Chapter 64

Romance Completed 28069

Bab 64

Sebuah mesej masuk ke dalam telefonnya. Bukan sekali mesej itu. Berkali-kali masuk ke dalam peti inbox telefonnya. Dia biarkan sahaja. Dia lesu sekarang. Hilang moodnya hendak berbuat sesuatu. Dia pun sudah balik ke rumah ibu bapanya di kampung. Kebetulan rumah ibu bapanya terletak di pinggir kampung. Agak mudah juga dia hendak ke mana-mana. Sampai di rumah keluarganya, emaknya sudah duduk di ruang tamu sambil membelek-belek majalah wanita kegemarannya. Emak panggil namanya. Dia terpaksa duduk di sisi emaknya.

“Lepas solat Asar nanti duduk kat sini dekat mak! Ada mak nak bincang!” kata emaknya. Dia angguk. Dalam penat diikutkan juga kata arahan emaknya. Apa yang hendak dibincangkan? Soalnya dalam hati.

“Bincang apa mak?” soalnya masih berdiri. Emaknya masih sibuk menonton rancangan kegemarannya.

“Pergilah sembahyang dulu!” kata emaknya. Emaknya suka pula mendesak-desak. Dia terpaksa akur.

***

“Mak bukan apa Nuha, mak berat hati nak lepaskan kau nak kalau tanpa kebenaran suami kau!” dia pusingkan pandangannya kea rah emaknya.

Apakah dia tidak salah dengar? Kenapa pula tiba-tiba emaknya berat hati hendak lepaskannya? Bukankah selama ini emaknya yang bersemangat macam api menyala-nyala menyuruhnya menyambung pelajaran? Kenapa semangatnya macam air yang memadam api yang marak? Semangat emaknya mengendur dan hampir tidak membenarkannya pada saat-saat akhir ini? Macam dipilin-pilin perasaannya.

“Apa ni mak? Saya macam salah dengar ni mak!” katanya masih terkejut. Macam api menyala, pandangan emaknya bersinar-sinar. Tetapi pandangan itu bukan lagi setuju dengan tindakannya yang sudah diambilnya ini.

“Jangan cari penyakit nak! Kita ni orang miskin! Jangan nak buat hal dengan keluarga suami kau tu! Emak hanya akan setuju kalau kau beritahu Aliff,” terkejut dia. Parah kalau begini. Dia terpaksa berdepan dengan lelaki itu pula. Ah, apa kata dia hantar mesej sahaja di laman social facnya atau hantar ke whatsappnya? Apakah lelaki itu akan melayani permintaannya? Kalau dia sudah hantar mesej itu, dia akan beritahu emaknya yang dia sudah beritahu dan minta izin suaminya. Begitu? Ah, baikkah perbuatannya itu?

“Mak tak ingat? Dulu mak yang setengah mati suruh saya sambung pelajaran? Sekarang mak pula minta saya batalkan! Apa ni mak?” soalnya.

“Bukan mak suruh kau batalkan sayang anak mak ni tak faham cakap mak! Mak mahu kau minta kebenaran dengan suami dan keluarga mertua kau tu! Bukannya mak minta kau batalkan. Kau boleh aje nak belajar tetapi dengan syarat kau minta izin dengan suami kau bukan dengan mak lagi! mak dah lepaskan kau kat suami kau!” kata emaknya dengan panjang lebar. Jelingan emaknya itu membuatkan jantungnya hampir jatuh.

“Ya mak saya faham tapi passport, visa belajar, surat tawaran belajar semua sudah ready. Takkan saya nak batalkan! Kalau lelaki tu tak benarkan saya keluar negara macam mana mak?” soalnya. Emak geleng kepala.

“Mak mahu kau beritahu suami kau, itu aje. Jangan nak buat belakangkan suami begini! Mak panggil Aliff datang sini kau nak?” kata Puan Suria. Sakit hatinya.

“Mak nak minta suami saya datang sini? Mak dah beritahu mama mertua saya pasal saya nak sambung belajar?” soalnya kehairanan. Nak terkejut pun ada. Jangan jantungnya lompat ke longkang sudahlah!

Ah, buat apa dia hendak beritahu suaminya dia hendak menyambung pelajarannya! Suaminya itu bukannya tahu menghargai kehadirannya sebagai isterinya. Lelaki itu pergi entah ke mana sudahnya! Lebih baiklah dia duduk diam-diam daripada duduk di buminya sendiri.

“Tak naklah mak! Belum masanya!” katanya tegas. Dia memang tidak mahu memaklumkan suaminya mengenai hal ini. Kalau boleh biarlah dia hidup sendirian.

“Tak nak? Belum masanya?” soal emaknya. Dia angguk.

“Ya mak belum masanya lagi.” jawabnya selamba. Emaknyay sudah panas punggung menasihatinya. Dia memang degil. Ini kerana dia tidak tahan. Dia sudah terkena perbuatan emaknya yang menyuruhnya menerima Aliff Hakimi sedangkan lelaki itu tidak menyukainya. Apalah gunanya pernikahan mereka? Hanya membuang masanya dan membuang masa lelaki itu. Lebih baik dia mendiamkan dirinya sahaja.

Tidak ada gunanya dia berlama-lama hidup dengan lelaki itu.

“Tapi kau masih isterinya Nuha! Kau di bawah tanggungjawab dia, sedarlah diri tu sikit!” kata emaknya membuatkan dia tersedar. Emaknya sudah agak marah. Ayahnya pula tidak banyak bercakap. Menyampuk pun tidak. Mungkin ayah mengamanahkan emaknya sahaja yang berbincang dengannya. Dia tahu apa yang emaknya cakap pasti sudah dipersetujui oleh ayahnya. Dia tahu ayahnya. Ayahnya penyabar dan banyak mengalah dengan sikap emaknya. Tetapi bagaimana pula dengan lelaki yang dipilihkan emak untuknya? Takkan dia pula yang sering kali mengalah? Soalnya tidak mahu kalah dalam situasi mereka sekarang.

‘Mengalah bukan bererti kalah.’ Kata Kartika. Ah, dia benci kalau asyik-asyik dia yang mengalah dan minta maaf kepada lelaki itu. Pasti lelaki itu sudah muak dengan kata maafnya. Kalau dia diam-diam, baru tahu siapa yang sebenarnya parah!

Ah, dia memang sedar tetapi dia tidak mahu menerima lelaki itu lagi. Sampai masa mereka akan berpisah akhirnya. Mungkin suaminya juga sedang menimbangkan hal itu. Jadi untuk apa pernikahan mereka diteruskan?

“Mak, kami ni bukan macam suami isteri yang lain,” mata emaknya kaku macam mata anak patung. Mereka bertentangan mata tetapi emak seperti masih terkejut. Terkejut dengan pengakuan berani matinya. Dia takut pula emaknya pengsan di tempat duduknya itu. Tangan emaknya dipegangnya untuk menenangkan wanita separuh abad itu.

“Nuha dan Aliff tak macam suami isteri yang lain? Tak ada hubungan badan?” soal emaknya. Puan Suria begitu terkejut. Namun dia hanya membuat pengakuan yang sebenar. Dia tidak mengangguk. Kalau tidak pernah berhubungan badan, dia tidak mahu mengaku. Malam di rumah mertuanya menyaksikan segalanya. Namun itu bukan bermakna menggambarkan sebuah kebahagiaan bagi mereka berdua. Selepas itu mereka berselisih faham lagi sampai hari ini. Benci sungguh dia kepada lelaki itu.

“Bukan macam tu mak! Maksud saya, kami bukan macam suami isteri yang lain. Kami ni lain!” jawabnya membuat pembetulan. Terasa bahang di wajahnya.

“Mak dan mak mertua kau harap-harap kami akan bercucu, lain pula yang berlaku kepada kamu berdua ni!” kata emak merungut. Dia tidak tahu mengapa sukar sangat kebahagiaan menjengah dalam hidup mereka berdua. Alangkah sukarnya!

“Jangan simpan harapan yang tinggi mak! Macam mana nak ada anak kalau seorang di utara dan seorang di selatan!” katanya kepada emaknya. Dia beritahu yang benar. Tidak ada gunanya dia berbohong dan harapan ibu bapa mereka terlalu tinggi.

“Jangan malukan keluarga kita Nuha. Kau tak kasihankan kat mak dan ayah kau! Kenapa kau terlalu degil? Kalau ada apa-apa berlaku kepada kamu berdua, mak takkan maafkan diri mak sendiri Nuha! Kenapa kau tak mengalah sahaja? Kenapa tak beri peluang kepada suami Nuha? Mereka memang orang kaya Nuha, orang kaya biasanya ego tetapi keluarga suami kau tu baik saja orangnya! Tolong mak Nuha.

Jangan malukan mak!” rayu Puan Suria. Dia memang mahu memaafkan suaminya. Dia mahu mengalah. Tetapi kata maafnya pun tidak bersambut. Inikah pula nak berbaik-baik semula. Mungkin memang suaminya mahu membuangnya dari hidupnya. Mungkin suaminya sudah bosan dengan dirinya yang tidak pandai melayani suaminya. Ah, lantaklah apa yang suaminya hendak buat kepadanya. Apa yang dia tahu dia mahu menyambung pelajarannya! Itu kesimpulannya dan titik.

“Saya dah lama sabar mak!” jawabnya bagaikan sudah letih dengan sikap suaminya. Hubungan yang terbina antara mereka tidak dibekalkan dengan sikap toleransi dan saling mempercayai antara satu sama lain. Kenapa suaminya tidak mahu mendengar kata penjelasannya dan bersabar dengan apa yang dilihatnya? Gambar itu telah diedit dia tahu. Maksudnya gambarnya dengan Saiful itu sudah diedit dan dilihat seolah-olah mereka sedang bercinta.

Ah, siapalah yang punya rancangan hendak memfitnah dan memisahkan mereka berdua itu? Hakikatnya dia bukan Tuhan. Dia pun boleh membuat kesilapan. Tetapi takkan tidak ada ruang kemaafan untuknya? Dia bukannya sengaja hendak bertemu dengan Saiful di situ. Mereka hanya terserempak. Kenapa pula asyik dia yang dilihat bersalah di mata suaminya dan keluarga suaminya? Kenapa dia sahaja yang menjadi penjahat dan kejam? Dia dihukum dengan begini kejam oleh suaminya?

Ah, kenapa dunia ini tidak adil! Tidak adil kepadanya! Kalau adil kepadanya, kenapa dia sahaja yang tersiksa dan suaminya bersenangsenang tanpa mahu tahu hal dirinya. Kenapa suaminya begitu? Apa salahnya?

“Baru enam bulan kamu kahwin nak. Belum lagi satu tahun enam bulan, 16 bulan, enam tahun, 16 tahun, atau 60 tahun nak! Kalau Nuha dah doa, istiqomah dan bertawakkal kepada Allah dan suami Nuha tak berubah, barulah Nuha boleh hilang sabar nak! Ini tak, baru beberapa hari kamu kahwin tapi kau dah rasa jemu kepada suami! Apa ni nak?” memang benar kata-kata emaknya itu. Kalau ibu ayam duduk mengeram, mungkin belum panas lagi. Dan, dia pun belum lagi berdoa dan beristiqomah mengenai sikap suaminya itu. Tetapi permintaan apakah yang emaknya minta ini? Meminta dia bersabar sehingga puluhan tahun demi untuk suaminya yang agak kejam itu!

Ketika pintu kemaafan sudah terbuka untuk suaminya, kenapa lagi lelaki itu mencalar pintu hatinya? Kenapa lagi suaminya itu menyuburkan api persengketaan sedangkan dia sudah membuka pintu keamanan dengan perbincangan dan bukannya berperang sesama mereka seperti mana Israel dan Palestine yang tidak pernah aman itu!

Mungkin kalau perempuan lain sudah lama lari dengan sikap kejam suaminya itu. Dia pula masih membuka pintu harapan dan pintu kemaafan untuk suaminya. Sebenarnya dia ni kenapa? Kenapa dirinya terlalu lemah?

Ah, hendak luruh air mata dan seluruh ketabahan yang selama ini dimilikinya.

“Enam bulan dah agak lama tu mak! Takkan nak tunggu dia halau saya baru saya keluar dari hidupnya mak! Emak melepaskan pegangannya. Mungkin emak tidak setuju dengan pendapat dan kedegilannya?

“Mak minta kau Nuha bincanglah dengan suami sekali lagi. mak tak mahu kamu bercerai berai. Mak kasihan kat kau nak! Takkan nak jadi janda muda-muda lagi!” kata emaknya yang tidak lagi menyebelahinya. Emak mungkin mengambil jalan tengah agar dia berbincang semula dengan suaminya. Emaknya seperti Kartika yang menyarankan dia terus membuat perbincangan dengan suaminya.

“Saya akan cuba mak! Saya nak solat hajat dan istikhorah sekali lagi mak! Adakah masih ada jodoh kami atau sebaliknya!” katanya mengakhiri perbualan dengan emaknya. Emaknya mengangguk dan sudah mengambil majalahnya di bawah meja di ruang tamu itu. Azan maghrib pun sudah berkumandang dari surau kampung mereka itu. Dia angkat kakinya hendak membersihkan dirinya.

Ah, buat apa dia berbincang lagi dengan suaminya itu kalau nanti dia hanya menemui kekecewaan! Ah, sebelum dia mendekati bilik air terbayang wajah kacak suaminya. Ah, wajah kacak yang sombong dan degil! Bisiknya perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience