalan tentang suara bisikan yang didengarinya. "Suara siapakah itu? Adakah dari khayalan aku atau ada sesuatu yang akan berlaku nanti?" satu demi satu soalan menerpa kepalanya, menambah rasa tidak tenteram yang melanda hati.
Share this novel