Chapter 17

Romance Completed 28069

Bab 17

Tidak ada apa-apa yang tinggal dalam dirinya kini. Dia sudah tidak ada apa-apa lagi. Panggilan bertalu-talu dari suaminya itu tidak pernah dipedulikannya. Tidak ada panggilan yang dijawabnya kecuali rakan serumahnya itu, Kartika sahaja. Selepas panggilan yang bertalu, suaminya menghantar mesej ringkas yang bertalu-talu dan menyatakan kerinduannya juga. Dia sudah tidak mempunyai kerinduan atau kasih untuk dilafazkan buat Aliff Hakimi.

Dia hanya ada kecewa, derita, benci dan ingin melarikan diri dari dunia lelaki itu. Barangkali lelaki itu sudah menikahi kekasihnya. Ah, untuk apa maaf kalau dia sudah tidak merelakan segala yang berlaku.

Biarlah mengalah untuk meninggalkan lelaki itu.

Ah, dia tahu rumah elit yang dibelikan suaminya untuk dirinya sudah lama kosong. Kata suaminya dulu, sebelum mempunyai anak yang menyerikan rumahtangga, mereka akan tinggal di kondominium tersebut. Ah, resah, dia resah memikirkan segalanya. Pasti lelaki yang hanya sesekali balik itu akan tercari-cari kediaman yang baru untuk isteri barunya.

Namun, dia sudah berjanji untuk melupakan kenangan manis yang seketika itu. Bagai hujan panas, hanya seketika. Itulah yang dirasakannya. Tidak ada lagi ruang untuk lelaki itu memohon maaf kepadanya. Sudah dimaafkannya sebelum dia mengangkat sebuah beg pakaiannya keluar dari rumah banglo besar di atas bukit itu. Segala barang kemas dan hantaran perkahwinan yang baru berlangsung itu ditinggalkannya sahaja.

Dia sudah merelakan suaminya itu mengambil semula bekas kekasihnya walaupun suaminya berjanji akan menggantungnya tanpa tali kalau dia keluar dari rumah besar yang bagaikan penjara itu. Ya, dia memilih untuk keluar sahaja. Tidak ada lagi pilihan terbaik yang diperolehinya kecuali keluar dari neraka besar itu.

Nuha Qarina berjalan lambat-lambat dari Pejabat Imigresen di bangunan tersergam indah di Putrajaya itu. Pasport antarabangsa sudah berada di tangannya. Sebuah urusan besar sudah selesai untuk perjalanannya yang jauh ini. Ada beberapa urusan lagi yang belum diaturnya. Dia memohon cuti selama seminggu untuk menguruskan segala kelengkapan perjalanannya. Tidak ada sesiapapun yang tahu, kecuali sahabatnya Kartika sahaja.

Nuha Qarina terus berjalan. Kereta yang bersesak-sesak di kawasan parking kawasan Putrajaya itu tidak dipedulikannya. Dia masih memperlahankan langkahnya. Baginya, apa yang penting, urusannya dengan Pejabat Imigresen sudah selesai. Tidak ada apa-apa yang dibimbangkan lagi. Tiket perjalanannya juga sudah diuruskan. Tiba-tiba pergelangan tangannya disambar orang. Tidak ada gelang emas atau cincin di pergelangan tangannya. Semua barang kemasnya disimpan rapi di dalam almari di rumahnya. Hatinya bagaikan terbang ke langit kerana amat terkejut dengan apa yang terjadi kepadanya.

“Tolong! Tolong! Jangan apa-apakan Nuha!” Nuha Qarina berteriak agak kuat apabila menyedari tangan kanannya dicengkam dengan kuat sekali. Beg tangannya dikepit dengan kuat. Dia tidak menyangka di tengah kesesakan manusia dan di kawasan awam itu, masih ada manusia yang cuba hendak meragutnya walaupun tangannya kosong.

Beraninya!

“Nuha jangan jerit! Ini abanglah!” kata lelaki itu, dia hanya sempat mengurut dadanya yang terkejut apabila dia menolehkan wajahnya ke arah lelaki berdada bidang di sisinya. ‘Ah, kau bakal kutinggalkan, untuk apa kau cari aku! Buat apa lagi kau nak cari aku?’ Bisiknya perlahan.

“Eh Aliff err abang! Apa yang kau buat kat aku ni ha?” jerkahnya marah kerana sangat terkejut dengan apa yang telah dilakukan oleh lelaki itu. Lelaki itu tersengih. Nuha Qarina terasa betapa rindunya dia kepada lelaki yang baru dikenalinya itu. Namun, dia tidak mampu meluahkan perasaan itu. Tinggallah semuanya di dalam hatinya sahaja.

“Nuha dari mana ni? Dengan fail sebuah dan sampul surat besar, apa yang Nuha uruskan di sini? Nuha nak uruskan perpisahan kita? Oh, please Nuha jangan buat begitu! Inai di jari Nuha pun masih merah lagi!” kata lelaki itu. Berkerut dahinya. Inai di jari? Eh, pening manusia ni! Dia ni inai aje di jari tetapi suaminya menidakkan kehadirannya!

Mata mereka bertentangan seketika. Nanar dia. Sudah berbulanbulan ini dia nanar dan bagaikan ibu kucing kehilangan anaknya. Namun di hadapan lelaki itu dia cuba bersikap selamba dan tenang. Blaus hitam kedut-kedut di tangannya dibetulkannya. Entah apa mimpinya lelaki tampan di hadapannya ini, dia semakin tewas untuk mengerti. “Tak ada apa-apa hal. Saya jumpa kawan di sini tadi! Yang awak sibuk nak tahu kenapa? Do your own business!” katanya agak kasar.

Kunci kereta sudah dikeluarkan dari beg tangannya. Kunci itu jatuh dari pegangannya. Dia tunduk untuk memungutnya. Dia bersedia sekali lagi meninggalkan Aliff Hakimi yang sudah memegang sebelah tangannya itu. Nuha Qarina seperti ingin menjerit apabila tangannya dipegang erat oleh lelaki itu. Rindukah suaminya itu?

“Nuha, maafkan abang Nuha. Kenapa Nuha tak balik ke rumah kita? Hari-hari abang tunggu Nuha, tapi Nuha tak pernah muncul. Abang telefon rumah Nuha di kampung Nuha tapi Nuha tak ada di sana. Ke mana Nuha selama ni sayang? Berhari-hari abang cari Nuha tahu tak!” barulah dia tahu betapa suaminya datang hendak menemuinya.

Maaf? Kenapa maaf harus lahir dari mulut lelaki yang sudah diijabkabulkan dengan dirinya itu? Soalnya mengkaji segala yang pernah berlaku kepada dirinya ini.

“Dah saya katakan, jangan ganggu hidup saya! Awak tak ada hak lagi ke atas saya! Ke mana saya nak pergi, dengan siapa saya nak jumpa, itu hal saya bukan hak awak nak tahu!” katanya semakin kasar.

Hakikatnya dia amat takut. Takut lelaki di hadapannya itu akan lebih berkasar dengannya. Apatah lagi dia tidak puas bermanja dengan suaminya namun apa yang dapat dilakukannya, sudah begitu takdirnya. Ah, betapa lemahnya dirinya melihat pandangan tajam lelaki itu. Rasa longlai tubuhnya. Inikah maknanya cinta?

“Abang masih ada hak yang penuh kepada Nuha sayang. Siapa kata abang sudah hilang hak itu? Bukankah sayang janji dengan abang yang kita akan hidup semati dengan abang? Kenapa mungkir?”

‘Hak? Sekarang ni baru bercakap pasal hak setelah berbulan-bulan dia tinggal dengan sahabat baiknya? Betulkah lelaki di depannya ini? Apa dia nak lagi ni? Kenapa sangat pelik lelaki ini? Sungguh dia hairan. Satu badannya hairan dan rasa pelik apatah lagi tiba-tiba dia menjelma bagaikan hantu di siang hari. Ah macam mana ni?’

Sayu kedengaran di ulas telinganya. Haruskah dia mempercayai lelaki hidung belang itu? Berdegup jantungnya apabila mata mereka bertentangan. Ah, berbulan mereka tidak bertemu tetapi kenapa aura lelaki ini masih mampu menyebabkan jantungnya berdegup tidak tentu rasa? Aduh!

Wajah kacak dengan hidung mancung ala-ala Yusri Kru suami kepada Lisa Surihani itu mencarinya, dengan pakaian kemasnya ini?

Bisiknya sendiri. Berdegup keras dadanya. Tidak mungkin dia mahu menyibukkan diri mencari dirinya, tetapi siapa di sisinya ini?

“Siapa yang janji? Saya tak pernah berjanji! Mungkin awak berjanji dengan orang yang salah, bukan saya! Saya isteri yang tak ada hak ke atas perkahwinan ini! Saya sedar siapa saya! Cepat awak pergi sini sebelum saya panggil pengawal keselamatan tu!” katanya mengugut suaminya itu. Aliff Hakimisemakin berani mendekatinya. Tangannya masih dipegang. Selama ini kalau terpegang pun tangannya habis dibasuh. Sampai begitu gelid an bencinya dia kepada dirinya ini.

Sekarang ni apa dah jadi?

“Oh, Nuha sayang tak berjanji dengan abang ya? Ni surat nikah ni apakah maknanya? Sekarang Nuha ikut abang balik ke rumah kita!

Abang sunyi!” soalnya lagi. perkataan ‘kita’ benar-benar menjadikan hatinya semakin sakit.

“Saya tak akan balik. Tak ada gunanya saya temankan abang di rumah abang tu. Buat apa saya balik rumah tu! Berilah untuk isteri muda abang masuk sana! Saya sudah katakan yang saya memohon cerai mulai hari tu! Abang tak faham lagi? Saya tak mahu berkongsi kasih dan saya tak mahu menyambung apa-apa cerita dengan abang! Abang faham! Oh ya, kenapa awak datang sini? Nak jemput majlis perkahwinan awak ya? Kad mana? Bila majlisnya? Nuha memang nak pegi!” katanya tegas sekali. Lelaki itu tersengih. Apa sudah jadi ni?

Wajah Aliff Hakimi tidak dipandangnya lagi. Dia benar-benar marah kepada lelaki itu walaupun dia sebenarnya tidak berhak hendak memarahi lelaki itu. Namun, dalam hati kecilnya betapa tidak mampu melihat lelaki yang menjadi suaminya itu bersanding dengan orang lain apatah ada sesuatu yang tersimpan kukuh di hatinya ini.

“Cerai Nuha kata? Siapa yang nak ceraikan Nuha? Cerai apa kalau inai di jari Nuha tu masih merah? Nuha masih isteri abang tahu tak?

Lagipun, abang masih memberikan Nuha nafkah setiap bulan! Jadi,

Nuha tak boleh sesuka hati nak memohon cerai!” kata Aliff Hakimidengan lebih tegas dan suaranya ditinggikannya.

Terketar dia mendengar ungkapan suaminya itu. Dia masih menundukkan wajahnya sedangkan lelaki masih merenungnya lama dan panjang. Lelaki ini memang gila! Bisiknya perlahan. terasa air matanya hendak gugur namun ditahannya dengan sekuat hatinya. Tidak ada apaapa yang hendak ditangiskan kepada lelaki itu.

“Ha! Tidak! Jangan nak bergurau dengan Nuha. Saya hormatkan abang sebagai suami saya tapi untuk kembali kepada abang macam mula-mula kahwin dulu, saya takkan lakukannya! Tolong lepaskan saya! Tolong bang, abang tak malu kalau semua orang sedang menjadi penonton kepada gaya kita ni?” kata Nuha Qarina lalu merenggut tangannya sekuat hati tetapi lelaki di hadapannya itu memegang tangannya bagaikan jaguh yang tidak akan melepaskan piala di tangannya. Dia sudah nekad untuk melupakan dan tidak akan kembali kepada lelaki itu. Dia sudah berjanji kepada dirinya sendiri.

Alangkah menyakitkannya. Menyesal dia kerana berjalan dengan lambat sekali sambil meneliti butir-butir di dalam pasport yang baru diperolehinya. Tiga hari dia berulang-alik ke pejabat itu barulah dia memperolehi semua dokumen yang diinginkannya. Dia bersyukur dengan apa yang diusahakan tetapi dia menyesal kerana memperlahankan langkahnya.

“Biarkan mereka menyaksikan kehidupan kita! Nuha kan isteri abang, apa yang abang nak takutkan? Abang bukan larikan anak dara orang, tapi isteri abang masih dara lagi kan? Nuha, abang menyesal, kembalilah ke pangkuan abang. Itulah abang jemput Nuha ke sini. Abang nampak Nuha ke bangunan ini tadi! Abang nak bawa Nuha minum,” pujuk suaminya tidak dapat dapat memujuk dirinya lagi. Nuha Qarina kaku seketika. Apakah suaminya ini sudah gila? Sudah beristeri lain tetapi sekarang cuba mengintai kasihnya pula? Suami apakah dia ini? Kenapa sudah begini jadinya suaminya ini?

Dia tidak pernah mengimpikan suaminya ini kembali sekalipun janjinya hendak menjalankan tugasnya sebagai suami yang bertanggungjawab kepadanya. Dia tidak percaya. Dia hanya tahu suaminya sudah beristeri lain. Sekalipun mama dan papa mertuanya mahu dia menjadi menantu mereka tetapi dia tetap mahu lelaki ini menceraikannya! Dia tidak mahu suaminya ini bermati-matian hendak kembali kepadanya. Kenapa? Kerana, hatinya, jiwanya, keinginannya dan kemahuannya itu sudah lain.

Sudah berbeza persepsinya kepada rumah tangganya. Dia sebenarnya sudah kecewa. Sudah kecewa dengan penerimaan suaminya kepadanya di awal perkahwinannya. Kenapa dia mahu sesukanya bersetuju hendak kembali kepada suaminya ini! Oh tidak!

Ah, baginya suaminya itu sudah tidak ada lagi. Dia menarik nafas berat sekali. Wajah tampan suaminya yang berkulit hitam manis itu dipandangnya lagi. lelaki itu masih tersenyum kepadanya. Dia benarbenar menyesal kerana pergi ke pejabat imigresen ini tanpa teman. Biasanya Kartika yang akan menemaninya tetapi entah apa alasannya, Kartika membatalkan hasrat menemaninya ke pejabat Imigresen ini pada saat-saat akhir.

“Bang, lupakanlah saya. Saya isteri yang tidak ada gunanya untuk abang,” Pintanya. Dia memang tidak mahu ada suami kacak seperti suaminya ini dan hati lelaki ini bukan untuknya. Dia tidak mahu berkongsi kasih. Sekalipun dia tahu lelaki ini mampu mengadakan apa sahaja untuknya namun dia tidak mahu lelaki ini. Biarlah dia tidak ada segala-galanya. Dia rela sendiri lagi.

“Jangan pinta yang bukan-bukan sayang. Abang masih sayangkan rumah tangga kita…”

“Dengan menikah lain? Then abang masih sayangkan rumahtangga kita? Suami apa abang ni? Lupakanlah saya bang! Abang boleh cari sepuluh lagi isteri kalau abang mahu, tapi bukan saya…” katanya sebak. Lelaki ini suka mempermainkannya. Mempermainkan perasaan isteri sepertinya samalah seperti menghancurluluhkan perasaannya. Suami apakah di sisinya ketika ini?

“Jangan cakap begini sayang. Abang tak perlu sepuluh isteri lain.

Cukuplah sayang seorang,” dia menggeleng. Dia tidak mungkin percaya dengan pernyataan suaminya itu.

“Sudah-sudahlah abang merapu ni bang. Abang pergilah dari hidup saya! Jangan ganggu saya boleh tak?”

“Abang akan sentiasa ganggu isteri abang!” matanya sudah membulat. Terkejut dengan pernyataan yang menyakitkan itu.

“Gila! Abang ni sudah gila nampaknya!” katanya lirih. Lelaki itu pula yang ketawa. Semakin terserlah kacaknya. Ya Allah dia memang rindukan suaminya ini. Dahulu, bagaimana jahatnya pun lelaki ini namun dia tetap sabar melayani kerenah suaminya. Bagaimana pun dia tidak pernah menyenangi masakannya untuk suaminya ini namun dia tetap menjalankan tanggungjawabnya kepada suaminya.

Kata emaknya, tugas seorang isteri ialah menunaikan tanggungjawabnya untuk suaminya. Syurga seorang isteri ialah di bawah kaki suaminya. Jadi dia kena sabar dengan apapun kerenah suaminya. Bagaimanapun layanan suaminya, dia harus tabah dan sabar serta menerima dengan hati yang pasrah. Namun sekarang, sabarnya sudah ditahap kosong. Dia tidak mahu lelaki ini merayu-rayunya. Dia tidak mahu lelaki ini mendekatinya lagi. Cukuplah sekali!

“Abang memang sudah gila ni sayang! Sebab gilakan sayang.” Katanya lagi. Semakin dia benci dengan pernyataan itu. Perlukah dia melayani suaminya ini?

“Mungkin abang mimpi ni semalam! Mimpi buruk!” katanya lalu ketawa.

“Sayang… abang memang sering mimpikan sayang. Abang dan saying kembali bersatu semula!” kata lelaki itu dengan penuh keyakinan. Semakin dia sakit hati. Akhirnya dia mendiamkan diri seketika. Semakin dijawab semakin suaminya menyakitkan hatinya. Kalau dulu bukan main dia dibenci.

Pagi tadi emaknya juga ada menelefonnya. Tidak diangkatnya. Dia takut emaknya akan bertanya di manakah dia tinggal sekarang. Dia takut suaminya dapat mengesannya. Dia benar-benar diburu ketakutan. Dia bagaikan pesalah yang melarikan diri dari penjara. Surat permohonannnya belajar semula sudah diterima. Dia akan melanjutkan pelajarannya ke Australia.

Itulah yang diidamkannya selama ini. Entah mengapa dia tersangkut dengan suaminya ini sebelum dia sempat diterima melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Tetapi, lelaki di hadapannya ini sudah dapat membaca ke mana dia pergi selama dua minggu ini. Mungkinkah kereta yang mengekorinya dua tiga hari ini adalah pengintip upahan Aliff Safwan? Tekanya dalam hati.

“Ok, mari kita minum dulu. Mungkin sayang penat ni. Mari kita hilangkan haus dulu.” Katanya mengajak dirinya. Dia tidak mahu ada kejadian yang tidak baik yang akan dilakukan oleh lelaki di sisinya itu. Barulah Aliff Hakimimelonggarkan pegangan tangannya. Dia berasa lega sedikit.

“Kita minum di Promanade Café nak tak? Lama kita tak jumpa kan, abang rindu!” kata lelaki itu sambil memuncungkan bibirnya. Ah, dia tidak mahu hendak pergi ke tempat yang agak jauh daripada tempat perumahannya itu. Tambahan pula dia hendak berurusan di Putrajaya.

Dia mahu pergi ke Jabatan Imegresen.

“Jauh tu bang!” katanya mahu menolak pelawaan itu. Jika dia setuju dengan pelawaan itu, itu bermakna urusannya akan tertangguh lagi pada hari ini. Aduhai!

Lemah dirinya dengan senyuman manis itu, apatah lagi dengan perkataan rindu yang baru keluar dari mulut lelaki itu. Namun apabila mengingati pengakuan jujurnya tiga bulan yang lalu, dia jadi kelu untuk membalas senyuman itu. Senyum itu bukan untuk dirinya.

“Mari sayang. Mari naik kereta abang,” pelawa suaminya lagi. Dia menjeling suaminya itu. Dia mahu menolak sebenarnya.

Dia benar-benar terasa betapa dia tidak layak untuk menerima senyuman itu sekalipun dia adalah isteri Aliff Hakimi yang sah! Senyumnya kecut lalu dia mendiamkan dirinya. Dia hanya membuntuti arah mana yang ditujui oleh lelaki yang bergelar suaminya itu.

“Saya tak mahu, masih ada urusan kerja yang nak diselesaikan!

Tolong pergi dari sini Aliff! Saya…saya sebenarnya… ada kerja!” katanya perlahan menolak pelawaan lelaki yang bukan dianggap suami itu. lelaki itu masih masih memandangnya. Pegangan erat suaminya cuba dilepaskan.

“Nuha mesti ikut abang. Kalau tak, abang sendiri yang akan angkat Nuha ke kereta, biar mereka menyaksikan isteri abang ni kena angkat!

Bagus juga kan?” sebal dan berbulu telinganya mendengar ungkapan lelaki di hadapannya itu. Dia tahu lelaki itu tidak boleh dicabar. Kalau dia mengiyakan, lelaki itu pasti akan mengangkat tubuhnya dan memasukkannya ke kereta. Dia tidak mahu membayangkan hal itu.

Tangan kanannya masih dipegang teguh. Dia benar-benar marah dengan tindakan lelaki itu tetapi dalam kesesakan orang ramai itu, dapatkah dia bertindak? Bisiknya lagi mencari ruang untuk melepaskan diri tetapi dia tidak berjumpa dengan ruang itu.

“Ikut abanglah!” balasnya lambat dan terpaksa. Dia sudah berada di perut kereta BMW hitam itu. Lelaki itu melarikan keretanya meninggalkan kawasan Jalan Putra Jaya yang agak sesak pada petang itu. Jalan yang sesak dan sempit itu menyebabkan setiap kereta berjalan perlahan. dia masih duduk dengan tangan bersilang. Rambut yang melepas bahu diuraikannya perlahan.

“Nuha semakin manis, rindukan abang tak ni? Nuha semakin kurus, tentu risau memikirkan abang yang nak kahwin lagi kan!” ya Allah, soalan itu menjadikan hatinya bertambah luluh. Dia hanya mendiamkan dirinya. Baginya diam itu lebih bermakna daripada menjawab kata-kata lelaki yang tidak mahu mengalah itu. Sakit sungguh hatinya.

Sepatutnya sebagai isteri, tugasnya adalah melayan suami lebihlebih lagi mereka baru sahaja diijabkabulkan tiga bulan yang lalu. Entah di mana silapnya, hubungan mereka menjadi lesu sekali. Kalaulah suaminya itu tidak membuat pengakuan, tentu hidupnya tidak bersimpang-siur begini. Tetapi lambat laun, pasti tembelangnya akan pecah juga. Apakah gunanya lagi?

“Tak ada gunanya rindu tu semua! Ia sudah berakhir bang! Badan Nuha gemukkah, kuruskah, tak ada kaitan dengan abang! Abang nak kahwin sepuluh kah, dua puluhkah, semuanya tidak ada kaitan dengan

Nuha! Nuha kan dah minta abang ceraikan Nuha!” katanya tegas.

Antara kedengaran dengan tidak. Aliff Hakimi tertawa lebar. Suka benar dia dengan kata-katanya itu. Geram dia. Lama benar dia tidak mendengar tawa lelaki itu. Ada rindu yang mencuit di hatinya melihat gelagat lelaki itu. Mungkin kerana mereka berkenalan dalam jangka waktu yang singkat menyebabkan dia tidak begitu mengenali lelaki itu. Namun, dalam diam lelaki di sisinya itulah yang telah memikat hatinya dalam sekelipan mata sahaja. Benar juga, jika Allah izinkan sesuatu itu berlaku, dalam sekelip mata pun ia boleh berlaku. Subhanallah!

“Betulkah macam tu? Nuha tak marah kalau abang nak kahwin seramai mana pun? Wah, baiknya isteri abang ni, bertuah abang menikahi Nuha.” terkedu dirinya. Dia terasa harga diri dipayang-payang. Sukar benar dia hendak bernafas sesaat itu.

“Sudahlah bang. Abang buatlah apa yang patut abang buat. Buatlah apa yang membahagiakan abang. Nuha tahu diri Nuha tak berguna buat abang! Nuha orang miskin tak layak untuk abang!” katanya seperti merajuk tetapi dia menguatkan semangatnya untuk terus bersabar dengan cubaan yang diterimanya.

“Masih ada gunanya Nuha sayang. Semuanya belum berakhir, percayalah! Kita masih boleh mulakan hidup baru! Baru abang tahu yang hati abang sudah diikat ketika ijabkabul berlaku lebih dua bulan lalu! Takkan abang nak cari dua puluh gadis lagi sedangkan gadis di sisi abang ni sudah cukup untuk menjadikan abang tak boleh lena setiap malam!” kata Aliff Hakimi membuat pengakuan berani mati. Mahu sahaja Nuha Qarin termuntah mendengar pengakuan berani mati itu.

Senyumannya terukir di bibir. Nuha Qarina menjuihkan bibirnya dalam diam. Dia tidak mahu mengerti akan kata-kata lelaki itu. Dia tidak akan percaya lagi! Cukuplah sekali dia ditipu!

Sudah berkali-kali lelaki itu menyatakan hasratnya hendak memulakan hidup baru. Dia menjadi kelu. Tidak tahu jawapan terbaik untuk lelaki itu. Sedangkan dia sudah memilih sebuah kehidupan terbaik untuk dirinya. Kepalanya digeleng-gelengkan perlahan sekalipun tangan kanannya masih di dalam genggaman lelaki itu. sejuk seluruh tubuhnya.

“Jangan mimpi abang! Saya tidak mahu awak mimpi! Saya sudah anggap antara kita tidak apa-apa walau seribu tahun lagi awak gantung hidup saya tanpa tali…” katanya lirih.

Terlalu sebak dengan apa yang berlaku. Dia benar-benar tidak menyangka hidupnya akan menjadi sederita ini. Dia bagaikan bangkai hidup tanpa memikirkan makna hidup. Nasiblah permohonannya menyambung pelajarannya di Australia diluluskan akhirnya. Itupun setelah berkali dia melakukan ‘follow-up’. Kebetulan ada seorang bakal pelajar yang mengundur diri pada saat terakhir dan tempat itu digantikan dengan dirinya.

Kalau saat ini dia bahagia dengan lelaki kacak di sisinya ini, tentu dia tidak akan melakukan apa-apa terhadap permohonannya itu. Namun apakah dayanya, dia tidak ditakdirkan hidup bahagia dengan lelaki itu. Selama inipun hatinya menolak. Entah kenapa emaknya begitu banyak menyumbang sokongan untuk hubungan awal mereka. Kini, dia sendiri juga yang merana.

Ya Allah ampunkan dosaku!

“Tak ada istilah gantung tanpa tali sayang! Awak tak kan digantung. Buat apa abang nak gantung sayang, abang kan sayangkan Nuha! Percayalah! Sayang tetap akan disayangi setiap waktu! Emak mertua sayang tanya, bila kita nak melawat mereka? Hujung minggu ni boleh?” bisik lelaki itu lagi. Bulat matanya.

Lelaki itu mendekatkan bibirnya ke anak telinganya. Meremang bulu tengkuknya. Terasa bagai malaikat maut yang menghampiri dan ingin mencabut nyawanya. Dia menjauhkan dirinya dari lelaki itu. Wajah ibu mertua dan ayah mertua terbayang di wajahnya. Namun dia sengaja tidak mendengar soalan itu. Bibirnya dicebikkannya. Seolah dia memang tidak ada ahli keluarga dari pihak lelaki di sisinya itu.

“Tak boleh Aliff! Saya ada hal! Mungkin lain kalilah kan!” jawabnya ringkas. Sesekali dia memanggil ‘abang’ dan sesekali dia memanggil nama lelaki itu. Walhal hari yang sama dia sudah menempuh perjalanan yang jauh. Dia tidak akan berpaling lagi. Itu yang dia pasti.

“Mereka benar-benar mengharapkan Nuha datang hujung minggu ni. Mereka rindukan Nuha. Kata mama, Nuha pandai masak ikan rebus pedas. Mak Nuha yang bagi tahu. Dulu masa kita bertunang, Nuha pernah masak di rumah mama abang juga kan! Tapi, sayang masa tu abang ke luar kawasan, tak dapat jumpa Nuha. Tak dapatlah abang merasa masakan sayang! Mama pun suka dengan masakan menantu dia!” kata Aliff Hakimi mengingatkan sesuatu yang cuba dilupakan dari kolam ingatnya ini. Dia menggeleng.

Namun, lelaki di hadapannya itu masih tetap memaksanya untuk mengingati segala-galanya. Dia menggelengkan kepalanya. Tiket yang sudah diterimanya dua hari yang lalu memungkinkan dia tidak akan mampu menemui bekas ibu mertuanya yang menerima kehadirannya dengan baik sekali.

“Tak boleh! Kalau saya boleh, saya tidak akan menghampakan walaupun saya sering dihampakan! Tetapi minggu ni saya betul-betul sibuk!” katanya dengan panjang lebar. Dia tahu Aliff Hakimi bukan lelaki yang mudah mengalah, namun dalam hal yang sama dia benar-benar tidak dapat menunaikan permintaan lelaki itu.

“Tapi, Nuha nak ke mana, abang boleh hantar Nuha, lagipun lama kita tak jalan sama-sama kan? Hanya sewaktu kita bertunang, kita pernah jalan-jalan sekali di 1 Borneo kan! Nuha ingat lagi tak?” tanyanya pula. Dia menggeleng. Dia tidak mahu mengingati hal mereka berjalanjalan dengan berjauhan itu. Malu dia memikirkan hal itu.

Mata lelaki itu masih merenung tajam ke arah Nuha Qarina yang lebih banyak menundukkan wajahnya. Nuha Qarina kalau boleh tidak mahu mengingati semua itu. Ia sungguh menyakitkan.

“Nuha ada kerja yang nak disiapkan secepat mungkin! Tak perlu Aliff nak susahkan diri. Banyak perkara lagi Aliff boleh siapkan daripada melayan Nuha! Aliffkan banyak kerja! Nuha tak boleh ingat semuanya

Aliff! Mungkin ia sudah lama berlalu kan!” katanya perlahan.

Seketika pandangan mereka bersatu tetapi dia cepat-cepat memindahkan pandangannya ke sisi kiri. Dia tidak mahu merenung lelaki yang penuh jambang itu. Apakah selama sebulan ini lelaki itu merana?

Soalnya dalam hati.

“Hmmm, kalau begitu malam esok abang pergi rumah Nuha ya! Abang akan jemput Nuha di rumah Nuha ya!” katanya lagi memulakan janji. Dia tidak suka dengan tingkah lelaki itu. Kata-katanya sentiasa ditunaikannya. Itulah yang menakutkannya. Apatah lagi dia hendak berangkat beberapa hari lagi.

Lelaki bertubuh sasa yang berpakaian kemas di sisinya itu baru setahun dikenalinya. Tahun lalu, sewaktu lelaki itu baru balik dari berurusan di Jepun, emaknya membawa dia menemui lelaki di sisinya ini. Siapa tahu, dia jatuh cinta pandang pertama dengan lelaki ini tetapi dia tidak pernah meluahkan segala-galanya kepada lelaki itu. Apabila mereka ditunangkan oleh keluarga, dia terus menerima pinangan lelaki itu. Entah apa yang merasuknya sehingga dia menganggukkan kepalanya menerima lelaki ini. Dia tidak ada fakta yang kukuh sebenarnya. Malah kesalnya berterusan sepanjang perjalanan hidupnya ini.

Bertahun-tahun bertunang dengan bekas tunangnya dia tidak pernah jatuh cinta. Tetapi, sekali pandang dengan usahawan muda ini, dia sudah pandai merindu. Akhirnya dia bersetuju untuk mengahwini lelaki itu. Tetapi, apakah lelaki yang sudah menjadi suaminya mempunyai perasaan yang sama dengannya? Pasti dia sendiri tidak pasti. Kalau sama, kenapa dia masih ingin bernikah dengan bekas kekasihnya yang pernah meninggalkannya? Bisiknya lagi.

Dia bimbang segalanya akan berakhir dengan penderitaan dalam hidupnya. Apatah lagi apabila diketahuinya Aliff Hakimi yang memiliki segalanya itu adalah usahawan muda yang berlatarbelakangkan perniagaan dalam keluarganya. Itu yang menyebabkan hatinya kecut dan tidak mempunyai keyakinan diri untuk saling memiliki. Berdiri di sisi lelaki itu sebagai pengantin perempuan pun dia masih tidak mempercayai yang lelaki itu adalah suaminya.

Sehari selepas perkahwinan mereka, Aliff Hakimi terus menghadiri mesyuarat di Vietnam dan dia masih di rumah keluarganya. Mereka berdua tidak sempat membuat lawatan keluarga ke rumah keluarga suaminya itu. Ini kerana, lelaki itu sentiasa berada di luar negara atas urusan rasmi akan tugas-tugasnya. Itu yang menyebabkan dia agak terkilan dan kecil hati.

Malah, keluarga suaminya itu tidak pun menjenguk dia di rumah keluarganya ketika mereka baru berkahwin dahulu. Mungkinkah keluarganya juga sibuk? Apakah yang mereka sibukkan? Namun, sesekali Datin Hamidah ada juga menelefonnya menanyakan khabarnya.

Begitulah hubungan mereka hanya berlarutan di telefon apabila suaminya itu menghadiri mesyuarat demi mesyuarat di luar negeri. Sungguh dia merelakan segalanya dan dia meneruskan kehidupannya seperti biasa walaupun selepas perkahwinan aneh itu. Sehinggalah dua bulan kemudian, mereka terbang berbulan madu ke Pulau Bali dan Aliff Hakimi mengakui yang dirinya masih menyintai bekas kekasihnya yang baru ditemuinya semula.

Dia merelakan kejadian itu dan meminta hubungan mereka diakhiri dengan penceraian. Namun, lelaki di sisinya itu berdegil dan mengugut hendak menggantung dirinya tanpa tali. Dia juga rela dengan apa yang berlaku. Baginya dunianya hanyalah belajar, bekerja di samping menyumbang sesuatu yang bermakna buat masyarakatnya.

“Kenapa Nuha tak percaya yang kita suami isteri boleh meneruskan hubungan kita ni? Kitakan suami isteri? Abang belum melafazkan perpisahan kan?” kata Aliff Hakimi lagi. Nuha Qarina mengangkat bahunya. Dia malas mahu bertengkar dengan lelaki itu.

Dia bagaikan sudah lupa kejadian menyayat hati sewaktu mereka sedang berbulan madu. Mereka balik semula ke rumah masing-masing sehari selepas itu. Aliff Hakimi bagaikan tidak ada perasaan. Sebak dada Nuha Qarina dengan apa yang berlaku. Suaminya ini benar-benar tidak ada perasaan buatnya. Apakah anggapan lelaki itu terhadap dirinya? Kekasih? Teman? Sahabat? Tunang? Isteri? Segala-galanya kalut di bibirnya. Tidak mampu dia bersuara.

“Saya tak tahu bang! Sepatutnya abang tanyakan kekasih abang tu. Bila abang nak kahwin? Bila abang nak bawa dia jumpa mak mertua kami tu! Saya masih menanti jemputan abang. Kalau boleh saya nak jadi pengapit abang! Tak sabar menunggu hari bahagia abang tu!” katanya lambat-lambat, malah dia takut-takut hendak mengungkapkan kata-kata itu. Ah, mampukah dia berdiri sebagai pengapit di sisi suaminya yang semakin disayanginya dalam diam itu? Bisiknya perlahan. Dia bimbang akan menyakiti hati lelaki itu.

“Hari bahagia kita sudah tercipta sayang! Kenapa nak tunggu hari bahagia yang lain pula? Terang-terang, mama abang dah pinang Nuha untuk abang dan ijab kabul dah pun dilafazkan, kenapa abang harus menderita lagi tanpa Nuha?” katanya bagaikan menyerlahkan kejujuran. Namun dia hanya mencebikkan bibirnya. Tidak mempercayai apaapapun mengenai lelaki itu lagi. Semuanya harapan sudah punah.

Tiba-tiba telefon bimbit lelaki itu berbunyi.

“Hello, ya…ya…ya cakap, ni saya ni…err…saya …ya…saya akan datang segera! Siapa yang telefon? Meeting tergempar? Di mana? Oh, ya ya saya akan datang sekarang! Beritahu semua ahli lembaga pengarah!” katanya lantas meletakkan telefon. Mereka berpandangan.

Nuha Qarina faham apa yang seharusnya dilakukan. Ya, inilah peluangnya melepaskan diri dari lelaki itu. Dia tersenyum sendirian. Dia sudah menemui jalan keluar. Allah mendengar keluhannya selama lebih setengah jam di perut kereta mewah lelaki ini.

“Turunkan saya di mana-mana Aliff! Saya boleh naik teksi sahaja!” katanya lantas membuka pintu kereta lelaki itu. panas hatinya dengan ungkapan lelaki itu. Entah kenapa dia harus cemburu dengan tingkah lelaki itu sedangkan tidak berapa lama lagi dia akan meninggalkan lelaki itu dan dia sudah pun menuntut cerai kepada lelaki itu! Wajarkah tindakannya!

“Jangan Nuha, sayang. Jangan buat abang macam ni! Abang ada hal di pejabat sekejap! Nuha tunggu di restoran tu sehingga abang datang ya! Takkan kita nak batalkan pula, abang dah tempah awal!” katanya. Tangan kanan Nuha Qarina dipegang erat.

Namun Nuha Qarina sudah menarik tangannya dengan kuat sekali. Dia tidak mahu hubungan lain akan bermula dengan lelaki itu. Dia sudah berjanji kepada dirinya. Walaupun selama sebulan ini, tidurnya berbantalkan kenangan dengan lelaki di sisinya itu.

“Jangan Aliff! Dia kan isteri awak juga. Tak apa saya boleh balik sendiri!” katanya. Aliff Hakimi tidak dapat berbuat apa-apa selain dari memperlahankan kereta dan berhenti di satu kawasan yang boleh dia memberhentikan keretanya.

“Nuha! Kenapa Nuha degil sangat ni? Awak asyik sebut wanita lain! His, lain benar awak ni!” soalnya lalu melepaskan pegangannya. Nuha Qarina pandang suaminya. Apa kena dengan suaminya ini? tidak mahu dia menyebut wanita lain? Bukankah dia meminta keizinan hendak menikah dengan bekas kekasihnya? Apakah dia datang ini hendak meminta tandatangannya? Dia mahu tetapi kenapa hatinya bagaikan berdarah?

“Terima kasih abang Aliff! Saya memang aneh di atas perkahwinan kita yang aneh! ” katanya dengan senyuman manis tetapi sebenarnya hatinya amat sebak.

“Sudah! Jangan nak sebut-sebut hal-hal yang lalu! Abang dah lupakan semua tu! Kita mulakan hidup baru ya!” kata suaminya lagi. Masih cuba memujuknya. Ah, dia tidak akan terpujuk.

“Kita jumpa malam ni ya. Malam ni abang jemput Nuha di rumah ya! Nuha cepat balik ya!” kata Aliff Hakimimemadu janji yang hampir mustahil dapat dia tunaikan. Tangan Nuha Qarina bagaikan tidak dapat dilepaskan. Namun, Nuha Qarina berkeras meminta dilepaskan.

“Tak boleh Aliff. Saya ada banyak kerja nak diselesaikan. Banyak buku budak-budak yang belum disemak! Lain kalilah ya! Terima kasih banyak-banyak bang kerana sudi menurunkan Nuha di sini!” Katanya lalu turun dari kereta mewah dan luas itu.

“Ok, maafkan abang ya sayang. Nanti kita jumpa malam! Hmm, sayangnya intan payung abang ni! Tentu menderita kan hatinya!” katanya sambil mengucup tangan Nuha Qarina yang putih melepak itu. Terkejut dia dengan tindakan pantas lelaki itu. Dia cepat-cepat menarik tangannya dari genggaman lelaki itu.

Lega hatinya apabila melihat kereta lelaki itu bergerak dengan perlahan seolah-olah berat hati hendak meninggalkannya di sisi jalan itu. Dia memang hendak melepaskan diri dari lelaki itu, malah dia sedang membuangkan semua bayangan lelaki itu yang memburunya kini. Selepas itu, dia berfikir bagaimana mendapatkan teksi untuk kembali ke kawasan letak kereta di Putrajaya. Keretanya berada di sana!

Perlahan, dia benar-benar benci dan marah kepada lelaki itu! Walaupun lelaki itu sebenarnya yang ingin diintipnya selama ini! Akhirnya, dia benar-benar tidak menyangka akan tindakan lelaki itu terhadapnya sebentar tadi! Kalaulah dia sempat melarikan dirinya, alangkah baiknya!

Ah, kenangan mengusik jiwa!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience