Sofia membuka matanya perlahan-lahan, sinar matahari yang masuk dari celah langsir menyentuh wajahnya. Dia menggeliat sedikit, kepalanya terasa berat selepas semalaman tidur dengan fikiran yang kusut. Bunyi riuh rendah di luar bilik menarik perhatiannya.
Dia bangun dan melangkah keluar ke ruang makan. Di meja makan, Farish dan Irina sudah duduk dengan ceria, menikmati sarapan yang telah tersedia. Bau nasi goreng dan mi goreng memenuhi ruang dapur.
"Morning mama! Ayish dengan Rin dah siap makan dah. Kami nak sambung main dulu tau!" Irina bersuara girang sambil menyuap suapan terakhir ke dalam mulut.
Sofia tersenyum melihat wajah ceria anak-anaknya. Dia tunduk, mengucup lembut pipi mereka berdua sebelum mereka melompat turun dari kerusi.
"Mama penat sangat, sampai tak sedar jam berbunyi," ujar Sofia lembut.
Farish ketawa kecil. "Papa kata nak mama rehat. Mama makan banyak-banyak tahu, papa masak sedap!"
Sofia mengangkat kening ke arah Emir yang sedang menyusun pinggan di sinki. Emir hanya tersenyum kecil.
"Sayang nak makan apa?" soal Emir tiba-tiba, memandang Sofia sekilas sambil membuka tudung periuk. "Nasi goreng? Mi goreng?"
Sofia diam. Kakinya melangkah mendekati dapur hendak mengambil sendiri makanan.
"Duduklah," ujar Emir sambil menolak Sofia menuju ke meja makan. Sofia menarik nafas perlahan duduk.
Belum sempat menjawab, dua pinggan berisi makanan diletakkan di hadapannya.
"Saya nak makan sekali. Bolehkan?" Emir bergerak mengambil sudu. Mata Sofia tertancap pada dada telefon Emir.
I'm here in KK now! At the resort. Can't wait to see you.
Dada Sofia berdegup kencang. Tangannya yang memegang cawan tiba-tiba terasa kaku. Dia menelan air liur perlahan, cuba mengawal emosinya.
Emir duduk di sebelah Sofia sambil menyuapkan makanan ke dalam mulut, dia pandang muka Sofia lama.
"Saya benarkan awak balik rumah lama awak," kata Emir tiba-tiba.
Sofia mendongak, merenung Emir tajam. Dalam hatinya hanya satu ayat bergema.
'Of course. Sabby dah sampai'
Tanpa sepatah kata, Sofia bangun dari kerusi. Emir terdiam, memandang pinggan yang tidak disentuh isterinya.
Di dalam bilik, Sofia menarik keluar beg pakaiannya. Jarinya pantas melipat pakaian, memasukkan semuanya ke dalam beg tanpa berfikir panjang. Dia perlu pergi. Dia tidak boleh duduk di sini sambil berpura-pura semuanya baik-baik sahaja.
"Awak tak nak makan dulu?" Kepala Emir tersembul di sebalik pintu. Tangannya menutup pintu perlahan.
Sofia hanya mengeleng kecil, tetapi tidak menoleh langsung ke arahnya.
Emir menarik nafas panjang, cuba mengawal perasaan. "Sayang..." panggilnya lembut.
Namun, seperti yang dijangka, Sofia tidak memberi sebarang reaksi.
"Sayang, please..." kali ini Emir cuba menyentuh tangan isterinya, tetapi Sofia segera menarik tangannya dan terus mengemas pakaiannya.
Langkah Emir perlahan menghampiri. "Sofi..." suara Emir lembut, nadanya penuh harapan.
Sofia tidak menoleh. Dia hanya meneruskan gerakannya, walaupun hatinya makin bergetar.
Emir merapati isterinya, matanya jatuh pada beg yang sudah berisi pakaian. "Banyaknya awak bawa,"
Sofia berhenti. Dia menarik nafas dalam sebelum berpaling menghadap Emir.
"Saya nak duduk sana lama, kan?" soalnya sinis.
Emir mengerutkan dahi. "Saya tak kata pun awak boleh duduk lama-lama kat sana."
Sofia ketawa kecil, penuh sindiran. "Habis tu nak berapa lama kat sana? Sampai Sabby dah balik Kl, awak dah sunyi baru nak saya balik sini?"
Emir mendengus perlahan. Dia melangkah lebih dekat, cuba menahan sabar. "Awak kata awak nak ruang, saya cuma nak bagi apa awak nak,"
Sofia menggeleng, matanya tajam menikam wajah suaminya. "Ya, betul! Saya perlukan ruang. Tak pelikkah semalam tak boleh tiba-tiba hari ni boleh? Kenapa? Sebab Sabby ada, kan!"
Emir mengeluh kasar. "Sofia, tolonglah! Semalam saya tak benarkan sebab Saya takut kalau saya lepaskan awak, awak takkan balik lagi sebab tu saya tak nak awak balik sana!"
"Lepas malam tadi, saya fikir tak salah bagi awak ruang. Tak ada pun sebab Sabby ada kat sini!"
Sofia tersentak. Dia tidak menjangka suara Emir sekeras itu.
Melihat Sofia diam, Emir menyambung perlahan. "Saya cuma nak awak happy. Kalau awak rasa lebih baik kita berjauhan sekejap, saya akan izinkan... dengan harapan awak akan balik semula."
Sofia mengetap bibir, cuba mengawal emosinya. Dia masih terluka, masih marah. Tetapi nada suara Emir kali ini membuatkan hatinya sedikit goyah.
"Saya tak tahu, Emir..." suaranya perlahan. "Saya tak tahu sama ada saya boleh balik atau tidak."
Emir menelan air liur. Dia terus memeluk Sofia walaupun wanita itu meronta-ronta tak mahu disentuh. "Please, don't leave me again..."
"Habis tu kenapa awak tipu saya lagi?" soalan Sofia terbiar sepi tanpa jawapan.
Emir menyeka air mata jantannya yang hampir tumpah. Hatinya berat dengan penyesalan. 'Kenapa kau perlu tipu, Emir?' Suara hatinya menjerit, menyalahkan diri sendiri.
Dia menghela nafas berat sebelum berpaling, melangkah keluar dengan perasaan yang bercelaru. Sofia hanya memerhatikan pintu biliknya ditutup perlahan sebelum dia meneruskan mengemas pakainnya dan anak-anaknya.
Di ruang tamu, Farish dan Irina sedang leka bermain. Melihat kelibat Emir, kedua-duanya terus meluru mendapatkan ayah mereka.
"Papa nak pergi mana?" Farish bertanya, matanya redup.
Emir mencangkung, memeluk kedua-duanya erat. "Papa kena hantar Ayish,Rin dengan mama balik kat rumah lama mama. Papa sibuk kat pejabat, nanti Ayish dengan Rin bosan,"
Irina memegang pipi Emir dengan tangan kecilnya. "Mama dengan papa okay tak?"
Emir terkedu. Dia menelan air liur, memandang wajah anak-anaknya yang penuh dengan keikhlasan dan kasih sayang.
"Jaga mama baik-baik, okay? Kalau ada apa-apa, nanti call papa," pesan Emir lembut.
Selepas semua selesai dikemas, kereta Emir meluncur laju menuju ke Taman Greenview. Sebaik sahaja sampai, dia mengekori Sofia menuju ke bilik lama Sofia dengan dua beg di tangannya.
"Saya nak ke pejabat. Nanti saya mesej awak, ya?" Emir pandang Sofia. Sofia tak menjawab. Dia sibuk mengeluarkan baju-bajunya dari beg.
"Assalamualaikum," sambung Emir. Dia berlari anak turun ke bawah. Hani dan Wafa yang berada di ruang tamu bersama Farish dan Irina memandang Emir dengan penuh persoalan.
"Saya banyak urusan kat pejabat. Kalau ada apa-apa, nanti call saya atau Jeremy," pesannya. Wafa mengangguk.
Dia terus masuk ke dalam kereta, tangannya menggenggam stereng erat. Perasaannya berkecamuk. Setelah beberapa saat termenung, dia mencapai telefonnya dan mendail nombor Jeremy.
"Jer..." suaranya serak.
"Ya, bos?" Jeremy menjawab di hujung talian.
"Uruskan pergerakan Sabby ke HLKK. Aku nak semua ni selesai secepat mungkin," arah Emir tegas.
Jeremy diam sejenak sebelum bersuara. "Baik, bos. Saya uruskan."
Emir menamatkan panggilan. Dia menyandarkan kepalanya ke tempat duduk, memejamkan mata seketika. 'Aku kena selesaikan semua ni... sebelum aku kehilangan dia selamanya.'
Dia menghidupkan enjin dan memandu pergi, membawa bersama bebanan yang semakin menghimpit dadanya.
Sebaik tiba di pejabat, Emir terus masuk ke dalam biliknya. Dia melonggarkan tali lehernya dan menghela nafas panjang. Matanya terasa berat, kepalanya serabut dengan segala yang berlaku.
Dia mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya, menaip mesej kepada Sofia.
Saya dah sampai pejabat. I love you so much, sayang.
Dia menunggu seketika, namun hanya tanda 'dibaca' yang muncul di bawah mesej tersebut. Tiada balasan daripada Sofia.
Emir mengeluh perlahan. Dia meletakkan telefonnya di meja dan memicit dahinya. 'Sofia masih marah. Aku tak boleh salahkan dia.' ujarnya dalam hati.
"Aku kena betulkan keadaan. Tapi macam mana? Sofia bukan jenis yang mudah percaya lagi setelah dikhianati." ucapnya perlahan.
Dia cuba mengalihkan fokus kepada kerjanya. Komputer riba dibuka, laporan dan dokumen di hadapannya ditatap satu per satu. Namun, matanya hanya melihat huruf-huruf tanpa dapat menghadam makna di sebaliknya. Fikirannya tidak berada di pejabat—ia masih di rumah lama Sofia, masih bersama isteri dan anak-anaknya.
Ketukan di pintu biliknya mengejutkan Emir dari lamunannya. Jeremy menjengukkan kepala. "Bos, Sabby dah sampai."
Emir mengangguk malas. "Suruh dia masuk."
Pintu pejabat dikuak luas, dan Sabby melangkah masuk dengan gaya yakin seperti biasa. Bibirnya mengukir senyuman, tetapi selepas beberapa saat, dia menyepetkan matanya sambil merenung wajah Emir.
"Kenapa gloomy sangat ni?" Sabby bertanya, bersilang tangan. "This is not Emir I used to know."
Emir tersenyum nipis, tetapi tidak menjawab. Tangannya naik ke dahi, memicit kepalanya yang berdenyut.
Sabby menyandarkan diri pada meja Emir, kemudian bersuara dengan nada mengejek, "Don't tell me you and Sofia are fighting? Sebiji muka you masa kita bergaduh dulu-dulu."
Emir diam. Dia cuba mengatur kata supaya Sabby tidak terasa dengan apa yang cuba disampaikannya. Belum sempat membuka mulut, dia terdiam melihat wajah Sabby yang merenung wajahnya sebelum tersenyum kecil. "I think we need to do our routine to welcome back your man aura. Sekarang ni, Ya Allah, aura weak betul. I pun sakit kepala tengok you."
Emir mengangkat wajahnya, menggeleng perlahan. "No, I dah lama tak buat kerja gila tu."
Sabby menjungkit kening. "Come on, just like before. Kita dah lama tak jumpa, sampai hati you nak tolak permintaan I?"
Emir mengeluh, cuba mengawal perasaan. "Sabby, I'm not young anymore to do that."
Sabby melepaskan dengusan kecil sambil tersenyum sinis. "Kalau you takut sangat, kita ajak Sofia sekali."
Emir menatap Sabby lama, kemudian menggeleng kepala sekali lagi. "I bukan takut, Sabby. Cuma benda tu tak sihat dan tak relevan untuk I, I ada anak kecil yang masih perlukan I. Wife yang I sayang. Nope! Never!"
Sabby tersenyum nipis, tetapi ada kilatan tajam di matanya. "Ish! You ni dah tak fun macam dulu-dulu,"
Emir diam, tidak menjawab. Sabby menegakkan tubuhnya, kemudian mengangkat bahu. "Fine. Kalau macam tu, let's talk about work then." Dia menolak rambutnya ke belakang dengan anggun sebelum meletakkan sebuah fail di atas meja.
"Investor dari Singapura dah beri maklum balas mengenai HLKK. Mereka berminat, tapi ada beberapa syarat tambahan yang mereka nak bincangkan sebelum buat keputusan muktamad."
Emir mengambil fail itu dan membukanya. Matanya meneliti butiran yang tertera pada beberapa helaian kertas, cuba memahami kehendak pelabur.
"Mereka nak hak eksklusif dalam pengurusan restoran utama dalam hotel?" dahi Emir berkerut.
Sabby mengangguk. "Yes, dan mereka juga nak memastikan bahawa HLKK hanya berkolaborasi dengan syarikat mereka untuk semua urusan katering dan hospitaliti."
Emir menyandarkan badannya di kerusi, berfikir sejenak. "Kalau kita setuju, ini bermakna kita akan terikat dengan mereka dalam jangka masa panjang. Agak berisiko kalau tiba-tiba servis mereka merosot."
Sabby mengetuk jarinya di meja. "That's why I nak bincang dengan you dulu. Kita boleh cuba runding semula, maybe kurangkan tempoh perjanjian atau letakkan klausa tertentu untuk elakkan risiko."
Emir mengangguk perlahan. "Okay. Kita tetapkan satu sesi perbincangan khas dengan mereka. Aku nak tengok betapa fleksibelnya mereka sebelum kita bersetuju dengan mana-mana syarat."
Sabby tersenyum puas. "Good. I akan uruskan jadual untuk meeting dengan mereka minggu depan."
Namun, baru sahaja mereka hendak menyambung perbincangan ke topik seterusnya, pintu bilik Emir diketuk beberapa kali sebelum Jeremy menjengukkan kepala.
"Bos, maaf ganggu..."
Emir meletakkan fail di tangannya dan mengeluh kecil. "Apa lagi, Jer?"
Jeremy tersengih. "Err... kejap aje, bos. Saya just nak ambil dokumen dari meja sana," katanya sambil menunjuk ke sudut bilik.
Emir mengangguk malas. "Cepat sikit."
Jeremy segera masuk, mengambil dokumen yang dimaksudkan sebelum keluar dengan pantas.
Sabby ketawa kecil sambil menyandarkan diri di kerusi. "Your PA ni, Emir... kelakar betul. Dulu dia tak macam ni. Sejak bila jadi macam lipas kudung ni?"
Emir menggeleng sambil tersenyum tipis. "Sejak dia mula kerja lebih dari sepuluh jam sehari untuk aku."
Mereka berdua ketawa kecil sebelum Emir kembali fokus pada perbincangan. Namun, tidak sampai lima minit, pintu biliknya diketuk lagi, dan Jeremy sekali lagi menjenguk kepala.
Emir meletakkan kedua-dua tangannya di atas meja, memandang Jeremy dengan riak tidak percaya. "Jer... Seriously?"
Jeremy tersengih lagi. "Maaf, bos. Tapi kali ni betul-betul urgent."
Emir mengurut dahi. "Kau ada masalah dengan pintu bilik aku ke?"
Sabby menutup mulut, cuba menahan tawa.
Jeremy menarik nafas dalam sebelum bersuara, kali ini dengan nada lebih serius. "Bos, mak saya call tadi... Ada hal urgent di rumah."
Emir serta-merta berubah riak wajah. Dia bangun dari kerusinya dan mendekati Jeremy. "Hal apa? Mak kau okay?"
Jeremy mengangguk, tetapi jelas dia kelihatan gelisah. "Saya tak pasti lagi, bos. Dia tak sempat nak cakap banyak. Saya kena balik sekarang."
Emir menepuk bahu Jeremy. "Kau baliklah dulu. Kalau ada apa-apa, update aku."
Jeremy tersenyum kecil, lega kerana Emir memahami. "Terima kasih, bos."
Setelah Jeremy keluar, Emir kembali duduk di kerusinya sambil menghela nafas panjang.
Sabby bersuara perlahan, "Dia okay?"
Emir mengangguk. "I harap macam tu. Dia jarang macam ni. Kalau mak dia call , mesti ada sesuatu."
Sabby mengangguk memahami. "Kalau macam tu, kita sambung meeting lain kali. I think you should check on him later."
Emir mengangguk. "Ya, I pun rasa macam tu."
Sabby bangun dari kerusi sambil mencapai beg tangannya. "Alright then, Emir. I'll arrange the meeting with the investors. Jangan lupa offer I tu."
Emir hanya mengangguk sebelum Sabby berlalu keluar. Sejurus selepas pintu tertutup, Emir menyandarkan kepala ke belakang dan menghela nafas panjang.
Dia memandang telefonnya—masih tiada balasan dari Sofia. Hatinya semakin resah.
Share this novel