Chapter 33

Romance Completed 28069

 Bab 33

“Assalamualaikum,” Nuha Qarina memberi salam kepada suaminya yang sedang duduk di dalam kereta menunggunya. Lelaki itu cepatcepat keluar dari keretanya lalu membukakan pintu kereta untuknya.

“Silakan masuk sayang.” Bertambah berdebar dada Nuha Qarina. Sebenarnya perlakuan suaminya yang amat pelik ini yang menimbulkan keresahan di hatinya. Namun, dia memujuk dirinya agar dia tidak terpujuk atau terpengaruh dengan tindakan suaminya yang sungguh aneh ini.

Mungkinkah ada sesuatu yang berlaku kepada suaminya sehinggakan dia mencari dirinya semula? Mungkinkah dia hanya hadir untuk memohon kebenaran untuk bernikah dengan kekasihnya? Ah, dia bias sahaja memberikan kebenaran dan menurunkan tanda tangan jika benar suaminya inginkan bernikah lain. Namun, satu sahaja permintaannya agar diperkenankan oleh suaminya ini agar menceraikan dirinya.

Dia tidak mahu hidup tergantung-gantung tanpa arah seperti layang-layang di udara sana. Setelah terlepas dari tuannya, hancurlah ia diterbangkan angin. Ah, dia tidak mahu menjadi seperti layang-layang putus tali itu.

“Eh, kenapa masih tercegat ni? Tak nak naik kereta abang ke? Macam tak sudi pula?” soal suaminya menerbangkan seluruh pertanyaan dalam kepalanya. Mahu atau tidak dia terpaksa masuk ke dalam kereta itu.

“Err, kita nak ke mana ni bang? Saya bukan tak sudi tapi tak tahu nak ke mana pula abang ni! Sebenarnya kita ke mana bang?” soalnya setelah suaminya duduk di bahagian pemanduan.

“Kita?” suaminya bagaikan cuba mempermainkannya. Kenapa pula dia hendak dibawa ke mana-mana. Bukankah mama mertuanya menunggunya di rumahnya?

“Ke mana-mana sahaja yang sayang nak.” Kata-kata itu seperti batu besar menghempap kepalanya. Dia agak jarang bersama-sama lelaki ini. Duduk berdua-duaan pada waktu malam begini memanglah agak menyeramkan bagi dirinya. Kalau boleh janganlah suaminya membawa ke mana-mana yang tidak tentu hala. Itulah doanya dalam hati.

“Ke mana-mana sahaja? Eh, cakap betul-betul, abang nak bawa saya ke mana ni? Saya tak nak ke mana-mana bang! Eh, tak naklah saya ikut. Kalau tak ada nak ke mana-mana, baiklah saya bersamasama kawan-kawan saya di dalam,” kata Nuha Qarina yang terasa menyesal keran terasa dirinya tertipu oleh suaminya. Lelaki itu ketawa.

Terbuntang matanya memandang wajah kacak itu. Dahulu semasa dia baru menikah dengan lelaki ini, bukan main sukar dia bertemu dengan lelaki ini. Apatah lagi melihat raut wajahnya yang menyenangkan begini. Dalam seminggu belum tahu dia akan balik ke rumahnya setiap hari. Tidak, sukar sekali melihat lelaki ini tersenyum apatah lagi ketawa.

Sebak dadanya tiba-tiba.

Kenapa hari ini lelaki ini semakin mahu memesrainya? Siapa dia di sisi lelaki ini? Bukankah dia sudah meminta lelaki ini melepaskannya jika benar lelaki ini mahu bernikah dengan gadis lain yang sudah lama dikenalinya. Mahu sahaja air matanya mengalir. Namun dia menahannya sekuat hati. Dia tidak mahu dikatakan tewas di hadapan lelaki ini. Lelaki ini sukar diteka hatinya. Mungkinkah ada muslihat lagi lelaki ini mula mendekatinya semula? Apakah mimpi lelaki ini semalam? Kenapa dia mahu mencarinya semula? Ah, pelbagai persoalan menerjah akalnya. Sebak sungguh dia. Apakah solat hajatnya setiap malam itu sudah dikabulkan Allah? Ah, dia tidak tahu. Dia belum yakin. Apa yang dia tahu dia agak terkejut kalau secepat ini lelaki ini mencarinya semula!

“Janganlah macam tu sayang. Kita nak jumpa mama dan papa ni.

Tetamu mama pun dah ramai di rumah tu.” Bertambah-tambah rasa terkejutnya. Mula-mula kata suaminya, mama dan papanya nak jumpa. Sekarang ni pula siap dengan tetamu pula. Siapa yang tetamu ni sebenarnya?

“Err, kenapa ada tetamu pula? Ingatkan hanya kita sahaja! Rupanya menjemput orang lain pula! Kenapa begitu bang?” soalnya kehairanan. Sepatutnya majlis itu hanya antara keluarga mertuanya dan dirinya. Kenapa ada orang lain pula yang dijemput? Eh, majlis apa pula ni? Soalnya tidak senang hati.

“Kan sayang ni isteri abang. Mestilah ramai rakan taulan nak jumpa isteri abang yang cantik ni. Dulu kan kita tak sempat nak bersanding di rumah keluarga saya. Kan abang sibuk masa tu,” Nuha Qarina ternganga. Dia tidak menyangka mama mertuanya mengadakan majlis yang agak besar untuk menyambutnya. Mungkinkah ini rancangan Aliff Hakimi? Fikirnya sendiri.

“Kenapa nak buat macam tu, saya… err… kita kan nak cerai. Mama sepatutnya tak buat benda macam ni! Kamu sepatutnya terima menantu baru! Bukan nak sambut saya abang!” Kata Nuha Qarina berterus-terang bertanya suaminya. Aliff Hakimi cepat-cepat menutup mulut Nuha Qarina.

“Lepaslah! Lepaskan saya!” kata Nuha Qarina cuba melepaskan dirinya daripada cengkaman tangan Aliff Hakimi. Aliff Hakimi baru tersedar daripada tindakannya.

“Sayang, percayalah, abang tidak bermaksud hendak menceraikan sayang. Lepas ni jangan nak sebut perkataan yang abang tak suka ya.” Nuha Qarina terus mendiamkan diri. Dia takut sekali dengan tindakan spontan suaminya itu. Kalau di café tadi, sesuka hatinya sahaja dia dipeluk di depan orang ramai. Malunya dia. Berganda-ganda malunya.

“Tak apa, abang mampu kahwin walaupun empat isteri. Saya tak kisah pun!” Kata Nuha Qarina. Kelat lagi wajah kacak itu.

“Tak, takkan pernah, Nuha saja isteri abang dunia akhirat, percayalah!” kata Aliff Hakimi. Betapa terkejutnya dia dengan pengakuan suaminya itu. Ia amat bertentangan dengan pengakuannya sebelum ini. Ah, dia tidak akan pernah percaya akan kata-kata itu. Maaflah suami, dia memang tidak akan percaya akan kata-kata suaminya itu. Sekali dia terkena sampai bila-bila dia tidak akan lupa!

“Baiklah abang, kita teruskan perjalanan.” Enjin dihidupkan. Dalam perjalanan menuju ke rumah mama mertuanya tidak sepatah pun dia bercakap. Dia masih berasa terkejut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience