BAB 97

Drama Completed 919597

Sebilah pisau digenggam erat sambil menikam beberapa keping gambar di atas meja. Paras rupanya yang kusut masai tidak ubah orang tidak siuman. Sesekali dia menangis berselang-seli dengan ketawa. Mukanya basah dek airmata yang mengalir. Habis comot solekan yang terhias diwajah.

Hati Rissa terasa amat sakit apabila dipermalukan sebegitu oleh Mikael. Lebih-lebih lagi di hadapan musuh ketatnya, Haura. Untuk mendapatkan Mikael tidak semudah yang dia sangka. Usaha yang telah dia berikan masih tidak mencukupi. Memikirkan lelaki itu bergelak ketawa dalam pelukan wanita membuatkan hatinya makin membara.

"Tiada sesiapa yang layak mendapatkan Mikael selain aku. Jangan sesekali kau berangan untuk hidup bahagia dengan dia!" Tuturnya garang seraya menikam kuat pisau ke meja sehingga terpacak.

Telefon bimbit segera dicapai. Dia mengarahkan orangnya untuk memasang mata serta mengekori Mikael dan Haura. Setiap gerak geri mereka harus dilaporkan kepadanya. Pastikan mereka berdua di bawah pengawasannya 24 jam.

Setelah lebih seminggu dia mengawasi mereka akhirnya Rissa memutuskan untuk menghapus wanita itu dari hidup Mikael. Setiap gambar yang dihantar oleh orang upahannya terasa sangat menjengkelkan. Matanya sungguh sakit melihat senyuman lebar yang terhias diwajah Haura. Dia merasakan wanita itu seolah-olah sedang menyindirnya.

"Now it's your turn, Haura!"

Setelah memikirkan rancangan untuk hapuskan Haura, Rissa mengarahkan orangnya untuk menculiknya. Kemudian bawa wanita itu ke gudang lama yang terdapat di tanah persendirian milik keluarganya. Teringin benar dia bersua muka dengan wanita itu. Tidak sabar untuk melihat reaksi yang tidak ternilai yang bakal diberikan oleh Haura kelak. Dia akan tertawa besar setiap kali membayangkan perkara itu dimindanya.

"Tak lama lagi kita berdua akan bersatu. You akan jadi milik I Mikael." Sekeping gambar yang menunjukkan wajah penuh lelaki itu diusap perlahan. Dia tersenyum kucing.

*****
Sebuah kereta masuk ke perkarangan bangunan Khazzan Group dengan laju. Dengan selamba Datin Noreen meletakkan kenderaannya betul-betul di hadapan pintu masuk bangunan tersebut. Usai sahaja mematikan enjin dia segera keluar lalu bergegas masuk. Di tangannya terdapat dua buah beg tangan berjenama. Satu disangkutkan dilengannya manakala sebuah lagi dipegang erat di tangan. Nafasnya turun naik dengan sangat laju. Kejadian yang disaksikan tadi benar-benar mengejutkan.

Setelah melihat Haura dicekup oleh lelaki yang tidak dikenali, dia segera berlari untuk mengejar namun sia-sia. Kudrat tuanya tidak mampu untuk menyaingi kenderaan empat roda tersebut. Dia buntu, tidak tahu untuk berbuat apa. Beberapa orang lain yang menyaksikan kejadian tersebut mula berkumpul.

"Ini beg tangan perempuan tadi, kan?"

Tiba-tiba salah seorang dari mereka bersuara. Sebuah beg tangan berjenama di angkat ke udara. Isi perut beg tangan tersebut ada yang telah termuntah ke atas jalan tar termasuk sebuah telefon bimbit. Datin Noreen segera mendapatkan barangan tersebut.

Entah kenapa tiba-tiba sahaja wajah Rissa mula muncul dibenak fikirannya. Datin Noreen sangat yakin bahawa semua ini adalah perbuatan wanita itu. Mungkin kerana beberapa kata ugutan yang pernah dilontarkan oleh Rissa membuatkan dia mula mengesyaki wanita itu.

Pada ketika itu juga salah seorang dari saksi ingin menghubungi pihak polis berkenaan kejadian tersebut namun segera dihalang oleh Datin Noreen. Jika benar tanggapannya itu bermakna nyawa Haura sedang dalam bahaya. Dia pasti Rissa sengaja menggunakan Haura untuk mendapatkan Mikael semula. Dasar perempuan gila! Dia perlu melakukan sesuatu.

Tiba di aras yang dituju Datin Noreen segera menyerbu masuk ke dalam bilik Mikael. Lelaki itu yang sedang ralit berbual sangat terkejut dengan kehadiran ibu saudaranya itu. Dazrin yang turut berada di situ mula menghidu sesuatu setelah melihat raut wajah ibunya yang sedikit pucat serta kelihatan resah. Beg yang berada di tangan ibunya dilirik sekilas. Keningnya terangkat sebelah.

"Aunty nak jumpa saya ke?" Tanya Mikael sedikit pelik. Wajah Dazrin dipandang dengan penuh tanda tanya. Lelaki itu mengangkat bahunya tanda tidak tahu.

Satu demi satu langkah diambil menghampiri anak saudaranya itu. Namun lututnya sudah mula terasa tidak kuat sehingga dia jatuh melutut ke lantai. Dazrin segera mendapatkan ibunya itu. Perasaan risau mula bersarang dihatinya. Datin Noreen kemudian gagahkan diri untuk bangkit sambil dibantu oleh anaknya.

Semakin hampir dirinya dengan Mikael semakin kuat degupan jantungnya. Beg tangan milik Haura digenggam kuat. Nafas dalam diambil sebelum dihembuskan dengan perlahan. Tanpa sepatah kata yang keluar dari mulutnya Datin Noreen menghulurkan beg tersebut kepada Mikael. Riak pelik terbit diwajah lelaki itu namun tetap disambut baik olehnya. Beg tersebut ditilik seketika. Wajah Dazrin dan Datin Noreen dipandang silih berganti. Beg tangan siapa pula ni?

Belum sempat dia membuka mulut untuk bertanya mengenai beg tersebut, Datin Noreen terlebih dahulu membuka bicara. Namun riak Mikael serta-merta berubah di saat nama Haura keluar dari mulut wanita itu. Lebih membuatkan dia bimbang apabila melihat kelopak mata ibu saudaranya yang mula bergenang dengan airmata. Dia yakin ada sesuatu yang telah menimpa wanita itu.

"H-Haura... Dia kena culik."

Serentak mengungkapkan kata-kata tersebut airmata mula mengalir laju jatuh ke pipinya. Mikael tercengang. Dia memandang ibu saudaranya tanpa berkedip seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya.

"Apa?" Soal Dazrin dengan nada yang sangat terkejut. Matanya terbuntang luas.

Dia kemudian meminta ibunya menceritakan dengan lebih terperinci tentang kejadian tersebut. Bermula dari bagaimana dia bertemu dengan Haura sehinggalah wanita itu diculik. Dia meminta setiap info diberikan tanpa tercicir walaupun satu. Mikael mula memeriksa beg tangan tersebut. Kad pengenalan yang ditemuinya jelas menunjukkan wajah Haura serta maklumat wanita itu. Mikael mula gelisah. Hatinya sudah tidak tentu arah.

"Aunty rasa aunty tahu siapa yang culik Haura."

Datin Noreen bersuara setelah diam untuk beberapa ketika. Mikael dan Dazrin saling berpandangan.

"Siapa?" Tanya anaknya ingin tahu.

"Rissa."

"What, Rissa? Habis tu kenapa aunty tak call polis?"

"Kamu sendiri kenal Rissa tu macam mana, kan. Dia tu perempuan psiko, sanggup buat apa sahaja asalkan kehendak dirinya dipenuhi. Aunty risau jika dia tahu kita hantar polis, dia akan apa-apakan Haura nanti."

Mikael menegaskan bahawa mereka perlu melaporkannya kepada pihak polis. Orang gila seperti Rissa tentu sudah ada agendanya yang tersendiri apabila dia membuat keputusan untuk menculik Haura. Apa sahaja yang keluar dari mulutnya bukan sekadar omong kosong. Jadi mereka perlu pantas bertindak sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.

"Tolong jangan call polis. Aunty takut kalau..."

Dazrin berasa pelik dengan kelakuan ibunya itu. Bermati-matian untuk tidak menghubungi pihak polis. Adakah ibunya itu turut terlibat dalam perkara ini? Sepertimana dia bersubahat dengan Rissa sebelum ini untuk memisahkan Mikael dan juga Haura. Masih belum serikkah wanita itu dengan apa yang telah dialami oleh mereka sekeluarga?

Tangan Datin Noreen dipegang erat. Wajah wanita itu direnungnya dalam. Tanpa berkias Dazrin mengajukan soalan cepu emas itu kepada ibunya. Cuba menggali jawapan dari wanita itu. Namun jauh disudut hati dia benar-benar berharap Datin Noreen tiada kaitan langsung dalam hal ini. Jika tidak mungkin akan mengeruhkan lagi hubungan antara mereka sekeluarga.

Tidak menyangka anaknya sendiri sangsi dengan dirinya apatah lagi Mikael, lelaki yang pernah menjadi mangsanya. Sepantas kilat dia menggeleng. Bersungguh-sungguh dia meyakinkan dua jejaka itu bahawa dia tidak bersubahat. Sudah lama dia menjauhkan dari dari Rissa Ariana. Mikael tidak memberikan sebarang respon. Fikirannya terlalu sibuk memikirkan soal keselamatan Haura.

Mikael mula menghubungi Rissa bagi mendapatkan kepastian mengenai perkara itu. Benarkah tanggapan Datin Noreen yang merasakan Haura telah diculik oleh wanita itu. Dia perlukan jawapan yang pasti. Rissa mengeluh perlahan disebalik telefon. Pada mulanya wanita itu mengelat, tidak mahu berterus terang. Tetapi setelah diasak dengan beberapa bukti yang jelas dari Mikael akhirnya dia terdiam. Panggilan telefon segera dimatikan.

Beberapa ketika kemudian notifikasi di telefon bimbit Mikael berbunyi menandakan ada mesej baru yang diterima. Nama Rissa terpapar di skrin. Tanpa membuang masa dia segera membuka fail berbentuk video tersebut. Datin Noreen menekup mulutnya dengan kedua belah tangannya. Sangat terkejut dengan apa yang disajikan dalam video tersebut. Mikael dan Dazrin juga terbuntang mata melihat Haura yang terkulai sambil tubuhnya terikat pada kerusi dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mulutnya juga ditampal dengan pita pelekat berwarna hijau.

Terdengar sayup-sayup suara Rissa tertawa di dalam rakaman tersebut. Puas hatinya melihat Haura dalam keadaan sebegitu. Mikael mengepal tangannya kuat sambil mengetap bibir. Dia kemudian menghubungi semula wanita itu dalam keadaan marah.

"You jangan berani sentuh dia. Kalau tak..."

"Kalau tak you nak bunuh I ke?" Balas Rissa penuh amarah. Suaranya makin meninggi. Mikael menarik nafas panjang. Dia rasa emosi wanita itu telah tercuit jadi dia cuba menenangkan kembali. Risau wanita itu akan bertindak diluar kawalan.

"No, bukan itu maksud I. Please control yourself. I'm so sorry, I tak ada niat langsung nak buat you marah. We need to talk." Ujar Mikael cuba memujuk. Matanya dilirik pada Dazrin memberi isyarat supaya meminta bantuan secepat yang mungkin.

Mujurlah Datin Noreen berjaya dapatkan nombor plat kenderaan MPV yang membawa Haura tadi. Sedikit sebanyak dapat memudahkan urusan pencarian mereka. Dazrin kemudian menghubungi seorang kenalannya yang arif dalam perihal mencari orang lalu memintanya untuk mengesan lokasi kenderaan itu berada.

Rissa pula dengan senang hati mempelawa Mikael untuk datang bertemu dengannya jika dia tidak mahu perkara buruk berlaku kepada Haura. Masa yang diberikan hanya 30 minit sahaja. Syarat yang paling utama jangan sesekali melibatkan pihak polis. Jika tidak dia akan hapuskan Haura buat selama-lamanya.

Sekali lagi panggilan tersebut ditamatkan. Mikael membeku, fikirannya kosong. Di dalam kepalanya kini hanya ingin menyelamatkan Haura sahaja. Tanpa memaklumkan perkara tersebut kepada Dazrin dia segera berlari keluar dari biliknya itu.

"Mika, kau nak pergi mana?"

Laungan dari Dazrin itu langsung tidak diendahkan. Merasakan ada sesuatu yang tidak kena Dazrin mula bergegas mendapatkan sepupunya itu. Dia tidak mahu lelaki itu terlalu mengikut perasaan dan bertindak dengan terburu-buru.

"Tolong jangan halang aku. Haura dalam bahaya." Suara Mikael tenggelam timbul menahan rasa.

"Apa maksud kau dia dalam bahaya? Apa yang Rissa bagitahu sampai kau jadi macam ni?"

"D-dia akan bunuh Haura kalau aku tak sampai dalam masa 30 minit. Aku kena selamatkan Haura."

Mata Mikael mula berkaca. Hatinya benar-benar tidak tentu arah. Akalnya juga sudah tidak waras untuk berfikir. Misinya hanya satu, selamatkan wanita itu. Dazrin yang mendengar turut terkejut dengan perkara itu. Namun dia cuba untuk berfikir dengan rasional supaya tidak membahayakan mana-mana pihak.

"Dekat mana dia simpan Haura?" Mikael menggelengkan kepalanya apabila diajukan soalan tersebut. Rissa masih lagi belum mengirimkan lokasi kepadanya. Dazrin menghela keluh panjang. Tangannya mula menggenggam rambutnya sendiri. Sungguh kusut fikirannya pada saat itu.

Beep beep!

Lokasi perjumpaan sudah diterima oleh Mikael. Sekali lagi wanita itu menegaskan supaya tidak melaporkan hal tersebut kepada pihak polis. Setelah itu dia terus meninggalkan Dazrin tanpa memaklumkan di manakah lokasi tersebut.

Share this novel

Rohani Hussin
2023-03-25 15:10:17 

kesian Haura..kejam betul la rissa ni..x sabar tggu sambungannya


NovelPlus Premium

The best ads free experience