CURANG

Family Series 39283

Hati ini telah lama sakit dan terluka.Sakit kerana pepohon cinta yang disiram dan dibaja terkulai layu akhirnya.Mengapa semudah itu kasih berubah dan beralih arah?Sepatutnya sebuah perkahwinan adalah untuk saling melengkapi.Umpama menambah garam ke dalam lauk yang tawar dan menambahkan gula ke dalam air supaya terasa manisnya.Namun jika segala kekurangan dijadikan alasan maka sampai bila-bila pun tidak akan menjelma kebahagiaan yang didamba.Kasih sayang dan cinta jika dibina atas dasar Rabbi,itulah kasih sejati.Namun jika tunjangnya nafsu-nafsi maka syaitan durjana mengemudi.

Setelah Ika menolak untuk kembali, Haziq jauh tersasar dari Haziq yang Intan kenali.Pulangnya sudah tidak menentu.Malahan ada hari,mereka langsung tidak bertemu.Air syaitan diteguknya kerana alasan ingin melupakan dan merawat pilu.Waima sudah dinasihatkan dan diingatkan mengenai tanggung jawabnya terhadap putera tunggal yang dimiliki namun tidak diendahkan lagi.Seorang lelaki yang sepatutnya diamanahkan menjadi nakhoda tetapi telah tersasar dan gagal mengemudi bahtera perkahwinan ke pelabuhan impian.Bimbang hanya singgah di pelabuhan sementara,kapal karam sebelum tiba ke destinasinya.Kini,telah beberapa bulan Intan hidup sendiri.Tiada khabar berita dari Haziq lagi.Intan digantung tidak bertali.

Bila dikenang, saat kasih sayang menghampar indah,kita seringkali lupa badai dan ombak tsunami yang datang menjengah tanpa kita bersedia.Sungguh bahagia ketika kasih mula bersemi.Hari-hari yang dilalui sangat beerti.Namun segalanya sudah berubah apabila Intan tidak dapat melahirkan cahaya mata buat Haziq.Intan menerima segala kekurangan diri dan banyak bertoleransi dalam rumah tangga mereka kerana sedar dia umpama melukut di tepi gantang.Sekadar menumpang kasih dan belas ihsan Haziq sahaja.Sewaktu Haziq berkeras ingin melamar Ika kembali,Intan pasrah dan merelakan demi melihat Haziq bahagia asalkan mengikut landas syariat Islam.Kini,Haziq menyimpang jauh dari jalan kebenaran.Adakah hanya dibiarkan kemaksiatan bermaharalela tanpa takut kepada pencipta?

Intan mengalami kemurungan dengan segala peristiwa yang terjadi.Berat ujian menimpa sehinggakan beliau terpaksa merujuk psikiatrist. Kesenangan dan kemewahan yang dimiliki tidak dapat mengisi jiwa yang berkecamuk dan gersang.Intan kembali kepada fitrah seorang hamba yang mengabdikan diri kepada pencipta.Semakin banyak sujud dan doa,semakin dekat kepada Allah SWT.Jika Intan memilih untuk kembali ke jalan yang lurus,Haziq pula sebaliknya.Haziq memilih untuk curang dan menduakan Intan.Hubungan terlarang dengan kekasih gelapnya telah membenihkan zuriat.Tiada setitik kekesalan di hati malahan Haziq berbangga dengan anak luar nikah yang dikandung kekasih hati.Dari khabar berita yang diterima, akhirnya Haziq bernikah di Selatan Thailand bersama pujaan hatinya
.Hancur berkecai sekeping hati yang telah lama menumpahkan setia.

Lewat pertemuan mereka,Intan memeluk Ika seerat-eratnya.Menumpang kekuatan Ika.Walaupun Intan redha dengan takdir yang telah tercatat buatnya namun adakala Intan rebah juga.Intan tidak sekuat Ika sewaktu menganyam luka.
"Saya salah Ika.Saya bukan perempuan yang baik-baik.Ini semua kifarah Allah terhadap segala dosa silam saya.Haziq tentu tidak berlaku curang, jika saya mampu memberikannya zuriat."Intan terus menyalahkan diri.
"Intan, hidup adalah pilihan.Janganlah menyalahkan diri sendiri bila Haziq memilih untuk curang.Allah tidak melihat kisah silam kita tapi Allah menilai dan memandang pengakhiran kehidupan kita."Nasihat Ika yang turut terkesan dengan segala perlakuan Haziq.

Walaupun di antara mereka tidak ada sebarang ikatan dan persaudaraan,namun Intan merasakan Ika adalah orang yang paling tepat untuk dikongsikan segala duka-nestapa.Ika pernah hadir dalam hidup Haziq.Ika pernah mencintai Haziq.Ika pernah menumpahkan setia.Ika pernah dibuang dari hidup Haziq.Jalan cerita mereka hampir serupa.Namun Ika terus melangkah gagah tanpa Haziq kerana Ika ada keluarga yang menerima tanpa berbelah bahagi.Intan pula sendirian mengharungi segala dugaan kerana dia sudah dibuang keluarga sejak menikahi Haziq lagi.Papa dan mama juga tentu menyebelahi Haziq kerana mereka telah mengetahui kisah silam Intan yang semakin menjarakkan perhubungan mereka.

"Intan,saya tidak tahu sejauh mana awak dapat menerima segala perlakuan Haziq terhadap awak.Namun jika Haziq mengabaikan awak dan tidak menunaikan tanggung jawabnya sebagai suami kepada awak,awak berhak menuntut hak awak dari Haziq.Jangan membebankan emosi .Intan harus bangkit kerana Intan selayaknya bahagia."kata Ika.Tidak ada insan suci,yang tak punya masa lampau dan tidak ada pendosa yang tak punya masa depan.

Setelah lama merawat hati,
Intan memilih untuk berundur diri.Bukan kerana sudah tidak mencintai tapi kerana
menjaga hati sendiri agar tidak terluka.

Segala kekusutan yang ada perlu dirungkai.Kini , segala urusan perceraian telah difailkan di Mahkamah Syariah.Hanya masa dan waktu akan menentukan kesudahan rumah tangga mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience