Bab 13

Romance Series 33257

Sofia terjaga dari tidur petangnya dengan perasaan lega menyelubungi dirinya. Selepas membiarkan fikirannya menerawang jauh, dia menyedari sesuatu. Punca utama hadirnya perasaan lega itu—Emir.

Tugasnya di syarikat Emir sudah selesai. Begitu juga dengan bab yang penuh kontroversi dalam hidupnya sepanjang berurusan dengan Emir dan syarikatnya semuanya sudah berakhir. Dia dan lelaki itu tidak mungkin akan bertemu lagi. Segaris senyuman terukir di bibirnya, dia meregangkan badan.

Ding!

Timbul rasa panik saat itu. Adakah ketenangannya bakal diragut semula? Matanya mengecil saat ternampak nama Elly terpapar di skrin. Dia tersenyum

Jgn lupa malam ni. [location]

Ding!

Tema : White Bride Dress

Realisasi itu menyambar seperti kilat—dia belum memilih baju untuk majlis tersebut. Panik menyapanya setelah dia terpandang jam sudah menunjukkan tepat jam 2.30 petang. Sofia tergesa-gesa bersiap.

"Ayish, mandi awal tau. Mama keluar sekejap. Pesan Rin mandi awal," pesan Sofia.

Farish mengangguk tetapi matanya melekat pada kaca televisyen. Sofia mencari kunci keretanya. Dia menepuk dahinya, tersedar keretanya sekarang berada di bengkel.

"Dil!" panggilnya.

Selang beberapa minit, pintu gelangsar dibuka. Kepala Aidil tersembul keluar. Riak wajahnya seakan dapat dibaca Sofia.

"Aku nak pinjam kereta boleh?" Sofia segera menghadiahkan senyuman paling manis buat abangnya itu.

"Tu... Gunalah," Aidil menggunakan bibirnya menunjuk ke arah kereta Mistsubishi biru yang diparkir di garaj rumahnya.

"Ish... Tak nak aku. Kereta kau mana?"

"Bini aku pakai. Kereta dia aku hantar kat service centre," sengaja dia menekankan perkataan bini itu.

Mata Aidil tertumpu pada kerutan di dahi Sofia. "Nak pakai kunci kat dalam. Tak nak pakai, naik aje grab. Jangan nak merungut," bebel Aidil.

"Aku lagi rela naik grab daripada guna kereta itu," Sofia terus masuk ke dalam rumah untuk bersiap.

Angin penghawa dingin menyambutnya saat dia melangkah masuk ke dalam butik Mia. Suasana elegan dan bergaya butik Mia memberikan harapan baju yang sesuai akan dibeli dari butik ini kerana dia sudah tidak punya masa untuk mencari. Dia kena berada di rumah Elly sebelum 7.30 malam.

Menelusuri ruangan butik, Sofia dikelilingi dengan tulle dan satin, kilauan warna dan tekstur seakan menari di hadapannya. Mia terus menyambutnya dengan senyuman hangat.

"Ada yang berminat?" soal Mia sambil mendepakan tangannya.

"Aku betul-betul lupa tentang majlis pertunangan malam ini," Sofia mengaku. "Dan aku perlu bantuan kau," Sofia merapatkan kedua belah tangannya.

Gelak tawa Mia berdenting melihat wajah risau Sofia. "On it! Don't worry! Ini Damia Hana, setakat nak cari gaun. Macam kupas kacang aje," Mia menjungkitkan keningnya.

"We can start here," dengan kecekapan Mia, dia membimbing Sofia ke setiap rak-rak. Sofia rambang mata. Semua gaun kelihatan cantik di matanya.

Kemudian, mata Sofia tertumpu pada sehelai gaun putih di hadapannya. Gaun itu menggunakan kain satin yang berwarna putih gading dan berbentuk A-line. Kesederhanaan gaun tersebut merupakan pemanisnya.

"This is it," bisiknya, Senyuman Mia melebar, matanya berkilauan tanda bersetuju dengan Sofia.

"Perfect!" Mia bersuara penuh keyakinan. Seakan-akan mengumumkan kepada semua yang berada dalam butik itu. "You look so pretty."

Gaun yang dipilih itu seakan-akan miliknya. Terletak cantik di badannya. Dia mengerling jam tangannya. 'Allahuakbar!Lambat dah,' getusnya dalam hati.

"Thank you!" Dia memeluk Mia.

Sofia segera kembali ke rumah untuk bersiap.. Dia bergegas menyiapkan diri. Rambutnya yang ikal disanggul kemas. Wajahnya dirias dengan solekan yang berbeza dengan solekan yang selalu dikenakannya.

"Lawanya mama," Irina memeluk Sofia,

"Rin pun lawa juga. Ayish pun handsome." Dia meletakkan kedua belah tangannya pada pipi Irina. Ready?" soal Sofia.

Anak kecil itu mengangguk. Hani yang sudah siap menaikkan ibu jarinya. "Jarang-jarang lawa. Ni mesti tak sabar nak kenal abang Elly," usik Hani.

Sofia mencubit pinggang Hani. Wanita itu sehari tak mengusik tak sah. Hani memukul tangan Sofia sambil mengadu kesakitan.

"Dah, jom!" Sofia memegang tangan Farish mana kali Hani pula memimpin tangan Irina masuk ke dalam kereta.

Bayangan keindahan majlis malam ini membuatkan dia teruja. Cahaya matahari senja memancarkan bandar dengan warna emas, melemparkan bayangan panjang yang membentang di atas permukaan jalan ketika dia menelusuri jalan menuju ke rumah Elly.

Semakin hamper rumah Elly, semakin kencang hatinya berdebar. Ini adalah kali pertama dia berkunjung ke rumah keluarga Elly. Dia menarik nafas dalam-dalam untuk melenyapkan rasa gementarnya tetapi ritma jantungnya masih sama.

"Kau okay tak ni?" Hani menyiku pinggang Sofia.

"Okay aje. Kenapa pula tak okay?" bohong Sofia. Dia melemparkan pandangannya ke luar tingkap.

"Kenapa gelisah semacam? Orang lain yang nak bertunang kau pula yang nervous,"

Sofia tidak menjawab. Ketika dia sampai di hadapan pintu, dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menapak keluar dari kereta.

"Assalamualaikum," dia memberi salam. Mereka berdiri teguh di depan pintu menanti jemputan masuk ke dalam rumah.

"Sofia!" Wanita yang memakai jubah putih segera mengeratkan pelukannya. Pelukannya penuh dengan kehangatan. "Dah lama tak jumpa. Dia pindah sini tak datang pun jumpa mama Gee,"

Sofia membalas pelukan itu. "Maaflah ma, Sofi sibuk sangat. Lepas ni dah okay kot dah boleh jumpa mama" balasnya, senyum terukir di bibirnya.

"Papa apa khabar?" Sofia mengalihkan pandangannya pada lelaki di sebelah Mama Gee.

"Alhamdulilah, papa sihat. Lama tak jumpa Sofi," Lelaki itu tersenyum manis.

Pandangan wanita bernama Mama Gee itu beralih pada kembar yang berdiri di samping Sofi. Pandangan matanya menampakkan kasihnya pada kembar itu. "Look who we got here?" dia bertanya sambil menbongkok agar selaras dengan ketinggian Farish dan Irina.

"Nenek rindu sangat dengan Ayish dan Rin," Dia memeluk mereka lama," Matanya bersinar dengan kasih sayang.

"Si cantik manis Hani pun ada," pelukan kini beralih ke arah Hani. Pipi mulus Hani diusap lembut.

"Jom masuk. Sekejap lagi pihak lelaki sampai," Mama Gee menunjuk arah ke bilik Elly. Si kembar pula dibawa ke ruang tamu.

Memasuki bilik Elly, mata Sofia melilau ke ruangan yang luas dipenuhi dengan kenangan seumur hidup gadis yang bernama Eliana Faizah.

"Elly," Sofia melabuhkan punggungnya di atas katil.

Elly mengenggam tangan Sofia. "Kau seorang ke?" soalnya. "Hani mana?" sambungnya lagi.

"Kat luar kot," jawab Sofia. Senyuman di bibirnya tidak lekang dek rasa gembira meruap dalam dada. Perhubungan antara Elly dan Hakimi sudah lama terjalin. Setelah hampir 8 tahun bercinta, mereka akhirnya bertunang dan akan berkahwin.

"Kau tidur sini malam ni?" Elly memandang Sofia dengan penuh harapan. Sofia angguk.

"Cantiknya kau Elly," wajah Elly benar-benar berseri. Elly berdiri dan berpusing 360 di hadapan Sofia.

Sofia menepuk tangannya tidak ubah seperti anjing laut di pertunjukan haiwan dalam zoo. Dia segera memeluk erat gadis manis itu. Air jernih bertakung di tasik bundar namun lekas-lekas diseka.

Ketukan di pintu bilik menyebabkan mereka berdua saling bertatapan. Elly mengipas wajahnya. Sofia memegang kedua belah bahu Elly. "Inhale... Exhale... Inhale... Exhale..."

"Elly, jom!" Mama Gee terus menarik gadis itu keluar.

Selepas sahaja Elly duduk di atas pelamin, cincin segera disarungkan ke jari manisnya. Doa dibacakan tanda bersyukur atas kelancaran majlis. Sesudah itu, tetamu dijemput makan ada pula yang terus ke pelaminan untuk menangkap gambar bersama Elly.

Usai menangkap gambar, Sofia mengambil makanan untuk Farish dan Irina. Dari hujung matanya, kelihatan ibu kepada sahabatnya itu menghampirinya. Dia segera menoleh.

"Sinilah. Dahlah lambat sampai," Mama Gee menarik lelaki tinggi lampai yang sedang bercakap dengan seseorang.

"Ini mama nak kenalkan. Anak angkat mama merangkap adik angkat kamu, Sofia."

Waktu seakan berhenti di saat mata mereka bertaut, nafas Sofia seakan tersekat di kerongkongnya. Jantungnya mulai berirama sumbang. Sofia seakan tidak percaya lelaki itu adalah abang kepada Elly dan anak kepada mama angkatnya.

"Sofia, ini Emir Faiz. Anak lelaki mama," Wanita itu tersenyum manis.

Sekali lagi dunia mereka bertembung dengan cara yang paling tidak terduga. Larilah sejauh mungkin tetapi apabila Dia berkehendak akan sesuatu. Kun Faya Kun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience