Bab 51

Romance Series 33080

Emir dan ibunya, Datin Fauziah, tiba di rumah selepas melawat Sofia di hospital. Mereka melangkah perlahan ke arah pintu utama, tetapi sebelum masuk, pandangan mereka tertumpu kepada sebuah kereta Proton X50 berwarna biru yang diparkir di garaj. Emir dan Datin Fauziah saling berpandangan.

Datin Fauziah memegang lengan Emir dengan lembut, suaranya penuh dengan kebimbangan. "Angah, kita balik rumah angah aje dululah. Nanti kita suruh aje Elly singgah kat sana lepas outing dengan Ayish dan Rin,"

Namun, Emir menggeleng dengan tekad yang jelas di wajahnya. "Tak, mama. Dah sampai masanya angah bersuara. Angah tak boleh terus diam dan biarkan keadaan ni berlarutan,"

Datin Fauziah memandang anaknya dengan rasa simpati, tetapi dia tahu betapa pentingnya bagi Emir untuk berhadapan dengan apa yang sedang berlaku. Mereka masuk ke dalam rumah, di mana suasana tegang sudah dapat dirasakan. Datuk Emran sedang duduk di ruang tamu, wajahnya kelihatan serius. Di sebelahnya, Iskandar duduk di sofa dengan ekspresi yang sama tegang. Isha duduk di sebelah ayahnya, kelihatan tidak berkutik, jelas berada dalam tekanan.

Melihat kehadiran Emir, Datuk Emran segera bersuara dengan nada tegas. "Balik pun, apahal lama sangat kamu kat hospital tu? Salam uncle Is, cepat. Tunjuklah hormat dekat bakal bapa mentua kamu,"

Tanpa senyuman, dia menuju ke arah Iskandar, menghulurkan tangan untuk bersalaman. Namun, pandangannya tetap fokus, menahan rasa amarah yang semakin membara di dalam dadanya.

Sementara itu, Datin Fauziah memandang Isha dengan senyuman. Dia baru menyedari betapa  beratnya tekanan yang sedang ditanggung oleh gadis itu. "Isha, jom temankan mama ke dapur sekejap. Mama nak potongkan kek pisang,"

Isha mengangguk perlahan, berdiri dengan langkah yang sedikit lemah. Mereka berdua bergerak ke dapur, meninggalkan ruang tamu yang penuh dengan ketegangan.

Sebaik sahaja mereka tiba di dapur, Isha tidak dapat menahan perasaannya lagi. Air matanya mula mengalir deras, dan dia teresak-esak menangis. Datin Fauziah segera memeluknya, cuba menenangkan gadis yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

"Mama minta maaf sayang..." pujuk Datin Fauziah dengan lembut sambil menyeka air mata Isha.

Isha menarik nafas panjang, cuba mengawal emosinya yang sedang meluap. "Papa marah Isha, ma sebab Isha bagitahu papa nak putuskan pertunangan ni. Dia orang nak majlis diadakan dalam masa tiga minggu lagi, mama. Isha tak nak kahwin dengan Emir,ma. Tak nak..."

Datin Fauziah mengusap lembut kepala Isha, suaranya penuh dengan rasa prihatin. "Tak apa, nanti angah cakap dengan papa ya. Mama yakin papa akan faham,"

Isha menggigit bibirnya, cuba menahan esakan yang semakin kuat. "Isha takut, ma. Isha tak pernah nampak reaksi papa macam tu. Papa tak akan terima kalau Isha tak ikut cakap dia,"

Namun, sebelum Datin Fauziah sempat membalas, kedengaran suara riuh dari ruang tamu. Suara Iskandar yang kuat memanggil nama Isha mengejutkan mereka. Datin Fauziah dan Isha segera bergegas keluar, meninggalkan dapur dalam keadaan tergesa-gesa.

Di ruang tamu, Iskandar berdiri dengan wajah merah padam, jelas sekali marah. "Isha! Mari sini sekarang!"

Isha, dengan wajah yang penuh ketakutan, segera melangkah ke arah ayahnya. Dia menarik tangan Isha dengan kasar, menariknya ke pintu. "Kita balik sekarang. Emran, ajar anak kau cara bercakap dengan orang tua. Aku maafkan dia kali ni, tapi aku nak perkahwinan ini berjalan lancar. Kalau tidak..."

Dengan itu, Iskandar dan Isha keluar dari rumah, meninggalkan suasana yang semakin tegang di ruang tamu. Emir hanya mampu melihat dengan perasaan bercampur baur—antara marah dan kesal— Emir masih tidak berganjak dari tempatnya, cuba menenangkan diri.

Selepas saja Iskandar dan Isha beredar, Datuk Emran berdiri di hadapan Emir dengan wajah yang penuh kemarahan. Tanpa sebarang amaran, dia mengangkat tangan dan melempang pipi Emir sekuat hati. Bunyi tamparan itu bergema di seluruh ruang tamu, membuatkan Datin Fauziah terkejut dan terdiam.

"Kau ni memang anak kurang ajar, Angah! Memalukan!" jerit Datuk Emran dengan suara yang menggigil menahan marah.

"Patutnya..."

Emir, walaupun pipinya merah akibat tamparan itu, tidak tunduk. Dia memandang ayahnya dengan mata yang penuh keberanian. "Patutnya apa, papa? Patutnya apa?" Suara Emir semakin keras. "Patutnya Angah yang mati, bukan Along! Papa nak cakap itu kan?"

"Kau diam! Kenapalah kau ni keras kepala!? Apa aku suruh semua kau langgar! Aku bagi peluang untuk kau baiki semuanya, tapi kau buat hal lagi!"

Emir menggenggam tangannya, cuba menahan perasaan yang semakin bergelora. "Papa nak guna ayat keramat tu sampai bila? Sampai Angah mati?!"

Datuk Emran terdiam, tidak menyangka anaknya akan berkata begitu. Namun, Emir tidak berhenti di situ.

"Papa tahu tak, angah dah turuti semua kemahuan papa. Angah jadi COO di resort, ikut cakap papa walaupun papa tahu Angah tak minat semua tu. Angah nak jadi arkitek, tapi Angah simpan impian tu untuk jaga hati papa. Papa nak Angah bertunang, Angah ikut aje demi jaga hati papa. Tapi, papa sedar tak yang Angah tak bahagia? Angah tak gembira, papa."

Datuk Emran memandang Emir dengan mata yang penuh amarah dan kekecewaan. "Kau ni betul-betul anak derhaka, Emir. Kau nak hancurkan nama baik keluarga? Kau tak tahu malu?!"

Emir mendekati ayahnya dengan langkah yang tegas, matanya tidak berkelip, menatap wajah ayahnya yang penuh dengan kemarahan. "Kalau jaga nama baik keluarga bermaksud Angah kena hancurkan hidup Angah, Angah tak akan buat,"

Datuk Emran mengepalkan tangannya, cuba menahan diri dari meledak lagi. "Kau ingat kau boleh hidup tanpa aku? Aku akan tarik semua pelaburan aku dalam HLKK tu kalau kau tak ikut cakap aku!"

Emir tersenyum pahit, sedar bahawa inilah saatnya untuk berhadapan dengan ancaman yang selalu menghantui hidupnya. "Tariklah, pa. Angah dah tak kisah. Angah akan teruskan hidup Angah dengan atau tanpa bantuan papa. Angah dah cukup terseksa dengan semua ini,

Suasana di ruang tamu itu menjadi sunyi seketika. Datin Fauziah hanya mampu memandang anak dan suaminya dengan rasa sedih yang mendalam, sedar bahawa perbalahan ini mungkin akan meninggalkan parut yang sukar untuk sembuh. Datuk Emran kelihatan seperti gunung berapi yang hampir meletus. Nafasnya masih terengah-engah, matanya menatap tajam ke arah Emir, seolah-olah masih mencari kata-kata untuk melepaskan rasa marah yang terpendam. Namun, buat seketika, tiada siapa yang berbicara.

Datin Fauziah, yang tak tahan melihat ketegangan antara suami dan anaknya, akhirnya memberanikan diri untuk melangkah ke hadapan, cuba meredakan situasi. "Abang, sudahlah... jangan teruskan lagi. Angah cuma nak kita tahu apa yang dia rasa. Kita perlu duduk berbincang dengan tenang, bukan bergaduh macam ini,"

Datuk Emran memandang isterinya dengan mata yang masih marah, tetapi ada sedikit keletihan yang mula muncul di wajahnya. "Gee, awak tak nampakkah? Anak awak ni dah tak reti hormat orang tua. Dia..."

Namun, sebelum Datuk Emran sempat menghabiskan ayatnya, Emir menyampuk dengan nada yang lebih tenang tetapi jelas. "Papa, Angah tahu apa yang Angah buat mungkin papa tak setuju. Tapi Angah dah dewasa, Angah ada hak untuk tentukan jalan hidup Angah sendiri. Angah tak boleh terus hidup dalam bayang-bayang Along."

Mata Datuk Emran memerah, emosinya yang baru hendak reda mula mendesak keluar. "Kau ingat papa tak tahu apa yang kau rasa? Kau ingat papa tak perasan kau tak bahagia? Tapi papa buat semua ni untuk kau, Ngah! Untuk masa depan kau, untuk jaga nama baik keluarga kita!"

Emir menarik nafas panjang, cuba menenangkan dirinya sebelum bersuara lagi. "Papa, Angah hargai semua yang papa buat. Tapi, masa depan Angah tak boleh dibentuk atas dasar paksaan. Angah dah turuti semua kehendak papa—Angah jadi COO, bertunang dengan Isha. Siap korbankan impian Angah untuk jadi arkitek—semuanya Angah dah buat untuk jaga hati papa. Tapi sekarang, Angah dah tak boleh teruskan lagi,"

Suasana di ruang tamu itu kembali senyap, hanya terdengar bunyi nafas yang berat dari Datuk Emran. Datin Fauziah, dengan hati yang remuk melihat pertelingkahan antara suami dan anaknya, akhirnya bersuara dengan penuh harapan. "Abang, Angah... Dahlah, cukuplah tu. Kita perlu fikirkan cara untuk selesaikan masalah ini, bukan dengan saling menyalahkan."

Datuk Emran masih tidak berganjak. "Kalau kau nak sangat tentukan hidup kau sendiri, Emir, baik. Tapi jangan harap papa akan teruskan pelaburan dalam hotel kau tu. Papa akan tarik semua, dan kita tengok macam mana kau nak berdiri sendiri."

Emir memandang ayahnya dengan mata yang tidak lagi penuh amarah, tetapi dengan tekad yang teguh. "Kalau itu keputusan papa, Angah terima. Tapi Angah tak akan tunduk dengan apa yang papa nak. Kalau Angah kena mula dari awal, Angah akan mula dari awal."

Kata-kata Emir itu bagaikan menutup perbualan yang penuh ketegangan. Datuk Emran terdiam, wajahnya masih merah dengan kemarahan yang tertahan. Datuk Emran berpaling dan melangkah keluar dari ruang tamu tanpa berkata apa-apa lagi. Pintu bilik pejabatnya dibanting kuat, menandakan bahawa perbualan mereka telah berakhir—sekurang-kurangnya untuk waktu ini. Datin Fauziah hanya mampu memandang kedua-dua lelaki yang paling penting dalam hidupnya dengan hati yang penuh kesedihan.

Datin Fauziah mendekati Emir, cuba menenangkan anaknya yang jelas terluka. "Angah, mama minta maaf... mama tak tahu apa yang patut mama buat,"

Emir menggelengkan kepala, senyuman kecil yang pahit terukir di wajahnya. "Mama, tak ada yang perlu mama buat. Ini antara Angah dan papa,"

Datin Fauziah mengangguk perlahan, air mata menggenangi matanya. "Mama cuma harap kita dapat menyelesaikan hal ni dengan baik. Mama tak nak kehilangan sesiapa dalam keluarga kita."

Emir memegang tangan ibunya dengan lembut, merasakan kehangatan kasih sayang yang masih ada di tengah-tengah ketegangan yang berlaku. "Mama tak akan kehilangan sesiapa. Angah janji,"

Setelah sekian lama, ini merupakan langkah pertama Emir ke arah kehidupan yang lebih bebas dan penuh dengan pilihan yang dia buat sendiri. Dia perlu berdiri di atas keputusannya, walaupun itu bermaksud menghadapi ayahnya dengan segala risiko yang ada.

"Angah nak rehat ma,"ujar Emir perlahan melepaskan tangan Datin Fauziah. Datin Fauziah mengusap lembut pipi anaknya yang kemerah-merahan. Air mata berkaca di kelopak matanya.

Sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik, tanpa berfikir panjang, dia mendail nombor Sofia. Dia tahu, walaupun Sofia berada di hospital, mendengar suaranya adalah satu-satunya cara untuk meredakan sedikit kegelisahan di dalam hatinya.

Di hospital, Sofia sedang berbaring, cuba merehatkan minda yang sibuk dengan pelbagai perkara. Namun, apabila telefon bimbitnya berbunyi dan nama Emir tertera di skrin, dia segera menjawab.

"Sofi..."suara Emir kedengaran letih.

"Emir... Awak okay?" soal Sofia di seberang talian. Seakan dapat merasakan resah Emir.

"Okay," balas Emir dengan bersahaja  Hanya mendengar suaranya sudah cukup untuk meredakan hatinya yang bergelora.

Sofia tersenyum kecil, walaupun Emir tidak dapat melihatnya. "Macam mana anak-anak? Dia orang di mana sekarang?"

"Elly bawa keluar berjalan-jalan," jawab Emir, cuba membuat nada suaranya kedengaran biasa. Tetapi Sofia dapat merasakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran Emir.

Sofia mengerutkan dahi, perasaan risau mula menjalar. "Awak okey ke, Emir? Ada sesuatu yang tak kena?"

Emir terdiam seketika, cuba mencari kata-kata yang sesuai. Dia tidak mahu membebani Sofia dengan masalahnya, dia cuma mahu mendengar suara Sofia.

"Saya... saya okey. Cuma... ada banyak perkara yang bermain di fikiran saya sekarang," kata Emir, cuba mengelak dari memberikan jawapan yang langsung.

Sofia tahu Emir sedang cuba menyembunyikan sesuatu, tetapi dia tidak mahu memaksa. "Kalau awak rasa nak cerita, saya ada di sini, Emir. Saya sedia mendengar."

Emir menarik nafas panjang, matanya memandang jauh ke arah jendela biliknya, cuba mencari kekuatan untuk membuka dirinya. "Sofi, awak tahu... lapan tahun lepas, lepas kita berpisah... saya lost. Saya tak tahu apa yang patut saya buat dengan hidup saya. Tanpa awak, saya rasa hidup ni macam tak ada arah."

Sofia terdiam, hatinya tiba-tiba terasa berat mendengar pengakuan Emir. Dia tidak pernah tahu betapa mendalamnya kesan perpisahan mereka terhadap Emir.

"Saya macam nak gila bila tak ada buat apa-apa. Jadi, saya ambil keputusan untuk sambung belajar... Saya ke Manchester, belajar selama empat tahun di sana. Saya cuba lupakan semuanya, tapi... tak semudah itu."

Sofia mendengar dengan penuh perhatian, setiap kata-kata Emir terasa seperti bibit-bibit lampau menghantui fikirannya.

"Bila saya balik Malaysia, saya bercadang nak buka firm arkitek saya sendiri. Itu impian saya dari dulu. Tapi... ayah saya ada rancangan lain. Dia suruh saya jadi COO di resort kami. Saya ikut aje... demi dia, demi keluarga."

Nada suara Emir mula berubah, ada keletihan yang jelas kedengaran di sebalik setiap kata-katanya. "Saya dah cuba yang terbaik, Sofi. Saya dah buat apa yang dia minta. Tapi... kadang-kadang saya rasa, saya dah tak ada ruang untuk diri saya sendiri."

"Emir... apa sebenarnya yang awak cuba sampaikan?" tanya Sofia, cuba memahami apa yang tersirat di sebalik setiap ayat yang keluar dari mulut Emir.

Emir tersenyum kecil, walaupun dengan hati yang masih berat. "Saya... saya penat, Sofi. Penat dengan segala-galanya. Tapi, untuk kali ini, saya cuba buat sesuatu untuk diri saya sendiri. Saya harap awak ada untuk saya dan sokong saya,"

"I'll be with you every step of the way. I promise..."

Emir tersenyum, merasakan sedikit kelegaan mendengar sokongan Sofia. "Terima kasih, Sofi. Saya hargai setiap kata-kata awak. Saya harap saya dapat tunjukkan pada awak... yang kali ini, saya buat keputusan untuk diri saya sendiri,"

Mereka berdua terdiam seketika, membiarkan keheningan itu berbicara lebih banyak daripada kata-kata yang mampu diungkapkan. Walaupun Sofia masih bingung dengan apa yang sebenarnya berlaku, dia tahu satu perkara, Emir sedang mencari jalan keluar dari kekangan yang selama ini mengikatnya.

Dengan hati yang sedikit tenang, Emir akhirnya mengucapkan selamat tinggal dan menamatkan panggilan. Dia tahu perjalanannya masih panjang dan penuh dengan liku, tetapi dia juga tahu dengan Sofia di sisinya, dia tidak perlu lagi merasa keseorangan.

Share this novel

Zainabzety
2024-09-09 12:21:16 

Gila punya bapak suka paksa2


NovelPlus Premium

The best ads free experience