Chapter 36

Romance Completed 28069

Bab 36

Nuha Qarina agak keletihan melayan tetamu dan mertuanya pada malam itu. Dia tidak menyangka sambutan sungguh luar biasa. Dia berasa seperti baru berkahwin pula apabila merasakan keletihan begini. Namun dia masih sedar akan hakikat dirinya. Dia berterima kasih kerana dengan pertemuan itu ia dapat mengeratkan silaturrahim antara keluarga mertua dan dirinya sendiri. Namun antara dia dan suaminya memang ada sesuatu yang belum selesai lagi.

Dia masih mempunyai perhitungan dengan lelaki itu. Sebelum dia meneruskan perjalanan lebih jauh dalam hubungan mereka yang seperti retak menanti belah ini, dia akan memohon hubungan mereka diakhiri dengan baik. Dia tidak akan sanggup lagi diperbodoh-bodohkan oleh sesiapa selepas ini. Cukuplah sekali ini sahaja dia berkahwin. Selepas ini, dia sanggup hidup sendirian sahaja.

“Aliff, bawalah Nuha masuk ke bilik. Mungkin dia dah penat tu.” Kata Datin Hamidah. Nuha Qarina tersenyum dan mengangguk. Para tetamu mama mertuanya sudah beransur balik. Dia bersyukur, dia memang tidak larat lagi hendak tersenyum kepada tetamu-tetamu mama dan papa mertuanya yang tidak begitu dikenalinya itu. Kakak iparnya Aliya Mastura pula hanya menjeling-jeling ke arahnya namun dia tidak pedulikan hal itu. Biarlah dia dengan jelingannya!

“Nuha dah penat ya?” soal Aliff Hakimi seperti mempersendakannya. Dia memang sudah tahu dirinya penat dan matanya pun sudah mahu tertutup. Akhirnya dia cuma-cuma mengangguk. Geram dia kepada suaminya itu. Apa tidak geram.

Memang lelaki itu tahu dia penat, kenapa lagi ditanya?

“Tak penat. Kat sini sampai esok pun saya rela.” Kata Nuha Qarina yang geram dengan soalan suaminya. Aliff Hakimi ketawa. Mungkin suaminya juga faham yang dirinya sudah geram. Jam di tangannya dijelingnya. Jam sudah menunjukkan pukul 12.05 pagi.

Begitu meriah majlis yang diadakan pada malam ini. Mama mertuanya dan papa mertuanya pula sungguh sporting. Mereka begitu bersemangat melayan tetamu-tetamu mereka yang datang ke situ. Sepertinya dirinya pula yang tidak bersedia hendak melayan lebih-lebih pada malam ini. Mungkin dia memang agak sedikit penat menguruskan segala-galanya mengenai persiapannya menyambung pelajarannya. “Jadi, kita naik ke atas? Mak Cik Onis dah sediakan bilik pegantin kita, Nuha tahu?” soalnya. Dia seperti orang mengantuk disorongkan bantal dan terus mengangguk. Memang dia mengantuk pun. Tetapi tidakkah dia akan menjadi tidak sopan nanti kalau dia sudah tiba-tiba masuk ke dalam bilik mereka sedangkan tetamu masih ramai? Ah, dia harus menunda keinginannya.

“Jomlah,” Aliff Hakimi menghulurkan tangannya. Nuha Qarina pelik. Dia tidak menyambut tangan itu. Akhirnya suaminya mencapai tangannya dan menarik dia naik ke bilik mereka di bahagian atas. Namun dia tetap berkeras. Dia malu pula.

“Nantilah bang. Tak elok pula rasanya. Masih ramai tetamu yang datang tu! Takkan kita nak naik bilik pula. Tak elok pula!” Katanya seperti berbisik. Aliff Hakimi menggeleng. Lelaki ini memang begini. Kalau katanya putih, putihlah!

“Naiklah Nuha, suami Nuha dah rindukan Nuha setengah mati tu,” kata mama mertuanya dari arah belakang. Dia terkejut. Hampir putus jantungnya. Ya Allah, baiknya mama mertuanya ini. Begitu sporting dengan anak menantunya. Dia hanya mengangguk dengan wajah kelat. Dia tidak menyangka kalau mama mertuanya itu tahu apa yang dia katakan tadi.

“Mama tahu Nuha dah penat tu. Pergilah naik. Tetamu pun berasur pulang. Tinggal kawan-kawan mama yang nak bungkus makanan je yang tak balik lagi…” kata Datin Hamidah dengan panjang lebar. Dia ketawa kecil.

“Kan mama tu fahamkan situasi kita. Itulah mama suruh kita naik, kan mama!” Datin Hamidah hanya tersenyum manis dan mengangguk. Dia pula menjadi sangat segan. Sepertinya dia pula yang tidak sabarsabar. Eh, malunya!

“Mari sayang… abang memang rindukan sayang, buat apa nak tunggu lama-lama kat sini!” kata Aliff Hakimi membisikkan kata-kata manis untuknya. Pinggangnya sudah dipeluk erat di depan mama mertuanya. Beraninya suaminya ini! Tak tahu malu pun ada!

Ah, mampukah dia percaya? Mampukah dia berlakon untuk semua ini? Ah, dia sendiri yang tidak mempercayai suaminya ini. Benar dia tidak percaya!

Tangannya sudah ditarik dengan agak kuat. Mahu atau tidak dia terpaksa bangun dari tempat duduknya dan mengikut langkah suaminya.

Tangan mereka masih berpegangan.

“Inilah bilik kita.” Kata Aliff Hakimi ketika mereka sudah di depan pintu bilik itu. Terbuntang matanya melihat sebuah bilik yang terhias indah seperti bilik pengantin padahal mereka sudah agak lama bernikah. Bukan sehari dua. Tetapi dulu selepas menikah dia tidak diberikan peluang untuk melawat rumah keluarga mertuanya ini. Lelaki ini terlalu sibuk atau terlalu membencinya dan seolah-olah kehadirannya tidak diiktiraf dalam keluarga ini. Dia seperti terbayang-bayang akan daya pesona suaminya ini namun haram dulu, lelaki ini tidak sudi menyentuhnya, walaupun hanya kulit tangannya. Mahu sahaja mengalir air matanya.

“Cantiknya!” kata Nuha Qarina yang kagum dengan warna ungu bersulam warna merah jambu.

“Cantikkan? Nuha dah larikan diri, tak dapat abang nak bawa Nuha ke sini,” Nuha Qarina mendiamkan diri. Mukanya masam. Terkenang malam pertamanya yang suram. Lelaki itu memberitahu dia tiba-tiba ke Jakarta kerana ada urusan pejabatnya di sana. Apa salahnya jika dia dibawa ke sana?

Bukankah pada masa itu mereka sudah sah menjadi suami isteri? Namun, lelaki itu pandang dia pun tidak. Membatalkan air sembahyang hanya setakat ikut suruhan mamanya sahaja. Dia kecewa sekali.

Kecewa dengan perlakuan itu terhadapnya.

“Dulu abang juga yang tak sudi kat saya!” katanya perlahan. Lelaki itu tambah mengeratkan pelukannya. Ya Allah mahu sahaja dia sesak nafas.

“Bang, tak elok begini!” katanya kepada suaminya. Dia tidak suka dipeluk-peluk erat begitu.

Sepatutnya sebagai lelaki yang matang dan dia pun gadis yang matang, dia tidak berkelakuan begitu melayannya. Kecewa sungguh dia. Namun malamini penerimaan lelaki ini terhadapnya sungguh berbeza sekali. Dia tampil dengan sungguh kacak, berpakaian kemas walaupun dengan t-shirt dan seluar jeans, tetapi penuh perhatian dan melayannya dengan baik.

Namun, hatinya bagaikan gelas cantik yang sudah retak. Sungguh, dia sudah terluka selama berbulan-bulan ini. Namun tidak ada sesiapapun yang memahami perasaannya. Perasaan seorang isteri yang baru sahaja menjadi isteri. Ditinggalkan bagaikan sepohon bunga ros yang baru ditanam tetapi dibiarkan tanpa mendapat siraman kasih sayang tuannya. Begitulah dia. Terasa luka hatinya terlalu dalam.

Sungguh, dia sukar melupakan segala-galanya.

Biarpun perubahan mendadak suaminya ini agak menggembirakannya namun dia tidak mampu menerimanya serta-merta. Dia masih seperti sebuah gelas yang retak yang tidak dapat dipulihkan dengan serta-merta pula. Ah, bagaimana dia harus memberitahu suaminya ini akan sebuah kekecewaan yang dialaminya? Mampukah dia berterus-terang pada malam yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan ini? Mahukah dia suaminya terluka seperti mana dia terluka berbulan-bulan lamanya?

Ah, tidak adil untuk dia mengembalikan kelukaan yang dialaminya kepada suaminya. Baginya kesakitan dan kesengsaraan yang dialaminya biarlah dia sahaja yang mengalaminya. Tetapi segala-gala kesakitan dan kesengsaraan batin yang dialaminya itu berpunca dari lelaki di depannya ini! Argh! Betapa kusutnya jiwa seorang Nuha Qarina malam ini.

Betapa dia mahu menjadi seperti isteri yang lain yang berbahagia selepas bernikah dengan lelaki yang diidamkan. Namun dia, kenapa begini takdir hidupnya? Kenapa tidak sama dengan orang lain? Apakah kerana doa-doanya yang kurang memohon kebahagiaan kepada Ilahi?

“Kenapa direnung sahaja katil dan bunga itu sayang? Kalau Nuha dah penat, pergilah capai bunga dan cium baunya, ia akan memberikan kesegaran kepada sayang.” Bisikan lembut lelaki yang dirasakan pelik di telinganya itu melemparkan semua kenangan yang lalu. Dia tidak membawa apa-apa. Hanya pakaian di badannya dan sebuah beg tangan yang berisi telefon dan dompetnya. Bagaimana dia hendak menukar pakaian?

“Ya…ya… terima kasih.” Katanya teragak-agak. Ia seperti sebuah malam pertama yang berulang. Namun, dia terasa pahitnya kehidupannya.

“Kenapa sayang nampak sedih ni? Sayang tak suka? Kenapa tak suka? Sayang masih marahkan abang?” terlukiskah gambar kesedihan di wajah beningnya ini? Soalnya kepada dirinya. sempat ditolehnya cermin besar di sisi kirinya. Wajahnya ternampak kusut walaupun dihias dengan cantik malam ini.

Sejambak bunga mawar di atas katil begitu menaikkan rasa kagumnya. Ini bermakna Aliff Hakimi memang sudah bersedia dengan kehadirannya malam ini. Sedikit perasaan yang hadir, dia begitu terharu. Tetapi jika difikirkan semula, dia masih tidak dapat melupakan kisah ngeri yang pernah berlaku antara mereka berdua sebelum ini.

“Jangan diungkit kisah lama bang.” Kata Nuha Qarina cuba untuk berlembut hati dengannya. Namun, ternyata dia seperti masih berendam dalam kisah lama yang panjang deritanya.

“Ya betul tu abang pun tak suka nak ungkit-ungkit kisah lama.” Nuha Qarina hanya mengangguk. Namun wajahnya kelat sekelat pinang muda.

“Malam ni kita tidur di sini ya sayang.” Dia mengangguk sambil berdoa agar tidak ada sesuatu yang tidak baik berlaku malam ini. Dia juga mahukan pengesahan agar hubungannya akan diakhiri pada malam ini. Dia mahu berterus-terang tetapi dia tidak sanggup. Dia takut lelaki itu akan mengubah pendiriannya.

“Boleh saya tahu kenapa abang baik sangat dengan saya sekarang ni? Kenapa abang tak bawa saja isteri baru abang jumpa dengan keluarga abang? Kenapa saya dilibatkan lagi dalam keluarga abang ni? Saya ni bukan apa bang, saya ni malu diperlakukan begini, saya ni bukannya nak berburuk sangka atau berdendam dengan abang atau keluarga abang tapi saya yakin abang faham situasi kita berdua. Kalau abang dah buang saya, kenapa abang nak pungut semula? Eloklah rasanya jika kita berpisah saja bang. Saya tahu abang tidak perlukan saya dalam hidup abang, saya faham saya bukan pilihan abang…”

“Nuha, sudah jangan teruskan.” Dia termangu. Dia bercakap dari segi hakikat. Selama ini dia dibiarkan sahaja. Selama ini lelaki ini tidak mempedulikannya. Kenapa pula sekarang suaminya mahu mengambil berat kepadanya? Kenapa sekarang dia sudah berbeza? Mana isteri barunya?

“Tak bang, saya cakap yang sebenarnya. Saya tahu dan sedar siapa saya di depan abang sekarang ini. Saya sedar saya bukan isteri yang baik buat abang,” kata Nuha Qarina meneruskan kata-katanya. Entah dari mana kekuatan yang diperolehi. Lelaki di sisinya ini memegang bahunya. Bersediakah suaminya itu menjadi suaminya yang sebenar untuknya atau sekadar memulakan sebuah permainan lagi?

Ah, takutnya dia. Takut lelaki ini akan memperbodohkannya butabuta seperti enam bulan yang lalu. Ah, sampainya hati lelaki kacak ini. Nampak wajah sahaja yang kacak tetapi dia tidak tahu apa yang tersarung di hatinya. Dia tidak mahu berburuk sangka tetapi sebab dia tidak menyangka sesuatu yang buruk lah yang menyebabkan lelaki itu meminta kebenarannya untuk bernikah semula.

Kalau pada waktu anaknya sudah beberapa orang dan dia tidak mampu mengurus suaminya ini, dia akan memberikan kebenaran dengan hati berbalah-balah. Tetapi ketika itu mereka baru sahaja menikah. Aduhai, kenapa jalan nasibnya tidak serata gadis yang lain?

Dia sudah melalui mimpi ngeri yang panjang. Tidak ada sesiapa yang mempedulikan dia kecuali Kartika yang memberikan dia semangat untuk terus hidup dan gembira seperti biasa. Ah, dapatkah dia menjalani kehidupan seperti gadis biasa setelah apa yang dia lalui selama ini?

“Jangan begitu Nuha, percayalah abang sayangkan Nuha,” Aliff Hakimi sudah memegang tangannya dengan kukuh. Wajah kacak dan sepasang mata itu dia pandang lagi, mencari kebenaran. Apakah sayangnya di hati atau hanya di mulut. Apabila dia bangun esok pagi, lelaki ini sudah membuangnya ke longkang hatinya. Sakitnya!

“Tak perlu abang nak berlakon di depan keluarga abang sekarang ni. Abang berterus-terang saja yang abang tak perlukan saya dalam hidup dan perkahwinan kita ni. Senang cerita! Jangan nak mainkan orang tua kita. Saya tak nak hidup begini bang!” rayu Nuha Qarina. Lelaki itu ketawa kecil dan menggeleng. Air matanya sudah menggebu.

Dia menahannya seperti ahli perang menahan tembok dari pecah.

“Tak, abang tak berlakon! Abang serius ni sayang,” nafinya lelaki itu. Masih memegang dan mengucup tangannya. Air matanya sudah mengalir perlahan. Tidak tertanggung air yang bertakung di kolam matanya ini. Sungguh sebak dia. Terasa dirinya dipermainkan oleh suaminya sendiri. Setelah berbulan-bulan dia dibiarkan sendirian seperti orang yang tidak ada suami, minggu ini tiba-tiba suaminya ini muncul semula dan berlutut di depannya seolah-olah dia tidak berdosa ketika itu.

“Maafkan abang di atas segala kejadian yang pernah berlaku. Memang itu salah abang. Abang sungguh kesal dengan apa yang berlaku. Memang semua silap abang sayang!” bertambah dia terkejut lelaki itu sudah berani memanggilnya sayang.

Kenapa lelaki itu berubah laku terhadapnya? Selama ini dia tertunggu-tunggu lelaki itu mengirimkan surat cerai kepadanya. Tetapi sehingga hari ini hanya batang tubuhnya sahaja yang datang kepadanya. Kenapa lelaki ini begitu pelik? Kenapa dia dipilih untuk membungai rumah tangga mereka yang selama ini kusam dan muram? “Tetapi saya sudah tidak mahu hubungan kita diteruskan!

Cukuplah beberapa bulan ini saya terseksa, ada laki macam tak ada laki, siap minta kahwin satu lagi! Ya, saya akan tanda tangan borang nikah awak tu! Sila berikan kepada saya tetapi abang tolong lepaskan saya!” ucapnya tegas. Buntang mata lelaki itu melihat keberaniannya.

“Bersaksi bintang dan bulan, abang takkan melepaskan sayang pergi lagi dari abang. Bersaksikan bulan dan bintang abang dan sayang takkan berpisah hingga nyawa abang dicabut Tuhan!” kata Aliff Hakimi penuh ketegasan juga. Apakah dia akan berasa gembira dan melompatlompat dan bahagia dengan ucapan itu atau menangis rawan hati? Benarkah lelaki itu tidak mahu menceraikannya tetapi memadukannya?

Ah, berdarah lagi hatinya.

“Tak, saya tak rela. Saya rela andai abang lepaskan saya pergi sahaja. Abang boleh kahwin berapa banyak yang abang mahu, abang mampu. Tapi tolong lepaskan saya. Saya tidak layak untuk hidup di sisi abang! Saya orang kampung bang, saya kolot!” Ucapnya nekad. Lelaki ini sudah mengucup tangannya berkali-kali. Apakah maksudnya ini?

“Abang masih menyayangi sayang untuk meneruskan hubungan kita, abang minta kita mulakan hidup baru ya. Jangan sayang nak sebut cerai atau kahwin semula lagi. abang takkan buat itu semua, percayalah sayang!” Nuha Qarina menggeleng. Entah kenapa hatinya beku, sebeku getah sekerap ayahnya di kampung.

“Sayang percayalah abang, abang takkan buat apa yang pernah melukakan sayang. Abang akan menyayangi sayang seperti adanya seorang isteri di hati seorang suami,” kata Aliff Hakimi. Dia bagaikan peguam bela yang bijak berkata-kata. Ah, apakah kelulusan lelaki ini dan dari mana universitinya pun dia tidak tahu. Mereka berdua bagaikan orang asing namun seperti kelihatan lengkap di depan orang lain.

Sebenarnya kedua-dua biji gelas mereka retak, seretak hatinya!

“Sekali saya terluka sampai akhir hayat saya terluka,” ucapnya teguh. Dia tidak berbohong.

“Izinkan saya menyembuhkan luka isteri abang ni. Izinkan abang memulakan kehidupan kita. Abang memohon berikan abang peluang sekali lagi sayang.” Lelaki itu sudah bertindak jauh.

Lelaki itu mengucup tangannya berkali-kali. Malah, lelaki bertubuh sasa ini sudah memeluk tubuhnya yang sudah semakin tinggal tulang dan rangka ini. Dia pula semakin cuak dengan pengakuan lelaki itu. Mungkinkah kerana menghormati mama dan papanya maka dia bertindak mengambil dirinya menjadi isterinya semula?

Ah, kenapa dia terlalu berburuk sangka kepada suaminya sendiri.

Bukankah berdosa kalau tidak memaafkan suami sendiri.

“Berikan abang peluang sayang. Jangan hampakan abang.” Bisik suaminya di telinganya. Sedangkan dia bagaikan bangkai hidup di dalam pelukan suaminya. Mahukah dia memberikan peluang kedua? Apakah harapannya akan lebih cerah jika dia memberikan peluang kepada suaminya ini? Bagaimana pula dengan kekasih suaminya? Tidakkah suatu hari dia akan datang kepadanya dan menuntut janjinya? Ke manakah sudah janji suaminya ini yang hendak menikahi bekas kekasihnya itu?

“Saya boleh berikan abang sebuah peluang kedua…” ucapnya perlahan. Sebenarnya dia hanya mahu melihat kesungguhan suaminya itu. Benarkah dia tidak akan berbohong lagi? Ah, seperti sepasang suami isteri yang baru dinikahkan pula dia.

“Benar? Oh sayang memang isteri yang terbaik yang abang ada, kenapa abang harus memandang wanita lain dalam hidup abang, abang sudah ada yang terbaik selama ini!” pelukan lelaki ini semakin kejap sambil membelai-belai belakangnya. Sebenarnya dia mahu sahaja membalas pelukan suaminya ini. Selama ini dia sangat merindui lelaki ini namun luka di hatinya masih berbalut lagi, ia belum sembuh sepenuhnya.

“Saya tak habis cakap lagi bang,” ucapnya masih duduk kaku di dalam pelukan suaminya. Betapa teganya dia. Suaminya memandangnya.

“Apa yang sayang nak sampaikan kepada abang?” soal lelaki di sisinya ini.

“Kenapa abang tak nikah saja dengan kekasih abang dan hidup bahagia dengannya. Saya rela kalau abang ceraikan saya. Saya tak menyesal sebab kita masih belum terlanjur banyak dalam hubungan kita.” Katanya dengan penuh ketegasan. Lelaki itu memeluknya semula.

“Abang minta sekali lagi. lupakanlah semua itu. Abang tak akan lakukan perkara yang melukakan isteri abang ini. Abang minta sekali lagi, berikan abang peluang kedua, abang akan buktikan yang abang mampu bahagiakan isteri abang ini,” kata Aliff Hakimi.

Dia sudah sebak. Permintaan suaminya ini walaupun sukar diterimanya tetapi tetap membuatkan hatinya sebak dan sedih. Akhirnya dia mengangguk dan tetap menerima permintaan suaminya yang seperti mendesaknya itu. Akhirnya dia hamburkan semua tangisannya di dada bidang suaminya itu. Aliff Hakimi memeluknya dengan erat sekali dan dia membalasnya. Betapa selama ini dia dahagakan kasih sayang suaminya ini.

“Terima kasih sayang. Sayanglah isteri abang dunia dan akhirat.

Takkan ada lagi wanita lain dalam hidup abang sayang.” Bisik suaminya dengan penuh kasih sayang. Dia angguk. Bukan terlalu mempercayai tetapi dia harus berhati-hati dan memberikan peluang kedua kepada lelaki ternama ini.

“Abang,” lelaki ini melepaskan pelukannya semula dan memandangnya. Merah mata lelaki ini. Mereka sama-sama menangis. “Apa dia sayang?” soal suaminya ini.

“Kalau suatu hari abang sudah tak nak dengan saya, kembalikan saya ke rumah ibu bapa saya dengan baik. Jangan buat saya macam orang gila di Bali dahulu. Ibu bapa saya pasti takkan marah jika abang hantar saya semula dengan baik. Mereka akan terima jika kasih kita terhenti sampai di sini saja.” Itulah permintaannya sebelum sauh peluang dihulurkan digerakkan untuk suaminya ini. Sekali lagi suaminya memeluk tubuh kurusnya ini.

“Maafkan abang sayang. Abang yang bersalah kerana membuat sayang serba-salah malam itu. Maafkan abang ya sayang.” Dia sudah letih memikirkan kenangan luka berdarah itu, akhirnya dia mengangguk dalam pelukan erat mereka suami isteri.

“Ayuh kita tidur sayang, abang dah mengantuk,” kata suaminya. Dia tertunduk malu apabila suaminya melepaskan pelukannya.

“Saya tak boleh tidur sini,” buntang mata Aliff Hakimi. Dia menundukkan matanya ke lantai marmar yang berwarna kemerahan itu.

“Tak boleh?” dia angguk.Memang dia tidak berhasrat hendak tidur di rumah keluarga mertuanya ini. Dia mahu tidur di rumah sewanya sendiri. Tidak elok dia wanita hendak tidur di rumah keluarga lelaki ini.

Memang tidak elok dia rasakan!

“Kenapa pula sayang?” soal Aliff Hakimi tidak setuju dengan katakatanya. Tetapi dia memang tidak biasa hendak tidur di rumah lelaki ini. Sekalipun mama mertuanya sudah memberikan kebenaran tadi namun dia tetap tidak selesa. Tambahan pula dengan jelingan Aliya Mastura yang menyakitkan hatinya itu. Namun dia cepat memaafkan kakak iparnya itu. Dia tidak faham situasi mereka kini.

“Saya tak ada baju di sini dan kawan saya tak ada kawan di rumah. Hari dah lewat ni, tolong hantarkan saya balik rumah sama seperti abang jemput saya tadi. Abang tak beritahu pun abang nak bawa saya tidur di sini.” kata Nuha Qarina. Dia tahu permintaan itu akan menyakitkan hati suaminya itu namun hatinya yang terluka sukar hendak diubati.

Suaminya garu kepala yang tidak gatal.

“Sayang beritahu kawan sayang tu, hati-hati di rumah sewa dan tutup semuua pintu, tingkap dan pintu sendiri. Malam ni sayang tidur dengan abang.” Kata suaminya berseloroh. Dia menggeleng.

“Kawan saya tu manja orangnya. Dia takut kalau tidur seorang diri.” Katanya menambah cerita. Suaminya sudah mencubit hidung comelnya yang agak pesek.

“Jangan nak mengada lah. Abang kenal dengan Kartika tu, dia seorang gadis yang berani.” Kata Aliff Hakimi sambil ketawa.

“Pandailah abang!” katanya.

“Ada pakaian sayang di rumah ini. Abang ada bawa pakaian sayang. Jangan risaulah! Lagipun, nanti apa kata mama abang kalau sayang tak da di rumah ni. Abang juga yang panas telinga. Abang tak nak menjawab ya.” kata Aliff Hakimi seperti sudah bersedia dengan apa yang dilakukannya. Dia pula yang garu kepala yang tidak gatal.

Terbayang wajah Datin Hamidah yang lembut dan baik hati itu. Dia pun masih belum mengenali mama mertuanya itu namun dia tahu wanita itu baik dan menerimanya sebagai menantu di rumah banglo mewah ini.

“Ada pakaian? Bila masa saya bawa pakaian saya ke sini bang?” soalnya hairan. Wajah kacak itu terpaksa dipandangnya. Lelaki itu tersengih. Apa yang disengihkannya.

“Ada, abang yang belikan, ada dalam plastik tu,” matanya ditalakan kepada plastik biru yang ada di atas meja. Dia sekali cuba mengusir kehairanan.

“Baju apa tu ya?” suaminya sudah tersenyum penuh makna namun dia tidak mahu menterjemahkan apa maknanya senyum itu. Dia sedar hatinya belum terpujuk dengan perintah suaminya pada malam ini.

Malah, jika boleh mahu sahaja dia pergi dari rumah orang-orang berada ini. Namun dia tidak berupaya. Kebetulan dia tidak membawa keretanya sendiri.

“Itu sayang kena tengok sendiri. Kalau sayang tak selesa, sayang tukar sekarang lah ya sayang,” kata Aliff Hakimi seperti mahu mengenakannya. Namun dia memang tidak selesa dengan pakaian malamnya ini.

Dia tidak biasa tidur dengan gaun malam begini. Ia tidak selesa. Perlahan dia bangun dan menelek baju yang ditunjukkan suaminya itu. Dia mengangkat baju itu. Alangkah malunya dia, baju tidur itu berwarna merah, tidak bertangan dan agak pendek hingga paras lutut sahaja. Baju apakah ini? Siapa yang hendak memakainya? Dia melepaskan plastik itu. Dia tidak akan sekali-kali memakainya mala mini. Suaminya sudah tersengih-sengih.

“Ya Allah, baju apa ni bang?” katanya.

“Sayang kena pakai baju ini malam ini jika sayang memang sayangkan abang selama ini.” Gila punya syarat! Dia memang menyayangi suaminya ini dan digantungkannya harapan agar suaminya ini mampu membahagiakan dirinya sehingga ke akhir nyawanya.

Kenapa hendak diberikan syarat pula?

“Kenapa pula nak letakkan syarat? Saya tak nak pakaian ini! Abang kena hantar saya balik lah dulu! Kat rumah saya banyak baju tidur!” pinta Nuha Qarina. Dia masih menunjukkan ketegasannya kepada suaminya sendiri. Sebenarnya dia malu hendak memakai pakaian tidur yang sangat seksi itu.

“Sayang, kita kan suami isteri, buat apa sayang nak malu!” dia semakin tidak keruan. Pakaian itu tidak pernah dipakainya walaupun dia hanya sendirian di biliknya.

“Saya tak marah tapi geram! Saya tak rasa kita masih suami isteri setelah abang tinggalkan saya berbulan-bulan bang.” Aliff Hakimi ketawa. Bila masa dia lafazkan cerai?

“Abang tak pernah ceraikan sayang. Jangan nak harap yang bukan-bukan! Kita masih suami isteri yang sah sayang!” bisik suaminya lagi yang sudah mendekatinya. Aduhai! Dia tidak mahu lemah kali ini.

“Tapi abang tak pedulikan nafkah seorang isteri.” Dia sudah mulakan perbalahan. Lelaki itu selamba sahaja.

“Ada tak sayang semak akaun sayang tiap-tiap bulan? Sayang mahu abang buat apa sebenarnya?” Nuha Qarina geleng, malah matanya terbuka luas seperti mata ikan. Akaun yang mana? Kalau akaun gajinya, hanya gajinya yang masuk di akaun gaji. Itulah sahaja. Dia tidak pernah memeriksa akaunnya selain akaun gajinya. Dia tidak tahu jika suaminya ada memasukkan wang ke dalam akaunnya setiap bulan. Baik pula suaminya ini.

“Tak de pula,” jawabnya lemah. Ini bermakna mereka memang masih suami isteri yang sah. Lelaki itu menggeleng. Mungkin kesal dengan sikapnya. Dia pula ingat, dia akan dengan mudah memohon fasakh daripada lelaki ini jika memang dia tidak pernah memberikan nafkah zahir kepadanya. Ah, nampaknya perhitungannya agak silap. Dia terkedu memandang suaminya yang memandangnya penuh makna. “Kena semak. Jangan tuduh abang tak beri nafkah selama ini.

Abang masih ingat isteri abang,” kata suaminya yang sudah memegang tangannya. Bulat matanya. Bila masa suaminya masukkan wang ke dalam akaunnya? Untuk apa pula? Dia bukannya tidak cukup wang? Ah, suaminya pandai sungguh melindungi dirinya sendiri!

“Saya dah nak tuntut cerai.” Katanya perlahan. Dia boleh sahaja menarik balik tuntutan itu jika dia mahu. Dia hanya perlu memerhatikan sikap suaminya sahaja dalam peluang kedua ini.

“Abang takkan luluskan. Sayang akan jadi isteri abang sampai akhir nafas abang,” ulang Aliff Hakimi perlahan. Bertambah sebak dia. Sebenarnya dia tidak mahu mendengar pengakuan begini dari mulut lelaki yang banyak mendukacitakan perasaannya selama ini. Sepatutnya dia memberitahu yang dirinya sudah beristeri dan bukannya memberitahu dia memberikan nafkah selama ini!

“Mungkin itu hanya pengakuan abang di mulut sahaja.” DIa masih ragu-ragu. Mungkin lelaki ini hanya bergurau sahaja dengannya. Tadi, dia sudah menerima pengakuan suaminya. Mungkin sebab baju tidur seksi itu.

“Jangan menuduh abang yang bukan-bukan! Abang masih sayangkan isteri abang.” Kata suaminya lagi. Dia angguk. Tetapi dalam anggukkannya dia keliru. Bagaimana lelaki ini kelak membahagikan kasihnya, antara dia dan isteri keduanya alias madunya! Ah, pahitnya!

“Sayang apa namanya tu, kalau berniat nak kahwin lain ketika masih bulan madu! Ah, sudah-sudahlah abang bergurau dengan saya bang!” Aliff Hakimi ketawa. Nuha Qarina tidak selesa. Dia benar-benar keliru.

“Abang cintakan sayang! Jangan cakap apa-apa lagi, hanya sayang yang abang cinta,” terkaku badan Nuha Qarina. Dia tidak menyangka lelaki itu akan membuat pengakuan memberitahu mencintainya. Benarkah kenyataan itu? Lelaki itu sudah mengucup tangannya sekali lagi.

“Bukankah abang dah ada kekasih? Kenapa abang menduakan kekasih abang lagi? Kenapa…”

“Sudah sayang, jangan nak kenapa…dan kenapap…” lelaki itu sudah menodai bibirnya apabila bibirnya bersentuh dengan bibir suaminya. Dia tidak terkata. Malah tubuhnya kaku di dalam pelukan suaminya. Hendak menangis pun ada. Entah kenapa tubuhnya kaku seketika. Matanya dipejamkannya. Dia tidak mahu memandang suaminya apatah lagi dalam situasi begini. Aduhai!

“Tak bolehkah sayang maafkan abang?” kali ini suaminya semakin mendekatinya. Berdebar hatinya. Dia menjauh bersesar dari ruang yang menyeksa itu. Lelaki itu semakin menyakatnya.

“Saya sudah maafkan abang, tapi hati saya masih terluka.” Dia terasa betapa malunya dia dengan suaminya. Apatah lagi selepas bibir merekahnya dilepaskan oleh suaminya. Benar-benar dia tidak berani memandang mata suaminya sekarang ini.

“Izinkan abang sembuhkan luka di hati sayang. Jangan banyak bertanya kenapa dan mengapa abang bertindak begini. Benar, abang cintakan sayang,” kata suaminya membuat pengakuan. Bilakah masanya suaminya ini jatuh cinta kepadanya? Dia jadi nanar dan lupa pula. Selama ini dia tidak pernah mempedulikan dirinya ini.

“Kalau saya tak sedia? Boleh berikan saya masa?” pintanya. Dia tidak yakin akan hatinya. Tambahan pula dia akan pergi ke luar negara tidak lama lagi.

“Abang akan berikan berapa sahaja masa yang sayang nak. Abang akan berikan masa itu. Tetapi pastikan hati sayang dan cinta sayang untuk abang. Pastikan abang tidak terluka.” Dia masih menundukkan kepalanya.

“Janganlah sayang ragu, hanya sayang yang abang cinta.” Katanya lagi. Dia masih lagi ragu. Mana sudah perginya kekasihnya yang mahu dinikahinya selama ini? Bukankah dia beri izin untuk menikah dengan gadis lain? Kenapa pula lelaki ini mula menyayanginya? Adakah hanya sekadar hendak memujuknya yang melarikan diri dari rumah suaminya ini?

“Saya nak ke kamar mandi, nak cuci muka.” Kata Nuha Qarina sudah berasa malu dan dadanya berdebar-debar. Dia tidak mahu menatap wajah itu lama-lama. Dia segan sebenarnya. Namun dadanya tetap berdebar-debar.

“Pergilah.” Aliff Hakimi melepaskan tangannya. Suaminya masih memandangnya dengan senyuman yang sukar dimengerti.

“Ini pakaian sayang.” Kata Aliff Hakimi menyerahkan pakaian tidur di dalam plastiknya.

“Terima kasih.” Mahu tak mahu dia terpaksa memakai pakaian yang seksi itu dengan baju jaket yang ada di badannya.

“Sama-sama sayang.” Kata Aliff Hakimi dengan senyuman gatal di bibir itu. Geram sungguh dia.

Aliff Hakimi sudah berbaring di tilam empuk jenama tilam Ikon Hijau itu sambil menutup matanya. Dia tahu Nuha Qarina sudah memberikan dia peluang kedua. Esok dia akan bangun dengan penuh keceriaan dan azam baru. ‘Terima kasih sayang’. Katanya sambil menutup matanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience