Chapter 65

Romance Completed 28069

Bab 65

Galau hatinya selepas bercakap-cakap dengan emaknya tadi. Selepas solat maghrib tadi dia sudah berdoa agar masih ada ruang dirinya di hatinya suaminya jika benar jodoh mereka masih panjang. Jika tidak, dia memohon keampunan kepada Allah agar memudahkan semua urusannya.

Dia juga berdoa agar hubungannya dengan suaminya akan dipanjangkan. Sekalipun di mulutnya dia mahu berpisah dengan suaminya, tetapi sebenarnya dia masih sayangkan suaminya itu. Namun dia tidak tahu kenapa, lelaki itu selalu buat pasal dengannya. Ada-ada sahaja topic untuk membuatkan dia menangis dan bersedih.

Memanglah gambar-gambar yang diedarkan di whatsapp itu memang wajahnya dan wajah Saiful. Dia memang tidak menafikan akan hal itu. Tetapi apa yang sebenarnya dia tidak setuju ialah lelaki yang bernama Saiful itu bukan kekasihnya, bukan siapa-siapa kepada dirinya. lelaki itu hanya kawan baiknya di maktabnya dahulu. Mereka bukan siapa-siapa. Sekalipun lelaki itu meluahkan perasaannya, itu bukan alasan dia hendak menjadikan Saiful sebagai kekasihnya. Tidak mungkin. Malah jauh panggang dari api. Dia tidak akan menjadikan lelaki itu sebagai kekasihnya atau buah hatinya, sementelah dia masih isteri kepada Aliff Hakimi. Buat apa dia nak gatal-gatal nak pasang kekasih pula. Dengan suaminya pun dia tidak larat nak melayani perasaannya sendiri, ini kan pula mahu pasang kekasih satu lagi. Kalau dia hendak, ia boleh sahaja berlaku. Kata orang bertepuk tangan kalau sebelah sahaja mana menjadi. Dan, kalau nak melayan lelaki itu, padanya itu bukan Nuha Qarina. Mungkin itu orang lain, bukan dia!

Tetapi suaminya itu belum pula membalas mesej maafnya. Benarkah suaminya tidak mahu memaafkan kesilapannya yang tidak disengajakan itu? Lelaki itu bukan kekasihnya! Kenapa suaminya masih degil hendak menerima pengakuannya itu? Dia sanggup melutut hendak memberitahu hal itu kepada suaminya tetapi hairannya suaminya sudah menutupi pintu hatinya untuk menerima dirinya. sampainya hati suaminya Aliff Hakimi yang seperti tidak ada perasaan itu. Benar lelaki itu seperti sudah membuangnya jauh-jauh. Suaminya seperti membuang botol ke laut. Ah, sakitnya hati kalau diri dibuang macam botol ke laut!

“Kau kena bincang dengan suami kau Nuha,” itu pesanan emak dan kawan baiknya Kartika. Kenapa mereka tidak berpesan begini; tinggalkan sahaja suami kau tu! Memang dia takkan terima kau semula dalam hidupnya! Kau kena tabah dan mulakan hidup sendiri! Tetapi kenapa tidak ada sesiapa yang menasihatinya begitu?

Bincang! Bincang! Bagaimana dia hendak berbincang dengan suaminya yang agak kepala batu itu? Lelaki itu seperti sudah memaku kenyataan yang Nuha Qarina berbuat curang di depan suaminya! Ah, sakit hatinya menerima kenyataan yang menyakitkan itu. Padahal dia tidak pernah hendak berniat hendak curang kepada suaminya. Sekalipun tiga bulan dia hidup sendirian, dia tetap tidak berniat hendak mencari pengganti suaminya. Baginya dia dan suaminya masih mempunyai harapan dan peluang lagi untuk bersatu semula. Dan, bukannya bercerai. Bercerai bukan jalan yang akan diambilnya! Bercerai bukan menyelesaikan masalah! Bercerai akan menambahkan masalah untuk bertahun-tahun lamanya!

Dia terdengar bunyi telefonnya. Sejak tadi dia tidak mempedulikan telefonnya itu. Dia malas mahu mempedulikannya. Paling-paling pun hanya ada promosi-promosi syarikat telekomunikasi terhadap telefonnya. Dia malas mahu melayaninya.

Perlahan dia bangun dari duduk di katilnya sejak dia masih bujangnya ini. suaminya hanya beberapa saat duduk di katilnya ini sebelum memberitahu dia ada urusan pejabatnya di Kuala Lumpur selepas mereka bersanding di sini. Hancur remuk hatinya. Namun dia tidak ada alasan untuk menahan lelaki itu. Biarlah dia dengan urusannya tetapi dia ditinggalkan tanpa pamit. Memandang matanya pun tidak suaminya itu! Itu yang dia kesal. Kesal selepas pernikahan mereka hari itu.

Membulat matanya memandang telefonnya. Rupanya suaminya yang diharapkan akan menyinari hidupnya dengan sinaran cinta itu sudah menghubunginya berkali-kali. Ceria kembali wajahnya. Membahang pun ya. Apakah yang ingin dikatakan oleh suaminya dengan meninggalkan missed called di telefonnya? Apakah yang hendak dikongsikan oleh suaminya? Kemudian dia memeriksa mesej-mesej yang dihantarkan suaminya. Dia membacanya perlahan.

• Nuha di mana sekarang? Kenapa tinggalkan abang seorang diri di sini Nuha sayang? (Itu mesejnya yang pertama. Nuha Qarina buka lagi mesej yang kedua.)

• Nuha, maafkan abang. Memang abang bersalah kerana tidak mahu mendengar penjelasan sayang hari itu. Memang silap abang. Maafkan abang sekali lagi. (Nuha Qarina menghela nafas panjang. Hendak bersatu matanya dengan air matanya yang memanas yang sesekali mengocak hatinya. Apakah yang harus dibalasnya? Hari itu dia sudah memohon maaf, takkan dia hendak memohon maaf sekali lagi?)

• Nuha sayang, cepatlah hubungi abang dan balaslah mesej abang ni. Abang nak jumpa sayang. Abang nak jumpa sayang.

Abang nak dengar penjelasan sayang. Jangan sampai abang terkeliru dengan situasi kita sayang. Abang tak mahu kita berpisah begini sayang. (Dia hela nafas payah lagi. Dia teringat doanya tadi. Dia tidak mahu mereka berpisah. Dia mahu hubungan mereka akan dipanjangkan hingga ke jannah. Rupanya apa yang dia rasa itu sama dengan perasaan suaminya. Dia segera mengangkat tangannya ke langit betapa doanya kepada Allah sudah dimakbulkan sebelum dia berangkat ke luar negara tidak lama lagi. Dia pun mahu berterus terang kepada suaminya akan cita-citanya itu. Dia mahu menyambung pelajarannya. Jika suaminya mengizinkan. Jika tidak, dia akur. Suaminya yang bertanggungjawab kepada dirinya. )

Dia menekan telefonnya. Dia menekan butang reply. Dia mahu memberitahu suaminya yang dia masih ada di bumi Malaysia. Perlahan dia meletakkan telefonnya di atas katilnya. Perasaannya menggebu. Betapa rindunya dia kepada wajah kacak suaminya itu, Allah sahaja yang tahu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience