Chapter 30

Romance Completed 28069

Bab 30

Aliff Hakimi cepat-cepat mengambil kunci keretanya. Agak ramai tetamu yang datang. Itupun saudara mara yang terdekat sahaja. Kem sudah didirikan di depan rumah mereka ini. Dia pun hairan dengan kesungguhan mamanya. Dia baru sahaja bertemu semula dengan isterinya. Mamanya pula sibuk hendak bertemu dengan menantunya itu.

Maklumlah menantu mereka hanya seorang. Nuha Qarina satu-satunya.

Mamanya Datin Hamidah dan Datuk Adnan bersungguh-sungguh hendak bertemu dengan menantu mereka. Dia sendiri sudah memujuk agar Nuha Qarina sudi hadir ke majlis kecil anjuran mama dan papanya. Namun Nuha Qarina memandang sepi pelawaan itu. Mungkinkah dia ingat dirinya ini berbohong?

“Nak ke mana tu Aliff?” soal Datin Hamidah memerhatikan anaknya itu. Aliff Hakimi kelihatan terkejut. Terkejut dengan sergahan mamanya itu. Setahunya mamanya sibuk melayan tetamunya. Sekarang sudah di depannya. Itu yang menyebabkan dia amat terkejut. Jangan dia pengsan sudahlah!

“Saya? Nak jemput isteri saya mama, mama kan nak jumpa dia!” Datin Hamidah kerling jam di dinding dapurnya. Baru pukul 7. 40 malam. Datin Hamidah tersenyum, tersengih-sengih. Dia tahu anak lelakinya ini sudah tidak sabar hendak bertemu dengan isterinya. Dia sendiri pun seronok melihat anaknya gembira.

“Hmm, pergilah walaupun masih awal lagi kan?” Aliff Hakimi tersenyum. Dia salam tangan mamanya. Setahunya sekarang ni bukan masih awal. Sudah lambat sebenarnya. Sebabnya? Sebab, jalan di Kota Kinabalu dan ke rumahnya pasti akan sesak. Itulah sebabnya dia mesti keluar agak awal sedikit. Jangan nanti isterinya tertunggu-tunggu di lobi.

“Mama, saya takut jalan sesak nanti,” kata Aliff Hakimi turut tersengih-sengih. Sebenarnya memang benar sindiran mamanya, dia tidak sabar menatap seraut wajah ayu milik isterinya. Entah kenapa matanya bagaikan ditarik-tarik hendak memandang wajah malu-malu isterinya itu.

“Ya lah, pergilah jemput dia. Tetamu mama pun sudah ramai ni. Lagipun…” Datin Hamidah berhenti bercakap. Dia tahu ada sesuatu yang berlaku antara anak dan menantunya itu. Aliff Hakimi memandang mamanya dengan penuh kehairanan.

“Lagipun apa mama?” Datin Hamidah serba salah. Selama ini anak mahupun menantunya tidak pernah bercerita mengenai masalah rumah tangga mereka kepadanya. Dia sedar, anaknya juga sangat sibuk dengan perniagaan keluarga dan menantunya pula bekerja. Hanya melalui besannya sahaja dia mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga anaknya yang baru setahun jagung itu.

Ah, dia sendiri serba salah hendak bercakap mengenai anak menantunya. Dia bimbang tersilap cakap dan anaknya akan menuduhnya campur tangan dalam urusan rumah tangga mereka. Aduhai, Datin Hamidah serba salah sekali. Dia sudah tersilap cakap tadi. “Tak ada apa-apa Aliff, mama harap Aliff bawa kereta dengan hatihati dan layan isteri dengan baik,” Aliff Hakimi mengangguk. Mungkinkah anaknya itu sedar ada sesuatu yang ada di benaknya sebagai seorang ibu yang sayang akan keharmonian rumah tangga anak lelakinya itu?

“Saya tahu mama ada sesuatu nak cakap,” Datin Hamidah menggeleng. Biarlah anaknya menguruskan menantunya buat masa ini. Dia tidak sesekali akan masuk campur. Dia tahu anak lelakinya bijak dan dia sendiri mendoakan kesejahteraan rumah tangga anaknya itu. Ibu mana yang tidak mahu melihat anak dan menantunya bahagia kan?

“Mama harap kamu berdua akan bahagia nak,” tambahnya perlahan. Tiba-tiba dia terasa sebak. Dia tahu anaknya itu tidak begitu mengenali menantunya. Tetapi dia tahu anak menantunya itu akan bahagia nanti. Itu sahaja doanya setiap hari.

“Mama doakan kebahagiaan kami ya,” kata Aliff Hakimi. Aliff Hakimi tahu ada sesuatu yang hendak dikatakan oleh mamanya itu.

Namun, mamanya tidak melahirkannya dalam bentuk zahir.

Aliff Hakimi tahu mamanya dapat mengesan ada sesuatu yang tidak betul dalam rumah tangganya tetapi dia sendiri tidak mampu mengongsikan dengan mamanya mengenai hal itu. Dia sendiri berasa segan hendak bercerita dengan mamanya walhal mereka seperti dua orang sahabat selama ini.

Namun, mengenai rumah tangga yang baru dibinanya dia belum mahu berkongsi dengan mamanya atau sesiapa sahaja. Biarlah dia menyelesaikannya sendiri dahulu.

“Apa yang kamu bualkan tu? Tetamu kita dah datang tu, takkan kamu tak nak berenggang di sini,” papanya datang menegur kedua beranak yang sedang sibuk berbual itu. Datuk Adnan sudah memasukkan tangannya di kocek seluarnya sambil memandang keduadua isteri dan anak lelakinya. Dia tidak suka tetamu yang datang tidak dilayani dengan baik.

“Err, ya lah, papa, mama, saya kena gerak dulu sekarang. Pasti isteri saya dah tertunggu-tunggu tu mama, papa!” Kata Aliff Hakimi menyalami tangan papa dan mamanya. Mama dan papanya hanya mengangguk dan memerhatikan tingkahnya.

“Jalan elok-elok nak. Jangan laju bawa kereta tu! Kau tu nak bawa anak orang dan bakal cucu papa!” Pesan papanya, Datuk Adnan pulabergurau dengannya. Aliff Hakimi hanya mengangguk dan tersenyum manis kepada papa dan mamanya yang memandangnya dengan penuh makna.

“In sya Allah papa. Hrmmm, untuk bakal cucu tu saya tak janji lagi!

Mungkin belum ada rezeki kami lagi!” Aliff Hakimi terus bergerak menuju ke pintu. Kunci sudah di tangannya.

“Proses cepat-cepat! Kau tu bukannya muda lagi! Papa tak suka awak tu asyik nak kepit kekasih awak aje! Kekasih halalkan dah ada!

Buat apa nak kepit kekasih tak halal lagi!” kata papanya lagi. Mamanya hanya tersengih di depannya. Dia sedar kalau papanya memang selamba sahaja kalau hendak mengenakannya.

“Ya papa saya tahu! Saya takkan kepit kekasih tak halal! Sekarang ni pun saya dah tak de kekasih tak halal!” katanya membuat pengakuan.

“Boleh percaya ke tu?” kata mamanya pula. Dia sengih. Kemudian angguk.

“Mama potong kuku saya ni kalau tak percaya!” katanya selamba menunjukkan ibu jarinya. Mama dan papanya ketawa serentak.

“Pergilah nanti lewat pula!” kata Datuk Adnan. Dia angguk.

Ketika terbayangkan wajah isterinya, dia tiba-tiba terasa sebak pula. Mungkin berasa amat bersalah dengan apa yang sudah dilakukannya selama ini. Selama ini dia sepatutnya sering membawa isterinya datang bertemu dengan ibu bapanya tetapi selama lebih enam bulan pernikahan mereka, dia begitu sibuk dengan tugasnya sehingga mengabaikan isterinya sendiri.

Sekarang dia bagai terhantuk di tangga, dan cuba memperbaiki hubungannya dengan isterinya yang terabai selama ini. Malah yang lebih menyakitkan isterinya itu sudah pun menuntut cerai di mahkamah. Dalam waktu yang sama pula, bekas kekasihnya sudah ditangkap basah dengan seorang ahli perniagaan veteran tiga bulan yang lalu. Selama ini dia ingatkan bekas kekasihnya benar-benar hendak kembali kepadanya dan bersedia bernikah dengannya.

Rupanya dia hampir terperangkap oleh gadis itu. Ya, dia benarbenar terasa dahinya berdarah seperti terhantuk di tangga. Huh! Dia sendiri yang sudah membuat kesilapan. Ia seperti sebuah kesilapan yang memang dia sengajakan. Bagaimana dia hendak menebus kesilapannya ini?

“Ah, aku sepatutnya memulakan langkah baru dengan isteriku sendiri,” azamnya dalam hati. Dia terus menghidupkan enjin keretanya dengan segera. Dia tidak mahu isterinya tertunggu-tunggu pula sekarang ini. Dia berdoa agar kepergiannya malam ini untuk menjemput isterinya akan mendapat rahmat dan inayah Allah.

Dia masih sayangkan isterinya itu. Dia benar-benar sayangkan lelaki itu. Entah kenapa dia berasa rindu sangat kepada isterinya. Jika dia di luar Negara pun, hatinya terkinja-kinja ingin balik dan menatap seraut wajah ayu milik isterinya. Tetapi suatu hari dia balik dengan harapan untuk membahagiakan isterinya, isterinya itu tidak ada di rumahnya. Alangkah menyakitkannya. Ke manakah isterinya itu menghilangkan dirinya?

***

“Papa, apakah Nuha masih mahu datang ke rumah kita ni setelah anak kita tu buat hal papa?” soal Datin Hamidah resah. Datuk Adnan pandang wajah isterinya dengan pandangan tajam. Dia tidak yakin kalau menantunya itu akan menerima pelawaannya untuk datang ke rumah mereka pada malam ini. Dia pula menguatkan semangat untuk membuat majlis memanggil menantunya pada malam ini. Anaknya Aliff Hakimi ada di rumah pada malamini. Anaknya ini memang suka buat hal. Dia juga yang malu dengan sikap anaknya ini.

“Awak yang tak pandai nak jaga anak sayang! Sepatutnya awak nasihatkan Aliff tu jangan sampai dia nak buat hal kekasihnya semula. Kalau boleh beri amaran kekasih tak halalnya tu! Kalau besan kita tahu ulah anak kita, siapa yang malu? Kita juga kan? Kita ni macam tak pandai nak jaga anak lelaki! Bukannya ramai pun, sorang tu aje lah anak awak Cik Midah!” tegur Datuk Adnan perlahan-lahan kepada isterinya. Datin Hamidah tahu dalam diam suaminya tahu apa yang berlaku antara anak dan menantunya. Kasihan pula Nuha Qarina. Dia sudah banyak tercabar dan teruji. Kasihannya dia. Dia pula banyak sabar dan bertahan dalam rumah tangganya. Kalau Nuha Qarina yang buat begitu, apakah anaknya akan sabar dan bertahan? Soal Datin Hamidah sendiri. Dia tidak pasti kalau Aliff Hakimi akan bertahan!

“Ya bang memang salah saya juga. Saya tak sempat nak tegur! Lepas nikah dah terbang ke Jakarta, abang tak ingat yang anak kita urus pengeluaran kayu jati dari negara itu?” kata Datin Hamidah. Datuk Adnan angguk. Memang benar mereka tidak sempat bertemu dengan anak mereka itu. Selepas itu selalu pula di luar negara menguruskan perniagaan mereka di sana. Silapnya kenapa mereka tidak menyuruh anaknya bawa menantunya menikmati angin luar negara? Memang silap mereka!

“Dahlah! Pergilah ke ruang tamu! Tetamu dah ramai!” kata Datuk Adnan mengarahkan isterinya melayani tetamu yang datang. Tetapi kenapa dia masih mahu menunggu menantunya?

Besannya pun tidak sudi hendak datang ke sini pada malam ini. Ada-ada sahaja alasan mereka hendak datang ke sini. Dia tahu dan faham. Ibu mana yang tidak terkilan jika anak yang dinikahkan sudah dilayan tidak baik oleh anak mereka. Dia tidak dapat hendak buat apaapa selain merancang sesuatu yang akan merapatkan hubungan antara anak dan menantunya itu. Selain itu, dia juga berdoa agar anak dan menantunya akan bersatu semula.

Dia yakin pilihan mereka adalah pilihan yang terbaik yang akan membawa anak lelakinya ke jalan yang benar. Dia tidak akan mahu kalau anak lelakinya ini akan bernikah dengan perempuan yang tidak tentu asal usul. Dia tidak mahu anaknya menikah dengan perempuan yang tidak cukup kain itu. Dia yakin menantu pilihannya Nuha Qarina adalah menantu yang baik dan memang terbaik untuk anak lelakinya ini.

“Datin Hamidah, kita berdoa ajelah. Berdoa agar anak kita akan mampu memujuk menantu kita hadir ke majlis kita pada malam ini. Berdoalah majlis kita akan berjalan dengan lancer. Papa tak mahu mama banyak fikir nanti demam pula, papa juga yang susah!” kata Datuk Adnan memujuk isterinya. Datin Hamidah mengangguk.

“Bukan apa papa, saya faham perasaan menantu kita. Anak kita berkasar dengan menantu kita tanpa pengetahuan kita. Padahal menantu kita baik orangnya pa, saya tak mahu anak kita salah pilihan papa. Saya tak mahu anak kita ceraikan menantu kita. Menantu kita pilihan kita papa.” Kata Datin Hamidah masih memikirkan menantunya itu. Datuk Adnan juga sedih dengan cara layanan anak mereka kepada menantunya itu.

“Sudahlah mama. Papa tahu menantu kita baik orangnya. Apa yang penting dia datang ke sini malam ni. Kita pun silap juga sebab tak main peranan sebelum ni. Kita tak layan menantu kita sebaiknya. Silap kita membiarkan menantu sendirian di rumah anak kita. Sepatutnya kita bawa dia ke rumah kita kalau anak kita tak de di rumah,” kata Datuk Adnan memikirkan kewajarannya.

“Ya papa. Saya yang silap papa. Saya tak hubungi menantu kita sampai dia merajuk. Sepatutnya saya dekati menantu kita.” Katanya kepada suaminya itu.

“Sabar mama,” kata Datuk Adnan lagi mengusap bahu isterinya.

“Papa, kita doa banyak-banyak agar menantu kita datang ke majlis kita ni,” kata Datin Hamidah lagi. Datuk Adnan mengangguk.

“Mari kita ke ruang depan, sudah ramai tetamu yang datang,” kata Datuk Adnan yang menjemput para kenalannya yang dekat untuk datang ke rumahnya pada malam ini.

Datin Hamidah dan Datuk Adnan beriringan menuju ke ruang depan rumah mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience