Chapter 2

Romance Completed 28069

BAB 2

Wajah Kota Kinabalu terpercik pilu dengan secarik kisah yang menyayat hati yang dihadapinya kini. Kota mendung, dada kota sebak dan menimbulkan pelbagai gubahan keresahannya di dada awan di langit biru itu. Awan pun bagaikan mengerti akan apa yang telah berlaku kepada dirinya. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan hal yang sebenarnya, dirinya memang terluka dengan apa yang telah berlaku, sukar dia hendak melawan apa yang sedang menyelinap di hatinya.

Seperti angin luka yang bertiup sepoi-sepoi bahasa begitulah harapannya yang sudah luka dan terhempas seperti kaca, hancur berderai . Namun silapnya juga kerana terlalu berterus-terang dengan Aliff Hakimi, dan akhirnya dirinya yang merana. Terluka kerana dikecewakan dan terluka kerana impiannya bersama dengan lelaki itu berkecai semudah gelas terhempas ke lantai.

Ah, lebih baik dia merana sekarang daripada dia merana selepas telah menjalinkan hubungan intim dengan lelaki itu. Itulah pendapatnya untuk memujuk hatinya yang lara. Memang, tiga bulan adalah waktu yang mengerikan untuk menjalinkan hubungan suami isteri, namun itulah hakikatnya sebuah perkahwinan yang telah dijalankan dengan gilanggemilang di kampungnya dan di hotel lima bintang itu tempohari.

Malu, memang dia amat malu dengan apa yang telah berlaku tetapi hatinya lah sepatutnya yang menjawab harga malu itu. Kalaulah kawan-kawannya di sekolah itu tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya ini, alangkah malunya. Tidak dapat dikatakan bagaimana malu yang melampir di jiwanya ini. Derita hati hanya Tuhan sahaja Yang Tahu.

Ah, hati yang tidak cinta itu dapatkan dia menerimanya dengan terpaksa walaupun perkahwinan telah dilangsungkan? Bisiknya sendiri.

Dia tidak boleh membohongi hatinya. Berkahwin, kononnya dia sudah dapat melupakan cinta pertamanya yang sudah dikuburkannya sesudah dia sudah memutuskan tali pertunangan dengan bekas kekasihnya yang amat penyabar itu. Bukan pula dia kehilangan sabar tetapi cakap-cakap orang tua di kiri kanannnya yang mahu dielakkannya.

Apatah lagi tunangnya itu hanya mahu menghabiskan waktunya dengan belajar sehinggakan dia merasa dirinya sendiri amat terabai. Sukar dijelaskan kenapa setelah lima tahun bertunang mereka tidak berkahwin. Empat tahun selepas tunangnya itu balik dari belajar, dia merasakan cintanya hanya cinta ringan, hanya cinta monyet sahaja bukan cinta sejati.

Dia memutuskan pertunangan itu kemudiannya. Tidak ada apa lagi yang hendak ditunggu. Apatah lagi apabila lelaki itu masih menganggur sahaja kerjanya. Siang malam melawat dirinya yang bekerja sebagai guru. Dia bagaikan sudah lupa yang dia mempunyai tunang rupanya. Namun dia berani pula memutuskan ikatan yang suci itu. Mungkinkah kerana dosa-dosa semalam itu menyebabkan dia dianiaya oleh suaminya sendiri?

Entah kenapa sikapnya menjadi selincah itu. Mungkinkah kota yang dihuninya bertahun-tahun lamanya itu menjadikan dia gadis lincah yang berubah dalam diam-diam? Entah kenapa. Mungkinkah kerana tunangnya yang kemalangan di Kunak itu tidak memberikannya apa-apa makna menyebabkan dia memberikan alasan sudah tidak cinta kepada lelaki itu. Dan, selepas itu, keluaraga tunangnya juga memutuskan pertunanagan mereka secara rasmi. Alasan mereka, doctor mengesahkan tunangnya akan sembuh sepenuhnya dalam tiga puluh peratus sahaja.

“Sabarlah, nanti kalau abang sudah kerja, kita akan cepat-cepat kahwin! Kalau abang ada gaji, gaji abang besar! Jangan susah hati!” kata Danial Akmal, bakal jurutera muda itu memberikan harapan sedangkan dia sudah hilang harapan kepada lelaki itu.

Dia hanya mematah-matahkan tangannya ketika berjalan-jalan di bandaraya Kota Kinabalu itu. Biasanya mereka berpegangan tangan berjalan di pesisir pantai atau di panas matahari sekalipun tetapi kini dia sudah pun berubah. Tidak sekali-kali dia mengizinkan tunangnya itu memegang tangannya. Dia tidak sanggup pula berjalan dengan penganggur!

Aduh, kenapakah fikirannya menjadi sejahat itu walhal selama ini lelaki inilah yang ditunggunya. Entahlah kenapa dia tiba-tiba berubah fikiran. Mungkinkah kerana dia amat membenci lelaki itu. Mungkinkah dia sendiri yang sudah berubah hati? Dia tidak dapat menjelaskan hal itu.

Hatinya bagaikan takut menghadapi hidupnya yang sudah dilanda mendung, ah, bukan mendung lagi. Hidupnya sudah ranap. Tidak ada apa-apa lagi yang tinggal setelah sebulan menghadapi kehidupan yang dijangkakannya akan menghadapi kebahagiaan. Ah, rupanya dia hanya merenung bulan yang jauh di atas langit tetapi dia tetap tidak mampu menggapai wajah bulan yang kononnya penuh kerikil-kerikil tajam itu. Dulu dia sendiri yang degil tetapi hari ini dia sendiri yang menanggung semuanya. Perkahwinan yang dilangsungkan dengan penuh kemeriahan pada bulan Disember yang lalu, kini tinggal sisa-sisa keseksaan yang tidak dapat dirungkainya. Hantaran perkahwinan menjadi tidak bermakna apabila dia telah membuangkan semuanya kerana baginya kenangan lalu teramat menyakitkan. Terlalu menyakitkan.

“Susah nak tahu kisah hidupnya yang lalu, Nuha sebab dia banyak tinggal di luar negara. Kau boleh percayakah yang tiba-tiba dia jatuh cinta kat kau, lantas meminang dan kahwin dengan kau? Takkan kau tak siasat latar belakangnya lagi? Tapi kalau kau terima aku tak mahu nak ikut campur, susah nak cakap kalau apa-apa berlaku kepada kau, Nuha!” kata seorang sahabatnya, Kartika yang sangat rapat pernah memberikan komen apabila dia berura-ura berkahwin dengan seorang anak datuk, seorang usahawan yang banyak tinggal di kota-kota metropolitan di dunia ini. Ia kedengaran agak bombastik tetapi ia realiti.

Dia mengabaikan kata-kata itu dengan harapan dia akan mendapat kebahagiaan dan kasih sayang sepenuhnya dari lelaki itu. Ah, kusut akalnya memikirkan lelaki itu.

“Entahlah Nuha. Abang tak boleh nak menipu diri abang sendiri. Dulu memanglah nampaknya abang sangat menyintai Nuha. Tetapi apabila bertemu semula dengannya, rupanya masih ada cinta antara kami! Jadi, abang terus terang dengan Nuha kami masih menyayangi antara satu dengan lain!” kata suaminya itu pada malam mereka berbulan madu setelah hampir dua bulan mereka bernikah dan bersanding secara besar-besaran di sebuah hotel lima bintang di Bandar raya rimba tropika itu. Sakitnya saat ini, tidak dapat dilukiskan di kanvas impiannya.

Patutlah lelaki itu selalu meminta agar bulan madu mereka ditangguhkan. Rupa-rupanya ada sesuatu yang berlaku di sebaliknya. Tidak disangkanya lelaki yang mengakui amat menyayangi pada permulaan perkenalan mereka itu akan menyatakan sesuatu yang sangat kontra di hadapannya kini. Angin sepoi-sepoi di pusat peranginan ini memang tidak dapat memanjakan hatinya lagi. Bagai ada ribut taufan yang melanda dirinya. Namun dapatkah dia menolak rasa yang bertandang di hati lelaki itu? Bukankah dia juga tidak pernah merasai kasih sayang yang menyelusup di hatinya untuk lelaki itu? Kenapa dia harus berprasangka kepada lelaki yang sudah bergelar suaminya itu?

Ah, bukankah lebih baik diputuskan sahaja hubungan yang terjalin antara mereka sementara cinta belum bersemi lagi dan dia pun ingin menjadi bebas sekali lagi. Mungkinkah belum hadir cinta sejati dalam hidupnya ini?

“Err abang, tadi abang cakap ada sesuatu yang abang nak cakap, apa dia?” soalnya ketika lelaki itu sibuk atau pura-pura membelek-belek surat khabar itu. Lelaki itu memandangnya dengan hendak tak hendak sahaja. Pelik dia. Pelik dia kenapa lelaki itu mahu menikahinya sedangkan cinta lelaki itu tidak ada untuknya.

“Memang ada benda abang nak cakap,” katanya meletakkan surat khabar itu di atas meja.

“Jadi, apa rancangan abang seterusnya?” tanyanya selamba. Tidak mengharap sesuatu yang manis akan berlaku lagi selepas itu. Malah, kenangan manis itu sudah dilupakan sama sekali dalam hidupnya ini.

“Saya kira kalau tidak menyusahkan, saya nak kahwin dengan kekasih saya tu….” Kata lelaki itu tanpa perasaan. Entah kenapa hadirnya bagaikan tidak diperlukan walaupun dia adalah isteri yang sah kepada lelaki itu. Punah harapannya tidak dapat dijangkakan. Itulah ucapan usahawan yang dikenalinya hanya beberapa bulan melalui emaknya, lantas masing-masing menyetujui untuk berkahwin dan bergelar suami isteri.

Malu sekali dia memikirkan segala-galanya. Rupa-rupanya belum pun sampai lima bulan mereka kahwin, masing-masing sudah mengikut haluan sendiri. Entah kenapa Tuhan bagai tidak merestui hubungan mereka itu!

“Jadi apakah makna perkahwinan kita ini bang? Apakah makna bulan madu ini? Hanya nak menyakitkan hati saya? Atau, sengaja nak membalas dendam?” tanyanya perlahan.

Berlinangan air matanya namun dia tidak menunjukkan kepada lelaki itu. Gunung ganang yang membiru menjadi saksi pertengkaran mereka malam itu. Sepatutnya malam itu menjadi sumber terjalin hubungan yang lebih intim antara mereka tetapi sebaliknya yang berlaku. Segalanya menjadi kehilangan makna.

“Abang tetap menyayangi awak sebagai isteri pertama saya. Sayang kan isteri abang, kenapa abang nak benci pula. Tetapi, dia bekas kekasih abang. Abang memang tak boleh tinggalkan dia! Dulu, kami terpisah secara tidak sengaja. Dia tinggalkan abang. Berikanlah ruang untuk abang menyayangi Nuha dan akan menikahi bekas kekasih abang tu! Kami sudah kenal begitu lama. Tidak salah kan berpoligami kalau kita mampu!” kata lelaki itu membuai perasaannya namun dia sudah muak dengan kata-kata itu.

Muak, muak dia dengan kata-kata lelaki itu. Entah kenapa dia bersetuju dinikahi oleh lelaki itu. Ah, kenapa kehadirannya sebagai isteri bagaikan tidak dihargai. Nuha Qarina meratap kesal. Mahu sahaja dia menghamburkan marahnya kepada lelaki itu. Berani buat pengakuan begitu. Baru sahaja mereka diijabkabulkan berani pula meminta izin hendak menikah lain! Memang dia sungguh kesal dengan apa yang lelaki itu lakukan kepadanya. Mahu hantuk dinding konkrit pun ada. Namun dia masih ada pertimbangan. Sabar adalah puncanya yang harus menjadi tiang kepada dirinya. Lelaki ini benar-benar seperti menyimbah minyak panas ke hatinya. Tidak ada apa yang patut dia buat selain bersetuju dan reda dengan apa yang dia minta. Itu sahaja.

Menyesal, benci, terhina dan tersisih malah hilang harga diri membuak-buak di hatinya. Lelaki di hadapannya itu benar-benar telah menyeksa jiwanya. Dia tidak menyangka selama ini lelaki yang kononnya sibuk dengan perniagaannya itu tergamak berpura-pura di hadapannya. Dia malu sekali.

Malu kepada diri sendiri, malu kepada rakan-rakannya yang mengucapkan tahniah kepadanya dan malu kepada lelaki itu. Apakah selama ini dia berfikir dia akan berbahagia kalau dia berkahwin dengan lelaki yang belum cukup mantap di hatinya itu? Beginikah akhirnya semua ini sementelah pula dia tidak cukup kuat untuk menyintai lelaki itu.

“Ceraikan saya! Nikahilah dia, sementara cinta abang masih ada untuknya! Tidak ada gunanya hubungan kita ini diteruskan. Saya rela berundur bang! Saya rela diceraikan.” katanya perlahan namun dia pasti lelaki di hadapannya itu masih boleh menangkap apa yang dikatakannya. Buntang mata lelaki itu mendengar permintaan cerainya. Orang lain kalau memohon permintaan kerana hendak beli itu dan ini. Tetapi dia memohon diceraikan walaupun inai di jarinya masih merah benar. Kalau orang yang meninggal, tanah masih merah. Ah, dia tidak peduli. Dia sudah nekad. Kalau putih katanya, maka putihlah yang dia mahu. Dia tidak mahu berdolak-dalik lagi dengan lelaki yang memang dia tahu tidak dapat menerima dirinya selama ini.

Pandangannya ditundukkan. Entah mengapa hatinya amat sakit dengan pengakuannya sendiri. Memang selama ini dia bagaikan isteri yang tidak berharga pada mata lelaki itu tetapi dia masih boleh bersabar. Mungkin belum ada ruang baru untuk mereka berkenalan. Dia reda. Tetapi apabila malam ini suaminya yang ditunggu-tunggu itu memberitahu dia hendak menikah dengan bekas kekasihnya, dia memang mahu gila! Malah semua kejahatan semuanya dipangkukan di kepalanya.

Kepenatan menyebabkan dia tidak mahu memikirkan segalanya. Dia tidak mahu memandang mata lelaki itu. Ia hanya akan menimbulkan kekusutan demi kekusutan kelak. Malah, hatinya terlalu benci kepada lelaki itu tetapi dia sangat menghormati lelaki itu kerana berterus terang dengannya. Lelaki itu sanggup memberitahunya perkara sebenar daripada membiarkan terus terumbang-ambing di rumahnya sendiri. Dia masih mampu memandang dari sudut yang positif.

“Tak boleh Nuha, kita tak boleh berpisah. Usia perkahwinan kita masih terlalu muda! Lagipun Nuha adalah pilihan keluarga abang. Mereka semua sayangkan Nuha. Bukan apa, masalahnya sekarang, abang masih menyintai bekas kekasih abang tu tapi abang tak boleh lepaskan Nuha,! Nuha, saya takkan lepaskan awak semudah ini!” kata suaminya yang telah melukakan hatinya itu. Jujur sungguh suaminya itu membuat pengakuan. Ah, begitukah hukum-hakam seorang lelaki yang menunaikan tanggungjawabnya terhadap isteri? Bisiknya menyelinap di hati.

Ah, kehidupan ini tak adil untuk dirinya. Kalau boleh sekrang juga dia mahu ghaib dari pandangan suaminya itu. Terasa malu menumpuknumpuk di mukanya.

“Tak boleh bang. Kita tak boleh nak begini, saya tak boleh menerima hukuman abang ni! Ya seperti yang saya kata, kita pun belum begitu mengenali dan saya pun tidak menaruh harapan kepada hubungan kita yang baru bermula ini, jadi, eloklah kita cerai sahaja.

Lepaskan saya!” katanya sebak. Rupanya dia sudah benar-benar menangis. Terlongo lelaki yang dipanggil suami itu mendengar permintaannya.

“Tidak, abang tidak akan menceraikan Nuha! Pergilah ke mana sahaja, abang tak akan ceraikan Nuha! Abang juga sayangkan Nuha! Antara kita tak seharusnya berpisah Nuha! Abang juga cuba menyayangi Nuha, tapi... kekasih abang juga memerlukan abang! Takkan abang nak tinggalkan dia begitu sahaja!” katanya perlahan. Nuha Qarina hanya menundukkan wajahnya. Dia tidak percaya kalau suaminya itu masih hendak menjadikan dia isteri sedangkan dia mampu bernikah dengan sesiapapun yang dia mahu.

“Lebih baik abang mengahwini dia… dan ceraikan saya, tak ada siapapun wanita yang nak kan poligami,” kata Nuha Qarina perlahan. Air matanya memang sudah tidak dapat dibendung lagi. Namun dia tetap berusaha menahannya. Dia tidak mahu kalah di hadapan lelaki yang selama ini melayan dia seperti pembantu rumah itu. Itu dia tidak kisah. Selama ini dia menerima situasi itu dengan reda. Mungkin sebab mereka belum saling mengenali menyebabkan dia dilayan sedemikian rupa. Kini, kata-kata suaminya itu bagaikan batu besar menghempap kepalanya.

Aduh, sakitnya!

“Tidak, abang takkan ceraikan Nuha,” keputusan itu bagaikan paku dilantak mati ke papan. Keputusan itu terlalu menyeksakan dirinya.

“Tolong ceraikan saya bang!” katanya lagi. Malah kali ini jika dia diminta berlututpun dia akan berlutut di depan suaminya itu. Dia mahu diceraikan. Dia tidak mahu bersama lagi dengan lelaki itu. Dia sudah serik. Hidup dengan lelaki ini bukan menjadikan hidupnya mudah malah hidupnya semakin rumit.

“Tak, jangan minta sesuatu yang dimurkai Tuhan, abang takkan lakukan,” katanya.

“Abang jangan buat saya begini. Saya mahu abang ceraikan saya.” Rayunya lagi.

“Sudah, semuanya dibekukan. Abang takkan ceraikan awak sayang!” kata lelaki itu seolah-olah benar dirinya disayangi sebagai isteri.

Sakit hatinya tiba-tiba.

Tidak tahu hendak menghadap ke mana. Menghadap ke arah laut yang terluka bagai dirinya yang terluka. Dia takut hatinya berasa pilu. Menghadap ke arah matahari yang sedang kembali ke tampuknya, dia berasa malu, takut matahari turut bersedih dengan apa yang berlaku.

“Suka hati abanglah kalau itulah kemahuan abang, tapi saya tetap dengan pendirian saya menganggap segalanya kembali seperti biasa. Tak ada abang dalam hidup ini bagi diri saya ini! Jadi, saya tak menyesal kalau kita berpisah saja.” katanya membuat keputusan yang satu itu. Dia tidak mahu terus dipermainkan oleh lelaki yang sudah bergelar suami kepada Nuha Qarina itu.

“Jangan tinggalkan abang Nuha! Abang dah sediakan sebuah rumah untuk Nuha, kereta dan segalanya. Kenapa Nuha nak tinggalkan abang?” soal lelaki itu. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku antara mereka berdua. Dia memandang lelaki itu. Benar, suaminya memandang dia seperti pembantu rumah di hatinya.

“Apa abang ingat saya kahwin dengan abang kerana harta? Jangan abang ingat kemewahan boleh membahagiakan saya! Jangan harap! Siapa yang tinggalkan siapa bang? Nuha atau abang? Selepas balik dari sini, saya akan kembalikan semua harta yang abang berikan kepada saya!” katanya tegas. Dia tidak pernah memilih harta Suaranya ditekan agar tidak terlalu berkasar dengan lelaki itu. Dia masih ingat yang dia masih bergelar isteri ketika ini.

“Abang berhak kahwin lagi, abang mampu!” katanya menegaskan perkataan mampu itu. Dia mengangguk walaupun pahit untuk diterimanya. Namun, itulah yang semestinya diterimanya.

“Dalam keadaan bulan madu begini? Kenapa rancangan bulan madu ini diteruskan bang? Alangkah malunya saya!” katanya sesal dengan apa yang berlaku. Sesal atas apa yang sedang berlaku kepada dirinya sendiri. Kalau dia tidak bersetuju dengan cadangan emaknya dan pujukan kakaknya, tentu kesudahannya tidak begini. Ah, kenapa dia menjadi sebodoh ini!

“Maafkan abang Nuha! Abang tidak sengaja nak sakitkan hati Nuha! Memang percutian kita ini sudah dirancangkan lebih awal dan abang memang tidak sempat memberitahu Nuha tentang segalanya, abang terlalu sibuk dengan urusan abang! Maafkan abang!” tiba-tiba lelaki angkuh itu memohon kemaafan. Dia tiba-tiba merangkul belakang Nuha Qarina. Tangan gagah itu terlalu ampuh untuk ditepis. Cepatcepat Nuha meminta dilepaskan dari pelukan itu.

“Lepaslah! Awak jangan nak buat sesuatu yang saya tak suka!

Please…. Saya tak rela! Saya tak suka sesuatu berlaku antara kita!” kata Nuha Qarina kasar. Namun, bibir lelaki itu sudah hinggap di lehernya yang halus dan gebu. Tidak mahu sesuatu berlaku dalam waktu hubungan mereka kembang tak jadi itu. Selepas adegan itu dia berkeras meminta dilepaskan.

“Janganlah macam ni, Nuha kan isteri abang.” Kata Aliff Hakimi separuh berbisik. Sakit hatinya mendengar bisikan itu. ‘Isteri konon! Isteri yang tidak dihargai!’ bisiknya perlahan. Sayu hatinya tambahan pula lelaki itu begitu berani bertindak terhadapnya. Dia cepat-cepat melarikan dirinya ke bilik mandi yang seolah-olah bilik tidur di rumahnya di kampung.

“Nuha, buka pintu ni sayang! Abang janji abang takkan ganggu Nuha,” bertalu-talu bilik mandi diketuk lelaki itu. Dia sudah menghamburkan semua tangisannya di bilik mandi yang serbanya indah itu. Mahu sahaja dia tidur di situ jika lelaki di luar itu terus-terusan memaksanya.

“Nuha sayang, abang panggilkan security guard di bawah ya,” kata Aliff Hakimi. Nuha Qarina tahu suaminya itu hanya mengugutnya.

“Kejaplah saya nak cuci muka kejap,” jawabnya sebelum suaminya bertindak yang bukan-bukan di luar sana. Setelah dia membuka pintu, lelaki itu masih tercegat di situ.

“Sudahlah abang, tinggalkan Nuha. Esok kita balik ke Kota Kinabalu semula dan hubungan kita sudah tidak macam sebelumnya. Abang buatlah apa yang abang suka, Nuha tidak menghalang! Jemputlah Nuha dalam majlis pernikahan abang nanti, Nuha takkan lepaskan peluang itu! Mungkin sekali dalam hidup!” katanya yang sudah duduk di birai katil. Malam itu benar-benar meninggalkan kenangan ngeri buatnya.

“Sampai hati Nuha buat abang macam ni! Abang rindukan Nuha. Ingat tak lepas kahwin kita tak pernah berjumpa. Hanya telefon menjadi penghubung? Hubungan kita semakin mesra kan!” dia meluat dengan kata-kata suaminya itu. ‘Tidak berjumpa konon! Dia yang melayan aku macam anak tiri di rumah sendiri, dia kata tak pernah berjumpa! Lelaki hipokrit!’ desis hati Nuha Qarina.

Hendak berkahwin lain tetapi memberitahu tentang kerinduannya. Dia tidak membalas. Hanya air mata yang menenangkan jiwanya sepanjang malam itu. Dia tidak menyangka lelaki di sisinya yang mula dikasihinya itu akan menyuakan sesuatu yang menjadikan hati dan harapannya mati.

“Sudahlah bang. Kita tidur dulu. Esok kita akan berangkat awal.

Saya pun tak cukup tidur semalam.” Katanya berdalih. Suaminya hanya memerhatikan gelagatnya. Ah, dalam waktu bulan madu yang seharusnya dihiasi dengan bunga-bunga ceria ini, dia telah kehilangan ceria.

Aliff Hakimi terlalu melukai hatinya. Aliff Hakimi cuba menjadikan dirinya boneka dalam hidup ini. Aduh, hanya Tuhan yang Tahu segala apa yang tersirat di hatinya ini. Apa yang disesalkannya ialah, apabila dia menyatakan persetujuannya bernikah dengan lelaki itu setelah berkenalan dalam waktu yang singkat! Ah, dia nanar kerana dia berasa telah melakukan kesilapan terbesar dalam hidupnya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience