Chapter 41

Romance Completed 28069

Bab 41

Dia sudah membersihkan dirinya semula. Suaminya ini suka sangat mengganggunya. Mahu sakit hatipun susah. Akhirnya dia terima sahaja apa yang telah berlaku kepada dirinya. Mak cik Onis mengetuk bilik mereka ketika selepas dia mandi tadi. Mak cik Onis memanggil mereka untuk sarapan bersama-sama. Dia memang agak kekok begitu. Sampai dipanggil-panggil begitu. Selalunya dia akan bangun awal. Ini lain pula.

Suaminya pula terbaring di atas katil mereka itu.

“Bang, bangun bang. Mak cik Onis dah panggil tadi. Dia kata mama dan papa abang dah tunggu nak sarapan sama-sama.” Katanya. Mereka sudah mandi tadi tetapi mereka terpaksa mandi semula. Itu yang melambatkan dia turun ke ruang dapur bagi membantu pembantu rumah keluarga mertuanya.

Lelaki itu masih pura-pura tidur. Lelaki itu memegang tangannya lalu mengucupnya. Ini lah perbuatan yang tidak disukainya. Dia masih ingat suaminya yang dulu. Suami yang tidak mempedulikannya dan tidak pun mahu mengucup tangannya begini. Suaminya yang kejam dahulu masih diingatinya. Suami yang tidak boleh menerimanya.

Ah, pendek kata dia memang terkilan. Terkilan amat kerana mempunyai suami yang tidak menerima dirinya seadanya. Itulah sebabnya dia bertekad memohon cerai. Sama ada perceraian itu tidak direstui oleh keluarganya atau tidak, itu dia tidak mahu peduli!

Suaminya yang di depannya ini sudah melampau. Sudah berkalikali mengucup tangannya. Ini yang dia tidak selesa. Bagaimana dia hendak pergi ni? Bagaimana dia hendak tinggalkan lelaki ini kalau hatinya pun akan tertinggal di sini? Aduhai!

Ah, alangkah rapuh dirinya. Lelaki ini sudah menakluki dirinya berkali-kali. Aduhai.

“Abang tak lapar lagi sayang. Abang nak sayang.” Kata suaminya itu. Terkejut dia. Membulat matanya. Takkan dia tak lapar? Perutnya sudah berkeroncong. Memang semalam dia dua kali makan tetapi dia makan dalam kuantiti yang sedikit.

“Tak palah kalau abang tak nak sarapan. Saya nak turun dulu bang! Sekarang ni jam dah lebih pukul 8.00 pagi. Sepatutnya kita pergi sarapan sama-sama!” katanya yang sudah bersedia hendak turun ke tingkat bawah.

Walaupun terasa segan namun digagahinya juga hendak turun ke bawah. Dia tidak mahu dikata sebagai menantu yang malas. Malah sejak tadi dia hendak turun ke bawah. Tetapi ah, susah nak dituturkan. Suaminya itu sudah menahannya. Sekarang dia mahu cepat-cepat turun ke ruang dapur. Mungkin banyak kerja nak ditolong di situ.

“Sayang, janganlah macam ni. Kita turun sama-sama. Ayuh kita mandi sama-sama. Abang masih rindukan sayang,” kata suaminya Aliff Hakimi. Dia menggeleng. Dia tidak mahu mandi semula.

“Tak nak bang! Izinkanlah saya turun ke bawah ibu bapa abang tunggu kita tu! Malulah saya kalau begini! Lagipun inilah kali pertama saya di sini! Tak elok rasanya!” katanya merayu. Dia hendak membantu mengangkat makanan ke meja utama sebenarnya. Tidaklah terbeban Mak cik Onis jika dia boleh membantu apa yang patut. Lelaki itu ketawa.

Elok pula dia ketawa. Hairan dia.

“Sayang, tunggu sebentar. Abang mandi dulu ya.” Kata suaminya yang sudah masuk ke bilik air. Dia kesal. Entah kenapa dia kesal. Dia bagaikan terjerat masuk ke dalam jerat suaminya sendiri.

“Oklah bang!” dia duduk di sofa semula. Dia agak penat sebenarnya. Kalau ikutkan hatinya dia masih lagi tidur di rumah sewanya. Namun di rumah ini ada peraturan yang tersendiri yang harus diikuti, jadi dia tidak boleh melakukan sesuatu tanpa bertanya suaminya terlebih dahulu. Hendak sambung tidur pun dia tidak mahu. Malu amat.

***

“Tak lama kan abang mandi!” katanya dengan mengenakan tuala. Selepas itu dia mengenakan seluar dalamnya tanpa memikirkan sesiapa di depannya.

“Eh, abang ni tak senonoh lah!” jeritnya menutup matanya. Dia tidak mahu melihat aksi suaminya yang sudah melorotkan tualanya.

“Apa yang nak dimalukan sayang, kita kan suami isteri.” Kata lelaki itu dengan selamba. Dia masih menutup matanya. Kemudian dia terasa sejuk di pipinya. Lelaki itu sudah mengucup pipinya.

“I love you sayang!” bisik suaminya dengan penuh perasaan. Dia menjeling suaminya. Dia segan sebenarnya. Perkataan itu sudah menjadi mainan bibirnya. Dia tidak suka begitu.

“Eh, melampau lah abang ni! Nanti jangan cakap begini depan mak ayah abang. Saya tak suka!” katanya mengelap pipinya yang basah. Aliff Hakimi ketawa memandangnya. Dia pula rasa tidak selesa dengan apa yang suaminya buat kepadanya.

“Takkan cium pun dah melampau! Depan mak ayah abang lagi mereka seronok kita! Tak lama mereka dah nak dapat cucu dah tu!” katanya pula. Mukanya sudah merah semerah delima. Malah dia tidak suka jika disebut cucu. Dia belum bersedia. Jika ada anak dan dia terpaksa mengandung, dia takut dia tidak akan dapat menyambung pelajarannya. Itu yang dia bimbangkan. Bimbang sekali dia. Janganlah ada anak dalam masa terdekat ini!

“Tak perlu diulang-ulang perkataan itu bang! Nanti ia hanya akan sah di bibir sahaja.” Katanya perlahan. Buntang mata suaminya. Dia tahu suaminya itu tidak pernah mampu mencintainya. Dia sedar suaminya itu bukan mencintai dirinya tetapi bekas kekasihnya. Kelat wajah suaminya itu. Suasana diam. Lelaki itu sibuk mengenakan pakaiannya. Dia masih menutup matanya, kali ini dengan tangannya. “Tak, bukan sah di bibir saja. Abang memang sayangkan sayang dunia akhirat. Jangan tinggalkan abang lagi. Abang memang tak boleh hidup tanpa sayang,” kata suaminya lagi. Suaminya sudah duduk di sisinya. Dia pula masih segan kepada suaminya ini. hendak pandang muka suaminya ini pun dia tidak berani.

“Tak tahu lagi. Tengoklah bagaimana potensi abang nanti. Kalau masih macam dulu, saya akan pergi melarikan diri ke luar negara,” katanya selamba. Perlahan suaminya memeluk bahunya. Pandangannya tegak ke depan dan secara otomatik tubuhnya juga tegak. Dia tidak mahu lelaki itu membuat lebih-lebih kepadanya.

“Biar betul sayang?” dia angguk. Kelat wajahnya. Sebelum ini mereka tidak pernah begini rapat sebelum ini. Sekarang ini dia boleh rasa bagaimana hangatnya nafas suaminya menampar mukanya.

Terasa membahang mukanya itu.

“Betul.” Jawabnya. Angan-angannya hendak ke luar negara seperti tinggal impian. Entah apa yang akan dilakukan oleh lelaki ini jika dia tahu akan rancangannya hendak ke luar negara. Lainlah suaminya. Pergi ke Kota London seperti pergi ke Kuala Lumpur sahaja lagaknya.

“Sampai hati nak tinggalkan abang?” dia kelu tetapi hatinya panas tiba-tiba. Basah matanya.

“Jangan-jangan abang yang akan tinggalkan saya. Habis madu sepah dibuang.” Katanya. Lelaki itu terus memeluknya dengan erat. Dia sudah teresak di pelukan suaminya. Dia benar-benar ikhlas. Dia sudah menyerahkan segala-galanya kepada lelaki ini. Jika dia berniat hendak meninggalkannya kemudian hari, apakah yang mampu dia lakukan? “Jangan cakap yang bukan-bukan sayang. Tak ada sepah-sepah. Hari-hari madu sayang!” Pujuk suaminya. Dia terasa bahagia. Ah, kenapa sekian lama ini dia tidak terasa adanya bahagia antara mereka berdua?

“Masa sayang abang boleh lah cakap sayang setiap masa. Nanti kalau dah ada perubahan kat badan, dah tak cantik, dah berkedut, siapa lagi nak sayang?” ujinya lagi.

“Abang yang akan sayang isteri abang ni!” kata suaminya membuat janji.

“Tengoklah nanti macam mana!” katanya. Dia tidak mahu suaminya itu berjanji. Dia tidak mahu dipermainkan lagi seperti dahulu.

“Janganlah tengok-tengok sayang. Abang memang sayangkan Nuha. Selama ini abang silap. Silap buat pertimbangan. Maafkan abang ya.” Kata Aliff Hakimi dengan bersungguh-sungguh. Dia tunduk.

“Bang, apa kata kita turun sarapan. Mama dan papa dah lama tunggu tu!” katanya menukar tajuk perbualan. Namun kata-kata suaminya belum seratus-peratus diterimanya. Dia masih berasa agak canggung dan tidak mungkin dia juga terus mencintai suaminya sejumlah seratus peratus. Tak mungkinlah!

“Ya lah mari kita turun. Tapi sebelum tu, sekali lagi abang mohon maaf dari hujung jari hingga hujung kaki, abang janji takkan buat lagi,” kata suaminya itu. Dia angguk.

“Mari sayang…” mereka berpegangan tangan turun menuju ke ruangan makan.

“Jangan pegang-pegang. Malulah!” katanya menolak tangan suaminya.

“Takkan nak marah sayang.” Kata suaminya.

“Tak marah bang! Suka lagi ada! Saya segan dengan mama dan papa tu! Pembantu rumah pun jelling-jeling!” katanya membisik kepada suaminya.

“Biar mereka tahu betapa akrabnya kita semula!” kata suaminya. Semakin berdegup jantungnya.

“Malu!” katanya.

“Apa nak malu! Kita kan dah halal!” kata suaminya. Semakin dia segan apabila disebut halal itu.

“Tapi kita kan lama tak jumpa! Kalau dah lama macam ni taklah kita teruk begini!” katanya.

“Apa pula? Semua orang pun akan mengalami pasang surut dalam hubungan. Kita pun tak hairan lah sayang. Air laut pun ada pasang surutnya sayang,” bijak sungguh suaminya berkata-kata. Dulu bukan main lagi dia sakit mata hendak memandangnya. Sekarang kenapa berubah? Soalnya kehairanan.

“Ya faham tapi…”

“Pengantin baru, marilah makan. Mana ada tapi,…tapi lagi,” kata mama mertuanya mematikan kata-kata mereka berdua. Dia pandang mama mertuanya. Pembantu rumah mama mertuanya sudah tersengihsengih memandang dirinya. Suaminya pula semakin mengejapkan pegangan tangannya. Merah sudah mukanya macam udang kena panggang!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience