Chapter 46

Romance Completed 28069

Bab 46

“Kasihannya isteri abang ni mengantuk rupanya.” Bisik Aliff Hakimi ketika dia melihat isterinya sudah tidur pulas di tempat duduknya. Dia pandang dan renung wajah bersih itu. Betapa selama ini dia mengabaikan kebajikan isterinya itu. Oh betapa bersalahnya dia selama ini kerana membiarkan isterinya. Dia menghidupkan enjin keretanya apabila dia berasa sudah stabil semula.

“Sayang tidurlah kejap. Abang reda kalau memandu sorang-

sorang. Apa yang penting sayang di sisi abang,” bisik suaminya antara dengar dengan tidak. Dia dengar dengan jelas.

“Pandai lah abang nak paksa saya ikut kemahuan abang ni!” katanya perlahan. Dia mendengar suaminya ketawa kecil. Lagu Celine Dion kedengaran lantang namun suaranya juga masih didengari oleh suaminya.

“Abang tak paksa sayang. Ini untuk kebaikan kita suami isteri,” kata suaminya. Geram sungguh dia. Sepatutnya dia yang balik ke rumahnya semalam tetapi hari ini pun ada perkara lagi yang diatur oleh keluarga suaminya ini. Aduhai! Mahu sahaja dia berteriak di atas bukit yang tinggi itu.

“Kebaikan apa bang?” soalnya buat-buat bodoh.

“Kebaikan hasil kita selalu bersama.” Jawab suaminya. Membahang terus wajahnya apabila mendengar jawapan berbau lucah itu. Benci sungguh dia.

“Tak naklah. Tak suka!” jawabnya sudah memuncungkan mulutnya.

“Kenapa tak suka? Banyak pahala tau kalau suami isteri semakin kerap berpandangan dan berdekatan. Lama-lama akan hadir keserasian nanti! Barulah lahir generasi hebat,” bergetar jiwanya mendengar hujah suaminya itu. Dia belum bersedia memikirkan hal-hal sejauh itu. Dia belum mahu memikirkan soal generasi atau zuriat pada masa ini. Benar dia tidak berbohong.

“Memang saya tak suka bang!” jawabnya selamba. Mengantuknya hampir sahaja hilang gara-gara perbualan dengan suaminya.

“Kenapa pula tak suka? Tak suka abang dekat dengan sayang?” bergetar lagi hatinya. Mana mungkin dia tidak suka menatap mata kuyu itu. Dia suka dan memang selalu ingin dekat dengan lelaki kacak ini. Lelaki ini memang tergolong dalam golongan kacak. Tetapi kalau dulu. Sekarang dia sudah sibuk. Sibuk dengan perjalanan ilmunya. Suaminya ini akan ditinggalkan tidak lama lagi.

“Suka tak?” soal suaminya seperti mendesaknya.

“Kalau tak suka?” soalnya menguji suaminya.

“Hmmm, nanti sampai di bilik pasti kena denda.” Bertambah berdegup jantungnya. Lelaki ini semakin mewujudkan ketakutan dalam dirinya. Sampai semalam pun dia asyik terganggu dek kerenah suaminya itu. Mahu marah, dia tidak mampu!

“Nak denda apa kalau macam tu?” soalnya pura-pura tidak tahu. Suami di sisinya dijelingnya.

“Nanti kat bilik tahulah! Tunggu kita sampai dululah sayang.” Tangannya sudah digenggaman suaminya. Terketar lagi tubuhnya. Secara tidak langsung irama jantungnya pun seperti gitar dipetik rancak.

Aduh bagaimana lagi dia hendak melarikan diri daripada suaminya ini? “Jangan nak mengada bang! Saya tak suka! Nanti saya lari baru tahu!” ugutnya pula. Suaminya mengelus tangannya dan mengucupnya perlahan.

“Jangan ada perasaan nak lari sayang. Abang akan kejar saying sampai hujung langit. Abang tak kan pernah berhenti mengejar sayang walaupun ke hujung dunia!” bisik suaminya. Lagu di radio kereta itu diperlahankan secara tidak langsung.

“Carilah kalau tahu saya di mana!” katanya. Bergetar suaranya.

“Eh, sayang ada hati nak lari lagi?” soalnya perlahan. Apa yang dia hendak jawab?

“Nak lari ke mana bang?” soalnya pura-pura tidak tahu. Berdosa dia kalau membohongi suaminya sendiri.

“Ke mana-mana sahaja di dunia ini. Abang akan sedia kejar sayang abang takkan peduli.” Bisik suaminya lagi. Bertambah bergetar jiwanya.

“Kalau abang tahu saya di mana. Kalau tak tahu abang nak cari saya di mana?” soalnya menguji lagi. Suami di sisinya dijelingnya.

“Sayang jangan cuba-cuba nak menguji abang. Ke manapun sayang pergi abang takkan pernah membiarkan sayang…” kata suaminya dengan penuh semangat teruja.

“Mana ada saya nak ke mana-mana. Saya kat sini aje bang!” jawabnya sudah ketakutan.

“Baguslah, sayang tak perlu ke mana-mana lagi. Abang pun akan bawa ke mana sahaja abang pergi,” dia pula yang pening. Dia tidak akan dapat pergi ke mana-mana suaminya pergi. Dia kan bekerja.

Maafkan dia.

“Tak perlu bang. Saya tak berminat nak ikut.” Katanya dan dia meneruskan tidurnya.

“Izinkan saya tidur bang,” katanya memohon izin.

“Silakan sayang.” Jawab suaminya memandangnya dengan pandangan redup. Kasihkah suaminya kepadanya?

***

“Pernah tak sayang ke Kundasang sebelum ni?” mereka sudah memulakan perjalanan. Mama dan papa mertuanya menaiki kereta lain. Mereka pergi dengan pembantunya. Menurut mama mertuanya, papa mertuanya sudah menyewa sebuah rumah untuk mereka semua. Sekarang musim agak sejuk di situ. Mahu mengalir air matanya mengenangkan kebaikan ibu bapa mertuanya ini.

“Pernah bang,” jawabnya. Itu pun ketika dia masih bersekolah. Mereka menaiki bas beberapa kali sebelum tiba ke destinasi yang mereka kehendaki. Dia masih ingat Cikgu Rose dan Cikgu Ravi yang menunggu mereka di kaki bukit. Kebetulan Cikgu Rose dan Cikgu Ravi sudah berkahwin pada masa itu. Dia terkenang seketika masa remajanya yang manis. Terbayang kawan-kawan sekelasnya yang sudah masing-masing mempunyai kerjaya mereka sendiri.

“Bila pergi sini?” soal suaminya ini. Dia memandang suaminya. Dia akhirnya menundukkan pandangan. Dia tidak tahan dengan renungan suaminya itu.

“Dulu masa sekolah. Bang, tengok depan bang. Bahaya jalan Ranau-Kundasang ni! Bukit bukau, takut pula kalau ada apa-apa!” katanya melarang suaminya memandangnya lama-lama. Dia tidak mahu suaminya memandang-mandang dirinya ini. Segan dia. Sudahlah dia jarang bersama dengan lelaki ini, sekarang lelaki ini asyik pula nak pandang-pandang wajah kusutnya ini! Susah lah pula dia!

“Tak kejap aje sayang. Abang ni rindukan sayang ni. Dah lama juga tak macam ni kan!” kata suaminya.

Ah, bukan dah lama tetapi memang tidak pernah pun mereka duduk sekereta macam begini. Suaminya ini selalu sahaja mengelak hendak bersamanya. Itu yang menyebabkan dia sungguh sedih. Terharu sungguh dia.

Namun sebenarnya fikirannya masih kepada cita-citanya yang terbengkalai. Lusa sepatutnya dia sudah berangkat. Bagaimana dia hendak pergi ke Australia jika suaminya tidak melepaskannya? Aduhai!

“Abang juga yang mempersiakan peluang di depan mata!” jawabnya dengan perlahan. Buntang mata suaminya. Dia dengarkah?

Aduhai malunya.

“What?” soal suaminya.

“Tak de! Tak de!” katanya. Dia menutup mulutnya. Suaminya sudah memegang tangan kanannya. Dielusnya perlahan. Dia pula mendiamkan dirinya. Takut pula suaminya lupa di manakah mereka berada sekarang ini.

“Ya memang abang yang sudah mempersiakan peluang yang ada di depan mata selama ini.” Kata suaminya perlahan. Dia menghalakan pandangannya ke depan.

“Maafkan saya bang.” Katanya. Dia tidak bermaksud hendak menyakitkan hati suaminya.

“Tak de yang perlu dimaafkan. Abang yang silap.” Kata suaminya. Dia berasa bersalah pula.

“Saya dah maafkan abang.” Katanya perlahan.

“Sayang tidurlah kalau dah mengantuk.” Dia angguk. Dia mahu menyambung tidurnya. Tetapi dia tidak mahu tidur lagi.

“Tak lah bang. Saya tak mengantuk dah!” katanya. Akhirnya mereka hanya ditemani lagu-lagu Inggeris yang dipasang oleh suaminya. Dia hanya mendengar dan sesekali berpandangan dengan suaminya. Dia sesekali agak geram dengan suaminya yang memandangnya dengan pandangan gatal. Mahu sahaja dia cubit suaminya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience