Chapter 15

Romance Completed 28069

Bab 15

“Alamat yang awak beri ni memang sudah sah Aiman?” soalnya kepada orang suruhannya. Aiman yang dikenalinya sejak dulu lagi sudah mampu membuka sebuah syarikat penyiasatan sendiri. Dia bangga dengan pencapaian kenalannya itu. Aiman juga sudah boleh mengupah beberapa orang pekerja untuk bekerja di dalam syarikat penyiasatannya itu.

Mereka bertemu di tempat biasa di Restoran Kak Nong. Jika dia ada kelapangan dia suka bercakap-cakap dengan Aiman. Mereka berbual-bual mengenai hal bola. Bagus juga kalau sesekali waktu yang santai dia melayani mengenai bola sepak dunia.

“Memang sah tuan. Kalau tuan tak percaya kita boleh pergi ke situ sama-sama.” Kata Aiman mempelawanya melihat tempat kediaman isterinya selama ini. Sudah agak lama dia membiarkan isterinya itu sendirian. Dia bukan tidak mahu mempedulikan isterinya tetapi dia agak sibuk sejak akhir-akhir ini. Dia sudah mengatur satu hari untuk mencari isterinya itu.

“Kena tambah lagi elaun?” soalnya. Aiman tersengih. Memang agak banyak juga wangnya terbang untuk mencari isterinya itu.

“Itu tuan punya suka hatilah! Saya tak tahu nak cakap berapa lagi.” Kata Aiman. Dia tahu Aiman baik orangnya.

“Baik, bila kita akan ke situ?” soalnya. Dia memang tidak sabar lagi hendak bertemu dengan isterinya. sudah beberapa lama dia tidak mempedulikannya. Sangkanya dua minggu dia tidak balik ke rumahnya, isterinya akan merinduinya. Ah, silap dia. Isterinya tidak ada di rumahnya selepas itu. Mungkinkah dia terasa yang dia sudah menghina isterinya pada satu hari itu? Ah, kenapa begitu tega dia menyakiti hati isterinya itu? Isterinya itu tidak ada dosa kepadanya. Dia sahaja yang suka menyakiti hati isterinya itu.

“Tuan nak cepat ke? Tak dapat nak tahan rindu dah?” soal AIman. Dia ketawa di depan Aiman.

“Awak ni nakallah Aiman! Macam awak tak faham pula!” katanya menyambut kata-kata Aiman itu.

“Bukan nakal tuan tapi saya seorang yang memahami!” kata Aiman. Mereka sama-sama menghamburkan tawa. Benarkah dia rindu? Atau, ingin bertanggungjawab setelah sekian lama melepaskan tugasnya sebagai seorang suami?

“Banyaklah awak punya faham!” katanya kepada Aiman.

“Jadi bila tuan nak ke situ?” soal Aiman pula.

“Kenapa pula?” soalnya apabila didesak begitu.

“Saya bimbang pula mereka pindah rumah jika mereka perasan mereka diintip oleh seseorang tuan. Saya sendiri risau! Nanti perbelanjaan tuan mencari isteri tuan akan bertambah.” Dia sengih. Memang ada benar juga kata-kata Aiman itu. Isterinya itu seorang yang nekad. Dia tahu isterinya tidak akan teragak-agak bertindak pergi dari rumah itu jika benar dia sedang diintip.

“Baiklah, kalau begitu esok, hari Khamis lah!” katanya membuat keputusan.

“Baik tuan, esok selepas Subuh kita kena bergerak pergi ke rumah sewa isteri tuan tu! Dia akan pergi awal ke sekolahnya.” Kata Aiman. Terbuntang matanya.

“Kenapa awal sangat pula? Kita pergi ajelah petang-petang begitu!” katanya.

“Tuan, kita kena pergi awal pagi. Kita tak tahu jam berapa isteri tuan balik dari tempat kerjanya. Kadang-kadang awal dan kadangkadang lambat! Kalau kita pergi ke situ pada waktu subuh, memang sah, tuan selamat! Tuan akan bertemu dengan isteri tuan!” kata Aiman memberikan cadangan. Dia akur dan mengangguk. Dia harus jejaki isterinya itu secepat mungkin.

“Baiklah. Kita akan pergi ke rumahnya selepas Subuh esok pagi,” katanya kepada Aiman.

“Bagus tuan.” Kata Aiman. Dia memang tidak sabar hendak mengetahui kehidupan isterinya selama ini. Lagipun dia sudah tidak tahan menahan rindunya sendiri. Setelah isterinya tidak ada di rumahnya baru dia mengerti betapa isterinya itu sangat berguna untuk dirinya. Kenapa selama ini dia tidak tahu yang isterinya itu memang isteri yang telah dianugerahkan Tuhan untuknya? Kenapa dia tidak bersyukur selama ini?

“Baiklah Aiman kita jumpa esok ya. Jangan pula kau tak datang jemput saya,” katanya. Hatinya berbunga riang.

“Tuan tidur di rumah mana malam ni?” soal Aiman. Dia hairan dengan soalan Aiman. Dia mana ada rumah lain.

“Macam awak tak tahu rumah saya?” soalnya pula. Aiman ketawa kecil.

“Saya nak tahu tuan tidur di mana, rumah ibu bapa atau rumah sendiri? Itu yang bingung! Mana tahu tuan tidur di rumah ibu bapa tuan,” soal Aiman pula. Dia ketuk kepalanya. Ada benarnya juga kata-kata penyiasat itu.

“Saya tahulah awak penyiasat! Tapi sejak akhir-akhir ini saya hanya menginap di rumah saya sendiri! Saya jarang ke rumah keluarga saya! Kalau saya ke sana jika ibu bapa saya panggil saya,” katanya memberitahu hal yang sebenar. Dia jarang bertemu ibu bapanya. Ibu bapanya sering sahaja bertanya di manakah isterinya. Jadi dia mengambil sikap untuk berdiam diri. Dia belum dapat menemukan isterinya.

“Baiklah, kalau tuan tidur di rumah tuan, senanglah saya nak jumpa tuan esok! Jangan lambat bangun pula tuan. Isteri tuan tu cepat sangat pergi kerja!” kata Aiman yang sudah menyiasat isterinya selama ini.

“Ya lah! Sebelum awak bergerak awak kena hubungi saya Aiman!” katanya memberitahu Aiman.

“Baik tuan. Saya gerak dulu. Halalkan makan dan minum saya!” kata Aiman yang sudah menyalami tangannya. Dia sengih dengan katakata Aiman itu.

“Jumpa esok! Jangan kau pula yang tak bangun! Solat dulu!” katanya kepada Aiman. Aiman sudah angguk dan bergerak dengan laju apabila telefonnya berbunyi. Dia pula berfikir hendak ke pejabatnya semula sebelum balik ke rumahnya yang agak sunyi sejak akhir-akhir ini.

Nuha Qarina di manakah kau isteriku? Dia menyeru nama isterinya. Sudah berulang kali dia menyeru nama isterinya. Ah, bilakah isterinya kembali kepadanya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience