Chapter 69

Romance Completed 28069

Bab 69

“Tengok ni mama,” kata Aliya Mastura yang sudah duduk di depan mamanya. Datin Hamidah terkebil-kebil memandang sampul surat yang anak sulungnya letakkan di atas meja. Dia mahu memberitahu mamanya itu mengenai menantunya itu.

“Apa ni Aliya?” soal Datin Hamidah. Dia belum membuka pun sampul yang dihulurkan anaknya itu.

“Mama, mama bukalah dulu. Kenapa mama macam takut-takut?” kata Aliya Mastura. Dia tidak sabar mahu menunjukkan sesuatu kepada mamanya itu.

“Duit ke ni Aliya? Kalau duit bagus juga kan? Ada juga buat belanja mak, belanja dapur ke, beli shawl baru ke,” usik Datin Hamidah masih memegang sampul berwarna kuning itu. Aliya Mastura sudah memarakkan matanya. Dia tahu mamanya hanya bergurau.

“His mama ni! Takkan saya nak beri mama duit! Saya belum kerjalah mama! Saya masih cuti lagi ni mama! Lagipun kan mama yang bagi saya duit belanja belajar!” Datin Hamidah ketawa kecil. Perlahanlahan Datin Hamidah membuka sampul itu. Berkunang-kunang matanya menatapi gambar itu.

“Gambar apa ni Aliya? Siapa buat macam ni?” soal Datin Hamidah. Aliya Mastura selalu sahaja masuk campur urusan anak lelakinya Aliff Hakimi. Itu yang dia tidak begitu gemar dengan anak perempuannya ini.

Datin Hamidah membetulkan cermin matanya.

“Takkan ini pun mama tak faham! Menantu mama ni ma!” kata Aliya Mastura. Berdegup jantung Datin Hamidah. Benarkah menantunya begini?

“Menantu mama gadis yang baik-baik Aliya. Kenapa dia jadi begini?” soal Datin Hamidah. Geram Aliya Mastura kalau mamanya ini menyebelahi iparnya itu. Ramai orang tidak percaya kalau didapati menantu Datin Hamidah iaitu Nuha Qarina ini membuat onar. Adiknya juga tidak mudah percaya! Dia sendiri pun geram.

“Siapa lelaki ini Aliya? Mungkin ini abang dia atau sepupu dia? Setahu mama, Nuha menantu mama tu memang tak de kekasih sebelum menikah dengan adik kau tu! Mama tahu latar belakang dia!

Itulah mama pilih dia jadi menantu mama!” kata Datin Hamidah memberitahu kenapa dia menikahkan anaknya dengan Nuha Qarina.

“Ah mama ni! Dah nampak dengan mata kepala sendiri menantu mama dengan lelaki lain, mama masih tak percaya! Ini bukan abang atau sepupu sepapat dia mama! Ini kekasih dia! Tengok cara dia pandang lelaki tu! Tengok dia pegang lengan lelaki tu! Siap bersuapsuapan lagi mama!” kata Aliya Mastura kepada mamanya.

“Simpan semua gambar ni Aliya! Mama tak percaya!” kata Datin Hamidah. Dia memang tidak percaya kalau diberitahu menantunya ada kekasih.

“Mama kena percaya hal ini! jangan mudah percaya kat orang asing macam menantu mama tu!” kata Aliya Mastura lagi. muka Datin Hamidah sudah masam. Dia memang sudah tidak tahan dengan sikap anak perempuannya ini. Suka sangat membuat onar.

“Nuha tu bukan orang asing dengan kita Aliya. Dia anak kawan mama! Puan Suria, kawan mama belajar memasak dulu! Sekarang dia dah ada perniagaannya sendiri. Mama percaya anak kawan mama bukan seperti ini! jangan nak fitnah-fitnah menantu mama! Kalau Puan Suria tahu apalah katanya nanti!” kata Datin Hamidah. Aliya Mastura terbuntang mata memerhatikan mamanya. Dia tidak tahu kalau mamanya rapat dengan emak kepada Nuha Qarina. Ini semua kawan baiknya yang menghasut dia. Siapa lagi kalau bukan Harrynna Lisa!

“Mama, jangan terlalu mudah percaya dengan orang lain!” kata

Aliya Mastura lagi.

“Sayangku Aliya, Nuha ipar kau tu bukan orang lain. Dia membesar depan mata mama! Kalau emaknya mengadakan kelas masakan dia akan turun bantu emaknya! Bukan macam anak mama, tak nak terlibat kalau apa-apa aktiviti mama di rumah anak yatim tu!” kata Datin Hamidah. Aliya Mastura seperti sudah tertelan batu mendengar sindiran mamanya.

“Bukan macam tu mama!” nafinya.

“Jadi macam mana lagi?” soal Datin Hamidah.

“Mama, jangan terlalu percaya orang lain melebihi mama percayakan anak mama sendiri ma!” kata Aliya Mastura lagi. Dia masih tidak puas hati memujuk mamanya. Datin Hamidah menggeleng. Dia tahu menantunya yang kelihatan ayu dengan tudung shawl pashminanya tidak akan melakukan hal itu. Dia tahu menantunya itu pandai bawa diri di mana-mana pun! Dia tahu menantunya itu tidak akan memalukan keluarga Datuk Adnan dalam apa situasipun.

“Tak pe nanti petang mama jumpa Puan Suria, nak tanyakan hal ini!” kata Datin Hamidah lagi. ternganga mulut Aliya Mastura.

“Kau nak ikut Aliya? Dapat juga kenal dengan besan mama!” kata Datin Hamidah. Perlahan-lahan Aliya Mastura menggeleng. Dia tidak mahu ikut urusan keluarga adiknya. Kalau dia keluar ke mana-mana ada lagi hasilnya.

“Tak naklah mama! Saya nak ke pejabat tempat saya akan bertugas tu mama!” katanya memberikan alasannya. Sebenarnya dia ada tujuan lain.

“Simpan gambar ini Aliya. Kita siasat dulu. Jangan nak buat fitnah. Memang zaman akhir ini fitnah merata-rata tetapi kita tidak seharusnya ikut orang tabor fitnah Aliya! Malulah sikit!” bulat mata Aliya Mastura mendengar kata-kata mamanya. Dia mahu mamanya menyokongnya dan memaksa mamanya menceraikan Nuha Qarina. Namun dia sedar kini mamanya sukar dipengaruhi.

“Jangan buat begini kat ipar sendiri Aliya. Kasihan mereka tu! Hari tu hubungan mereka sudah hambar. Mama tahu ada perselisihan antara mereka. Sekarang kau pula nak kacau lagi, mama ni sebenarnya tak sabar nak cucu! Kan mama dan papa ni dah tua,” kata Datin Hamidah. Aliya Mastura terpempan dengan kata-kata mamanya. Dia tidak menyangka mamanya akan bercakap mengenai cucu. Memanglah dia sepatutnya memberikan cucu kepada mamanya tetapi bekas tunangnya sudah membuat onar. Mahu atau tidak dia terpaksa meninggalkan lelaki itu. Sampai sekarang dia masih tidak percaya kepada lelaki. Dia menganggap lelaki yang cuba mendekatinya hanya mahu mengambil kesempatan sahaja.

“Perempuan begini mama nak harapkan nak berikan cucu buat keturunan Datuk Adnan? Perempuan begini mama?” soal Aliya Mastura yang masih tidak puas hati dengan Nuha Qarina. Dia tidak suka iparnya sendiri ada buat sesuatu yang tidak disukainya.

“Aliya, mama dah cakap tadi, kita nak siasat benda ni! Jangan tuduh melulu! Kasihan menantu dan anak mama! Sampai bilalah mereka akan bahagia nanti!” kata Datin Hamidah menasihati anaknya lagi. Aliya Mastura mencebikkan bibirnya. Wajah sendu Datin Hamidah mengharukannya. Dia sendiri tidak berniat menyakitkan hati mamanya.

Tetapi dia tidak suka kepada Nuha Qarina. Sebetulnya juga dia belum mengenali sangat Nuha Qarina.

“Maafkan saya mama. Saya tak suka orang buat kerja tak elok tu mama! Mama tengok gambar ni! Menantu yang mama sayang tu sedang pegang lengan lelaki yang entah dari mana tu!” kata Aliya Mastura. Bagi Aliya Mastura, mungkin mamanya tidak begitu melihat kerenah menantunya itu. Dilihatnya mamanya menggeleng. Hairan sungguh dia kalau mamanya tidak percaya sikap buruk yang iparnya buat itu.

“Mama tak percaya! Kau jangan bohong dengan mama! Gambar dah diedit Aliya supaya nampak sangat kejahatan menantu mama!

Mama tahu menantu mama takkan buat macam tu Aliya!” terkejut Aliya Mastura. Dia tidak percaya kalau mamanya menuduhnya berbohong pula.

“Mama tak percaya sudahlah!” kata Aliya Mastura yang sudah kesal dengan sikap mamanya. Namun dalam diam dia memerhati gambar-gambar di tangannya itu. Adakah ketara kalau gambar itu sudah diedit oleh Harrynna Lisa? Benarkah semua ini kerja dia? Soalnya memikir-mikir.

Terbuntang mata Datin Hamidah. Seteruk itu tuduhannya kepada menantunya Nuha Qarina. Entah anak lelakinya itu percaya atau tidak dengan tuduhannya. Jangan-jangan Aliff Hakimi dan Nuha Qarina berselisih faham lagi tak? Ini semua gara-gara anak daranya yang baru balik dari Amerika ini lah ni!

“Nanti mama tanya mak dia kat kampung! Mama bukannya apa, mama nak buat keadilan! Mama tak nak kita buat jahat kat dia! Dosa kita pun tak tertanggung Aliya! Ha, anak mama ni bila pula nak bawa calon menantu mama ke sini?” soal Datin Hamidah menukar tajuk perbualan.

Berubah muka Aliya Mastura seratus peratus.

“Belum ada lagi ma,” katanya perlahan. Dia tidak ada idea hendak diberitahu mengenai bakal suaminya.

“Kalau tak kahwin tak pe kan mama?” soal Aliya Mastura. Datin Hamidah pula seperti tidak percaya!

“Jangan buat mama sakit jantung Aliya! Dulu Aliya janji nak bawa menantu selepas tamat belajar. Sekarang ni mama sedang tunggu! Benar atau tidak janji Aliya! Ingat Aliya, manusia dipegang pada janjinya!” kata Datin Hamidah. Aliya Mastura ketawa kecil. Dipeluknya mamanya sekuat hatinya. Dia memang belum ada calon suami setakat ini.

“Saya tak de calon lagi mama! Maafkan saya!” katanya lagi. dia memang tidak mahu tergesa-gesa mencari calon suami. Dia tidak mahu terkena berkali-kali dalam hidupnya. Biar dia tidak kahwin, senang hidupnya!

“Dah sudah! Kau cari calon sekarang! Kalau dalam masa dua bulan ni tak de calon, mama mahu kau kahwin dengan bekas tuning kau tu! Isterinya pun dah meninggal tanpa meninggalkan zuriat! Jangan banyak cakap!” kata Datin Hamidah yang sudah mula bertegas kepada anak daranya ini. Dia mengangkat punggungnya hendak melawat besannya di Kampung Laut. Dia mahu menanyakan kebenaran.

“Mama ni sudah melampau!” katanya dalam perjalanan dia ke biliknya. Datin Hamidah pula berasa puas hati kerana dia hanya mahu melihat anaknya itu memberikan menantu kepadanya.

“Padan dengan muka Aliya!” katanya memerhatikan anaknya yang berjalan masuk ke biliknya dengan wajah membahang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience