Selepas menghantar anak-anak ke sekolah, Sofia memandu perlahan menuju ke rumah lamanya. Hatinya terasa tenang berada di kawasan yang sudah menjadi saksi perjalanan hidupnya. Setibanya di sana, Hani, Mia, dan Wafa sudah menunggu di ruang tamu dengan senyuman nakal terukir di wajah mereka.
"Amboi, dah jadi isteri Emir semula terus lupa rumah ni ya," usik Wafa sambil memeluk tubuh.
Sofia tersenyum kecil sambil membuka tudungnya. "Bukan lupa, aku sibuk uruskan budak-budak. Lagipun, dua hari je tak datang sini," jawab Sofia dengan nada defensif.
Hani mengangkat kening sambil menyandarkan diri ke sofa. "Dua hari jugalah, kau tak tengok group chat kita."
Sofia mengetap bibir sambil ketawa kecil. Dia melangkah ke arah Hani dan menampar lembut lengan sahabatnya itu. "Aku busy masaklah! Dia kerja dari rumah semalam, dengan Jeremy,"
Hani tersenyum tetapi Sofia memandangnya lama dengan wajah penuh teka-teki. "Kenapa pandang aku macam tu?" tanya Hani dengan nada cemas.
Sofia tersenyum sinis, matanya tidak lepas dari wajah Hani. "Aku simpan dulu. Tak apa... tak apa..." balas Sofia perlahan sambil menepuk-nepuk dadanya tetapi cukup untuk membuat Hani menelan air liurnya.
Mia memandang dari sisi dengan wajah bingung. "Kenapa dengan Hani ni? Apa yang kau tahu, Sofi?"
Sofia hanya tergelak kecil, tetapi sebelum dia sempat membuka mulut, bunyi hon di luar memecah suasana. Mereka semua menoleh ke arah tingkap.
"Van aku dah sampai," ujar Hani dengan wajah gembira. Dia segera berdiri dan mencapai begnya yang sudah tersusun di tepi pintu. "Okay, aku gerak dulu. Bye, sayang-sayang semua!" katanya sambil melambai.
Mereka bertiga menghantar Hani ke pintu, melihat van itu bergerak menjauh. Sebaik sahaja Hani hilang dari pandangan, Wafa berpaling ke arah Sofia.
"Okay, cepat cerita. Apa pasal Hani tadi?" tanya Wafa penuh semangat.
Sofia ketawa kecil, matanya bersinar-sinar dengan rasa ingin berkongsi. Baru hendak membuka mulut, telefon Sofia tiba-tiba berbunyi. Nama Emir terpampang di skrin. Sofia menjawab panggilan itu sambil menjeling ke arah Wafa dan Mia yang kini sudah merapatkan diri, jelas mahu mendengar perbualan.
"Awak kat rumah Wafa lagi ke?" suara Emir di hujung talian.
"Kenapa?" jawab Sofia, matanya sempat menjeling Wafa dan Mia yang kini saling menolak-nolak, cuba mendengar lebih jelas.
"Baliklah," suara Emir lembut tetapi sedikit mendesak. "Saya rindu awak ni. Nak pel..."
"Okay bye. Saya balik sekarang," Sofia segera mencelah sebelum Emir sempat menyelesaikan ayatnya. Mukanya berona merah, namun dia berpura-pura tenang.
Selepas panggilan berakhir, Wafa dan Mia serentak bersorak sambil menepuk tangan.
"Rindu, ya? Nak peluklah tu!" usik Wafa, diikuti dengan gelak Mia yang tidak berhenti-henti.
Sofia mencapai kunci keretanya dengan wajah yang separuh malu, separuh mengusik. "I need to go to my husband," katanya dengan nada berlagak tetapi jelas bergurau.
Wafa dan Mia tertawa sambil melambai ke arah Sofia yang kini melangkah keluar dengan senyuman kecil di wajahnya. Dia terus memandu balik menuju ke rumah.
Sebaik sahaja Sofia melangkah masuk ke rumah, suaranya memenuhi ruang tamu. "Assalamualaikum!" Namun, dia tersentak apabila tubuhnya ditarik dari belakang.
"Ya Allah, Emir!" jerit Sofia sambil memegang dadanya, terkejut dengan pelukan tiba-tiba itu. Emir yang ketawa kecil terus melepaskan pelukannya.
"Awak okay tak?" Emir bertanya sambil memegang pinggang Sofia, memandu isterinya duduk di sofa.
"Okay apa? Awak ni! Buat terkejut aje. Kalau saya pengsan tadi macam mana?" Sofia memarahi Emir sambil mengetap bibir, cuba menenangkan debaran di dadanya.
"Saya rindu," jawab Emir selamba, duduk di sebelahnya. "Kalau boleh, saya nak 24 jam dengan awak."
Sofia menjeling geram tetapi pipinya berona merah. "Awak ni... Mengalahkan anak-anak!"
Belum sempat Sofia berdiri, Emir segera menarik tangan Sofia. Sofia tersentak, dan tanpa disangka-sangka, dia terduduk semula, terus ke dalam pelukan suaminya.
"Emir!" Sofia berbisik cemas. Jantungnya berdetak kencang seperti gendang. Dia cuba menegakkan diri tetapi tangan Emir masih memeluk pinggangnya erat.
Emir menghela nafas panjang, matanya tenang memandang wajah Sofia. "Kenapa?" tanya Sofia dengan nada lembut tetapi keliru.
"Awak ingatkan plan saya nak ke Kuala Lumpur hujung minggu nanti, kan?" Emir bertanya, memecah kesunyian. Sofia sekadar mengangguk.
Sekali lagi Emir menghela nafas, melepaskan pelukannya tetapi menggenggam tangan Sofia erat. Dia membetulkan kedudukannya agar mereka bertentangan.
"Saya kena ke KL malam ni. Investor yang saya nak jumpa tu akan sampai KL malam ni sebelum dia ke Thailand. Dia cuma ada tiga hari di KL," jelas Emir perlahan.
Sofia mengangguk tanda faham. "Awak pergilah. Saya tunggu kat sini."
Namun, Emir meletakkan kepalanya di bahu Sofia, nadanya menjadi lembut. "Awak ikut aje boleh? Saya tak nak berjauhan dengan awak."
Sofia menahan debaran yang menyerbu dada. Dia menarik nafas perlahan agar Emir tidak menyedari perasaan malunya yang semakin memuncak. "Anak-anak ada exam sekolah agama. Awak lupa? Tak apalah, kami tunggu aje awak balik nanti."
Emir mendengus kecil, jelas kecewa. "Aidil dengan Mia tak boleh tolong tengokkan anak-anak?"
"Aidil dengan Mia pun jalan malam ni. Dia orang nak ke London bercuti dengan family Mia," jawab Sofia, gelengan kecil di kepalanya.
Wajah Emir berubah masam. Dia menegakkan duduknya, memandang Sofia dengan mata yang redup. "Kalau saya rindu awak macam mana?"
Sofia ketawa kecil sambil menepuk bahu suaminya. "Awak ni mengadalah. Baru empat hari kita kahwin, tak akanlah terus tak boleh jauh sekejap?"
Emir menyelitkan rambut Sofia ke belakang telinganya, sentuhannya perlahan tetapi mendalam. "Awak bolehkah tidur tanpa saya malam nanti?"
Sofia mengangguk laju, senyuman kecil bermain di bibirnya. "Saya dah biasa lapan tahun tidur tak ada awak."
Emir mendengus sekali lagi, tangannya memegang erat jari-jemari Sofia. Sofia tersenyum kecil sambil menepuk belakang tangan Emir dengan lembut. "Awak ke sana urusan kerjakan? Kami okay aje kat sini. Jangan risau sangat."
Emir menarik nafas dalam, cuba menerima kenyataan itu. Dia tahu Sofia benar-benar memahami situasinya tetapi hatinya tetap tidak mahu berjauhan. "Saya akan call setiap masa," janji Emir akhirnya, sebelum melepaskan genggaman tangan isterinya.
"Awak nak ke mana?" Soal Emir bila Sofia berdiri meninggalkan dia sendiri.
"Nak kemas baju-baju awaklah," jawab Sofia. Emir mengekori Sofia masuk ke dalam bilik.
Sofia sibuk mengemas baju untuk Emir sambil diperhatikan lelaki itu dari atas katil. Matanya tenang memerhati setiap pergerakan isterinya, namun bibirnya mengukir senyuman kecil penuh makna.
"Awak tak nak tanya saya ke KL dengan siapa?" soal Emir tiba-tiba, memecahkan keheningan.
Sofia terus melipat baju tanpa menoleh. "Tak nak."
"Awak tak takut saya ke KL dengan perempuan lain?" usik Emir, nadanya cuba mencuit hati Sofia.
Tangan Sofia berhenti, matanya memandang Emir dengan tenang tetapi tajam. "Awak nak buat hal belakang saya, terserah. Macam saya cakap, saya dah biasa lapan tahun tak ada awak." Jawapannya bersahaja tetapi hatinya seperti disentak kuat.
Senyuman di wajah Emir perlahan-lahan pudar. Dia menghela nafas panjang. "Boleh tak awak lupakan pasal lapan tahun saya tak ada tu? Susah betul nak baiki keadaan dengan awak ni."
Sofia hanya menggeleng kepala. Dia mengangkat sehelai kemeja dan menunjukkan pada Emir. "Nak letak mana ni?" tanyanya ringkas, cuba mengalihkan topik.
Emir bangun dari katil dan menuju ke kabinet tempat letak bagasi. Dia menarik sebuah bagasi bersaiz sederhana dari dalamnya. "Saya pinjam luggage awak ya," katanya sambil menyerahkan beg itu kepada Sofia.
"Okay..." jawab Sofia sambil menyambung lipatan kain.
Namun, pergerakannya terhenti tiba-tiba. Wajahnya berubah, dan matanya membuntang seperti teringatkan sesuatu. Tanpa berkata apa-apa, dia segera berlari keluar dari bilik.
"Em..." Suara Sofia terus mati apabila matanya tertancap pada Emir yang sedang berlutut, membelek gambar-gambar lama dan berpuluh-puluh sampul surat yang beralamatkan Emir.
"Emir! Jangan tengok!" jerit Sofia sambil menerpa ke arahnya. Dia segera cuba menarik semua surat dan gambar itu dari tangan Emir, memasukkannya semula ke dalam bagasi lamanya.
"Sofi, what is this? All these letters... they're for me, aren't they?" soal Emir, suaranya tegas tetapi penuh keinginan tahu.
Wajah Sofia merah padam, seperti mahu tenggelam di tempat itu juga. "Please, forget you saw this," rayunya sambil tergesa-gesa memasukkan semuanya kembali ke dalam beg.
Emir menahan tangannya. "Stop, Sofi," katanya perlahan tetapi tegas.
Sofia mendongak, matanya bertembung dengan mata Emir. Seketika suasana sunyi, hanya degupan jantung Sofia yang berdegup kencang seperti drum perang. Emir melangkah mendekati wajah isterinya.
Sofia segera mengelak, menarik tangannya dari genggaman Emir sebelum berlari masuk ke bilik. Dia menutup pintu dengan kuat, memeluk dadanya yang masih berdebar.
Emir, dengan senyuman tipis penuh kemenangan, memungut kembali surat-surat itu satu persatu dan memasukkannya ke dalam beg galasnya.
Dia kemudian membawa bagasi Sofia masuk ke dalam bilik, meletakkannya di atas katil dengan senyuman penuh makna.
"Thank you, sayang," katanya sambil mengucup dahi Sofia yang mengetap bibirnya tetapi tidak berkata apa-apa. Dia terus menundukkan pandangan dan membiarkan Emir menyusun barang-barangnya.
Malam itu, Sofia bersama Farish dan Irina menghantar Emir ke lapangan terbang. Anak-anak mereka riang sambil memegang tangan Sofia, tetapi Sofia kelihatan diam, matanya sedikit suram.
Setibanya mereka di ruang pelepasan, Emir berlutut di hadapan anak-anaknya. "Dengar cakap mama, belajar betul-betul, dan jangan nakal, ya?" pesan Emir sambil mencium kedua-dua pipi Farish dan Irina.
"Okay, papa! Nanti papa balik, kita pergi camping lagi?" tanya Farish penuh harapan.
"Papa tengok jadual dulu, okay?" jawab Emir sambil ketawa kecil, mengusap kepala anaknya.
Selesai bersalaman dengan anak-anak, Emir berdiri dan memandang Sofia. Dia mendekati isterinya perlahan-lahan, matanya menatap wajah Sofia dengan lembut. Tanpa berkata-kata, dia memeluk Sofia erat.
"Nanti saya mesej, ya. Love you," bisiknya perlahan di telinga Sofia.
Sofia sekadar mengangguk, senyum kecil terukir di wajahnya. Tetapi dia tidak dapat menyembunyikan kegusaran di hatinya.
Sebelum Emir melepaskan pelukan, Sofia bertanya perlahan, "Surat tu awak letak mana?"
"Dalam beg," jawab Emir sambil tersenyum. Sofia menarik nafas lega.
Selepas bersalaman dan melambai, Emir melangkah masuk ke dalam lobi pelepasan. Anak-anaknya masih melambai ke arahnya dengan riang. Emir terus memandang mereka sehingga mereka hilang dari pandangannya.
Setelah menyelesaikan semua prosedur pelepasan, Emir duduk di ruang menunggu. Suasana lapangan terbang yang sibuk tidak mengganggu fikirannya yang melayang kepada surat-surat di dalam begnya. Dia membuka beg perlahan-lahan, tangannya mencapai salah satu sampul surat yang terletak di atas sekali.
"Apa sebenarnya yang Sofi tulis selama ni?" bisiknya sendiri, senyuman tipis menghiasi wajahnya.
Dia membuka sampul dengan hati-hati, helaian surat berwarna kekuningan itu dikeluarkan. Tulisan tangan Sofia yang kemas dan teratur menyapa matanya.
Saat dia mula membaca, senyumannya semakin melebar. Setiap baris tulisan itu seperti membuka satu sisi hati Sofia yang selama ini tidak pernah dia ketahui. Isi surat itu penuh dengan luahan rasa rindu, sakit, dan kasih yang Sofia pendam selama bertahun-tahun.
"Emir... Saya benci awak, tetapi saya lebih benci diri saya sebab saya tak pernah berhenti sayangkan awak."
Emir terdiam, senyumannya berubah menjadi penuh keharuan. Matanya menelusuri setiap perkataan, menyedari betapa mendalamnya cinta Sofia kepadanya meskipun saat surat itu ditulis mereka Sudan pun berpisah.
Surat pertama selesai dibaca, dan Emir menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Hatinya terasa penuh dengan pelbagai emosi—rasa bersalah, terharu, dan cinta yang semakin menggunung. Dia mengambil sampul lain, bersedia untuk membaca lagi, kerana dia tahu, setiap helaian itu adalah kunci kepada hati Sofia yang selama ini tertutup rapat.
Emir Faiz,
Saya tak tahu dari mana nak mula. Kadang-kadang, perasaan rindu itu terlalu kuat sampai saya tak mampu nak lawan. Jadi saya menulis. Dan mungkin, tulisan ini hanya untuk saya lepaskan segala yang terbuku dalam hati.
Setiap kali saya teringat tentang awak, tentang kita, saya rasa macam tengah berjalan di memory lane. Saya selalu "berjalan" ke sana sebab di sana, saya boleh "jumpa" awak semula. Di sana, saya boleh nampak senyuman awak, saya boleh dengar suara awak bertanya "Macam mana awak? Saya okay, sihat."
Di sana, saya ada awak. Walaupun sekejap.
Saya selalu teringat lawak loyar buruk awak yang kadang-kadang tak ada punchline pun, tapi saya tetap ketawa. Ingat lagi tak? Awak pakai baju kuning kesayangan awak masa kita menari di dapur rumah kita dulu. Saya rindu sangat saat itu, Emir. Rindu sampai rasa sesak nafas. Penat!
Setiap kali sema itu terlintas dalam fikiran saya, saya rasa macam kita boleh ulang balik semua sweet memories kita, tapi hakikatnya saya cuma mampu tengok semua memori itu macam filem lama. My old time favorite movie!
Kadang-kadang saya tertanya-tanya kenapa saya tak boleh lupakan awak sepenuhnya. Kenapa saya masih sayangkan awak sedangkan saya yang minta semua ini.
Setiap hari lahir, setiap kali cuti, saya akan terfikir, "Kalau awak ada di sini, mesti kita boleh sambut sama-sama." Tapi, saya tahu hidup ni tak selalu macam yang kita harapkan. Jadi, saya cuma bersandar pada kenangan.
Sofia Irdina.
Air mata Emir mengalir deras. Dia memicit dahinya. Dadanya terasa sempit. Wajah Sofia dan anak-anaknya terbayang di matanya.
Share this novel