Berita yang diterima Sofia pada tengahari itu mengejutkannya. Sofian tergelincir di dalam tandas penjara, mengakibatkan kecederaan serius. Pihak penjara memaklumkan pada Aidil, Sofian dimasukkan kedalam wad dan mahu bertemu dengan mereka, sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Sofia, walaupun berat hati, akhirnya bersetuju. Di dalam fikirannya, mungkin Sofian ingin meminta maaf atau sekurang-kurangnya memberi penjelasan atas segala yang telah berlaku.
Namun, bayangan itu tidak menenangkan hatinya. Perasaan bercampur-baur menguasai Sofia.
"Aku nervous," ujarnya memandang Aidil.
"Jangan risau, aku ada..." jawab Aidil
Ketika dia dan Aidil tiba di hospital, suasana sepi dan suram menyelubungi bilik di mana Sofian terbaring.
"Maaf ya, hanya seorang sahaja boleh masuk dalam satu masa," Sofia dan Aidil bertukar pandangan.
"Kau nak masuk dulu?," soal Aidil. Sofia mengeleng. Aidil senyum sebelum menepuk bahu adiknya. Selepas 30 minit, Aidil keluar dengan mata yang merah. Dia memandang Sofia sambil memberikan satu senyuman kecil, menyokong keputusan adiknya untuk berjumpa dengan Sofian walaupun dia tahu hati Sofia terluka.
Sofia melangkah masuk, jantungnya berdegup kencang. Setiap langkah terasa berat, seolah-olah membawa beban bertahun-tahun yang belum pernah diselesaikan. Dia melihat abahnya terbaring di atas katil dengan mata yang sudah sedikit pudar, tetapi masih ada kesedaran di dalamnya.
"Abah..." Sofia menyapa dengan suara perlahan, cuba menahan debaran di dadanya.
Sofian memandangnya dengan mata yang sayu, namun wajahnya tetap keras. Dia menghulurkan tangannya yang lemah, meminta Sofia bersalam dengannya.
Sofia memandang tangan ayahnya seketika, hati terasa berat. Aku di sini untuk menamatkan segalanya, bisik hatinya. Tanpa keikhlasan, dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Sofian. Sentuhan itu dingin, sama seperti hubungan mereka selama ini.
Seketika suasana hening. Sofia, yang cuba mencari kekuatan untuk memulakan perbualan, akhirnya berkata dengan nada ragu-ragu, "Kenapa abah nak nak jumpa, Sofi?"
Sofian memandang Sofia lama, seolah-olah cuba membaca sesuatu di wajah anak perempuannya itu. Dengan perlahan, dia berkata, "Kau tak nak cakap apa-apa dengan aku?" Matanya masih tajam memandang Sofia, seolah-olah menanti sesuatu yang penting.
Sofia bingung, tidak memahami maksud ayahnya. "Cakap apa? Polis penjara tu kata abah yang nak jumpa," ujarnya, nadanya sedikit kaku.
Sofian menghela nafas panjang, wajahnya masih tiada perubahan emosi. Sofia mula merasa kekok, cuba mengisi kekosongan dalam perbualan mereka. "Abah okay? Doktor kata apa?" Sofia akhirnya bersuara lagi, cuba mengatasi ketidakselesaannya.
Sofian ketawa mengejek. "Aku masih bercakap dengan kau, kan? Masih okay lagi belum nak mati," jawabnya.
Hening seketika. "Abah tak nak cakap apa-apa lagi?" soal Sofia takut-takut
Sofian senyum sinis, wajahnya penuh dengan dendam yang tersimpan lama. "Nak cakap apa? Terima kasih? Kau tahu kenapa aku kat sini? Aku masuk penjara ni sebab kau."
Sofia terdiam. Kata-kata Sofian bagaikan tamparan yang keras. "Sebab Sofi? " Sofia mula merasa marah, tetapi dia cuba menahannya.
Sofian menatap Sofia dengan wajah yang bengis, nada suaranya mulai kasar. "Aku dalam penjara sebab semua keputusan bodoh kau. Kau yang tak dengar cakap aku. Kalau kau kahwin dengan Khaleel, mama kau masih hidup. Rawatan dia diteruskan. Breaking news! Kau yang bunuh mama kau."
Sofia tersentak, dadanya terasa seperti dihentam batu yang berat. Kata-kata ayahnya terlalu kejam. Aku yang bunuh mama? Sofia cuba menelan kata-kata itu, tetapi amarah yang selama ini dipendam mula naik ke puncaknya. Dia tak boleh lagi menahan diri.
"Sofi bunuh mama? Sofi?" soal Sofia matanya mulai berkaca.
"Siapa yang keluarkan mama dari hospital? yang tandatangan borang kebenaran keluar? Sofi? Yang tekup muka mama dengan bantal masa mama tengah nazak? Sofi jugakah abah? Sofi?!" Sofia merenung muka Sofian.
"Abah masuk penjara sebab abah seorang pembunuh!" Sofia akhirnya meletup, suaranya menggelegar dalam bilik itu. "Abah bunuh mama!Bukan Sofi! Abah pembunuh! Tak cukup dengan harta yang abah ambil dari mama? Jual anak untuk dapatkan projek juta-juta tu tak cukupkah abah?! Apa lagi abah nak dari kami?!"
Sofia mula menjerit, air matanya hampir menitis tetapi dia cuba menahan. Setiap kata yang keluar dari mulutnya penuh dengan amarah yang telah lama dipendam. Dia tidak lagi dapat menahan kesakitan yang ditanggung bertahun-tahun.
Sofian memalingkan mukanya mengelak pandangan mata Sofia. "Kau diam, Sofia. Anak bawa sial!"
"Pandang Sofi abah! Bagitahu Sofi, abah gembira sekarang? Abah bunuh isteri abah sendiri untuk harta yang sekadar pinjaman di dunia! Bagitahu Sofi, abah gembirakah?!
Sofian tidak menjawab. "Jawab abah! Abah gembira? Jawab!" Jeritan Sofia bergema dalam bilik itu.
"Aku marah! Kenapa aku yang kena penjara? Aku tak bunuh Izzah! Aku tolong kurangkan sakit dia aje! Dia dah nazak, aku tolong! Yang bunuh Izzah tu kau! Kalau kau ikut apa kau suruh, sekarang ni mama kau masih hidup! Anak tak guna!" Bentan Sofian.
Sofia menggigil menahan marah. Dia tidak percaya ayahnya masih sanggup menuding jari kepadanya, seolah-olah semua kesalahan terletak pada dirinya.
Sofia menghampiri Sofian, menatap wajah lelaki yang sepatutnya melindungi mereka, tetapi sebaliknya menjadikan hidup mereka neraka.
"Kalau kami boleh pilih siapa yang layak jadi abah kami, kami tak akan pilih abah," Sofia berkata dengan suara bergetar. "Anak tak guna ini jugalah yang abah jual, anak tak guna ini yang abah gadai untuk dapatkan semua harta abah! Abah tahu tak apa yang berlaku dengan Lana? Abah tahu tak kenapa Aidil tak pernah nak dengar cakap abah?"
Sofian terdiam, wajahnya kelihatan sedikit terpukul, tetapi dia masih cuba mengekalkan egonya.
"Dan sampai saat ini, abah masih nak tegakkan benang yang basah. Masih nak salahkan semua orang lain atas kesalahan abah," Sofia menambah dengan nada dingin. "I hope you rot in hell, abah."
Tanpa menunggu sebarang jawapan dari Sofian, Sofia keluar dari bilik itu dengan langkah cepat. Air matanya mengalir deras. Namun, amarah dan kekecewaan di hatinya masih membara. Hatinya hancur—bukan kerana Sofian, tetapi kerana dirinya yang masih terperangkap dalam luka lama yang sepatutnya telah sembuh.
Hatinya masih terbakar oleh amarah yang tidak terluahkan sepenuhnya. Udara di luar wad terasa panas dan menyesakkan, seolah-olah menggambarkan bagaimana perasaannya ketika itu. Air matanya yang mengalir tadi masih tersisa di pipinya, tetapi dia tidak peduli lagi. Sofia tidak mampu menahan perasaan sakit dan kecewa yang bergelodak di dalam dadanya. Segalanya terasa terlalu berat.
Aidil yang sedang menunggu di luar segera bangun apabila melihat Sofia keluar dengan wajah tegang. Dia dapat melihat dengan jelas ada sesuatu yang tidak baik telah berlaku di dalam wad. Wajah Sofia yang merah dan mata yang sembap tidak dapat menyembunyikan perasaan marah dan kecewanya.
"It's okay, It's okay," ujar Aidil dengan lembut, mengusap bahu Sofia.
Sofia menggeleng, cuba mengawal tangisannya, tetapi air matanya tetap mengalir. "Aku tak tahu kenapa aku setuju datang jumpa dia. Aku... aku tak akan datang jumpa dia lagi, sampai bila-bila!" Sofia bersuara dengan nada yang bergetar. "Dia salahkan aku, Dil. Salahkan aku atas kematian mama,"
Aidil menghela nafas panjang, kemudian merangkul bahu Sofia, cuba memberi sedikit sokongan pada adiknya. "Aku tahu dia memang tak akan berubah. Sebab tu aku dari dulu kalau ada apa-apa aku cuba untuk mengelak. Dia tak pernah rasa bersalah dengan apa yang dia buat, Sofi. Tapi kau kena ingat, apa yang dia cakap... semua tu tak betul. Kau tak salah,"
Sofia memandang Aidil dengan mata yang masih basah. "Tapi kenapa, Aidil? Kenapa abah macam tu? Sampai ke sudah dia masih salahkan aku! Aku ni anak dia, Dil. Apa dosa aku dengan dia?"
Sofia mengesat air matanya lagi, cuba menguatkan diri. Namun, luka yang dibuka oleh kata-kata Sofian masih terasa dalam dan perit. Setiap perkataan yang Sofian lemparkan tadi menusuk jauh ke dalam hatinya.
"Apa gunanya harta dan kuasa kalau tak ada rasa kasih sayang, Dil?" Sofia bersuara lagi, lebih kepada dirinya sendiri. "Aku tak sangka sampai akhir pun dia masih nak salahkan aku. Aku ingatkan... aku ingatkan kalau ada peluang untuk dia menebus segala kesalahan, dia akan gunakan. Tapi..."
Aidil memeluk Sofia erat. "Sofi, kau dah buat apa yang patut kau buat. Jangan letakkan kesalahan abah di atas bahu kau. Apa yang berlaku, semuanya berpunca dari abah. Kau tak perlu tanggung beban tu,"
Sofia memandang Aidil, mata mereka bertemu. "Aku... aku dah cuba, Dil. Aku cuba untuk maafkan dia. Tapi hari ni... aku tak boleh,"
Aidil mengangguk memahami. "Kau tak perlu maafkan dia kalau kau tak boleh. Itu hak kau, Sofi. Yang penting sekarang, kau kena move on dari semua ni. Ingat masa depan kau dan anak-anak,"
Sofia menghela nafas dalam-dalam, cuba menenangkan dirinya. Dia tahu Aidil betul, tetapi kata-kata abah mereka masih menghantui kepalanya. Luka itu terlalu dalam, dan walaupun dia cuba untuk lupa, pertemuan ini membuka semula parut yang belum sepenuhnya pulih.
"Aku cuma harap dia tak akan susahkan kita lagi lepas ni," Sofia berkata perlahan, matanya memandang ke tanah.
Aidil menepuk bahu Sofia dengan lembut. "Aku pun harap macam tu."
Selepas beberapa minit berdiam diri, mereka berdua akhirnya memutuskan untuk meninggalkan hospital. Setiap langkah yang diambilnya keluar dari hospital itu seolah-olah membawa Sofia menjauh dari luka-luka lama, tetapi juga mendekatkannya kepada sebuah kesedaran—bahawa hidupnya perlu diteruskan, tanpa bayang-bayang Sofian yang sudah lama menghantui.
Perjalanan pulang dari hospital terasa panjang dan sunyi. Aidil memandu dalam diam, memahami Sofia yang tenggelam dalam fikirannya sendiri. Tidak ada kata-kata yang perlu diucapkan—kedua-duanya tahu, emosi Sofia sedang berperang. Setelah apa yang berlaku dengan Sofian, Sofia memerlukan ruang untuk menyusun semula perasaannya.
Sesampainya di persimpangan jalan, Sofia memandang ke arah Aidil dengan wajah penuh kesedihan. Matanya masih sembap dari tangisan tadi, tetapi kini ada sesuatu yang lain—sebuah permintaan yang lahir dari hatinya.
"Dil... boleh kita pergi melawat kubur mama?" Sofia bertanya dengan nada lembut, tetapi jelas penuh harapan.
Aidil mengangguk tanpa ragu. "Jom, kita ke sana sekarang." Aidil menukar arah pemanduannya menuju ke tanah perkuburan
Tidak lama kemudian, mereka tiba di tanah perkuburan. Aidil mematikan enjin kereta, dan Sofia turun perlahan-lahan. Angin petang yang lembut bertiup, membawa bersama aroma bumi yang lembap selepas hujan renyai. Sofia memandang ke arah pusara yang terletak tidak jauh dari tempat mereka berdiri.
"Aku tunggu sini," Aidil menyandarkan babannya di kereta memberikan ruang untuk Sofia meluahkan perasaannya tanpa gangguan.
Sofia berjalan dengan perlahan menuju ke pusara ibunya, dan apabila dia tiba di hadapan batu nisan, dia berdiri sejenak, memandang nama Izzah Abdul Halim yang terukir di atas batu itu.
Air mata Sofia kembali mengalir. "Mama..." bisiknya perlahan, suaranya tersekat-sekat. "Maafkan Sofi, ma..."
Dia melutut perlahan, menyentuh tanah di hadapan pusara ibunya dengan tangan yang menggigil. Kenapa segalanya harus jadi begini? Fikirannya bergelut dengan soalan yang tiada jawapan.
Sofia menyapu air matanya, tetapi perasaannya tidak dapat ditahan lagi. Dia mulai menangis teresak-esak, suaranya hampir tenggelam dalam kesedihan yang telah lama terpendam. "Mama, Sofi rindukan mama. Kenapa abah buat semua ni?" Sofia memejamkan matanya, air mata terus membasahi pipinya. "Sofi harap... Sofi harap mama ada di sini. Sofi tak tahu nak buat apa lagi,"
Aidil berdiri tidak jauh dari Sofia, memandang dengan hati yang pilu. Diamenghampiri perlahan, meletakkan tangannya di bahu Sofia.
Sofia menoleh sedikit, memandang abangnya dengan mata yang masih basah. "Dil... mama tak sempat tengok kita jadi orang, kan? Aku rasa gagal. Aku tak sempat buat apa-apa untuk mama,"
Aidil menggeleng, cuba menguatkan Sofia. "Siapa kata kau tak sempat buat apa-apa? Kau lupa kau setuju nak kahwin dengan Khaleel untuk rawatan mama, itu buat sesuatu juga walaupun reckless,"
"Aku tahu mama bangga dengan kau. Semua yang kau buat untuk anak-anak kau, untuk diri kau... itu semua adalah kejayaan yang mama impikan." sambung Aidil
Sofia terdiam seketika, merenung pusara ibunya. Kata-kata Aidil memberi sedikit ketenangan di hati yang sedang bergejolak. "Kau tahu tak dulu? Setiap kali cikgu tanya cita-cita aku? Mulut kata nak jadi cikgu tapi aku sebenarnya nak jadi mama. Dulu aku tak faham kenapa tapi sekarang aku faham,"
"Children from dysfunctional families don't have big dreams; they just dream of having a home," Aidil berkata tanpa memandang Sofia.
"Macam mana kau tahu pasal ni?" Soal Sofia sambil mengesat air matanya.
"Bilik kaunseling," serentak mereka bersuara.
Sofia memandang Aidil, dan abangnya tersenyum kecil, memberikan tanda bahawa mereka akan melalui ini bersama-sama. Selepas mengucapkan doa di pusara Izzah, Sofia bangkit perlahan-lahan, cuba menguatkan diri.
"Nanti, Sofi datang lagi ya. Assalamualaikum," kata Sofia, nadanya lebih tenang walaupun masih ada sisa-sisa kesedihan.
Aidil mengangguk dan berjalan menuju ke kereta diikuti Sofia. Di dalam hati Sofia, dia tahu ini bukan kali terakhir dia akan menangis, tetapi setidak-tidaknya, dia telah melepaskan beban perasaan yang menghantui dirinya.
Sampai sahaja di rumah, Sofia disambut dengan keletah anak-anaknya yang sedang menunggu di ruang tamu. Farish dan Irina segera berlari menghampirinya, wajah mereka penuh dengan keceriaan yang tidak mampu dirosakkan oleh emosi Sofia yang sedang bergelora.
"Mama! Boleh kita call papa?" tanya Farish dengan penuh semangat.
Sofia menarik nafas dalam, cuba mengawal perasaannya yang masih huru-hara selepas pertemuan dengan ayahnya, Sofian. Dia memaksa dirinya tersenyum di hadapan anak-anak. "Nanti ya, sayang. Mama penat sikit sekarang."
Irina, yang turut sama menunggu di sebelah Farish, memandang Sofia dengan mata penuh harapan, tetapi Sofia hanya mampu membalas dengan senyuman tipis.
Aidil yang baru sahaja keluar dari perut kereta, mendekati Farish dan Irina, memanggil mereka dengan lembut. "Ayish, Rin, jom masuk rumah Papa Dil dulu. Biar mama rehat."
Kedua-dua anak kecil itu memandang Sofia sekilas sebelum mengangguk patuh, mengikuti langkah Aidil ke arah rumah mereka. Aidil sempat menoleh ke arah adiknya, memberikan isyarat supaya Sofia berehat secukupnya. Sofia hanya mampu mengangguk perlahan, bersyukur kerana Aidil memahami keadaannya.
Mia, yang sudah berada di rumah, segera menyambut Aidil di pintu. Setelah mendengar Aidil bercerita sedikit tentang keadaan Sofia, Mia segera meminta izin untuk ke rumah sebelah.
Tidak lama kemudian, Mia, Wafa, dan Hani muncul di hadapan pintu bilik Sofia. Mereka mengetuk pintu dengan lembut. "Sofi, boleh kami masuk?"
Sofia yang sedang duduk di atas katil, termenung memikirkan apa yang baru berlaku, mendengar ketukan itu. Dia menarik nafas panjang dan mengusap wajahnya sebelum membenarkan mereka masuk. "Masuklah."
Ketiga-tiga sahabat baiknya melangkah masuk dengan wajah risau. Mia, Wafa, dan Hani mendekati Sofia. Mereka tahu ada sesuatu yang serius telah berlaku.
"Sofi, kau okey ke?" tanya Mia perlahan, duduk di sebelah Sofia di atas katil.
Sofia menghela nafas panjang, kemudian mengangguk perlahan. "Entahlah Mia... Aku..." Sofia diam.
Wafa, yang duduk di sisi lain Sofia, memandang Sofia dengan penuh keprihatinan. "Apa yang jadi tadi? Kau nampak teruk sangat, Sofi,"
Sofia mengangkat bahu, cuba memulakan cerita yang terlalu berat untuk diceritakan. "Aku... aku jumpa abah aku tadi."
Hani segera memegang tangan Sofia, cuba memberikan sokongan moral. "Okay... Apa jadi?"
Sofia menarik nafas panjang, suaranya bergetar sedikit ketika cuba menjelaskan. "Dia... dia salahkan aku. Dia cakap aku yang sebabkan mama mati. Dia kata kalau aku ikut cakap dia dulu, kahwin dengan Khaleel, rawatan mama tak akan dihentikan,"
Mia terkedu mendengar itu, sementara Wafa kelihatan semakin marah.
"Dia cakap macam tu?" tanya Wafa dengan nada penuh tidak percaya. "Sofi, itu bukan salah kau. Orang macam dia tak akan pernah nak salahkan diri sendiri. Semua benda dia akan salahkan orang lain."
Mia mengangguk setuju, suaranya penuh dengan sokongan. "Betul. Kau jangan dengar kata-kata abah, Sofi. Dia cuma nak lepaskan rasa bersalah dia dengan letakkan kesalahan pada kau. Itu manipulasi namanya,"
Sofia mengetap bibir, air matanya kembali bergenang di mata. "Aku cuba untuk maafkan dia... aku cuba nak perbaiki hubungan kami. Tapi bila dia cakap macam tu, aku... aku tak tahan. Semua perasaan yang aku tahan selama ni meletup,"
Hani menggenggam erat tangan Sofia. "Kau dah cukup kuat untuk bertahan selama ni. Apa yang kau lalui... orang lain tak akan faham. Tapi satu benda yang kami tahu, kau tak perlu maafkan dia kalau kau tak mahu. Kau ada hak untuk rasa marah. Abah kau buat salah besar, dan kau tak perlu rasa bersalah sebab tak boleh maafkan dia."
Wafa menambah dengan tegas, "Kau kena ingat, Sofi. orang narsisistik macam abah kau tak akan pernah berubah. Orang macam dia cuma tahu manipulasi dan buat kita rasa bersalah. Tapi sebenarnya, dialah manusia yang paling banyak buat salah,"
Mendengar kata-kata sahabatnya cukup untuk memberi Sofia sedikit kekuatan. "Aku tak tahu apa yang akan jadi lepas ni... tapi aku tak nak biarkan dia kawal hidup aku lagi," kata Sofia perlahan, cuba meyakinkan dirinya sendiri.
Mia tersenyum dan memeluk Sofia erat. "Itu yang penting, Sofia. Kau berhak hidup tanpa bayang-bayang abah," Wafa dan Hani turut tersenyum, memberikan isyarat bahawa mereka akan sentiasa di sisi Sofia walau apapun yang berlaku.
xxxxx
Selepas semalaman berkurung di dalam bilik, pagi itu Sofia bangun dengan tekad yang baru. Walaupun hati masih berbekas dengan luka semalam, Sofia memutuskan untuk tidak membiarkan perasaan sedihnya menguasai hari-harinya lagi. Dia menatap cermin biliknya, melihat bayangan wajah yang mungkin nampak lebih penat daripada biasa. Matanya sedikit sembap kerana tangisan semalam, tetapi Sofia sudah bersedia.
'Ini sudah cukup, bisiknya dalam hati. Abah tidak akan merosakkan hidup aku lagi. Itu kali terakhir aku bertemu dengan abah,'.
Sofia melangkah ke bilik anak-anaknya, Farish dan Irina, yang masih lena dibuai mimpi. Suasana pagi yang tenang di rumah sewa itu memberinya sedikit rasa damai. Melihat wajah polos anak-anaknya membuatkan hatinya menjadi lebih kuat. Mereka adalah alasan untuk dia terus bangkit setiap kali jatuh. Tidak kira betapa berat ujian yang dihadapinya, Sofia tahu dia perlu kuat demi mereka.
Dia menyentuh perlahan bahu Irina yang sedang tidur, membisik lembut, "Rin, bangun, sayang. Pagi dah ni, nak bersiap ke sekolah,"
Irina membuka matanya yang kecil sambil menguap panjang. "Mama..." dia memanggil dengan suara manja, tetapi tetap bangun perlahan-lahan. Farish di sebelah sudah terjaga, menggosok matanya dengan comel sebelum memeluk Sofia.
"Papa tak datang lagi ke?" tanya Farish tiba-tiba, membuat Sofia sedikit tersentak.
Sofia tersenyum kecil sambil mengusap kepala Farish. "Belum lagi, sayang. Tapi papa akan datang bila dia free nanti. Sekarang kita bersiap untuk sekolah dulu, ya?"
Usai menyiapkan anak-anaknya, Sofia menyiapkan sarapan ringkas. Tidak lama kemudian, Wafa turun menyertai mereka. Sesudah itu, mereka mengikut Wafa ke sekolah.
"Jangan nakal-nakal, ya! Belajar elok-elok," pesan Sofia kepada Irina dan Farish yang melambai kembali dengan senyuman lebar.
"Bye, mama!" teriak mereka serentak sebelum berlari masuk ke dalam kereta Wafa.
Sofia terus melambai sehingga kereta itu hilang dari pandangan, berdiri sejenak di depan pintu rumah. Setelah anak-anaknya pergi, kesunyian menyelubungi rumah itu semula. Sofia memandang ke arah langit pagi yang cerah, cuba menikmati momen ketenangan yang jarang diperolehinya. Sekarang apa yang perlu aku buat? fikir Sofia sambil melangkah perlahan masuk semula ke rumah.
Dia berjalan kembali ke biliknya dan merebahkan diri di atas tilam. Tatapannya kosong, fikirannya menerawang. Tak boleh macam ni Sofi! Bangun... Bangun,' bisik hati kecilnya.
Selama ini, hidupnya selalu tentang orang lain—tentang anak-anak, tentang kerja, tentang Emir, dan tentang keluarganya. Hari ini, dia mahu tumpukan perhatian pada dirinya sendiri.
"Jadi... apa yang aku nak buat?" Sofia berbisik sendiri, matanya memandang siling bilik. Fikirannya terus melayang kepada pelbagai pilihan. Dia terfikir untuk keluar, melakukan aktiviti yang boleh membuatkan dirinya lebih bersemangat. Mungkin dia perlu keluar dan bersenam, mengambil udara segar di luar. Atau mungkin membaca buku yang sudah lama dia tinggalkan di rak.
Namun, saat dia berbaring di atas tilam, matanya semakin berat, dari tadi tidak henti menguap. Dia akhirnya menarik selimut dan memeluk bantal dengan erat. Bukan kerana ingin kembali tenggelam dalam kesedihan, tetapi untuk memberi dirinya masa yang dia perlukan. Bukan mudah untuk melepaskan sesuatu yang telah lama menghantui hidupnya, tetapi Sofia tahu, ini adalah langkah pertama menuju pembebasan.
Dengan fikiran yang mulai tenang, Sofia membiarkan dirinya menikmati momen ini. Dia tahu, perlahan-lahan, dia akan menemui kekuatan baru. Ini bukanlah pengakhiran—ini adalah permulaan untuk Sofia menemukan dirinya semula, bebas dari bayang-bayang masa lalunya.
Share this novel