Chapter 45

Romance Completed 28069

Bab 45

“Dah lama ke sayang tinggal di rumah sewa ini?” soal suaminya apabila mereka sudah sampai di perkarangan rumah sewa jenis teres dua tingkat itu. Dia angguk. Mereka sudah agak lama tinggal di rumah sewa Taman Bersatu Fasa Dua ini.

“Agak lama juga bang. Sejak saya bujang lagi,” jawabnya. Rumah itu sebenarnya rumah keluarga Kartika yang disewakan kepada mereka berdua. Kiranya mereka membantu membayar ansuran rumah itu setiap bulan.

“Oh, siapa yang tinggal di rumah ini Nuha?” soal suaminya lagi ingin mengetahui semua mengenai dirinya. Sekarang baru dia nak tahu mengenai dirinya ini? Ah, kasihan pula dia. Seharusnya dia kuncikan sahaja mulutnya. Jangan berikan apa-apa teguran kepada sahabatnya itu. Dia masih geram sebenarnya. Geram kepada lelaki super ego ini.

Egonya menggelegak bagaikan air di cerek yang sudah berbunyi!

“Kartika aje bang. Hanya kami berdua. Hari tu saya dah keluar dari rumah ni, Kartika tinggal sendirian. Tapi kalau sekali lagi saya keluar, tak tahulah Kartika akan cari kawan lain atau tidak,” katanya. Dia berasa sebak. Sebak kerana akan berpisah lagi dengan kawan baiknya itu.

“Kawan sayang tu tak nak kahwin ke?” soal suaminya lagi. Dia diam. Selama ini Kartika tidak pernah bercerita mengenai kekasihnya. Dia pun tidak pernah bertanya mengenai kekasih kawan baiknya. Setahunya kawan baiknya pernah putus cinta semasa mereka masih di bangku sekolah. Selepas itu mereka tidak pernah lagi bercerita mengenai hal itu.

“Entah lah bang. Kenapa abang nak dia ke? Kalau nak saya nak pinangkan untuk abang. Abang nak?” soalnya pula. Kelat wajah suaminya itu. Mungkin agak marah dengan gurauannya. Dia bukan bergurau sebenarnya. Dia mahu suaminya bahagia dengan gadis intipannya. Mereka berdua pula telah dijodohkan oleh keluarga mereka.

“Ke situ pula sayang ni, percayalah sayang, abang tak berniat lagi nak tambah isteri abang. Cukuplah abang seorang.” Katanya. Wajah itu kelat lagi. Kasihan pula suaminya. Dia lebih kasihan. Dahulu suaminya pernah meminta untuk berkahwin lagi. Sekarang siapa yang sayang siapa?

“Betulkah ni?” soalnya ragu-ragu. Tangannya sudah dipegang suaminya. Kereta sudah terberhenti dengan serta-merta. Nasib baik kepalanya tidak terhantuk di dashboard kereta itu. Kalau tidak bengkak dahinya. Nasib baik suaminya cekap membawa keretanya.

“Abang kenapa ni?” soalnya agak marah. Lelaki itu sudah tersenyum. Dia pula masih menjeling suaminya.

“Kenapa sayang nak meragui kasih sayang abang? Abang kata abang takkan kahwin lain, kenapa nak ragui lagi?” soal lelaki itu. Mukanya sudah kelihatan agak marah. Dia menggeletar.

“Saya hanya tanya aje bang. Abang janganlah marah saya.”

Rayunya. Dia takut kalau melihat lelaki itu marah. Dulu lelaki itu selalu memarahinya. Dia takut dan kecut perutnya. Seketika itu suaminya sudah memeluk tubuhnya. Ya Allah di kereta pun mereka nak berpelukan.

“Abang bukan nak marah sayang, tapi abang tak nak sayang nak ungkit hal ini lagi. Abang janji takkan sakit hati sayang lagi, jangan risau,” kata suaminya berbisik di telinganya. Dia angguk dan matanya terbuntang.

“Bang dah lah bang. Janganlah macam ni, kita ni di tempat awam bang. Nanti apa kata pencegah maksiat. Silap hari bulan kita akan ditangkap basah!” katanya kepada suaminya.

“Apa pula sayang. Abangkan suami sayang, siapa yang akan tangkap basah kita?” kata Aliff Hakimi. Dia angguk dan mengangkat wajahnya memandang wajah kacak ala-ala Yusri Kru itu. Sekali lagi perasaannya terubat dengan senyuman manis lelaki itu.

“Mana lah tahu!” katanya berseloroh.

“Tak pe, ada kad kahwin kita sini sayang. Sayang tak simpan dalam beg?” soal suaminya. Dia angguk. Suaminya sudah duduk di kedudukannya yang asal. Barulah dia berasa selesa.

“Ada saya simpan dalam beg bang,” katanya kepada suaminya. Tidak lama kemudian mereka sudah sampai di depan rumah sewanya. Kartika sudah berdiri di depan pintu rumah sewa mereka.

“Jangan lama ya sayang. Kita nak gerak tak lama lagi.” Kata Aliff Hakimi.

“Baik bang. Err, abang tunggu kat kereta aje?” Katanya. Lelaki itu mengangguk.

“Abang tunggu kat sini ajelah. Jangan bimbang. Tapi jangan lama sangat. Jangan nak buat pasar pula kat dalam tu ya.” Kata suaminya. Dia angguk. Namun dia sudah tersenyum manis apabila melihat kawan baiknya sudah berdiri di depan pintu rumahnya. Dia sudah masuk ke dalam rumahnya.

***

“Kau ke mana semalam? Aku takut kau hilang Nuha! Kau tak tahu betapa berdebarnya jantung aku ni bila kau tak balik-balik semalam! Aku tak tahu kau ke rumah suami kau! Aku tunggu kau sampai tengah malam! Kau tak bagi tahu akupun yang kau tak balik! Aku yang rasa nak sakit jantung tahu!” kata Kartika dengan penuh kebimbangan dan mengomel panjang macam mak nenek. Mereka bersalaman dan kemudian berpelukan. Dia segan pula kepada kawan baiknya ini. Sudahlah dia menyusahkan kawan baiknya sekarang dia tidak pulang pula semalam. Itu yang dia segan. Dia lupa sebenarnya. Lupa hendak memaklumkan dia tidak pulang ke rumah sewanya setelah Aliff Hakimi tidak lekang-lekang melekat di sisinya. Ah, semalam mereka macam belangkas pula! Tak pernah mereka buat sebelum ini!

“Aku ke rumah mertuaku. Jadinya suami aku tu tak benarkan aku balik. Aku nampak missed call kau 20 kali semalam,” katanya. Kartika mengangguk. Dia bukannya sengaja tidak mengangkatnya tetapi dia sibuk dengan mama mertuanya dan tetamu-tetamunya.

“Pagi tadi kau ada angkat phone kan?” soal Kartika pula. Dia membuntangkan matanya. Berkerut keningnya. Siapa yang angkat telefon pagi tadi. Mana ada dia angkat tekefon? Soalnya dalam hati.

“Tak delah. Siapa yang angkat phone. Aku kan sibuk memanjang aje kau tahu!” katanya memikir-mikir mengenai telefonnya. Siapa yang angkat telefonnya? Kartika pula yang kehairanan. Tetapi telefonnya memang ada dijawab pagi tadi. Tetapi tidak berjawab. Lalu telefon ditutup. Siapakah itu?

“Mungkin suami kau yang angkat?” soalnya. Kartika angkat bahu. Tidak tahu mengenai misteri itu.

“Tak tahulah, nanti aku tanya suami aku ya.” Katanya yang tidak mahu berburuk sangka. Namun dia harus hati-hati juga. Dia terus masuk ke dalam biliknya dan mengemas pakaiannya apa yang patut sahaja.

Dia tidak mahu berlama-lama di samping suaminya. Dia akan cepatcepat balik ke rumah sewanya nanti.

“Kau buat apa di rumah suami kau semalam? Berasap juga aku tunggu kau! Aku telefon kau tak angkat!” soal Kartika. Wajahnya sudah membahang. Apa yang mesti dia jawab? Takkan dia hendak beritahu apakah aktiviti mereka sehingga kan dia tidak cukup tidur?

“Mama mertua saya buat parti di rumahnya dan mengajak saya. Walaupun majlis agak lambat tetapi meriah. Maafkanlah aku tak sempat beritahu kau!” ceritanya. Kartika hanya tersenyum.

“Aku tunggu kau! Aku ingat kau terbabas lepas majlis sekolah kau tu! Baguslah kalau mama mertua kau dah berbaik dengan kau. Aku pun tumpang bahagia. Jadi kau nak ke mana ni?” soal Kartika. Dia memandang wajah Kartika.

“Aliff bawa aku ke Kundasang. Kau nak ikut?” Kartika terus menggeleng. Dia tahu Kartika tidak akan tergamak mengikuti dia ke Kundasang. Apatah lagi dengan percutian mengejut mereka. Dia tidak akan sampai hati menjadi kacau daun!

“Tak naklah. Buat apa aku nak kacau daun, korang kan nak bulan madu! Nikmatilah sepenuhnya.” Kata Kartika. Dia pula yang berasa malu dengan kata-kata kawan baiknya. Dia tidak tahu apa yang patut dia jawab.

“Papa dan mama mertua aku pun ada sekali Ika.” Katanya memberitahu Kartika. Kakak iparnya tidak ikut. Dia sedikit lega.

“Oh baguslah! Kau kena rapatkan hubungan dengan keluarga mertua kau. Aku pun tumpang gembira. Aku kasihan tengok kau asyik kau menung sana menung sini mengenang suami kau!” dia sudah kerut dahi. Mana ada termenung sana dan termenung sini.

“Pandailah kau Ika! Mana ada aku nak termenung sana sini mengenang suami aku tu! Dia tu mana nak sukakan aku! Mungkin masa tu dia ada pilihan lain!” katanya kecil hati dengan sikap suaminya semasa mula-mula kahwin dulu.

Namun dia tidak dapat berbuat apa-apa. Nak kahwin di tangan suaminya dan nak talak pun di tangan suaminya. Dia hanya perlu pasrah dan terima sahaja apa yang suaminya mahukan.

“Syukurlah kalau kau dah bahagia. Tapi bila kau nak bergerak ke Australia? Aku takut kau tak sempat pula!” kata Kartika lagi. Dia serba salah pula apabila mengingati tubuhnya bagaikan dirantai oleh suaminya ini.

“Entahlah Ika. Aku pun tak tahu. Suami aku tu tak nak lepaskan aku dalam minggu ini. Jangan-jangan aku terpaksa cancelkan sahaja hal ini!” katanya yang masih serba salah. Dia tidak menyangka kalau suaminya tiba-tiba berjaya menghidu di mana dia tinggal. Akhirnya mereka disatukan semula. Uh, sukar benar hidupnya kali ini.

“Sayang juga kalau kau lepaskan peluang ini Nuha,” kata Kartika pula. Dia sudah membuat muka sedih sambil memasukkan bajunya ke dalam beg serba gunanya.

“Tak tahulah Ika. Aku pun serba salah sekarang ni!” katanya yang tidak tahu bagaimana dia hendak bertindak sekarang.

“Aku doakan kau bahagia dengan suami kau Nuha. Jaga suami kau baik-baik.” Kata Kartika mendoakan dirinya. Dia mengaminkan dalam hati. Siapakah yang tidak mahu rumahtangganya bahagia?

“Ya lah terima kasihlah Ika, aku gerak dulu. Jaga diri kau baik-baik ya.” Kata Kartika. Mereka bersalaman dan berpelukan sekali lagi.

“Terima kasih Nuha. Aku akan balik ke rumah keluarga aku petang ni.” Kata Kartika. Kartika tersenyum manis.

“Tiba-tiba aje kau balik, ada apa-apa yang aku tak tahu ke?” soalnya. Kartika tersengih pula.

“Hmmm, kau tahu lah aku yang tak laku ni. Tiba-tiba ada seseorang nak masuk meminang. Aku nak jumpa dia dulu. Kalau aku tak berkenan, aku takkan terima pinangan tu! Kau tahu kan aku ni kuat memilih.” Kata Kartika. Nuha Qarina sudah tersenyum.

“Syukurlah kalau ada orang yang mahu kat kau. Tak lama lagi makan nasi minyak lah kita.” Katanya sudah menyakat kawan baiknya itu. Dia tahu Kartika pemilih orangnya. Kalau tidak berkenan di hatinya dia tidak akan menerimanya. Setahunya juga sudah ramai yang masuk meminang Kartika namun belum ada yang berjaya dalam tapisannya. Kasihan mereka.

“Jangan terlalu memilih Ika, kita bukannya muda lagi. Kalau kau dah berkenan cepatlah minta nikah! Haha!” katanya sudah menyakat

Kartika.

“Pandailah kau!” kata Kartika yang sudah mengejarnya. Dia yang sudah berada di muka pintu itu, dia terus sahaja pergi ke kereta suaminya.

“Jumpa lagi Ika, jaga diri!” katanya. Suaminya sudah menunggunya di belakang kereta. Dia terus membuka bonet kereta dan dia menyerahkan beg pakaiannya.

“Kenapa ni berkejaran macam budak-budak ni?” soal suaminya. Dia hanya menyengih.

“Ika tu lah! Dia usik saya. Saya pun usik dia juga!” katanya kepada Aliff Hakimi.

“Macam budak-budak!” kata Aliff Hakimi. Dia terus masuk ke dalam kereta diikuti oleh suaminya. Kartika hanya memandangnya dari jauh. Dalam diam dia berdoa, semoga kawan baiknya bertemu jodoh dengan orang yang baik-baik tidak lama lagi.

“Kita terus bergerak?” soal suaminya. Dia angguk.

“Tak nak singgah mana-mana lagi?” dia geleng.

“Tak de.” Dia berasa datang pula mengantuknya namun ditahannya. Dia berasa segan pula kepada suaminya di sisinya itu.

“Tak nak singgah minum lagi?” dia geleng. Baru sahaja mereka sarapan di rumah tadi. Takkan sekarang nak singgah minum lagi. Ah suaminya ini suka membazir.

“Kalau abang nak minum, abang singgahlah, saya tunggu kat kereta.” Katanya. Dia sudah pegang kepala. Kepalanya agak panas ketika ini. Mungkin dia tidak cukup tidur. Selama ini juga tidurnya sering terganggu. Ganggu oleh ingatannya kepada lelaki ini. Entah kenapa dunianya dipenuhi wajah kacak lelaki ini sekalipun sikapnya cukup menyakitkannya!

“Tak naklah. Biar kita beli minuman dan minum sama-sama kat kereta ajelah!” kata suaminya. Dia angguk. Matanya sudah semakin layu.

“Sayang mengantuk?” dia geleng. Dia segan sekali hendak berterus-terang mengenai dirinya. Namun dia tahu, suaminya itu pandai menduga!

“Taklah bang! Mana ada.” Jawabnya. Lelaki di sisinya ini mengangguk.

“Sayang, kenapa lambat tadi?” soal suaminya.

“Lama ke?” suaminya angguk. Wajah kurus Kartika terbayang di ruang mata. Dia tahu kawan baiknya itu semakin bahagia. Ah, izinkan dia juga untuk bahagia.

“Cerita tentang siapa?” soal suaminya. Takkan dia mahu cakap mereka bercerita tentang suaminya. Dia diam. Apa yang mahu dijawabnya?

“Tak de. Ika tanya kenapa saya tak balik semalam. Dia hairan sangat.” Katanya. Suaminya ketawa kecil.

“Sayang tak cerita pasal kita lah ya.” Dia geleng. Mukanya sudah membahang. Lelaki itu tersengih-sengih. Mungkin sudah menduga yang dia dan Kartika banyak memperkatakan tentang lelaki mirip Yusri KRU ini. Ah!

“Ke situ pula abang ni!” katanya. Tidak lama kemudian suaminya singgah di sebuah stesen minyak. Dia hanya duduk diam di dalam kereta sementara suaminya mengisi minyak dan membeli makanan ringan. Kepalanya terasa pening pula. Dia rasa mengantuknya benarbenar sudah menyerangnya. Maka, tidurlah lebih baik!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience