Chapter 81

Romance Completed 28069

Bab 81

Dia sudah habis memikir. Dia sudah mahu pecah kepala mencari jalan penyelesaiannya. Dia sudah tidak tahu bagaimana mahu menukar rancangan suaminya. Dia sudah mahu berlutut di hadapan suaminya Aliff Hakimi agar suaminya dan ahli keluarganya menarik semula rancangan mereka itu. Dia tidak tahu mampu atau tidak dia memujuk suami dan mama mertuanya. Dia tahu mereka terlalu sayangkan anak yang dia sedang kandung ini, bukan dirinya. itu yang dia sedikit terkilan dengan keputusan suaminya ini.

“Mama baby dah datang!” Asniah dan Mira Haslinda bertepuk tangan. Dia tersengih-sengih dan terasa betapa asingnya dirinya dipanggil mama baby.

“Eh, melampau lah korang!” katanya berasa agak malu-malu. Mereka berpelukan. Baru beberapa hari sahaja mereka bersama-sama di rumah sewa mereka ini, mereka sudah berpisah semula. Sedihnya! Seketika terkenang pula kawan baiknya Kartika. Agak lama juga mereka tinggal serumah.

“Jadi, sudah bulat hati kau nak berhenti dari pengajian kau ni?” soal Asniah. Mira Haslinda hanya duduk memerhatikannya. Dia pandang wajah Asniah bersilih ganti dengan Mira Haslinda.

“Tak, aku cuti aje!” katanya separuh hati. Bulat mata Asniah.

“Ketinggalanlah kau Nuha! Tahun depan hujung tahun kami dah balik bawa master!” kata Asniah lagi. Semakin dia panas hati apabila cita-citanya terhalang. Tidak terbayang wajah suami yang beriya-iya menyuruhnya berhenti daripada meneruskan pengajian.

“Mama mertua aku dah carikan aku tempat untuk aku sambung belajar kat sana,” katanya perlahan. Sebak sudah menyelubungi dirinya. Dia benar-benar tidak dapat hendak berkata apa-apa. Keputusan di tangan suaminya.

“Bagus juga tu Nuha. Nanti kita balik Malaysia, kau pun sudah ada master macam kita orang!” kata Asniah lagi. Alangkah tidak beruntungnya dia! Dia terasa dirinya teraniaya pula! Betapa sukarnya dia menguruskan pemerolehan tempat sehingga dia sampai di sini.

Last-last, akhirnya suaminya memintanya balik semula dan berhenti daripada pengajiannya di sini. Siapa yang tidak sakit hati?

“Itu yang aku tak suka!” katanya. Mukanya sudah masam.

“Sabarlah, mungkin ada hikmahnya! Kau kena reda dengan ketentuan ini Nuha. Mungkin suami kau hanya merancang tetapi Allah adalah perancang yang hebat untuk kita.” Kata Asniah. Memang hebat perancangan Allah. Dia sendiri tidak pernah menduga begini jadi nasibnya.

“Aku tak tahulah Niah, susah nak cakap. Suami aku tu degil sungguh! Entah kenapa pula aku disahkan mengandung bila aku sampai sini. Memang aku tak sangka! Mungkin memang takdir hidup aku begini!” katanya tidak puas hati dengan apa yang berlaku. Mira Haslinda dan Asniah tersengih-sengih mendengarnya.

“Kau kena sabarlah, suami kau tu memang dah jatuh cinta kat kau lah tu!” kata Mira Haslinda yang sedari tadi mendiamkan dirinya. Dia tidak percaya kalau Aliff Hakimi itu jatuh cinta kepadanya sekalipun berpuluh kali dia lafazkan kata cintanya.

“Terima je lah hakikat Nuha,” kata Asniah. Dia angguk namun sebaknya susah dirungkai dengan semua kata hatinya.

“Ya, mungkin esok kami akan berangkat. Suami aku sibuk urus tiket penerbangan kami Niah,” katanya memberitahu hal itu. Sebenarnya suaminya hendak membawa dia berangkat ke pusat peranginan yang telah dipilih suaminya di barat daya Austaralia. Mereka akan memulakan bulan madu pada keesokan harinya. Itu pun menurut suaminya. Sebenarnya dia sudah tidak gembira.

Dia datang ke rumah sewa mereka kerana hendak mengemas semua barang-barangnya yang sudah dia letakkan di rumah sewa mereka ini.

“A’ah suami kau mana Nuha. Macam tak nampak? Dan lebih kami terkejut, tak sangka kau rupanya dah kahwin!” dia tersedak. Memang dahulu dia mengakui dia masih bujang. Tetapi dia tidak menyangka suaminya sanggup datang mencarinya di sini. Mahu sahaja dia melarikan diri lagi daripada suaminya.

“Suami aku cari kawan dia Hafiz ke nama dia. Entah kenapa pula suami aku cari aku sampai kat sini! Sakit hatiku!” meledak ketawa Mira Haslinda dan Asniah.

“Sabarlah! Suami kau tu memang sayangkan kau. Lain lah kami ni tak de sapa nak sayang!” kata Asniah pula. Dia diam. Memang benar sakit hatinya. Memang dia tidak menyangka yang suaminya akan mencarinya sehingga ke sini.

“Korang tu yang jual mahal,” katanya. Berderai ketawa mereka.

“Mana ada!” kata Asniah. Mira Haslinda pula baru sahaja putus tunang. Kerana masih minat belajar dan sedikit merajuk dia menyambung pelajarannya.

Telefonnya berbunyi. Dia tahu suaminya sudah mencarinya semula. Dia ingat dirinya yang sengaja keluar petang tadi setelah suaminya keluar bertemu Hafiz.

Dia sengaja tidak mempedulikan panggilan suaminya itu.

“Kenapa kau biarkan telefon tu?” soal Mira Haslinda. Dia diam dan tersenyum. Sasau ke apa?

“Tak nak angkatlah!” katanya.

“Suami?” soal Asniah.

“Ya.” Jawabnya. Tangannya lincah menekan keypad telefonnya.

Dia memberitahu suaminya yang dia di rumah sewanya.

“Suami mencari dah!” katanya.

“Hmmm, entah kenapa dia selalu nak ada di sisi aku sekarang ni!” katanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience