Chapter 57

Romance Completed 28069

Bab 57

Nuha Qarina masuk ke rumahnya dengan perasaan yang tidak puas hati kepada suaminya. Baru sahaja dia bertemu secara tidak sengaja dengan kawan baiknya, dia sudah dituduh yang bukan-bukan. Memang sakit hatinya. Malah mahu sahaja dia menangis.

Baru sahaja hubungan mereka pulih lelaki itu sudah membuat hal semula. Ah, mungkin mereka tidak ada jodoh untuk hidup bersama selama-lamanya. Mungkin malam di Kundasang itu adalah malam terakhir mereka bersama. Dia sendiripun mahu juga hubungan mereka diputuskan. Jika dia ada daya, dia akan mengusahakannya namun dia tidak berdaya. Kuasa di tangan suaminya Aliff Hakimi yang susah hendak diterangkan tingkah lakunya. Ada-ada sahaja yang hendak menghalang hubungan mereka.

Dia duduk di birai katilnya dengan perasaan yang mendongkol. Kenapa begitu besar tuduhannya? Selepas itu, dia terasa betapa menyakitkan tuduhan itu.

Apa yang lebih menghairankannya ialah kenapa lelaki itu boleh mendapat gambarnya dengan Saiful. Tempat duduknya memang sudah betul. Memang dia sedang makan di restoran makanan segera itu tadi. Tetapi apa yang dia tidak puas hati, kenapa dia pula memegang lengan Saiful dengan wajah penuh harapan itu? Dia tidak memegang lengan lelaki itu. Dia masih tahu batas-batas hukum Tuhan.

Tetapi, Saiful memang ada memegang lengannya itu tetapi sesaat Cuma. Dia terus sahaja menarik tangannya mengelakkan mereka bersentuhan dengan lelaki itu. Kenapa pula dalam gambar itu dia pula yang tersenyum penuh harapan dan dia menyentuh tangan Saiful? Tidak, gambar ini salah! Kenapa gambar ini ada di depan matanya? Mungkinkah untuk mengaburi suaminya?

Dia memang terkejut kalau lelaki itu mahu mencuba masuk meminangnya namun kawan semaktabnya itu sudah terlambat. Dia sudah pun menikah. Buktinya, dia membawa cincin perkahwinannya ke mana-mana malah dia tidak pernah menyembunyikan status dirinya sekalipun suaminya membencinya malah mahu muntah kalau memandang wajahnya. Ah, memang sukar dia terima namun itulah hakikatnya. Dia ada suami tetapi seperti tidak ada suami. Ada dalam tiada, tiada dalam ada, kata seorang penyair Malaysia yang dia ikuti perkembangannya.

Apa yang lebih memalukannya apabila Saiful sedang mengucup tangannya. Memang cantik sekali gambar itu. Gambar itu diambil betulbetul mengikut apa yang berlaku. Tidak perlu diedit-edit lagi. Bagaimana dia mahu menerangkan kepada suaminya ini yang dia tidak mahu Saiful berbuat demikian? Namun gambar yang ada di telefon suaminya sudah menceritakan segala-galanya. Bagaimana dia hendak berbincang dengan suaminya agar suaminya tenang?

‘Maafkan saya bang! Saya tidak tahu siapa yang cuba merosakkan hubungan kita lagi! Kalau abang memang hendak mahu meruntuhkan masjid kita ini, saya reda, mungkin sampai setakat ini jodoh kita!’ bisiknya sendiri.

Bagaimana jika suaminya tidak pernah memaafkan dan tidak reda kepada dirinya lagi? Ah, jika suaminya tidak mahu memaafkannya, biarkanlah. Mungkin memang sudah nasib dirinya yang terpaksa berpisah dengan suaminya. Mungkin ditakdirkan memang jodoh mereka tidak panjang. Apa yang boleh dia buat. Semuanya sudah ditakdirkan Tuhan. Jadi apa yang perlu dia buat ialah reda dan berserah kepada Tuhan dengan apa yang sudah berlaku.

Tetapi kenapa begitu cepat suaminya mendapat berita pertemuannya dengan kawan baiknya itu? Saiful kawan baiknya semasa di maktab perguruannya dahulu. Sepatutnya dia sudah menceritakan kepada suaminya akan kebaikan-kebaikan yang pernah diberikan oleh kawan baiknya itu semasa lima tahun dia duduk di maktab perguruan mengambil jurusan pendidikan.

Namun dia tidak terkata apabila suaminya datang dengan marah bagaikan singa lapar yang hendak meratah tubuhnya dan menunjukkan gambar mereka sedang berdua-duaan. Dia bagaikan orang yang kelemasan di lautan tuduhan.

Siapakah yang menjadi dalang dalam merakamkan gambar mereka berdua dengan Saiful itu. Begitu cepatnya sistem komunikasi sekarang, memang dia bangga tetapi bangganya sudah bertukar menjadi kesal. Kenapa sistem komunikasi yang cekap itu dijadikan alat untuk menyebar fitnah pula? Siapakah yang bertanggungjawab sebenarnya? Jika benar ini pekerjaan orang yang mahu memisahkan mereka, dia hanya perlu berdiam diri. Tetapi jika benar ini ujian kepadanya dan suaminya, dia mohon Allah panjangkan jodohnya. Dia mahu dirinya bersabar dengan kerenah orang yang tidak bertanggungjawab ini.

Jadi, bagaimana dengan keputusannya hendak menyambung pelajarannya? Apakah dia harus bertahan di sini dengan sikap suaminya yang sudah menuduh-nuduhnya tanpa usul periksa? Patutkah dia berdiam diri? Patutkah dia menunggu suaminya di sini dan membiarkan cita-citanya terkubur begitu sahaja? Ah, dia seharusnya menukar garis keputusannya.

Memang sebelum ini dia sudah putuskan hendak menjadi isteri yang baik dan menjaga makan minum suaminya sebagaimana yang dianjurkan oleh agamanya. Namun apabila hatinya dilukai dengan begitu perit sekali, apakah dia harus berdiam diri dan menunggu suaminya akan datang memujuknya?

Ah, mungkin tidak ada gunanya lagi dia menyimpan perasaan dan harapannya untuk suaminya ini. Mungkin dia harus pergi dari bumi Malaysia ini. Mungkin dia harus tinggalkan kemanisan rumah tangga yang pernah dia kecapi hujung minggu yang lalu dan kelak ia menjadi bekalan dia di kejauhan. Hendak bersatu pun pada masa ini, mungkin ia sesuatu yang agak mustahil. Lelaki itu sudah agak marah dan membuat tuduhan yang benar-benar menyinggung perasaannya.

Jadi sewajarnya dia sudah membuat keputusan yang baik dan seperti sebelumnya. Dia harus pergi dan bukannya duduk di rumah sewanya menanti suaminya menukar keputusannya dan memujuknya semula agar pergi tinggal di rumah mewahnya di atas bukit itu. Rasanya suaminya sudah menghilangkan kepercayaannya untuknya. Dia harus berkira-kira begitu.

Dia tahu suaminya tidak akan menarik balik tuduhannya yang agak keras dan menjatuhkan imejnya sebagai isteri di mata suami yang baru sahaja memberitahu tentang kasihnya kepada dirinya. Mungkin jika dia memaafkan dirinya pun, ia akan mengambil masa yang lama. Mungkin dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

Dia menutup mukanya dengan bantal dan memujuk dirinya sendiri.

Benda lain dia sudah tidak ingat!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience