Chapter 27

Romance Completed 28069

Bab 27

“Nuha, mak kasihan dengan kau ni.” Kata emaknya suatu hari. Puan Suria kalau tidak mengganggunya dalam seminggu memang tak sah itu emaknya. Emaknya memang kuat berleter. Dia kebetulan balik ke rumahnya pada hujung minggu yang lalu. Emaknya pula akan mencarinya jika dia tidak pulang menjenguk emaknya itu. Bagai terguris lukanya mendengar kata-kata emaknya. Memang sepatutnya emaknya kasihan kan dia.

Tetapi apa maksud emaknya ini? Kasihan? Kasihan macam ada niat lain pula? Pandangan mata emakpun bukan macam nak tunjuk kasihan. Dia diam agak lama. Sebenarnya dia cuba menntafsir apa yang terselindung di sebalik kata-kata emaknya ini.

“Kenapa nak kasihan kasihan ni pula mak?” soalnya tidak puas hati. Wajah emaknya sudah masam. Baru sahaja dia menjejakkan kakinya di sini dan dia mahu duduk di sofa coklat emaknya ini, emak sudah mula kasihankan dia. Apa ya yang emaknya mahu cakap?

“Tak kasihan apanya? Mak ni yang patut kau kasihankan!” kata emaknya lagi. Pulak? Nak kasihankan emaknya pula? Apa yang patut dia kasihankan? Kerana dia akan tinggalkan emaknya? Abang dan kakaknya kan ada di sini? Akan menengok-nengokkan emaknya? Selama ini pun dia memang tidak duduk dengan emaknya. Abangnya yang duduk dengan emak dan ayahnya ini. abang dan kakak iparnya yang jaga dia. Apa yang patut dia kasihankan kepada emaknya? Gusar dia seketika.

“Kau tak kasihankan emak? Diri kau?” soal emak. Pening dia. Sekejap kasihankan emak. Sekejap kasihankan dirinya pula? Apa ni ya? Pasal perkahwinannya dengan Aliff Hakimi yang kasar dan tidak ada perasaan itu? Kalau dia hendak cari lelaki lain dan buat iklan bagi suami barunya, apa masalahnya? Pasti ramai yang akan berjanji temu dengannya. Apa yang dia susah? Tetapi sekarang dia tidak mimpi hendak bersuami baru, hatta berkawan lelaki pun dia tidak mahu!

“Kenapa nak kasihan kan diri saya pula mak?” soalnya sudah pening. Emaknya berdolak-dalik pula dengannya. Emaknya sudah duduk di sofa berdepan dengannya. Dia tidak jadi bermain-main dengan Samsung tabletnya.

“Kau tahu Nuha…” Puan Suria berjeda. Dia tahu emaknya ini suka main terjah sahaja kalau bercakap. Dia tidak peduli kalau hendak marahmarah dia. Salahnya kah kalau Aliff Hakimi memang tidak mahu menerima perkahwinan mereka ini? Salahnya kah kalau perkahwinan mereka ini hanya bertahan sekerat jalan? Salahnya kah kalau suaminya itu tidak mahu pandang wajahnya? Ah, memang serba-salah dia. Sudah diikut kata orang tuanya agar menikah dengan lelaki itu. Sekarang suaminya sudah membuangnya, dia juga yang dipersalahkan. Memang beginikah adat dunia, jika berlaku perceraian, memang perempuan yang salah? Tak pandai jaga laki kan? Ah, sedihnya!

“Tahu apa mak?” soalnya. Mata tajam emak cuba-cuba dipandangnya. Apa lagi yang emaknya tidak puas hati dengannya?

“Azimah kawan sekolah kau kan?” soal emak. Azimah memang kawan sekolahnya semasa tingkatan lima. Dia angguk. Dia sudah berhenti kerja. Suaminya seorang kontraktar binaan. Dia pernah berjumpa dengan Azimah di sebuah pusat peranginan dulu. Dia memang bergaya sekarang.

“Ya mak. Kenapa dengan dia?” dia terkenang kawan sekolahnya itu. Nasibnya tidak sama dengan Azimah. Memang juga ditakdirkan mereka dilahirkan berbeza antara satu sama lain.

“Dia dah ada dua orang anak. Baru saja dia bersalin. Dia kahwin awal sikit dari kau. Lega hati mak dia. Anaknya sudah berikan dia cucu!” kata emak. Itu yang dia kasihankan kepada dirinya? Memang patut emak kasihan kepada dirinya. suaminya itu mahu sentuh dirinya pun tidak sudi. Inikan pula hendak menyebut pasal anak. Jauh panggang dari api.

“Sudah rezeki Azimah dan suaminya mak. Syukurlah mak.” Jawabnya. Wajah emaknya kelat.

“Rozita kau kenalkan?” soal emaknya lagi. Dia kenal Rozita sejak sekolah rendah lagi. Memang dia dan Rozita kawan baik juga semasa di bangku sekolah rendah.

“Ya kenal mak. Kenapa pula dengan dia?” soalnya lagi. Wajah empat segi Rozita terbayang di mata.Wajah Rozita tetap kelihatan manis dengan bentuk matanya yang macam bintang.

“Kau tahu dia kahwin sehari selepas hari kau nikah.” Kata Puan Suria seperti mengingatkan dia mengenai rumah tangganya yang bergolak sebelum matahari naik sepenggalah. Sedihnya!

“Ya mak. Saya tak sempat nak pergi kenduri kahwin dia.” Katanya dengan selamba.

“Dia dah mengandung anak pertama Nuha. Kau pula belum ada tanda-tanda nak mengandung? Lari pula dari rumah suami? Kalau menantu mak macam kau ni, apa perasaan mak ya?” emaknya tidak mahu faham atau pura-pura tidak faham ni? Soalnya dalam hati.

Samsung Tabletnya tidak jadi dia keluarkan dari beg tangannya. Masih berada elok dalam beg tangannya.

“Syukurlah mak, rezeki Rozita. Siapa yang tidak mahu anak mak!” katanya berbasa-basi. Dia sudah sebak.

“Jadi kau macam mana? Mak ni dah lama tunggu kau mengandung Nuha,” kata emak. Bagaikan batu granit dihempaskan ke kepalanya. Betapa sakitnya kata-kata emaknya itu. Nak mengandung macam mana dia ni? Lainlah kalau berganti suami macam berganti baju! Taklah! Biarlah dia sendirian selepas ini. Takkan pisang berbuah dua kali! Maksudnya, tidak akan dia biarkan emaknya menjodohkan dia dengan sesiapa seperti perkahwinan orang dulu-dulu! Biarkan cinta berlalu.

“Belum ada rezeki mak! Kalau Tuhan dah bagi rezeki pasti dia dah beri kat kami,” katanya perlahan. Sedih pun ada. Bagai ada batu membuku di dadanya. Memang dia sedih sangat. Namun apa yang dia boleh buat, mereka belum ditakdirkan mempunyai anak. Mahu pandang mata emakpun dia tidak berani kali ini. Dia tunduk menekuri lantai bertikar getah berwarna biru berbunga merah itu. Hakikatnya air matanya bagaikan air turun dari pergunungan, mahu terjun turun ke lurah!

Memang dia tidak mengimpikan akan ada anak dengan Aliff Hakimilah nampaknya kalau hendak pandang mukanya pun lelaki itu tidak sudi. Tetapi dia datang semula dengan kata maaf yang mengalahkan lori banyaknya. Apakah maknanya itu?

“Belum ada rezeki apa namanya kalau kau lari dari rumah suami kau tu Nuha?” kata Puan Suria. Memang mulut Puan Suria macam bertih. Tidak ada insurans! Mahu sakit hati, dia tidak sampai hati. Mungkin ada baiknya juga emaknya berleter kepadanya. Nanti kalau dia sudah tidak ada, siapa yang akan emaknya leteri? Soalnya dalam hati. “Sudahlah mak! Anggaplah perkahwinan kami tidak sukses! Siapa yang tidak mahu bahagia mak?” soalnya yakin. Sebenarnya dia tidak yakin akan dirinya.

“Saya masuk bilik dulu mak. Nak rehat kejap!” katanya memohon diri dari emaknya. Emaknya memandang tajam.

“Mak ada masak ayam masak kurma tu di dapur Nuha. Kau tentu suka!” kata Puan Suria. Bulat matanya. Pandainya emak memujuknya! Hendak marah kepada emaknya pun dia tidak jadi. Mungkin emaknya hanya melahirkan ketidak puasan hatinya. Apa yang dia boleh buat? Lelaki itu memang tidak sudi kepadanya? Bagaimana dia hendak melahirkan zuriat untuk suaminya? Ah, lupakanlah soal zuriat. Dia akan focus soal ilmu pula.

“Mak memang rajin!” katanya yang memang menyukai ayam masak kurma.

“Ada tempahan tadi. Mak tinggalkan untuk kau sikit!” kata emaknya yang sudah tidak marah kepadanya.

“Terima kasih mak sebab ingat saya.” Katanya menyalami tangan emaknya. Kalau dia jauh nanti, tangan tua siapa lagi yang akan dia salami?

“Pergilah makan! Baru rehat!” kata Puan Suria.

“Ya mak!” katanya.

“Abang Mail mana mak? Anak-anaknya pun tak da bermain di ruang tamu!” soalnya. Puan Suria tersengih.

“Abang kau tu biasalah. Cuti hujung minggu ni kalau tak ke rumah mertua dia, bawa anak-anaknya ke City Mall!” kata emaknya. Seronok juga ada anak, boleh bawa ke mana-mana. Dia? Siapa yang hendak dia bawa? Emaklah! Emak pun tidak mahu dibawa ke mana-mana kalau ada tempahan memasak. Orang kateringlah katakan!

Adik lelakinya pun sibuk dengan bolanya pada hujung minggu begini. Rumah emak jadi sepi. Ayah pula sibuk dengan jalanya.

“Seronok juga abang dan Kak Sara kan mak!” katanya. Emak jadi sayu memandangnya. Ah, memang dah takdir dirinya, apa yang mahu dikesalkan?

“Mereka tu saling jatuh cinta! Mereka pun mak juga yang carikan jodoh!” tahu! Dia tahu hal itu. Abangnya jenis tahu bersyukur. Beza sangat dengan Aliff Hakimi yang banyak komitmen itu! Siapa yang jadi mangsa? Nuha Qarina lah!

“Kau makanlah! Ada nasi di periuk tu! Mak nak angkat telefon dulu.

Mungkin ada orang nak buat tempahan tu!” kata emaknya yang berlari anak apabila telefon rumah mereka berbunyi.

Dia hendak makan? Ah, ayam masak kurma pun sudah hilang rasa ditekaknya. Makan sikit ajelah! Bisiknya perlahan. Dia mengesat matanya yang sudah berair sejak tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience