Chapter 1

Romance Completed 28069

1

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu
Ogos 2013

Pagi itu cuaca dingin sekali. Hujan rintik-rintik membasahi lapangan Terbang Kota Kinabalu. Suasana sekeliling begitu hening sekali. Ada beberapa orang sedang menunggu di balai menunggu ini sepertinya. Hanya kedengaran dengkuran tidur para penumpang yang menunggu penerbangan MH1212 ke Australia pada pagi itu. Hanya ada beberapa orang wanita selebihnya lelaki Mat Salih yang berkemungkinan baru melancong ke negerinya ini. Kebetulan pula tahun ini Malaysia diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia.

Malah, negara ini mensasarkan jumlah pelancong yang sangat besar jumlahnya. Namun dia tidak mahu mempedulikan hal itu kerana tahun ini dia bertekad untuk keluar dari negaranya ini. Dia sudah menanam tekad itu. Baginya hidup harus diteruskan walau apapun yang berlaku.

Penerbangan akan diumumkan bila-bila masa sahaja. Dia sudah bersedia hendak memasuki kapal terbang sebaik sahaja diumumkan oleh pramugari sebentar lagi. Mereka diminta menunggu di pintu 1 bagi laluan antarabangsa.

Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Ia menunjukkan kemasukan mesej ringkas ke dalam peti mesej ringkas di telefon iphone-5s nya. Dia cepatcepat membuka mesej ringkas yang baru diterimanya. Ah, rupanya adiknya yang menghantarkan mesej ringkas kepadanya. Kebetulan adiknya tidak dapat menghantarnya ke lapangan terbang pagi ini kerana kesibukan tugasnya. Namun dia tidak berasa apa-apa, dia sudah berjumpa dengan adiknya kira-kira lapan hari yang lalu.

“Ah, rupanya hidup berumahtangga tidak semestinya bahagia! Patutlah ramai orang yang bercerai. Tahun 2013 sahaja kadar perceraian sudah meningkat. Daripada sepuluh pasangan yang didaftarkan berkahwin, dua pasangan telah bercerai! Namun, apa yang pasti perubahan sikap Aliff Hakimi menyebabkan dia nanar!” katanya dalam hati.

Semalam dia menerima email dan mesej ringkas dari Rozana yang memberitahu bertemu, namun dia tidak mahu membalas apa-apa dari mesej ringkas dan email yang dikirimkan itu. Dia bungkam dan kaku dengan apa yang berlaku.

“Saya bimbangkan awak Nuha, tolonglah balas mesej ringkas ini.

Saya ‘call’ tapi awak tak jawab! Saya nak jumpa dengan awak Nuha! Ada urusan yang belum selesai.” begitulah mesej ringkas yang tertulis biasanya. Ah, semua urusan di bumi Malaysia sudah selesai apabila dia mengambil keputusan untuk menerima tawaran belajar ke luar negeri ini. Tidak ada lagi yang tidak selesai. Biarlah Aliff Hakimi dengan dunianya, dan dia dengan dunia barunya. Tidak ada gunanya mengenang kisah lama buat masa ini.

‘Entah apa lagi yang tidak selesai dengan lelaki itu. Dia sendiri tidak tahu!’ bagi dirinya semua yang berlaku sudah selesai.

Dia memadam mesej ringkas itu dan mematikan telefonnya. Dia takut perempuan yang telah melakukan onar dalam rumahtangganya yang sebentar itu akan menambah onar di kepalanya lagi ketika dia hendak berlepas pagi ini. Dia tidak mahu memikirkannya. Dia sudah lali dengan apa yang berlaku dan selalu mendiamkan dirinya sahaja. Tidak akan ada apa-apa ungkapan dari mulutnya mahupun dari tulisannya melalui mesej ringkas atau e-mel.

Dia sudah berjanji akan melakukan yang terbaik selepas ini. Dia sudah mula melupakan segala-galanya kebetulan apatah lagi dia semakin sibuk dengan kerjanya. Tawaran melanjutkan ke luar negeri yang julung kalinya amat menyenangkannya, diterimanya dengan senang hati sekali. Dia terus mengisi borang-borang yang diperlukan.

‘Nuha Qarina takkan jumpa dengan sesiapa! Nuha Qarina hanya bersendirian kini, tidak ada apa-apa lagi yang mengikatnya!’ Bisiknya perlahan. Hatinya membeku. Dan, tarikh keberangkatannya juga tidak dihebohkan kepada sesiapa termasuk lelaki yang membuatkan hidupnya onar itu.

“Nuha Qarina oh Nuha Qarina, jangan pergi nak! Luar negari yang kau nak pergi tu bukannya dekat. Nuha lah satu-satunya anak yang amat rapat dengan emak. Mungkin anak mak terkilan sebab kejadian tempohari, tapi mak benar-benar tak mahu anak mak pergi jauh nak! Cukuplah kalau Nuha sambung pelajaran di Semenanjung sahaja, tak jauh! Senang kau jenguk mak di kampung ni!”

Lembut sekali suara emak mendodoi jiwanya dan dia bagaikan hendak membatalkan hasratnya melanjutkan pelajaran di mana-mana pun. Kalau ikutkan hatinya pelajaran yang dimilikitnya setakat Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris dengan Kepujian ini sudah mencukupi namun dia sudah nekad untuk menyambung pelajarannya setelah permohonannya diterima. Apatah lagi dengan peristiwa yang baru melandanya menyebabkan dia berubah haluan.

‘Tak boleh mak!’ Bisiknya lagi mengingati wajah kusut emaknya yang tidak mahu melepaskannya.

Dia tidak mahu mengundurkan dirinya lagi. Itulah keputusan yang sudah diambilnya. Memang berat hati hendak melanjutkan pelajarannya ke luar negeri tetapi bagi dirinya itulah yang terbaik di lakukannya. Dulu, sewaktu lepas SPM dia tidak berpeluang seperti rakan-rakannya yang lain melanjutkan pelajarannya ke luar negara. Siti Azzurah, Mariah, Saiful dan Norman sudah melanjutkan pelajaran mereka ke luar negara dan kembali dengan sijil masing-masing, sedangkan dirinya hanya tercanguk lama melihat kemenjadian rakan-rakan sepersekolahannya itu.

Dia? Ya, dirinya! Dua kali dia mengulangi peperiksaan SPM barulah dia berpuas hati kerana mendapat pangkat satu dengan 4A dan 3B 1C. Itupun dia mengikuti tuisyen melalui Maktab Adabi. Kalau tidak, belum tentu dia dapat keputusan yang baik itu. Seterusnya, dengan muka yang tebal dia terpaksa memohon ke maktab perguruan. Mujur masih ada maktab yang menerimanya. Itupun dengan muka yang tebal.

Dia tidak pernah memikirkan akan menjadi guru tetapi dengan keputusan yang diperolehinya, itu sahaja peluang yang dia ada. Kalau peluang itu lagi disia-siakannya, bidang apakah lagi yang akan diceburinya? Apatah lagi dengan usianya yang sudah menjangkau tua, dia terpaksa menjadi rakan sebaya dengan rakan-rakan yang lebih muda usianya daripadanya. Namun, syukur kerana dia sudah selamat menjadi guru bertauliah dari sebuah institut perguruan di negeri ini.

“Mak, luar negeri tu bukannya jauh. Nanti lepas belajar tu Nuha baliklah! Tak lama mak! Mak jangan risau kan saya! Nanti kalau ada wang lebih Nuha, Nuha akan suruh emak pergi ke sini! Nuha tentu rindukan emak juga!” jawabnya sambil memeluk bahu emaknya itu.

Kecur rawannya hanya Tuhan sahaja yang Tahu. Dia memang tidak boleh berenggang dengan emaknya itu semasa bujangnya tetapi sejak kejadian yang menimpa hidupnya dia selalu menumpang di rumah kawannya di Likas itu. Alasannya, dekat kalau dia hendak pergi bekerja. Emaknya menerima alasan itu walaupun dia terasa berat hendak melepaskan anaknya ini tinggal di mana-mana.

“Nuha, awak yang berhak ke atas Aliff Hakimi! Bukan saya!” kata perempuan yang sering menghantar mesej ringkas kepadanya. Dia tetap tidak mahu membalas mesej ringkas perempuan itu. Baginya, perkara yang sudah diselesaikan tidak harus dikutip kembali. Bukan dia yang membuang tetapi dirinya yang sudah dibuang dari hidup lelaki itu, buat apa dia hendak mengutipnya kembali. Dia tidak mahu terhegeh-hegeh atau melukut di tepi gantang. Malah, perempuan itu menyampaikan hasratnya hendak berunding.

Ah, baginya tidak ada apa-apa lagi yang hendak dirundingkan. Baginya segala-galanya sudah selesai selepas musim bulan madu yang teramat pahit baginya itu. Tidak ada lagi yang hendak ditangiskan, dikesalkan kerana semuanya sudah selesai.

“Masih ada perkara yang saya hendak perbincangkan, cinta kalian boleh disambung kembali. Saya tidak berniat hendak memutuskan hubungan yang baru terjalin.” Begitulah kira-kira bunyi mesej ringkas yang sering dituliskan dan tertera di telefon bimbit iphone-5s terbaru yang dibelinya sendiri. Dia tidak pernah membalasnya. Telefon pemberian Aliff Hakimi sudah ditukarkannya dengan yang baru. Tidak betah dia memandang segala barang pemberian lelaki itu. Dia boleh jadi nanar dengan apa yang masih basah dalam kenangannya.

Mendengar pengumuman berlepas itu, Nuha Qarina terus mengangkat beg berodanya dan berjalan dengan laju memasuki kabin kapal terbang itu. Dia sudah melapangkan akalnya. Tidak ada apa-apa lagi yang berkaitan antara dia dengan Aliff Hakimi dan perempuan itu.

Selepas ini dia akan menukar nombor telefonnya, sesampainya di destinasinya kelak. Dia akan memulakan kehidupan baru selepas ini.

Tidak ada lagi kehidupan yang menyakitkan yang akan menjadikan kehidupannya haru-biru. Begitulah azamnya dalam hati tatkala dia sudah memasuki pintu pesawat itu menuju ke daerah kembara ini.

“Tolong lah bagi suami kau peluang Nuha,” pesanan ringkas itu bagaikan menambah bingitkan akalnya. Memang dia sudah jatuh sayang kepada lelaki itu semenjak kali pertama mereka dipertemukan. Namun, ditelannya semua sayangnya itu. Baginya cinta yang dimiliki tidak harus dibalas dengan cinta. Mungkin belum takdirnya mendapat kebahagiaan itu.

Ah, sukar benar dia hendak menerima saranan daripada perempuan yang tiba-tiba muncul dalam hidupnya tetapi sudah lama muncul dalam hidup suaminya. Ah, pedulikanlah! Bisiknya memujuk dirinya. Namun apa yang lebih mengusutkan jiwanya apabila dia sering sahaja terbayang-bayang wajah lelaki yang sudah menjadi suaminya itu. Ah, inikah penangan cinta namanya? Tidak pernah dia segusar ini selepas terputus tunang dengan bekas tunangnya. Kenapa lelaki yang baru dinikahinya dan bakal menceraikannya itu juga yang digilainya?

Apakah kegilaan ini dialami oleh semua gadis sepertinya?

Ah, kenapa dia harus terasa sesak nafas setiap kali terbayangkan wajah suaminya itu? Apakah ini namanya gila bayang? Sepatutnya dia harus menekan betapa bencinya dia kepada suaminya itu selepas dia memberitahu hendak menikahi bekas kekasihnya pada malam bulan madu mereka! Ah, itulah mimpi ngeri yang dialami oleh seorang isteri yang teraniaya sepertinya!

Ah, akhirnya dia terlelap bersama dokumen-dokumen perjalanan yang berselerak di atas katilnya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience