JANGAN TINGGAL DAKU

Family Series 39283

Pertemuan Zack,Ika dan Asuka di studio Zack adalah kerana ingin berbincang mengenai schedule lawatan mereka.Asuka banyak membantu Zack dan Ika memilih tempat yang dirasakan sesuai untuk mereka berkunjung.Baru puas hati mereka kerana dapat berkongsi khabar gembira dengan Akiff yang sudah tidak sabar menghitung hari untuk ke Osaka.

Setelah selesai perbincangan mereka,Asuka meminta diri kerana dia ada beberapa temu janji dengan teman-temannya tanpa sempat meneguk air minuman yang disediakan Ika.

Tiba-tiba sahaja,Zack memegang kepalanya kerana merasakan seolah dunia berputar laju. "Ika,abang rasa kepala abang berpusing.Abang nak baring sekejap."Kata Zack seraya masuk ke bilik solat untuk merebahkan badannya."Kalau ada client,Ika tolong handle ya."Pesan Zack kepada Ika.Kelihatan Zack sungguh tidak bermaya.Kalau diturutkan hati Ika,tidak tergamak meninggalkan Zack seorang diri dalam keadaan Zack sedemikian rupa.

Tiba-tiba sahaja muncul pelanggan pertama mereka di awal pagi.Seorang anak muda berpenampilan agak ranggi dengan berseluar jeans ketat,bertampal-tampal dan berbaju kemeja berbunga-bunga.Ika memandang atas bawah melihat sosok tubuh anak muda yang kelihatan janggal pada pandangan matanya."Boleh saya jumpa Encik Zack?"Mesra bertanya kepada Ika."Maaf encik,Zack kurang sihat.Ada apa-apa yang saya boleh bantu?"Ika cuba menyantuni anak muda tersebut."Saya sudah datang beberapa hari lepas,tapi tak nampak pula cik adik manis.Saya ada tengok beberapa lukisan Zack.Hati tu dah berkenan sàngat-sangat.Tak tidur malam saya.Hahaha.Tak boleh jadi.Hari ni saya kerja half day demi memenuhi hajat saya."Jelas anak muda tersebut.Pencinta seni rupanya.Tak tidur malam hanya kerana lukisan.Biasanya anak muda tidak tidur malam terkenangkan pujaan hati tapi anak muda ini berbeza pula kisahnya.Benarlah kata ummi, kegilaan dan kecintaan manusia berbeza-beza.

lka dan anak muda itu berjalan seiring menuju ke ruang pameran.Beberapa keping lukisan yang telah ditempah atau dibeli ada tagingnya.Nampaknya semua lukisan yang dihajati oleh anak muda tersebut masih ada dan sedang dipamerkan."Nampaknya kuat jodohnya dengan saya."Kata pelanggan tersebut menarik nafas lega.Setelah berunding dan mencapai kata sepakat,wang sebanyak RM10,800.00 bertukar tangan.Begitulah kegilaan manusia.Jika hati sudah suka,berapa nilainya cuba diadakan juga.Selesai melayan anak muda tersebut, Ika menjenguk Zack.Zack terbaring lesu di tilam nipis.Ika mengusap-usap tubuh Zack tapi Zack tidak memberikan sebarang respon.
Mujurlah pelanggan yang datang selepas anak muda itu,hanya yang bertemu janji sahaja.Ika bernasib baik kerana kebanyakannya yang datang adalah pelanggan-pelanggan baru Zack.Biasanya jika pelanggan tersebut pernah dilayan Zack,mereka tidak mahu dilayan oleh orang lain.Ika juga sudah banyak belajar dan tahu serba-sedikit mengenai lukisan yang dihasilkan Zack.Kata Zack ketika Ika mula masuk kerja,"Ika tidak perlu tahu semua tapi sekurang-kurangnya serba-sedikit mengenai lukisan perlu ada dalam pengetahuan Ika supaya pelanggan yakin dan percaya.Namun begitu,Ika pantas belajar.Apa yang disampaikan Zack kemas dalam ingatannya.

Sewaktu Ika menjengah Zack buat kali ke dua,muka Zack semakin pucat.Sejak datang ke studio sehingga sudah lewat petang,Zack tidak menjamah sebarang makanan.Air pun tidak dapat diteguknya.Bila Ika mendesak juga Zack makan,Zack memuntahkan kembali makanan yang masuk ke perutnya.Ika mula kerisauan melihat Zack berkeadaan sedemikian.

"Abang, jom Ika bawa abang ke klinik.Kita buat pemeriksaan doktor ya?"Ika memujuk Zack berkali-kali.Namun Zack bukanlah mudah dipujuk."Alah,sikit ja sakit abang ni Ika.Sakit tanda Allah sayang.Jangan risaukan abang,ya sayang."Kali ini Zack pula memujuk Ika.Ika hilang arah bila berhadapan dengan situasi sebegini.Sejak beberapa bulan usia perkahwinan mereka,inilah kali pertama melihat Zack lemah tidak bermaya.Biasanya hari-hari bersama Zack penuh dengan tawa ria dan sinar bahagia.Tidak kering gusi Ika jika bersama Zack.

Setelah studio ditutup,Ika memapah Zack masuk ke dalam kereta.Pemanduan Ika lebih laju dari biasa.Ika tidak keruan melihat keadaan Zack.Seboleh-bolehnya Ika ingin cepat sampai di rumah supaya ibu dapat memujuk Zack ke klinik.Jika dengan Ika,Zack agak degil tapi berhadapan dengan ibu sendiri mungkin kedegilan akan dipatahkan oleh bebelan dan ketegasan ibu.

Sebaik sahaja memasuki rumah,Ibu yang berada di ruang tamu terperanjat melihat keadaan Zack.Dengan wajah pucat sehinggakan untuk mengatur langkah pun terlalu sukar buat Zack. sehinggakan Zack terpaksa meminjam kekuatan tubuh kecil Ika"Ika,baringkan dulu Zack di sofa."Kata ibu cemas melihat putera tunggalnya."Kenapa dengan Zack ni,Ika?"Tanya ibu."Entahlah ibu,abang pucat dari pagi tadi.Asyik muntah sahaja."Jelas Ika.Ibu mengusap rambut Zack.Dahi Zack disentuhnya."Panas badan Zack ni Ika.Demam ni.Engkau buatkan air asam,biar ibu jelum kepala Zack."Kata ibu kepada Ika.

Tanpa berlengah, Ika menyediakan air asam jawa yang diminta ibu.Akiff berdiri di tepi sofa melihat papanya terbaring lesu.Riak wajah si kecil turut risau tapi Akiff tidak tahu apa yang harus dilakukannya."Akiff,ambilkan selimut untuk papa supaya demam papa cepat kebah."kata ibu apabila melihat tubuh Zack mula menggigil.Akiff berlari anak ke kamar mendapatkan selimut untuk papa Zack.Tubuh Zack diselimut Akiff.Mata Zack terpejam rapat.Ibu,Ika dan Akiff dibuai sayu melihat keadaan Zack yang sangat lemah.

Ibu menarik Ika ke dapur supaya perbualan mereka tidak didengar Zack."Ibu tak pernah tengok Zack sakit macam ni.Risau sangat ibu.Beberapa malam sejak kebelakangan ini,ibu kerap mimpikan arwah bapa Zack.Dia tenung sahaja ibu tapi tidak ada apa yang dituturkannya.Adakah ini maknanya Zack akan tinggalkan kita, Ika?"Kata ibu sambil menahan tangisan.Ika sudah tidak mampu apa-apa.Hanya deraian air mata mengalir deras membasahi pipinya.

Ika takut sebuah kehilangan.Baru sekejap menikmati kebahagiaan bersama Zack,janganlah dunia ini terlalu kejam kepada Ika.Ika ingin melahirkan zuriat buat Zack dan membesarkan zuriat mereka.Ika ingin menghitung hari-hari tua bersama Zack.Tiada apa lagi yang didamba dari Zack kecuali keikhlasan dan ketulusan cinta.Tiada siapa yang dapat mencintai dan menyayangi Ika sebagaimana Zack menumpahkan cintanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience