Malam itu, Aidan menghubungi Jenny melalui aplikasi Whatsapp. Dia menceritakan segala-galanya tentang apa terjadi pada dirinya dari kisah mendengar suara bisikan sehinggalah pertembungannya dengan susuk berjubah hitam.
Jenny terdiam selepas membaca mesej panjang yang dikirimkan oleh Aidan. Fikirannya cuba mencerna semua yang diberitahu oleh Aidan. Namun, ada sesuatu yang membuatkan jantungnya berdegup kencang.
"Jenny?" mesej terbaru Aidan muncul di skrin telefonnya, bunyi notifikasi memecah kesunyian didalam bilik Jenny.
"Aidan, aku tak tahu nak cakap apa," Jenny akhirnya membalas, jari-jemarinya sedikit menggeletar. "Pendeta Adika…dia ada muncul dalam mimpi aku beberapa hari yang lalu, Aidan. Dia beri amaran supaya aku berjaga-jaga dengan ancaman yang akan datang pada bila-bila masa."
Riak muka Aidan menunjukkan reaksi terkejut dengan mesej yang dibalas oleh Jenny. Tangannya erat menggenggam telefon. Dia termenung seketika memikirkan apa yang sedang berlaku.
"Kau rasa mimpi tu ada kaitan tak dengan apa yang aku lalui petang tadi?" balas Aidan.
Otaknya berputar ligat memikirkan amaran dari Pendeta Adika kepada Jenny. Dalam hatinya timbul pelbagai soalan, adakah Inderapati dalam keadaan terancam sekali lagi? Bagaimana pula musuh dapat muncul disini?
"Aku tak pasti… tapi...tak kan kebetulan pula?" balas Jenny.
Kerisauan mula menguasai dirinya. "Pendeta Adika tak pernah muncul di dalam mimpi aku sebelum ni. Aku rasa perkara ini tak boleh diambil ringan, Aidan. Aku… aku rasa takut dengan apa yang bakal berlaku nanti."
Aidan memicit-micit kepalanya. Dia cuba mencari kelogikan disebalik perkara yang sedang berlaku. Ancaman dari musuh semakin jelas dengan beberapa kejadian yang dialami dia dan Jenny.
"Aku rasa aku tak boleh abaikan semua ni." balas Aidan pantas. Dia berdiri dari tempat duduknya sambil memandang ke arah tingkap bilik.
Pantulan dirinya terlihat pada cermin tingkap tersebut. Salji yang turun perlahan-lahan menambah lagi keresahan dalam hati Aidan. "Mereka mungkin dah tahu tentang kita dan jika musuh ini boleh muncul di dunia nyata, aku tak boleh biarkan mereka membuat apa sahaja yang mereka suka." sambung Aidan sambil menggenggam tangannya.
Jenny menarik nafas panjang setelah membaca mesej terbaru Aidan. Dia cuba menenangkan hatinya dengan mendengar lagu yang dipasangkan di komputer ribanya. Namun, perasaan gundah masih lagi dirasainya. "Kau rasa kita tengah diperhatikan ke? Aku rasa lain macam la Aidan." soalnya kepada Aidan. Hatinya mula rasa tidak selamat dengan kejadian ini.
Aidan terdiam. Dia menelan air liur sambil melirik matanya ke setiap sudut biliknya. Benar seperti apa yang dirisaukan oleh Jenny, dia sendiri terasa seperti ada yang memerhatikan dirinya dari jauh. "Aku tak pasti. Tapi aku rasa macam ya...ada sesuatu yang sedang memerhatikan kita dari jauh, Jenny."
Share this novel