Chapter 48

Romance Completed 28069

Bab 48

Semalaman ini dia tidak dapat melelapkan matanya. Aksi-aksi mereka di taman strawberri tadi sangat mengasyikkan. Mama dan papa mertuanya pula sangat sporting melihat telatah mereka berdua.

Suaminya juga membelikan dia seratus kuntum bunga mawar merah yang selama ini menjadi kegemarannya. Mereka bagaikan pasangan yang bercinta pula apabila berkejar-kejaran di kawasan perusahaan susu lembu di kawasan Kundasang ini. Mama dan papa mertuanya hanya melayani kerenah mereka. Seketika mereka sudah balik ke kawasan chalet di resort yang agak besar itu.

“Kau kena berterus-terang dengan suami kau Nuha,” itulah yang kawan baiknya beritahukan kepadanya ketika dia singgah mengambil baju tadi. Dia diam. Masih memikirkan perkara yang baik dan buruknya. Dia tidak tahu bagaimana hendak berterus-terang dengan suaminya mengenai kepergiannya ke luar negara tidak lama lagi. Alangkah menyakitkan hatinya!

“Aku tak tergamak pula Ika. Entahlah berat sungguh hati aku nak beritahu dia. Kalau tak beritahu dia tak apalah kot!” Bulat mata Kartika memandangnya. Begitu pula jawapannya. Sebenarnya dia masih memikirkan hal yang sangat menyakitkan ini. Namun dia memang masih belum bersedia hendak memberitahu suaminya. Takkan dia hendak berterus terang sekarang ini pula? Tentu suaminya minta dia batalkan semuanya! Hancur cita-citanya!

“Kalau kau tak tergamak kau tak payahlah sambung belajar, kau tukar keputusan aje!” kata Kartika pula. Dia masih berbelah bahagi. Mahu sahaja dia putar masa lalu dan menganggap suaminya tidak pernah bertemunya kembali. Biarlah mereka terpisah lagi.

“Aku kena sambung belajar Ika, itu cita-cita aku sejak dulu apatah lagi ke luar Negara, memang aku tak boleh nak lupakan cita-cita aku tu!” katanya menunjukkan perasaannya yang tidak berbelah bahagi kepada ilmunya. Namun seketika mengingati wajah lelaki bermata kuyu itu, hatinya bergetar halus. Kasihan sungguh dia kepada suaminya itu.

“Kalau itu keputusan kau, lambat laun kau kena beritahu dia. Aku tak tahu dan tak nak bertanggungjawab kalau dia tiba-tiba kehilangan kau!” kata Kartika memikirkan kemungkinan suaminya akan mencarinya dan mendesak Kartika untuk berterus-terang pula di atas kehilangannya.

“Entahlah Ika, aku tak tahu lagi! Mungkin sedikit masa lagi baru aku beritahu lah! Sekarang ni aku tak sedia lagi,” katanya perlahan. Dia benar-benar sudah bimbang dengan apa yang berlaku kepada dirinya. Berada di bumi sejuk ini bukannya hendak menyeronokkan hatinya malah dia terasa sedih pula.

Keputusan pun tidak dapat diambilnya dengan baik pada masa ini. Suaminya sudah lama lena. Dia pula yang masih terkunang-kunang matanya kerana tidak pernah mahu tertutup, walhal jam sudah menunjukkan angka dua pagi. Kenapa dia ni? Sayangkah kepada suaminya? Kalau saying kenapa dia tidak berterus-terang dan minta pendapat suaminya dan keluarganya? Kalau tidak pun mungkin ada alternatif lain pula.

“Kau beritahu ajelah yang benar dan lihat reaksi suami kau tu! Apa yang dia akan cakap kepada kau,” dia geleng. Dia sudah membayangkan wajah suaminya yang kelat itu. Jangan-jangan dia memang tidak akan dibenarkan pergi melanjutkan pelajarannya. Apa yang dia hendak kata pula? Jadi kalau begitu lebih baik dia diam dan bercakap-cakap yang bukan-bukan!

“Aku takkan cakap sekarang! Mungkin masa lain bolehlah! Aku malas hendak ditanya itu dan ini, aku rela pergi sahaja tanpa pengetahuannya!” bulat mata Kartika mendengar nekadnya.

“Bila pula masa itu? Bila kau sudah di luar negara nanti?” soal Kartika pula. Dia angguk. Mungkin itu jawapan yang paling sesuai pada masa ini. Dia bagaikan tidak sampai hati hendak meninggalkan suaminya pada masa kasih mereka bersimpul erat ini.

Kalaulah ada kuasa yang dapat menguatkan hatinya ini alangkah baiknya!

“Tengoklah nanti! Aku tak sure lagi sekarang ni!” katanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience