Chapter 32

Romance Completed 28069

Bab 32

Dia tidak senang duduk dengan apa yang baru dikatakan suaminya sebentar tadi. Dia baru sahaja hendak menikmati makanan dengan kawan-kawan baiknya tetapi tindakan Aliff Hakimi hendak menjemputnya dan bertemu dengan mama mertuanya memang terlalu mendadak dan mengejutkannya. Malah, irama jantungnya bagaikan gendang dipalu dengan pemalunya. Mestilah dia sangat terkejut! Ini sesuatu yang pertama kali sejak bergelar isteri dia seolah-olah diberikan penghormatan. Apakah perlu disyukurinya atau dia harus perhati, tunggu dan lihat? Apakah tindakan suaminya selepas ini?

Selama ini dia tidak pernah bertemu dengan mama dan papa mertuanya. Mereka hanya bertemu ketika majlis pernikahan dan persandingan mereka. Dalam situasi sekarang dia hendak bertemu? Bila masa dia hendak berkemas dan bergerak minggu depan?

“Apa yang berlaku ni Nuha?” pegangan tangan Beatrice di bahunya mengejutkannya. Spontan dia menggeleng. Dia tidak senang duduk sebenarnya. Pasti Beatrice yang sedang sibuk memakan aiskrim kegemarannya itu sudah memerhatikannya. Dia pula hendak makan dan minum berasa serba salah. Alih-alihnya dia terpaksa menonton sahaja makanan yang diambilnya tadi. Panggilan mama mertuanya menyebabkan seleranya terbantut!

“Kenapa nampak resah ni Nuha? Ada lagi sesuatu yang aku tak tahu?” Beatrice tidak puas hati selagi dia tidak membuka mulut. Jus oren di gelas pun belum habis diminumnya. Pelbagai perkara mengitari kepalanya.

“Tak ada apa-apa. Tiba-tiba sahaja ada orang nak jemput saya makan di rumahnya,” jawabnya memegang gelas berisi jus oren itu. Beatrice tersenyum. Dia pula tersengih.

“Itu murah rezeki namanya. Siapa yang baik hati tu nak bawa makan tu? Boleh saya ikut tak?” dia tersengih. Itu bukan murah rezeki namanya. Itu tempah bala. Dia pasti akan terasa kekok andainya bertemu pada malam ini. Dia tidak bersedia dengan apa yang dikatakan suaminya sebentar tadi.

“Suami saya. Dia tiba-tiba nak bawa saya jumpa dengan mama dia. Tak sedia saya. Saya dah cakap yang saya ada hal sekarang ni, tapi dia tak faham-faham,” kata Nuha Qarina. Beatrice sudah tersengihsengih memandangnya. Dia hanya mampu menggeleng. Beatrice pasti akan mengenakannya.

“Apa pula tak sedia, jumpa dengan mertua, bukan tak biasa, selalu jumpa kan!” dia tertunduk. Memang dia tidak biasa. Mereka tidak pernah bertemu sejak diijabkabulkan. Mungkin kalau kahwin dengan orang biasa dia tidak akan sekekok ini. Ah, dia faham juga, Beatrice tidak pernah tahu akan pergolakan yang berlaku dengan rumahtangganya.

“Tak apalah, jumpa saja, bukan selalu kau akan jumpa dia. Kau tenangkan dirilah,” jawab Beatrice. Ada benarnya kata-kata itu. Tetapi dia tidak sampai hati pula hendak meninggalkan kawan-kawannya yang sedang makan malam itu. Mereka meraikan dirinya.

“Saya segan pula nak bergerak sekarang Beat. Macam tak sopan pula.” Katanya pula memberitahu kebimbangan di hatinya. Dia takut kawan-kawan yang meraikan nya akan berasa kecil hati nanti.

“Pergilah. Bukan selalu suami kau ada di sini. Kau pun nak berangkat minggu depan. Jadi kau kenalah ambil hati mama mertua kau.

Kau pergilah beritahu kat kawan-kawan lain yang kau nak keluar awal.

Masalah selesaikan?” kata Beatrice memberi pendapat. Nuha Qarina angguk. Ada juga benarnya pendapat anak Dusun Tatana itu.

“Betul juga kata kau. Terima kasih lah atas pendapat kau yang bernas tu. Sebenarnya aku tak sampai hati nak tinggalkan majlis ini,” kata Nuha Qarina yang berasa serba salah dengan apa yang berlaku secara tiba-tiba ini.

“Sudahlah tu! Pergilah kau beritahu mereka, nanti suami kau sampai pula.” Kata Beatrice lagi. Gadis Dusun Tatana ini pandai pula memberikan nasihat. Eh, sejak bila pula dia menjadi penasihat tidak rasmi ini?

“Kepala kau memang geliga. Terima kasih Beat,” kata Nuha Qarina yang sudah menyalami tangan Beatrice.

“Kau kan sahabat aku. Jadi, sahabat mesti selalu bantu sahabat. Jangan pula sahabat lupakan aku yang tak nak sambung belajar ni,” kata Beatrice yang belum mahu menyambung pelajarannya di peringkat sarjana. Menurutnya, dia masih ada tanggungan. Adik-adiknya masih belajar. Terharu sungguh dia mendengar kata-kata Beatrice. Mereka memang selalu berdua ke mana-mana.

“Terima kasih Beat, kaulah sahabat aku! Sampai bila-bila pun aku takkan pernah lupakan kau!” Beatrice tersenyum.

“Ya memang kita sahabat. Kalau kau tak ada nanti aku akan bosan dan menunggu kedatangan kau semula macam aku ni burung pungguk pula. Punggak rindukan bulan!

“Aku pergi ke sana dulu,” Nuha Qarina bergerak menuju ke meja kawan-kawan yang lain. Beatrice meneruskan makannya. Telefon di beg tangannya berbunyi. Cepat-cepat Nuha Qarina mengambil telefonnya.

“Assalamualaikum,” sapa Nuha Qarina.

“Walaikumsalam, Nuha abang sudah di ruang luar. Abang tunggu ya,” kata Aliff Hakimi yang sudah berada di luar hotel Promanade itu.

“Ya sekejap ya bang. Saya minta kebenaran dengan kawan-kawan lain dulu,” kata Nuha Qarina. Dadanya sudah berdebar-debar. Entah kenapa jantungnya bergerak tidak seirama. Kawan-kawannya hanya memerhati. Dia tahu suaminya tidak sabar hendak bertemunya, bukan tidak sabar hendak mempertemukannya dengan mama mertuanya.

“Ya abang tunggu di luar ni ya.” Kata Aliff Hakimi yang menunjukkan rasa prihatinnya. Nuha Qarina menutup telefonnya. Dia kembali ke meja kawan-kawan yang belum diberitahunya.

“Saya pergi dulu ya. Maafkan saya sebab tak dapat berlama-lama dengan kawan-kawan semua,” kata Nuha Qarina.

“Nak ke mana pula lepas ni?” Nuha Qarina tersenyum simpul. “Ada hal, nak jumpa mama mertua pula. Tiba-tiba pula suami bawa jumpa mertua,” jawabnya agak segan.

“Suami ada di sini? Kenapa tak bawa sekali?” sekali lagi Nuha Qarina tersengih. Apa yang hendak dijawabnya.

“Ada kak Sarimah. Baru sampai dua tiga hari lalu. Mungkin dia penat,” Kawan-kawannya tersengih-sengih.

“Patutlah, kan masih honeymoon,” tambah satu suara lagi. Dia hanya tersenyum malu. Tuhan sahaja yang tahu perasaannya pada ketika ini. Bulan madu yang sungguh menyakitkan itu tidak mahu dibayangkannya lagi.

Lelaki itu memang tidak ada perasaan untuknya sebagai isteri. Sedangkan dia sendiri tidak begitu mengenali suaminya pada permulaan pernikahan mereka. Tetapi dia tidak akan sesekali tega memberitahu dia mempunyai seorang kekasih pada hari pertama pernikahan mereka. Tetapi, kenapa lelaki itu tega?

“Mana ada kak, kakak ni pandai-pandai saja tau!” kata Nuha Qarina.

“Pergilah… pergilah jangan risau kami faham,” kata Cikgu Sarimah yang sudah menolak tubuh Nuha Qarina agar keluar dari ruang makan itu. Dia hanya memberi isyarat tangan kepada kawan-kawan lelaki dan pengetua sekolahnya.

“Terima kasih ya atas belanja makan ini.” Itu sahaja yang mampu Nuha Qarina katakan. Dia terasa sungguh dihargai. Dia cepat-cepat menuju ke arah ruang lobi dan mendekati kereta suaminya. Masihkah kereta yang sama? Soalnya dalam hati. Nuha Qarina tercari-cari kereta Camry hitam milik suaminya itu. Sebenarnya kereta itu kereta idamannya. Suatu hari jika usianya sudah meningkat dan simpanannya sudah cukup dia mahu membeli kereta idamannya itu. Namun dia tidak pernah memberitahu keinginannya itu kepada sesiapa. Cukuplah kalau dia memberitahu kepada dirinya sendiri. In sha Allah dia akan kotakan impiannya suatu hari nanti!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience