Chapter 39

Romance Completed 28069

Bab 39

Kebisingan bunyi telefon di telinganya amat membingitkan. Mahu tidak mahu dia terpaksa melihat apakah yang berbunyi di dalam beg tangan isterinya. Dirabanya isterinya di sebelahnya. Isterinya tidak ada di sisinya. Dia mengambil telefon isterinya. Satu bunyi masuk lagi. Dalam kegelapan dia cuba menekan butang hijau. Tanpa bercakap helo dia hanya mendengar apa yang sedang diperkatakan orang yang memanggil itu. Bagaikan butang matanya, menimbul dan membesar. “Nuha, kenapa tak balik? Bila Nuha nak berangkat ke Australia? Persiapan semua dah siap? Nuha di mana sekarang ni? Nuha kenapa tak balik lagi? sekarang ni Nuha di mana? Jangan cakap Nuha di rumah suami,” itulah suara yang didengarnya di telefon isterinya. Hairan sungguh dia. Nuha hendak ke mana dan dengan siapa?

“Nuha, sudah berkali saya hubungi kau, kenapa tak jawab telefon? Kau di mana sebenarnya Nuha? Aku ni bukannya apa Nuha, aku risaukan kau. Sejak tadi malam aku tunggu kau balik tapi kau tak balik

Nuha. Kau ke mana sebenarnya Nuha?” Aliff Hakimi mendesah dalam diam. Hairan dengan apa yang berlaku kepada isterinya ini.

Nuha sudah ada pengganti dirinya? Kenapa tadi… mereka bersama sebagai suami isteri sebenarnya, gadis itu tidak menolak dan tidak membantah. Gadis itu hanya mengikutnya walaupun pada mulanya menolak dan malu-malu. Eh, comelnya isterinya ketika masih malu-malu. Tetapi sebenarnya dia hendak ke mana? Dia sengaja hendak memancing dirinya? Buat apa dia nak dipancing? Bukankah mereka sudah sah sebagai suami isteri? Apa yang dia mahu lagi ya?

‘Isterinya hendak ke Australia? Hendak ke mana? Bersiar-siar ke Australia? Ke mana? Canberra? Melbourne? Bila dia nak pergi? Buat apa dia hendak ke situ? Kankah suaminya di Malaysia? Buat apa dia hendak ke sana? Apa tujuannya sebenarnya?’ Soalnya dalam diam.

Bertubi-tubi soalan keluar dari kepalanya.

Sakit pula kepalanya memikirkan isterinya ini. butang merah sudah dimatikannya. Dia tidak mahu buat kecoh. Cukuplah dia tahu isterinya ada rancangan lain. Tetapi kenapa dia tidak menyibuk tadi dengan kawannya itu. Kenapa dia tidak Tanya; Nuha pergi dengan siapa? Nuha ke Australia di kawasan mana? Nuha buat apa di situ? Berapa hari di sana? Bila dia hendak ke Australia? Berapa lama dia di sana?

Kalau dia tahu dengan siapa Nuha pergi Australia dan bila dia akan berangkat, boleh dia cepat-cepat dia uruskan cutinya. Sekarang apa yang dia tahu? Dia hanya tahu yang isterinya itu hendak ke Australia tetapi semua maklumat masih tidak lengkap. Kenapa dia tidak bertanya tadi? Tetapi kalau dia bertanya tentu gadis yang menghubungi isterinya itu akan terkejut katak.

Jadi apa yang perlu dia buat? Isterinya ada di sini. Perlukah dia bertanya semua maklumat kepada isterinya? Apa yang isterinya akan anggap nanti? Di mana dia tahu? Siapa yang bocorkan rahsia? Kenapa dia mahu tahu? Ah, kan Nuha isterinya? Kenapa dia tidak ada hak untuk tahu?

Ah, rasa mengantuknya sudah hilang serta-merta. Sepatutnya selepas ini mereka akan bersiar-siar di 1B dengan isterinya. Namun isterinya menolak. Katanya 1B sekarang banyak keretakan bangunan di sana-sini. Dia sendiri sudah melihat dengan mata kepalanya sendiri. Dia sendiri sudah ke sana. Tetapi ia hanya melibatkan kawasan bawah bangunan itu dan bukannya di bahagian atas. Tetapi kalau roboh di bahagian bawah, semua di bahagian atas akan terganggu. Kan? Kenapa dia tidak memikirkan hal itu? Ah, dia bingung! Apa yang dia harus buat ini? takkan mahu berdiam diri?

Dia bangun dan mahu menunggu isterinya keluar dari bilik mandi mereka. Ah, indah sungguh harinya hari ini. tetapi kenapa dia rasa keindahan itu hilang bagaikan matahari menghirup kabus putih pagi hari? Kenapa ia bagaikan hilang sekelip mata? Kenapa sekarang dia semakin risau dan bingung? Semua perancangannya berantakan. Apa yang dia akan Tanya kepada isterinya sebentar lagi.

Dia tiba-tiba merindui isterinya. Aksinya yang malu-malu sungguh memikat hatinya. Malah gadis itu dalam diam sudah menangis di hujung katil tanpa pengetahuannya. Tetapi dia boleh melihat bahu isterinya terhenjut-henjut Subuh tadi. Apa yang berlaku kepada isterinya tadi? Sayangkah dia kepada apa yang dijagainya selama ini? Atau dirinya yang tidak dipercayai? Apa yang sebenarnya? Sebak juga dada lelakinya melihat aksi isterinya yang sudah menangis teresak-esak itu. Dia mahu mengubati rawan di hati isterinya sebenarnya. Dia mahu memujuk duka isterinya selama ini.

“Sayang, abang janji abang akan bertanggungjawab sekarang. Abang janji. Abang takkan buang sayang. Abang akan jadikan sayang isteri abang hingga akhir hayat abang. Kita akan jadi suami isteri sepanjang hayat kita. Percayalah sayang…” itulah kata pujuknya tadi. Dia berjanji tidak akan menyakiti hati suaminya lagi. Dia janji.

Dia kucup dahi isterinya. Selama ini dia jijik mengucup dahi isterinya. Apatah lagi hendak mengucup bibir mongel isterinya itu. Ah, kenapa selama ini dia tidak mahu menerima bahawa dia mempunyai seorang isteri yang cantik dan comel malah sedap mata memandang?

Kenapa dia terkejar-kejar juga kepada bekas kekasihnya yang memang terang-terang sudah mengkhianatinya dengan lelaki lain.

“Memang selama ini saya sudah ada kekasih yang lebih kaya daripada awak Aliff. Awak tak perlu terhegeh-hegeh nak pujuk saya.” Kata Harrynna Lisa penuh keegoan.

Tetapi apabila dia mengandung, dirinya diperangkap lagi agar dia mahu bertanggungjawab akan kandungan Harrynna Lisa itu. Kenapa dia sebodoh itu sehingga kan mengakui di hadapan isterinya sendiri yang dia mahu menikah lain dengan gadis yang mengandung bukan anaknya? Kenapa dia bodoh-bodoh mahu menikahi gadis yang memang sudah terang bukan suci lagi?

Kenapa dia tidak menolak sewaktu gadis itu memberitahu dia sudah mengandung dan kekasihnya melarikan diri? Mungkin sisa kasih sayangnya kepada kekasihnya itu masih ada menyebabkan dia mahu bertanggungjawab kepada kekasihnya itu sehingga mengabaikan perasaan isterinya sendiri. Alangkah kasihannya isterinya.

“Anak awak kah yang Lisa kandung tu sehingga kan awak mahu menikahi dia Aliff? Hairan sungguh mama dengan anak mama ni. Lain orang yang buat anak, lain orang pula yang hendak bernikah! Apa sudah jadi ni?” soal Datin Hamidah pada suatu hari.

Dia memang berterus-terang dengan mama dan papanya. Dia geleng. Sudah lebih setahun dia tidak bertemu dengan Lisa bagaimana gadis itu mengakui yang kandungannya itu dia punya anak? Kenapa dia bodoh begitu? Astaghfirullah.

“Lisa kata itu anak saya!” katanya mempertahankan kasih sayangnya kepada Lisa. Dia memikir lagi. Bila masa dia bertemu dengan kekasihnya itu sehinggakan gadis itu mengandung? Baru sahaja seminggu lalu gadis itu meminta dia menikahinya. Tetapi kenapa gadis itu kelihatan tergesa-gesa dan terdesak? Apa yang berlaku kepada gadis itu?

“Awak nak tolong jadi papa angkut aje? Sampai abaikan isteri sendiri? Sampai isteri nak mohon cerai? Adilkah begitu? Kasihannya menantu mama. Kalau lah mama diperlakukan begitu oleh papa dulu, tak lahirlah Aliff!” kata mamanya. Dia terbayang wajah mamanya sewaktu mudanya dulu. Mama memang agak menarik. Takkan sanggup papanya meninggalkan mamanya. Hendak berenggang pun mungkin kena berfikiri dulu.

Dia termangu dan memikir lagi. Bagaimana pula dengan isterinya? Kenapa dia tergamak meninggalkan isterinya demi gadis lain yang kononnya sudah mengandung dan mendakwa anak yang dikandung itu anaknya?

Apakah selama ini dia dipugai oleh kekasihnya itu sehingga dia mengikut sahaja apa yang Lisa mahu daripadanya. Dulu dia disakiti oleh gadis itu pun sudah dilupakannya. Apa yang penting dia mahu menolong isterinya itu. Ah, kenapa dia sebodoh itu!

“Eh mama ni sibuk betullah!” katanya bagaikan tidak puas hati dengan sindiran mamanya.

“Apa pula sibuk? Mama tanya lah! Mama hanya kasihankan menantu mama, Nuha tu. Dia pun sudah menghilang entah ke mana! Pasti awak dah beritahu kat dia kan, awak nak ceraikan dia kan?” kata Datin Hamidah sedikit sebak dengan tindakan anaknya sendiri. Apa pula nanti kata besannya jika tahu anaknya sendiri hendak menikah dengan gadis lain. Jadi pak sanggup pula tu! Malu! Malu!

“Saya tahulah apa yang saya buat mama. Saya pun sedang buat siasatan. Takkan saya nak terima semuanya bulat-bulat! Nuha? Saya takkan ceraikan dia mama!” katanya kepada mamanya. Datin Hamidah dilihatnya tersenyum. Mungkin puas hati dengan kata-katanya.

“Fikir baik-baik dulu. Apa sebenarnya yang berlaku ni?” soal mamanya lagi. Dia memang memikir selepas itu tetapi kepalanya semakin pening. Benarkah dia diperdaya oleh bekas kekasihnya itu?

Mustahil pula! Tetapi tak mustahil pula sebab selama ini pun dia sudah lama dikhianati! Mati-mati dia mahu kembali kepada kekasihnya itu tetapi gadis itu hanya memperlekehkannya. Ah bodohlah dia!

“Saya nak nikah dengan Harrynna Lisa mama, nak selamatkan kandungan dia.” Jujur dia menjawab. Mamanya sudah pegang kepala. Wajah ayu mamanya itu mahu marah atau mahu menjerit, dia hanya menunggu sahaja. Jangan pula mamanya pengsan sudahlah!

“Kahwin dengan Lisa? Nuha yang awak baru nikahi tu, awak nak buat apa? Awak ni tamak sungguh lah pula Aliff. Baru saja awak nikah dah nak kahwin lagi! Betul-betul awak ni tamak Aliff! Kasihan betul mama ni, dapat anak tamak!” kata Datin Hamidah tidak puas hati dengannya.

Isterinya yang tidak tinggal di rumahnya, ke mana dia hendak mencarinya?Ah, isterinya pun satu. Sepatutnya dia sabar. Ini tidak, dia terus sahaja keluar dari rumahnya. Dia cintakah isterinya itu? Tadi dia sudah mengakui yang dia mencintai isterinya. Benarkah hatinya?

“Eh, abang dah bangun?” Soal Nuha Qarina yang sudah keluar dari bilik mandi itu. Tersenyum dia memandang isterinya yang sudah siap berpakaian itu. Terbang semua kenangannya kepada mamanya. Hilang cerita mengenai dia yang hendak menikah lain. Kasihan pula isterinya ini.

“Mana pakaian awak semalam?” soalnya menanyakan pakaian tidur isterinya tadi. Bertambah merah padam wajah manis itu. Dia semakin galak mahu mengusik isterinya. Dia mengulum senyum.

“Dah cuci. Saya dah simpan di bilik air.” Kata Nuha Qarina malumalu. Bertambah dia galak hendak mengusik isterinya yang agak malumalu itu.

“Kenapa ni malu ya?” soalnya kepada isterinya.

“Tak lah!” kata isterinya. Dia menepuk-nepuk sofa di sebelahnya.

“Duduk sini sayang,” pintanya. Wangian dari rambut isterinya mengghairahkannya semangat kelakiannya semula. Isterinya menggeleng. Dia menolak pula. Pastilah isterinya ini masih segan-segan kepadanya. Sudahlah mereka terpisah beberapa lama dan penerimaannya tidak seperti suami-suami yang lain di luar sana, pasti isterinya masih agak terkejut. Dia tahu. Lihat sahaja wajah mangu dan malu-malu isterinya itu. Pasti ada sesuatu yang belum selesai antara mereka.

“Saya nak solat bang.” Katanya dan cuba menjauhi dirinya.

“Ada telekung tak?” Nuha Qarina geleng. Mana dia sempat membawa apa-apa ke sini. Hanya dia membawa beg tangannya dan baju di badannya. Memang dia tidak sempat membawa apa-apa telekung dan pakaiannya ke sini. Lelaki ini tiba-tiba menjemputnya dalam keadaan yang tergesa-gesa. Itu yang dia tidak suka. Namun demi menghormati jemputan ibu bapa mertua dia terpaksa memenuhi undangan ini. Siapa yang hendak menolak undangan ibu bapa mertuanya yang hendak bertemu dengannya?

“Ada telekung mama di almari tu.” Katanya. Tangan isterinya dipegang lagi. Sejuk tangannya itu. Digenggamnya dan diberikan haba kepanasan agar isterinya tidak kesejukan lagi.

“Sayang…” katanya. Isterinya hanya mendiamkan dirinya. wajah tunduk itu dipandangnya tajam. Dia sentuh dagu gadis itu dan cuba membuat mata gadis itu memandangnya. Memang agak terkejut juga gadis itu.

“Pandang wajah abang,” katanya. Isterinya terpaksa memandangnya. Matanya terkedip-kedip malu atau segan.

“Maafkan abang…” katanya cuba menjauhi lelaki ini. Kedengaran suara nafas isterinya perlahan. Dia mengucup tangan lembut itu lagi.

“Masa Subuh dah suntuk ni bang. Saya nak solat dulu.” Kata isterinya itu terketar-ketar. Mungkin tindakan drastiknya menyebabkan isterinya ketakutan. Dia pula belum lagi mandi pagi.

“Terima kasih untuk tadi…” isterinya hanya mengangguk. Namun mukanya sudah kemerah-merahan bagaikan merah delima.

Ah, kalaulah enam bulan lalu dia melayani isterinya dengan baik dan tidak melayani permintaan bekas kekasihnya itu, alangkah berbahagianya mereka. Mungkin dia bakal menjadi ayah dan isterinya bakal menjadi ibu. Namun, dia kesal. Kesal dengan sikapnya sendiri.

Sikapnya ketika itu amat keterlaluan. Isterinya ditinggalkan macam apa sahaja. Setiap minggu dia terbang ke luar negara bagi merawat kemarahannya kerana dinikahkan dengan Nuha Qarina yang tidak begitu dikenalinya. Di samping itu dia memang menguruskan perniagaannya.

“Saya solat dulu bang. Maafkan saya.” Kata Nuha Qarina meminta izin terlebih dahulu. Dia angguk dan terus sahaja menyandarkan kepalanya di sofa empuk itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience