Chapter 56

Romance Completed 28069

Bab 56

Aliff Hakimi tidak senang tidur pada malam itu. Dia benar-benar tidak senang hati melihat isterinya berdua-duaan dengan lelaki lain tanpa pengetahuannya. Gambar yang dikirimkan oleh kakaknya Aliya Mastura benar-benar membuatkan dia sakit hati kepada isterinya. kalau kakaknya tidak mengirimkan gambar ini tadi, sampai sekarang dia tidak tahu yang isterinya berbuat curang di belakangnya. Itu yang dia tidak senang hati.

Cemburunya meluap-luap melihat isterinya bermesra dengan lelaki lain. Lelaki yang tidak dikenalinya. Benar juga kata kakaknya Aliya Mastura. Dia kena berhati-hati dengan isterinya. ini kerana dia tidak begitu mengenali isterinya itu. Kakaknya melarang dia kalau sewenangwenang menerima isterinya itu dalam hidupnya. Jangan mudah mempercayai orang lain, kata kakaknya Aliya Mastura ketika mereka sama-sama makan di ruang dapur di rumah keluarganya. Baru itulah kakaknya balik dari menyambung pelajarannya di luar negara. Mungkin ada juga benarnya dia menerima sedikit kata-kata kakaknya. Mula-mula dia marahkan kakaknya kerana suka membuat fitnah kepada isterinya.

“Kakak tak kenal isteri saya, kenapa kakak nak fitnah yang bukanbukan pula?” soalnya kepada kakaknya Aliya Mastura. Kakaknya yang belum berkahwin itu hanya tersengih. Bukan tidak kahwin tetapi terlalu memilih bulu. Selepas kecewa dengan pertunangannya dia terlalu memilih lelaki yang digaulinya. Dia banyak berburuk sangka. Itu yang dia tidak suka!

Mungkin ada sesuatu yang hendak diajarkan oleh kakaknya itu. Dia menanti dengan resah akan reaksi kakaknya yang seterusnya. Dia tahu kakaknya ini speechless. Itu yang dia tidak suka!

“Fitnah? Aliff kata kakak nak fitnah isteri kesayangan Aliff tu?” soal kakaknya Aliya Mastura. Dia geleng. Bukan niatnya hendak berburuk sangka dengan kakaknya. Isterinya sudah lama masuk ke dalam bilik mereka. Dia keluar seketika hendak meminum air. Kebetulan kakaknya ada di ruang dapur sedang makan.

“Jadi, kalau tak fitnah apa?” soalnya. Kakaknya memandang dengan pandangan tajam. Matanya yang agak galak macam mata Anita Sarawak itu kelihatan agak menggoda pula pada pandangannya. Dia terkenang isterinya. Isterinya selalu sahaja akan menundukkan pandangannya jika pandangan mereka bertaut. Isterinya masih malumalu kepadanya. Selama dia mengenali isterinya, begitulah perwatakannya, agak pemalu dan pendiam.

Berbeza sangat isterinya dengan kakaknya Aliya Mastura. Kakaknya ini agak kasar. Mungkin sebab kakaknya ini agak dimanjakan dan datang dari latar belakang yang berbeza berbanding isterinya. Mungkin didikan cara barat membuatkan kakaknya agak berubah. Isterinya pula seorang yang agak sederhana dan cukup menyenangkan hati. Kakaknya ini selalu sahaja membuatkan dia marah. Baru sahaja tidak sampai seminggu kakaknya ini balik ke tanah air.

“Kakak mahu kau berhati-hati dengan perempuan yang baru kaukenali Aliff. Kakak tak mahu kau terjebak kepada perempuan yang hendak menerkam harta yang kau ada!” kata kakaknya Aliya Mastura.

Dia bayangkan wajah malu-malu Nuha Qarina. Dia geleng dalam hati.

Dia tidak percaya kalau pernikahannya dengan Nuha Qarina kerana mahu membolot harta kekayaan yang dia ada. Dia tidak percaya akan kenyataan kakaknya ini. Namun dia tidak mahu ulas lebih panjang mengenai hal ini. Kalau dilayan kakaknya ini mungkin sampai esok dia tidak masuk ke biliknya. Kasihan pula isterinya yang berada di biliknya seorang diri.

“Saya akan buat pemerhatian kak. Saya naik ke bilik dulu.” Katanya kepada kakaknya Aliya Mastura. Gelas di tangannya dibasuhnya dan diletakkan di rak gelas. Kata-kata negatif kakaknya terhadap isterinya mengundang pelbagai pertanyaan pula. Namun dia tidak mahu melayani kata-kata kakaknya itu.

“Jangan lupa cakap kakak Aliff! Kakak ni walaupun belum kahwin tetapi kakak kaya pengalaman! Tu lah kakak belum kahwin sebab kakak susah nak percayakan sesiapa!” kata Aliya Mastura kepadanya. Dia sempat menjeling kakaknya yang jual mahal itu.

“Kakak susah nak percaya atau kakak tak nak kecewa lagi?” soalnya pula. Terbuntang mata kakaknya yang sedang menggigit ayam goreng itu. Macam hendak juling mata kakaknya memandangnya. “Kau jangan nak pandai-pandai malukan kakak ya! Jaga isteri kau tu elok-elok! Jangan nanti kau putih mata!” kata kakaknya Aliya Mastura dengan pandangan yang kurang enak. Dia sudah menghilang di sebalik tangga.

Dia juga hairan kalau sejak akhir-akhir ini, isterinya itu cuba melarikan diri daripadanya. Ketika dibawa bercuti ke Kundasang hari itu, isterinya macam cacing kepanasan. Balik-balik bertanya bilakah mereka akan balik semula ke Kota Kinabalu. Dia jadi hairan dengan penampilan isterinya yang agak aneh itu.

Namun dia tidak boleh menerima hakikat kalau isterinya itu akan memohon cerai daripadanya hanya kerana lelaki yang baru ditemuinya di sebuah restoran makanan segera itu. Dia yang baru menerima gambar isterinya sedang berkasihan dengan mesra dengan kekasihnya itu agak terkejut. Malah dia tidak percaya. Boleh-boleh isterinya berbual mesra dengan lelaki lain? Mungkinkah ini kerana pembalasan kepada dirinya? Adilkah dunia ini?

Dia memang sudah hilang sabar. Mahu sahaja dia menampar lelaki itu kalau dia mahu mencarinya. Mahu sahaja dia menerkam lelaki yang sedang duduk enak dan tersenyum manis kepada isterinya itu. Setahunya, isterinya itu jarang tersenyum manis kepadanya. Dia melihat begitu bahagia isterinya itu berdepan dan berbual-bual santai dengan lelaki yang tidak dikenalinya itu. Mungkinkah isterinya sudah mengenali lelaki itu bertahun-tahun lamanya sebelum dia mengenali dirinya? Kenapa ketika bersama, isterinya itu pernah menunjukkan rasa bahagianya? Alangkah kerdilnya dia menghadapi keadaan isterinya yang sedang duduk enak di depan lelaki asing itu?

Entah kenapa enam bulan yang lalu terasa sia-sia perginya dengan isterinya itu. Dia begitu tega menyakiti hati isterinya itu dengan sewenang-wenangnya. Sesuka hatinya dia terbang ke mana-mana destinasi sendirian biarpun tanpa urusan kerja. Semua alasan dia beritahu dia bekerja.

“Abang di mana ni?” suatu hari isterinya menelefon pada waktu tengah malam. Dia sedang enak menikmati malamnya di kelab malam. Dia beritahu isterinya yang dia sibuk di pejabatnya. Isterinya pula pasti ketakutan di rumahnya seorang diri. Dia juga tidak membenarkan isterinya membawa sesiapapun di rumah mewahnya itu.

“Kenapa nak sibuk? Tak tahu abang ni kerja! K-e-r-j-a! faham?” soalnya sambil mengeja perkataan kerja itu kepada isterinya. isterinya terketar-ketar pula memohon maaf dan meletakkan telefon. Dia pula tersengih-sengih membayangkan ketakutan isterinya. Ada dia kisah pada waktu itu? Enam bulan yang lalu!

Entah kenapa bencinya dan marahnya meluap-luap setiap kali memandang wajah isterinya yang polos, kulit yang putih kuning dan hidung yang sederhana mancung itu. Malah wajah yang selalu kelihatan bersedih itu semakin menambahkan sakit hatinya dan dia bagaikan mahu menyimbah wajah kasihan itu dengan air panas yang mendidihdidih dari belanga! Sampaikah hatinya?

“Jangan pernah kau menayangkan wajah sedih kau tu kalau aku ada di rumah ni! Benci aku tengok muka kau! Kau tahu?” pernah dia mengugut dan mengancam Nuha Qarina dengan kata-kata yang menyakitkan akibat marahnya kepada gadis yang dinikahinya tanpa perasaan sayang dan cinta itu.

Gadis itu mengangguk dengan air mata bertakung di kolam matanya. Kemudian gadis itu berlalu ke biliknya di bahagian bawah bersebelahan dengan dapur di rumahnya ini. Mungkin gadis itu memahami kemahuannya. Benar, dia terus-terusan sahaja membenci isterinya selama beberapa bulan itu.

“Lagi satu, kalau kau sudah masak makanan kampung kau tu, tolong kemaskan dapur rumah aku ni dan habiskan semua makanan yang kau masak tu! Kalau tak habis buang saja! Aku jijik tengok masakan kampung kau tu, tahu tak? Jangan sampai aku melihat dan termuntah di atas makanan kampung kau tu! Kau faham perempuan?” katanya. Betapa pedihnya kata-katanya itu.

Begitu sampai hatinya menghina isterinya sendiri. Isteri yang dianugerahkan Allah kepadanya dan disalurkan melalui penerimaan ibu bapanya. Dia tidak kisah. Apa yang penting dia sudah puas hati dan tersenyum puas melihat isterinya berlari-lari anak menuju ke biliknya sambil menghamburkan esaknya. Ada dia peduli kesedihan gadis itu?

Siapa suruh dia mahu menikah dengan dirinya! Dia sangsi sebenarnya kenapa gadis itu setuju mahu menikah dengannya? Dia seorang usahawan yang sedang meningkat naik namanya dan sering menjadi sebutan di bibir masyarakat. Mungkin itu juga sebab ibu bapa gadis itu terhegeh-hegeh mahu menjodohkan dia dengan gadis itu. Ah, mahu meluatnya dia memikirkan gadis itu dan keluarganya itu!

Jadi, awal-awal lagi dia sudah memboikot gadis yang sudah sah menjadi isterinya itu. Biar dia tahu di mana kedudukannya menjadi isterinya. Biar gadis itu tahu dia tidak ada hati untuknya. Biar dia tahu dia benci gadis kampungan itu. Biar dia mengerti yang dia tidak ada hati kepada gadis itu.

Awal-awal lagi dia sudah memberi amaran kepada gadis itu! Awalawal lagi dia sudah mengajar gadis itu agar sedarkan dirinya. Awal-awal lagi dia sudah mahu menyedarkan gadis itu agar sedarkan diri dan menjaga pemandangannya dan bukannya senang-senang hendak duduk dan makan minum di rumahnya ini macam mak datin! Dia benci dengan sikap hipokrit isterinya yang dilihat berlagak macam ustazah yang warak dan baik konon! Dia benci! Tersangat benci. Bencinya mencecah 300 darjah Celsius tingginya!

Ah, mendongkol sungguh perasaannya ketika mula-mula menikah dengan Nuha Qarina. Tetapi ketika suatu malam, dia balik ke rumahnya dalam keadaan penat itu dia mencari isterinya. Suasana gelap sekali. Langsung tidak ceria malam itu. Selalunya kalau ada isteri yang dibencinya itu di rumahnya, sekurang-kurangnya lampu di dapur dan di ruang tamu masih dihidupkan. Sekarang semua lampu dimatikan.

Apakah jadahnya?

‘Kenapa perempuan ni tak pasang lampu sebiji pun ha! Dia main duduk senang lenang sahaja di rumah aku ni! Boleh-boleh pula dia nak makan tidur aje kat sini!’ rungutnya dalam hati.

Dalam kegelapan itu dia mencari suis lampu dan memasang lampu-lampu di ruang tamu hingga ke dapur rumahnya. Dicarinya isterinya di biliknya bersebelahan dapur itu. Kosong! Itulah yang dilihatnya! Ruang bilik itu kosong sekosong-kosongnya.

Kemudian isterinya dicarinya di seluruh ruang rumah. Mana tahu dia nak tidur sedap di mana-mana biliknya di bahagian atas. Mahu berlari dia naik ke tingkak atas rumahnya. Ah, kosong! Kosong semuanya. Isterinya tidak ada di mana-mana biliknya itu! Mungkin isterinya di bilik utama iaitu di biliknya. Dia mencari di situ. Biliknya kemas sahaja. Tidak ada sesiapa di dalam biliknya itu. Terasa pilu semacam hatinya. Entah kenapa!

Entah kenapa dua minggu selepas dia memarahi, mengugut dan menghamburkan semua perasaan tidak puas hatinya terhadap isterinya itu, kini dia terasa mahu berdepan semula dengan isterinya. Dia mahu bersemuka kembali dengan wajah yang sendu dan malu-malu dan kadang-kadang agak takut-takut kepadanya itu. Dia mahu mendengar kembali suara isterinya.

Suara dia meminta membawakan secawan nescafe untuknya. Dia seperti rindu pula dengan minuman nescafe buatan isterinya itu. Entah kenapa tekaknya tidak dapat pula menerima nescafe buatan orang lain walaupun di mana-mana kedai makan yang dia masuk pun. Walaupun kedai makan lima bintang di hotel berbintang-bintang yang dia masukidia tetap tidak mampu melupakan air nescafe bancuhan gadis yang dianiayainya itu. Nescafe bancuhan isterinya tetap masih terasa-rasa di tekaknya. Hairan dia! Kenapa sebegitu kuat penangan buatan isterinya! Apakah dia sudah diguna-gunakan oleh isterinya? Soalnya dalam hati.

Sempat lagi dia berburuk sangka kepada isterinya sendiri.

Namun kini isterinya sudah tidak ada di rumahnya ini. Isterinya bagaikan ghaib. Isterinya sudah tidak ada di rumah mewah kebanggaannya ini. Di mana-mana pun isterinya tidak ada!

Malah habis diselongkarnya barang-barang isterinya di dalam almarinya itu. Isterinya tetap tidak ada. Malah dengan barang-barangnya sendiripun ghaib. Ke mana isterinya menghilang? Yang ada hanya bau wangian isterinya. Sebotol wangian yang murah. Dia terasa sebak seketika. Begitu banyak wangnya tetapi sebotol pewangi yang agak mahal dan berjenama pun tidak pernah dia membelikan isterinya. Malah dia tuduh isterinya itu sebagai orang kampung yang hendak mengaut hartanya. Entahlah, kenapa dia begitu berani membuat tuduhan yang tidak baik kepada isterinya sendiri. Apakah ada hasutan daripada pihak lain atau memang dia sendiri yang busuk hati sehingga sanggup memperlakukan isterinya sekejam itu!

Malah dia simpan isterinya di sebelah bahagian dapur rumahnya. Sebiji bantal nipis di atas tilam nipis dan sebuah katil single sahaja yang dia sediakan untuk isterinya yang baru dinikahinya itu. Begitu kejam hatinya. Hendak mengalir air matanya mengenang kekejamannya sendiri kepada isterinya itu. Kepada kekasihnya mahu pula dia menghamburkan beribu-ribu wangnya untuk membeli barang-barang berjenama keperluannya. Tetapi untuk isterinya yang sudah sah, tidak ada satu sen pun dia pernah memberikan kepada isterinya itu.

Dia terduduk di atas katil nipis isterinya itu. Mahu menangis dia. Tangisan seorang lelaki yang kejam. Di celah lipatan selimut nipis itu dia terlihat sehelai kertas putih diselitkan di bawah selimut itu. Terketar dia memegang sehelai kertas bertulisan tangan kepunyaan isterinya itu.

“Assalamualaikum. Menemui abang Aliff Hakimi yang dihormati. Maafkan Nuha bang kerana mungkin kehadiran Nuha di rumah abang ini hanya amenyusahkan abang dan menyakitkan mata abang memandang saya setiap masa. Jadi saya mohon dengan izin abang untuk saya keluar dari rumah ini bang. Ampunkan saya bang dari hujung kaki hingga hujung rambut. Halalkan makan minum saya sepanjang saya di rumah abang ini. Saya pergi dari sini bang dan harap abang akan menghantar surat cerai kepada saya nanti. Saya yang memohon izinmu abang. Segala barang dan kelengkapan yang abang sediakan di rumah ini sudah saya letakkan di tempat yang sepatutnya. Terima kasih sekali lagi kerana sudi memberikan ruang dan kelengkapan untuk saya menumpang di rumah abang ini. Maafkan saya sekali lagi jika saya tidak menjaganya dengan sempurna.

Sekian. Terima kasih.”

Dia lipat surat itu semula. Mahu sahaja dia menghamburkan air mata lelakinya meratapi surat yang diletakkan isterinya di atas tilam itu. Rupanya isterinya sudah pergi dari rumahnya ini. Alangkah tersayatnya hatinya menerima perkhabaran dari isterinya ini. Entah kenapa semua kebencian kepada isterinya itu hilang seperti kabut dijilat matahari pagi.

“Maafkan abang sayang. Abang sudah banyak berdosa kepada isteri abang sendiri.” Rintihnya sendiri. Bagaimana dia hendak mengembalikan isterinya yang telah pergi entah ke mana itu dan entah bagaimana dia hendak mengembalikan perasaan kasih isterinya kepada hubungan mereka ini? Dan, kenapa perasaannya begini, bertukar dari benci kepada kasih sayang yang tidak ada tolok bandingnya untuk isterinya itu. Malah bencinya sudah bertukar kepada kerinduankerinduan yang sukar dikawalnya. Ah, kenapa perasaannya sukar ditafsirnya sendiri?

Ah, ini sebuah kesilapan yang telah dia lakukan sepanjang hidupnya. Kenapa dia bersikap begini? Akhirnya dia terduduk di birai katil yang selama ini disediakan untuk isterinya. isteri yang tidak dikenalinya. Isteri yang tidak cuba diterimanya. Isteri yang telah disingkirkannya. Isteri yang tidak sudi dia pandang. Isteri yang menjelakkan matanya dahulu. Namun kini dicarinya isterinya itu di seluruh ruang rumahnya untuk mengisi semula seluruh ruang hidupnya yang terasa kosong akibat kepergian isterinya itu.

“Nuha, Nuha… siapa lelaki itu Nuha? Kenapa Nuha cuba tinggalkan abang sekali lagi setelah Nuha pergi dulu? Kenapa Nuha sudah mencari pengganti abang sedangkan Nuha tahu abang cintakan

Nuha? Nuha…” serunya dalam hati.

Dia bagaikan orang sasau semula mengenangkan isterinya yang begitu mesra dengan teman lelakinya itu. Benarkah itu teman lelakinya? Benarkah kenyataan Nuha Qarina yang lelaki itu bukan kekasihnya sebaliknya hanya kawan semaktabnya tiga tahun yang lalu?

Kenapa dia sukar mempercayai isterinya tetapi lebih mempercayai kakaknya Aliya Mastura? Kenapa isterinya kelihatan lebih sedih berbanding kakaknya yang tersenyum puas menatapi wajahnya? Apakah ada yang tidak kena di antara mereka berdua? Isterinya dan kakaknya? Kenapa dia tidak berupaya menduga?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience