Chapter 23

Romance Completed 28069

Bab 23

“Assalamualaikum!” Aliff Hakimi memberi salam. Dia sudah tidak sabar hendak bertemu dengan isterinya yang dahulu sering diabaikannya. Entah apa yang membuka hatinya, akhirnya dia terpaut hati dan cuba memancing simpati terhadap isteri yang dibiarkannya selama ini. Kekasihnya Harrynna Lisa sudah pergi entah ke mana selepas pertelingkahan mereka dulu. Dia pula terasa dimalukan seluruh Malaysia. Apatah lagi apabila gadis itu sudah ditangkap basah dengan lelaki lain. Marah sungguh dia kepada gadis itu. Rupanya gadis itu sengaja hendak memerangkapnya. Aduhai!

“Dengar dulu cakap aku Aliff! Aku difitnah dengan lelaki itu! Aku diperangkap!” terngiang-ngiang kata-kata Harrynna Lisa. Dia tidak peduli. Dia difitnah atau diperangkap, ada dia kisah? Sebal hatinya. Cara Harrynna Lisa hendak mengenakannya sangat mudah. Dia buat hal dengan lelaki lain tetapi minta nikah dengannya. Tidakkah itu jahat?

Kesal dia, sungguh kesal. Namun baginya kesal itu memang sukar hendak ditebusnya. Isterinya juga sukar hendak dipujuk. Isterinya itu agak aneh sejak akhir-akhir ini. malah yang lebih tragis lagi isterinya sukar dipujuk dengan kata-katanya. Apakah yang harus dilakukannya?

Setiap malam dia tidak dapat tidur mengenangkan isterinya yang pernah disakitinya. Serta merta juga dia menghentikan tabiatnya yang melarikan diri jauh dari isterinya. Dia duduk sahaja di rumahnya seolaholah menunggu kepulangan isterinya. Jika isterinya pergi berkursus di mana-mana di luar kawasan, pasti isterinya itu akan kembali. Tetapi sekarang sudah tiga bulan lebih isterinya tidak kembali. Ini bermakna isterinya tidak akan balik ke rumahnya ini. ini bermakna isterinya terasa hati dengan apa yang pernah dia lakukan. Ini bermakna dirinya sendiri sudah melakukan dosa yang paling besar dalam hidupnya.

“Nuha kerja apa ma?” suatu hari dia bertanya kepada Datin Hamidah mengenai kerja isterinya. Kantoi sungguh dia! Dia tidak mahu berkenalan pun dengan isterinya yang sudah sah untuknya. Mata mamanya bulat dan seperti mata katak mahu terkeluar. Mulut mama ternganga!

Dia sebu. Banyak sungguh silapnya. Dia kata dia lelaki yang hebat dan mempunyai pencapaian yang tinggi dalam pandangan masyarakat tetapi dengan isteri sendiri dia biarkan sahaja! Sebenarnya dia tidak hebat! Sebenarnya dia lelaki kalah! Kalah dalam perjuangkan sebuah kebahagiaan dalam rumah tangganya!

“Kerja isteri pun tak tahu?” memang dia agak itu soalan mamanya. Dia urut lehernya.

“Nuha kat mana sekarang ni? Tak pernah Aliff bawa jumpa mama!

Mama ni macam orang tak de menantu, tahu tak?” katanya. Dia diam. Sekali lagi kesalahan bagaikan senduk mengetuk kepalanya.

“Ada ma, dia ada.” Katanya.

“Ada? Kalau ada, kenapa tak bawa ke rumah mama ni?” soal mama menyebabkan dia semakin kalut. Kalau mama dan papanya mahu datang ke rumahnya dan bermalam di situ, apa yang dia akan jawab?

“Nanti lah kalau mama dah ready, baru saya bawa menantu mama!” semakin membulat mata mamanya.

“Mama tak ready?” soal mama. Dia angguk dan tersengih-sengih.

“Dia sibuk sekarang mama!” jawabnya pula.

“Jangan kata mama tak tahu apa yang berlaku antara kamu Aliff!” berderau darahnya. Mukanya serta merta membahang. Dia terasa seperti semua darah di dalam tubuhnya naik ke kepala. Muka mamanya bagaikan sedang menjulang piala kemenangan di atas pentas! Ah, dia yang kalah! Tertembak sendiri di medan perang ciptaannya! Aduhai, kantoi lagi dia!

“Mana ada apa-apa ma. Kami mencari keserasian!” jawabnya lemah. Mamanya masih senyum menghina macam tadi.

“Jangan nak bohong dengan mama. Aliff ni anak mama. Mama yang kandung Sembilan bulan, mama yang lahirkan dan besarkan dan berikan didikan. Kenapa nak bohongi mama?” kata mama. Dia semakin parah. Darah bagaikan membuak-buak di kepalanya. Bagaimana dia menahan darah malu ini keluar dari tubuhnya? Aduhai!

Kenapa selama ini mamanya tidak bercakap apa-apapun mengenai kelompangan rumah tangganya? Tunggu dia sedar macam sekarang? Ah, bijaknya mama! Memang mamanya lebih bijak rupanya!

Selama ini mamanya memerhatikan dalam diam.

“Ambillah berapa banyak masa pun untuk mengenal pasti isteri kau tu Aliff! Nanti-nanti pergilah pujuk dia, cari dia!” kata mamanya kemudian. Ketika sudah sampai di muka pintu rumah sewa isterinya baru dia tahu sudah terhantuk lagi terngadah!

Dia sudah mengetuk berkali-kali namun dia mendapat jawapan yang negatif dari rumah tersebut. Dia mengintai-intai di sebalik tingkap rumah Nuha Qarina itu. Nuha Qarina yang sudah memasuki biliknya cepat-cepat menukarkan pakaian malamnya. Dia belum lagi mandi pagi itu.

Dia bercadang ke sekolah pada pukul sembilan pagi untuk serahan tugas-tugas lain di sekolah. Dia sudah berjanji dengan pengetuanya kelmarin. Cemas sekali dia. Masih memikirkan sama ada dia hendak membuka pintu rumah itu atau membiarkan lelaki itu di luar rumah. Kalau dia sudah bosan, tentu dia akan pergi. Bisiknya lagi. Dalam ketukan yang bertalu, perlahan dia membuka pintu rumahnya itu selepas dia mengunci pintu biliknya.

“Waalaikum salam. Apa hal awak datang ke sini? Kartika tak ada kat sini! Tak baik awak datang sini pagi macam ni! Nanti apa kata jiran kami!” Nuha Qarina membuka pintu hadapan. Lelaki itu tercegat di depan pintu bagai muka seorang pesalah. Matanya cemas memerhatikan kea rah Nuha Qarina yang sedang berdiri tegak di hadapannya.

“Abang tak cari Kartika pun! Abang cari isteri abang yang comel dan selalu dirindui ni! Takkan abang tak boleh lawat dia di sini? Jiranjiran sayang tu tak apa, abang boleh berdepan dan berterus terang dengan mereka! Boleh tak bagi abang masuk?” soalnya tidak berhenti mencuba.

Wajahnya dijengulkan ke dalam. Wajah Nuha Qarina amat masam. Masam sekali. Mungkin dia tidak ada mood hendak melayan kedatangan lelaki ini pagi-pagi begini. Sebelah kakinya sudah melangkah ke dalam rumah. Dia terkejut dengan jawapan itu. Teragak-agak dia hendak membenarkah lelaki itu masuk. Untuk apa lagi nak datang sini?

Benarkah?

“Boleh! Boleh, silakan masuk. Rumah ni berhabuk, belum disapu sejak semalam. Maklumlah rumah bujang!” katanya perlahan. Sesekali dia menjadi malu dengan apa yang berlaku. Tersengih dia mendengar kata-kata isterinya itu. Mahu sahaja dia kucup pipi yang agak tembam walaupun tubuhnya agak kurus sedikit berbanding sebelum mereka kahwin dulu. Adakah isterinya ini menanggung masalah besar lantaran dirinya?

“Tak apa. Rumah abang lagi teruk, tak ada orang nak masuk.

Abang seorang saja! Tak ada sesiapa yang peduli pun!” jawab lelaki itu seperti merajuk. Asing terasa di pendengarannya. ‘Bukankah lelaki itu sudah bernikah seorang lagi, kenapa rumahnya kosong tak ada orang hendak masuk? Isteri barunya mana? Mungkin dah dibelikan rumah baru? Siapa tahu?’ Nakal, Nuha berbisik sendirian.

“Sebenarnya rumah ni pun tak menerima tetamu! Sebab ini rumah orang bujang!” katanya yang masih di ambang pintu itu. Bulat matanya mendengar kata-kata isterinya itu. Nuha Qarina menunjukkan kekasarannya. Mungkin dia hendak membalas dendam.

“Bujang?” Nuha Qarina angguk. Sakit betul hati Nuha dengan sikap lelaki itu. Dia menggeleng. Isterinya itu tidak bujang, sudah bersuami.

Buktinya dirinya lah! Aww, jangan pandai-pandai nak mengaku bujang!

“Awak bujang Nuha? Tak reti nak tengok sijil nikah dan nama kita berdua tertera di situ?” dia angguk. Malas mahu melayan kerenah lelaki ini. Apakah dia tidak faham yang dia menyindir suaminya ini? Kenapa dia terlalu lurus? Selama ini bukan main lagi dia jahat dan suka menyakiti hatinya. Kalau diulang perkara itu semula dia tidak akan mahu kembali ke laman dunia lelaki ini. Walaupun dia diseret. Dia tidak mahu menderita seorang diri lagi. Cukuplah sekali!

“Ya lah, selepas kita bulan madu bulan mati hari tu, kan saya minta abang ceraikan saya! Jadi saya ni dah bujanglah semula!” katanya dengan penuh tegas. Tegang wajah kacak itu. Lelaki itu menggeleng. Sendu wajahnya. Namun dalam sendu lelaki itu, dia lebih derita.Derita yang hanya dia yang mengalaminya. Mahukah lelaki itu berkongsi derita dengannya kalau dia tidak dipedulikan selama ini?

“Jangan pandai-pandai nak mengaku sayang ni dah bujang semula. Abang takkan rela sayang abang ceraikan! Kita masih suami isteri yang sah. Cuma selama ini abang beri masa untuk diri abang masa bertenang!” katanya dengan penuh yakin. Ah, lelaki ini memang selalu sahaja yakin dengan setiap tindakannya. Dia juihkan bibirnya. Lelaki ini tidak mahu menceraikannya? Untuk apa dia disimpan oleh lelaki ini?

“Saya tak pedulilah dengan apa yang abang cakap tu! Apa yang penting saya pun dah tak mahu perkahwinan kita yang aneh ini bang! Tolonglah lepaskan saya! Abang pun tak suka saya buat apa kita teruskan perkahwinan kita ni bang!” katanya merayu pula. Malah kalau boleh mereka tidak lagi dipertemukan begini. Dia pasti ini emaknya punya pasal. Atau, apakah Kartika ada hubungan dengan suaminya? Sepupu? Dua pupu? Atau, sepapat? Soalnya. Kenapa pula Kartika selalu menyebelahi suaminya? Benarkah mereka ada hubungan?

“Jangan mimpi nak minta cerai sayang! Abang takkan ceraikan sayang sampai akhir nyawa abang! Percayalah! Abang masih ada hak dengan isteri abang, kenapa abang nak ceraikan?” soal lelaki itu. Entah kenapa dia selalu senang hati dengan pujukan suaminya. Benarkah dia pun masih sayangkan suaminya? Benarkah dia pun masih ada cinta? Ah, cinta apa begitu? Pandai lagi nak beri-beri alasan dengan tempoh bertenang konon! Eh, tak percaya dia!

“Awak nakkan saya sampai akhir hayat awak? Eh, awak dah lupa yang awak nak minta kahwin lagi satu? Saya ingat abang datang sini nak minta tandatangan mahu kahwin baru!” katanya dengan tegas. Dia sudah lama terluka. Kata kemaafan sudah letih didengarnya dari mulut suaminya ini.

“Nuha, awak sakit? Awak, kenapa… awak kenapa tak pergi sekolah, tak mengajar ya? Ada masalah ya? Kalau tak menyusahkan abang ingin tahu…” soalnya tiba-tiba kehairanan dengan hadirnya dia di sana. Nuha Qarina menggelengkan kepalanya.

Ah, dia tersilap. Kenapa dia menggelengkan kepalanya. Sepatutnya dia menganggukkan kepalanya agar lelaki itu tidak akan membawanya keluar ke mana-mana atau mengganggunya pagi-pagi ini. Aliff Hakimimasuk setelah Nuha Qarina memberi isyarat tangannya. “Nuha, apa yang sudah berlaku kepada awak sayang? Cuba cerita kat abang!” soal Aliff Hakimi lagi sebaik dia sudah berada di perut rumah teres itu. Dia tidak mahu menjawab sebenarnya. Kalau dia memberitahu bermakna dia hendak memberitahu semua rahsianya. Adodoi!

“Perlukah abang tahu?” soalnya. Lelaki itu mengangguk. Ini lagi satu perangai lelaki ini yang dia baru tahu. Lelaki ini suka memaksa!

Tangan Nuha Qarina sudah dipegangnya. Berkali Nuha Qarina hendak melepaskan tangannya, namun dia tetap tidak dapat melepaskannya. Malah, lelaki itu sudah mengucup jari-jemarinya bagai seorang suami yang menanggung kerinduan kepada isterinya. Bagaikan orang tidak sedarkan dirinya.

Aksi yang paling tidak disukai oleh Nuha Qarina sejak semalam. Dia kaku dan masih terkejut dengan tindakan lelaki itu. Apakah ini hobi baru suaminya ini? Entah bagaimana dia hendak melepaskan diri dari lelaki ini. Pintu utama pula sudah ditutup dan dikuncikannya tanpa disuruh sebentar tadi.

“Kalau kedatangan awak nak mengganggu saya, silakan keluar! Ini bukan tempat melepaskan rindu! Tolong keluar sekarang! Keluar boleh tak?” kata Nuha Qarina tegas. Dia seperti hilang kawalan diri apabila lelaki itu tidak mahu melepaskan tangannya yang halus dan kaku itu.

Lelaki itu kekejutan dengan ketegasan yang ditunjukkannya.

“Tak, abang bukan nak mengganggu Nuha! Abang rindukan Nuha! Kenapa tangan Nuha sejuk, Nuha takut ya? Ingat, abang tak mahu ganggu Nuha, faham? Abang rindu dan cintakan Nuha, isteri abang ni!

Jangan anggap yang bukan-bukan.” kata lelaki itu lagi. Dia tidak perlu menjawab semua soalan lelaki yang sudah berdiri begitu dekat dengan dirinya itu.

“Kalau rindu bukan begini caranya! Ini rumah orang, bukan rumah

Nuha!” kata Nuha Qarina yang sudah merah mukanya menahan marah. Dia sengaja berbuat demikian. Dia tidak mahu lelaki itu berbuat sesuka hati kepadanya. Kalau di rumahnya, sesuka hati lelaki ini memarahinya tetapi di rumah sewanya ini dia tidak akan membenarkan lelaki ini berbuat sesuka hati kepadanya. Sakit sungguh hatinya kepada lelaki ini. Mahu sahaja dia tolak lelaki ini keluar dari rumah sewanya. Ah, nasib baik dia masih ada sikap perikemanusiaan. Jika sikapnya macam lelaki ini sudah dia melarikan diri dari rumahnya ini.

Dia takut lelaki itu akan bertindak sesuatu yang lebih jauh daripada itu kalau dia tidak berusaha mencegahnya. Dia tidak mahu masalah baru datang melanda hidupnya. Perkahwinan ini sudah melanda malah menjadi bara dalam hidupnya, dia tidak mahu apa-apa yang berlaku selepas ini menyebabkan dirinya lebih bermasalah. Fikirnya waras.

“Nuha, bukan begini caranya melayan suami!” katanya pula. Pandai pula menasihatinya agar mengubah cara layanannya. Sakit hatinya. Terasa marah Nuha Qarina dengan kata-kata itu. Suaminya itu mara lagi menghampiri Nuha Qarina.

“Habis, bukan awak yang ajar saya begini? Awaklah yang telah mengajar saya cara-cara yang kurang sopan ini! Inilah ajaran awak selama ini Aliff!” katanya tegas, suaranya jelas. Dia tidak mahu berpurapura mendiamkan diri sedangkan jiwanya sudah lama menderita.

“Nuha, abang tanya sama ada Nuha sakit atau tidak? Sejak jam 7.00 pagi abang telefon ke sekolah, tetapi Nuha tak ada di sana, jadi abang datang ke sini nak tanya kalau-kalau isteri abang ni sakit? Kita ke klinik nak?” terang Aliff Hakimipanjang lebar dan menukar tajuk perbualan.

Dia memang agak pandai dalam waktu-waktu tegang begitu. Dia agak terkejut dengan jawapan itu. Mungkinkah lelaki itu sudah diberitahu tentang pemergiannya ke Sydney? Aduh, kalaulah dia tahu, pasti dia terpaksa membatalkan hasratnya yang satu itu.

“Err, ya…ya, Nuha tak sihat sikit. Mungkin Nuha penat sikit! Kerja Nuha banyak sangat semalam! Itulah Nuha meminta kebenaran pengetua pegi ke klinik.” Jawabnya ringkas. Dia menundukkan kepalanya. Lelaki itu masih berhadapan dengannya memerhatikan setiap gerak-gerinya. Ah, kerana lelaki itulah dia tidak dapat tidur semalam. Bisiknya lagi.

“Ya muka Nuha pucat sikit! Mungkin Nuha mengandung tak? Mari abang bawa Nuha ke klinik!” kata Aliff Hakimilagi sambil menyambar tangan halus Nuha dan mengucupnya sekali lagi. ‘Gila lelaki ini!’ bisiknya lagi. ‘Disentuh pun tidak pernah, inikan pula mengandung!’ dia kegelian sendiri. Ada gelinya ada geram yang memenuhi mindanya.

“Nuha tak ada suami, macam mana nak mengandung! Abang sudah gila agaknya Aliff! Ada suami pun tak sudi, inikah pula mengandung!” katanya sayu. Pandangannya ditundukkannya ke lantai. Ada air yang bertakung di kolam mata. Ditahannya kuat-kuat.

“Nuha, maafkan abang. Bukankah abang adalah suami Nuha? kenapa Nuha cakap Nuha tak ada suami? Abang tak pernah anggap Nuha selain isteri abang yang sah walaupun Nuha dah lama tak balik rumah kita! Rumah kita sunyi sangat tau! Maafkan abang sayang kerana selalu melukakan hati Nuha.” sayu suara lelaki bernama Aliff Hakimiitu lantas menyambar tubuhnya lalu memeluk tubuh kurusnya itu.

Nafasnya sesak di dalam pelukan kemas lelaki itu namun dia berasa sangat terlindung sekali dengan pelukan tubuh lelaki sasa itu. Tanpa disedarinya dia sudah membalas pelukan lelaki itu dengan esakan yang memilukan.

“Menangislah sayang, dan luahkannya, abang sedia mendengar apapun luahan hati sayang!” Nuha Qarina mendongak memandang wajah suaminya. Nuha Qarina tidak jadi menangis, mungkin dia tersedar. Dia menolak tubuh tegap sasa itu. Dia mula teringat yang suaminya juga merupakan suami kepada wanita lain.

“Maafkan saya,” kata Nuha Qarina setelah dia memohon dilepaskan dari pelukan suaminya itu. Namun lelaki itu menguatkan lagi pelukannya.

“Tak apa, ini kan suami sayang,” Nuha Qarina menunduk. Dia bukan suaminya seorang diri. Dia mahu lelaki itu melepaskan dirinya. Dia tidak mahu berkongsi kasih dengan sesiapa. Tidak bersuami pun tidak mengapa, dia reda.

Seketika, dia berasa lega dengan pelukan itu. Separuh bebanan perasaan yang ditanggungnya terlepas dari mindanya tetapi seketika dia menyedari dengan siapa dia berdiri. Pantas dia menolak lelaki itu. Namun, lelaki itu bagaikan sudah bersedia dengan penolakannya dan tangan kuat lelaki itu tidak memberinya peluang untuk bebas dari cengkaman tubuh lelaki tegap itu.

Dia berasa hampir lemas di dalam pelukan itu. Malu dengan tindakannya membalas pelukan erat itu. Tangan lelaki itu sudah menjalar ke seluruh tubuhnya. Bibirnya sudah menyusup ke tengkuk kecilnya yang agak terbuka lantas menghampiri bibirnya. Pantas pula lelaki itu bersuara lunak.

“Nuha, abang benar-benar rindukan Nuha. Abang benar-benar menyesal. Lama abang mencari Nuha, sekolah Nuha, rumah Nuha, kini baru abang jumpa! Maafkan lah abang Nuha!” Dia benar-benar ingin menolak lelaki yang sudah tidak sedarkan diri itu.

“Abang, bukankah hari ini abang nak pergi London? Bukankah sudah masanya abang bertolak? Kenapa abang datang ke sini lagi!” untuk melarikan diri dari lelaki itu, dia cepat-cepat bersuara walaupun dia sangat sukar bernafas. Lelaki yang baru sahaja hendak memeluknya itu tiba-tiba melepaskan pelukannya. Ada keluhan berat di dalam nafasnya.

Mereka berpandangan sekali lagi. Masing-masing bagaikan kerinduan. Aliff Hakimi memegang tangannya semula, bagai tidak dapat dirungkaikan. Nuha Qarina sempat bersyukur kerana ternyata tindakannya membuka menyelamatkan dia dari gangguan lelaki itu.

Namun, bayangan lelaki itu tetap akan memburunya nanti.

“Abang sudah mmbatalkan semua temu janji abang di sana demi Nuha selama seminggu ni!” katanya perlahan. Nuha Qarina ditariknya ke dalam pelukannya perlahan. Terpempan Nuha Qarina dengan jawapan itu. Mereka berjalan seiringan untuk duduk di sofa berwarna kelabu bercorak kuda belang itu. Nuha Qarina hanya mengikut sahaja.

“Kenapa Nuha, bukan perempuan yang abang cintai tu? Bukankah awak ada tanggungjawab lain yang harus dilunaskan, kenapa dengan saya pula awak berurusan kali ini Aliff?” tanyanya menunjukkan kecemburuannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience