BAB 89

Drama Completed 919581

Pintu utama rumah sewanya ditolak lemah. Dengan lemah Haura melangkah masuk. Suis lampu mula dibuka. Riak wajahnya benar-benar kosong pada ketika itu. Haura merebahkan dirinya pada sofa buat seketika sebelum dia pergi ke dapur untuk mendapatkan segelas air putih bagi membasahkan tekaknya yang terasa kering itu.

Jari telunjuknya menekan salah satu butang yang terdapat pada alat penapis air yang ada di dapur. Segelas air sejuk kini berada di tangannya. Di saat Haura mengangkat gelas tersebut tangannya menggigil teruk. Mukanya juga berkerut ketika meneguk air kosong tersebut. Meskipun hanya seteguk air namun amat sukar untuk dia telan. Matanya mula berkaca dan wajahnya juga mula kemerah-merahan. Akhirnya Haura jatuh terduduk di lantai. Tangisnya kini pecah kembali.

Segar bermain di kaca fikiran kejadian yang disaksikan olehnya di hospital tadi. Bagai kaca yang terhempas ke lantai. Itulah gambaran hati Haura yang hancur berkecai di saat dia mendengar dengan telinganya sendiri apa yang diluahkan oleh Mikael. Lelaki itu bersungguh-sungguh menidakkan dirinya itu sebagai tunangannya. Yang lebih memilukan hatinya adalah apabila nama wanita lain yang meniti di bibir lelaki itu.

Haura sedar kesedihannya itu tidak patut dibandingkan dengan penderitaan yang sedang dilalui oleh Mikael. Namun jauh di sudut hati, dia hanyalah seorang wanita biasa yang turut mempunyai sekeping hati yang sangat rapuh. Dia merasakan hatinya itu benar-benar telah remuk.

BEBERAPA JAM YANG LALU.

Dato' Rizal sempat memanggil namanya namun tidak diendahkan oleh Haura. Dia terus melangkah laju meninggal bilik wad tersebut. Dia tidak sanggup untuk berdepan dengan Mikael pada ketika itu. Dia pergi memencilkan dirinya di dalam bilik tandas. Dadanya berombak deras. Sesekali dia megusap dan memukul lembut dadanya itu bagi mengurangkan rasa sakit dihatinya itu. Serentak dengan itu airmatanya yang sedari tadi bertakung jatuh berlinangan di pipi. Namun esakkannya tidak kedengaran.

Beberapa ketika kemudian airmata yang mengalir di pipinya mulai kering. Dirinya juga sudah menjadi semakin tenang. Berbekalkan kekuatan yang ada Haura memaksa dirinya untuk terus bangkit sebelum melangkah menuju ke sinki. Wajahnya yang agak suram itu ditatap lama.


"Aku kena kuat demi Mikael. Aku tak boleh putus asa. Kalau aku mengalah sampai bila-bila aku tak akan dapat kecapi kebahagiaan aku sendiri." Bisik Haura di dalam hati. Dia menyuntikkan kata-kata semangat itu pada dirinya.

Setelah menyegarkan dirinya Haura segera keluar dari situ. Dia membuka langkah menuju ke bilik yang didiami oleh Mikael. Namun semakin hampir dia dengan bilik tersebut semakin kuat degupan jantungnya itu seolah-olah ianya mahu pecah. Tetapi Haura berjaya memujuk hatinya itu supaya kekal tenang.

Tiba di hadapan bilik tersebut Haura berhenti sejenak. Satu nafas yang panjang dihembuskan perlahan-lahan sebelum tangannya dihulurkan untuk mencapai tombol pintu. Namun belum sempat Haura membuka pintu bilik tersebut tiba-tiba beberapa orang jururawat dan doktor berderu berlari ke arahnya.
Haura kaku. Dia bingung seketika. Dek rasa terkejut itu Haura berganjak beberapa tapak dari situ.


"Apa yang dah jadi? Kenapa doktor nampak cemas je ni? Adakah Mikael ...?" Haura tidak mampu menghabiskan kata-katanya itu. Jantungnya makin rancak berdegup.

Tatkala para perawat itu menguak pintu bilik tersebut dia terdengar suara esakkan Datin Norlie serta suara kebimbangan Dato' Rizal memanggil nama Mikael. Perlahan-lahan Haura menapak kakinya masuk ke dalam bilik tersebut. Pada awalnya dia teragak-agak untuk masuk namun hatinya berasa tidak tenang selagi tidak mengetahui apa yang sedang terjadi.

Alangkah terkejut dirinya pada saat itu apabila melihat Mikael tertiarap di katil sambil menahan kesakitan yang tidak tertanggung itu. Haura menekup mulutnya dek terkejut. Mutiara jernih sekali lagi mengalir jatuh ke bumi. Dia menyaksikan sendiri kesakitan yang dilalui lelaki itu sehingga Mikael longlai dan akhirnya tidak sedarkan diri.

Ketika doktor sedang merawat Mikael, Dato' Rizal menenangkan isterinya yang tidak henti-henti menangis sedari tadi. Dia memeluk tubuh isterinya itu bagi menenangkannya. Namun secara tidak sengaja dia ternampak kelibat Haura yang berdiri tidak jauh dari situ. Datin Norlie yang turut melihatnya segera berlari ke arah wanita itu.

Haura hanya berdiri dengan kaku di situ. Datin Norlie menyeka airmata yang mengalir laju di pipi Haura itu. Dia tahu wanita itu amat terkejut dengan apa yang baru dilihatnya itu. Datin Norlie dapat bayangkan betapa pilunya hati Haura di saat melihat Mikael dalam keadaan yang sedemikian. Perlahan-lahan tubuh Haura di peluk erat dan diusap belakang wanita itu bagi menenangkannya. Serentak dengan itu tangis Haura mulai pecah. Dato' Rizal yang melihat kejadian itu turut berasa sebak.

*****

Kringgg! Kringgg!

Telefon bimbit milik Mona berdering. Setelah melihat nama si pemanggil dia segera menjawab panggilan tersebut.


"Assalamualaikum Mona." Sapa Puan Hafizah di sebalik telefon.


"Waalaikumussalam aunty." Jawab Mona pendek.


"Haura ada call kamu tak?" Tanya ibu kepada sahabatnya itu. Mona berkerut. Hatinya mula berasa bimbang.


"Tak ada pula dia call saya. Tadi dia minta saya hantar dia ke hospital. Dia cakap nak pergi jumpa dengan Mikael tapi dia tak nak saya temankan dia. Kenapa aunty? Ada yang tak kena ke?" Balas Mona panjang sebelum bertanya kembali kepada wanita itu. Puan Hafizah menghela keluh pendek.


"Haura call aunty tadi. Dia cakap dia tak balik rumah aunty malam ni dan dia akan tidur di rumah dia semalaman. Tapi aunty rasa tak sedap hatilah. Dari suara dia tu aunty rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Aunty dah suruh dia call kamu minta kamu temankan dia malam ni." Ujar Puan Hafizah panjang lebar. Dia benar-benar risaukan keadaan anaknya itu.

Mendengar perkara yang disampaikan oleh Puan Hafizah itu membuatkan hati Mona terasa resah. Dia yakin sahabatnya itu sedang menyorokkan sesuatu dari mereka. Namun dia juga tidak mahu membuat hati orang tua Haura turut resah.


"Oh yeke, mungkin sekejap lagi kot dia call. Aunty jangan risau nanti saya cuba call Haura dan pergi ke rumah dia tu. Apa-apa hal saya akan call aunty semula." Balas Mona bagi menghilangkan keresahan di hati wanita itu. Tidak lama selepas itu Mona mematikan panggilan telefon tersebut.


"Apahal pula Haura ni." Bisik Mona sendirian sebelum mendail nombor Haura. Namun hampa apabila wanita itu tidak menjawab panggilannya. Dia mencuba lagi untuk beberapa kali tetapi Haura tetap juga tidak menjawab panggilan tersebut. Mona mula tidak sedap hati. Tanpa berfikir panjang dia segera mencapai kunci kereta lalu bergegas keluar untuk ke rumah sahabatnya itu.

Lebih kurang 30 minit kemudian kereta Mona mula tiba di perkarangan rumah Haura. Dia berasa sedikit lega setelah melihat lampu di ruang tamu rumah itu terpasang. Mona segera turun dari keretanya untuk masuk ke dalam rumah namun pagar rumah itu terkunci rapi. Mujurlah dia teringat yang Haura ada memberinya anak kunci pendua kediaman tersebut. Setelah pintu pagar berjaya dibuka dia segera meluru masuk ke dalam rumah tersebut.


"Haura ...?" Panggil Mona setelah menguak pintu utama kediaman tersebut. Namun tiada sebarang jawapan dari wanita itu.

Tiba-tiba Mona terdengar bunyi esakkan yang datang dari arah dapur. Dia segera berlari ke arah tersebut. Hatinya luluh di saat melihat sahabatnya yang terduduk lemah dilantai dengan wajahnya yang dibasahi airmata.


"Ya Allah! Haura, kenapa ni?" Tutur Mona seraya memeluk sahabatnya itu. Haura sekadar memandang Tiada kata yang mampu keluar dari mulut pada ketika itu malah tangisannya semakin kuat kedengaran.


"It's okay Haura, aku ada dengan kau. Kau menangislah sepuas-puasnya." Balas Mona yang juga sudah mulai sebak. Tidak semena-mena airmatanya juga turut mengalir keluar dari tubir mata. Sungguh dia tidak sanggup melihat keadaan Haura yang sebegitu.

*****


"Mummy makanlah sikit makanan ni. Dah berapa hari mummy tak nak makan. Dazrin risau kalau mummy jatuh sakit nanti." Dazrin memujuk Datin Noreen yang sudah beberapa hari tidak mahu berganjak dari kamarnya. Makan minum juga tidak mahu dijamahnya.


"Dazrin tengok badan mummy ni dah makin susut. Makanlah sikit mummy buat alas perut." Pujuknya lagi namun wanita itu tetap membisukan diri.

Tok! Tok!

Pintu bilik Datin Noreen dikuak. Wajah Dato' Zubir terpapar di muka pintu. Dazrin segera bangkit dari kerusi lalu menuju ke arah bapanya itu.


"Macam mana keadaan mummy kamu?" Tanya Dato' Zubir kepada Dazrin. Keluh pendek dihela oleh lelaki itu apabila anak lelakinya itu menggelengkan kepala.


"Daddy minta maaf sebab dah heret kamu dalam masalah ni." Ujar Dato' Zubir sambil merenung wajah Dazrin. Dia tahu beberapa hari ini anaknya itu tidak cukup rehat dek menjaga isterinya itu. Datin Noreen tidak membenarkan sesiapapun termasuk Dato' Zubir masuk ke dalam biliknya kecuali Dazrin.

Sejak mengetahui bahawa Dato' Zubir telah menduakan dirinya, Datin Noreen tidak dapat terima kenyataan tersebut. Dia mengamuk bagai nak rak namun Dato' Zubir membiarkan saja isterinya itu meluahkan segala marah dihatinya. Sejak dari hari itu juga Datin Noreen tidak mahu bertegur sapa dengan suaminya itu.


"Kamu pergilah balik ke bilik kamu dulu, biar daddy pula yang jaga mummy kamu ni." Arah Dato' Zubir supaya anak lelakinya itu pergi berehat. Namun Dazrin menolak kerana dia tahu hati ibunya itu masih belum sejuk. Tetapi setelah dipujuk oleh Dato' Zubir akhirnya Dazrin akur. Dia kemudian berlalu pergi meninggalkan bilik ibunya itu.

Dato' Zubir perlahan-lahan melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. Melihat isterinya yang terbaring lemah di atas katil membuatkan hatinya sedikit sayu. Tidak pernah terlintas dihati untuk menyakiti hati isterinya itu.


"Reen kenapa you tak jamah makanan tu. Kalau sejuk nanti tak sedap pula." Dato' Zubir membuka bicara.

Di saat suaranya itu memecah kesunyian, Datin Noreen segera berpaling dan menjeling tajam ke arah suaminya itu. Dato' Zubir menyedari akan perkara itu namun dia cuba untuk mengabaikannya.


"Kau buat apa dekat sini? Mana Dazrin?" Balas Datin Noreen dengan nada yang kasar. Dia segera bangun dari baringnya. Ketika dia cuba untuk berdiri pandangan matanya menjadi gelap untuk seketika. Mungkin kerana terlalu lama dia terbaring di atas katil. Datin Noreen duduk dibirai katil buat seketika.


"I suruh dia balik ke bilik untuk berehat. Biarlah I pula yang jaga you." Jawapan yang keluar dari mulut Dato' Zubir itu mengundang tawa Datin Noreen.


"Kau nak jaga aku? Lepas apa yang kau dah buat pada aku, kau cakap kau nak jaga aku? Kau memang jantan tak guna kan Zubir." Datin Noreen berdiri lalu memandang tepat ke anak mata Dato' Zubir.

Dato' Zubir terdiam buat seketika. Dia tahu yang dia tidak sepatutnya menipu dan menyembunyikan perkahwinan keduanya dengan Rosie. Tetapi dia juga tidak mahu jika Datin Noreen mengetahui akan hal tersebut wanita itu akan mengapa-apakan isteri barunya itu. Dia sudah masak dengan sikap baran Datin Noreen itu.


"Okay I mengaku, apa yang dah berlaku ni memang silap I. I minta maaf. Tapi benda dah lepas Noreen dah tak boleh nak undur lagi. I pun dah nikah dengan dia dan dah ada anak pun. Jadi I minta sangat dengan you untuk tidak merumitkan keadaan." Ujar Dato' Zubir. Sebolehnya dia tidak mahu untuk terus bermasam muka dengan isterinya itu.


"Jantan tak guna! Kau ni memang sejenis manusia yang tak sedar dek untung. Kau tu kena sedar diri sikit Zubir, selama ni kau hidup atas dasar menumpang harta keluarga aku je. Kalau arwah bapak aku tak pungut kau dulu entah-entah kau ni dah lama mampus." Nada suara Datin Noreen naik seoktaf mengherdik suaminya itu. Dato' Zubir diam tidak berkutik. Air mukanya turut berubah.

Memang benar apa yang dikatakan oleh Datin Noreen itu. Dato' Zubir merupakan anak angkat Tan Sri Mokhtar yang juga merupakan anak sahabat baiknya yang telah meninggal dunia setelah terlibat di dalam kemalangan jalan raya. Sejak dari hari itu dia telah dijaga seperti anak sendiri oleh Tan Sri Mokhtar.

Namun setelah usianya meningkat dewasa Tan Sri Mokhtar kemudian mengahwinkannya dengan anak sulungnya, Datin Noreen, tanpa persetujuan wanita itu. Tidak mahu mengguriskan hati orang yang telah beejada kepadanya Dato' Zubir bersetuju. Disebabkan perkara itu Datin Noreen mula membenci Tan Sri Mokhtar serta suaminya. Baginya mereka berdua itu telah merampas kebahagiaan yang selayaknya dia kecapi.


"Kenapa kau diam? Terkedu? Memanglah kau terkedu sebab kau tu dah asyik sangat hidup dengan harta bapak aku sampai kau lupa yang diri kau tu sebenarnya anak pungut. Kalau kau tak muncul dalam keluarga aku hari tu, hidup aku tak akan jadi macam ni tau. Aku nak kau tahu yang kau adalah punca kenapa aku jadi macam ni Zubir." Ujar Datin Noreen panjang lebar. Namun Dato' Zubir masih lagi mendiamkan dirinya. Dia tidak menyangka setelah berpuluh-puluh tahun hidup bersama isterinya itu masih lagi menganggapnya sebagai orang luar.

Dato' Zubir menghela keluh yang pendek. Dia kemudian bergerak ke arah kerusi yang berada di sisi katil tersebut lalu melabuhkan punggungnya. Datin Noreen memandangnya dengan bengis. Sungguh sakit hatinya apabila lelaki itu bagai tidak terkesan dengan herdikkannya itu.


"Apa kata you jamah dulu makanan ni Reen. Dah nak sejuk ni." Tutur Dato' Zubir lembut sambil mengambil mangkuk bubur yang berada di atas meja bersebelahan dengannya itu. Dia tidak mahu mengambil pusing kata-kata yang dilemparkan oleh isterinya sebentar tadi.

Dengan rasa amarah yang bersarang dihatinya, Datin Noreen mula menghampiri suaminya itu. Dia menepis mangkuk yang berada di tangan Dato' Zubir sehingga terjatuh ke lantai. Maka berkecailah mangkuk bubur tersebut. Dato' Zubir yang amat terkejut akan perkara itu terus bangkit dari kerusi.


"You buat apa ni Reen?"


"Kau tak payah nak berlagak baik Zubir. Kau dah tikam aku dari belakang, kau ingat aku akan maafkan kau? Aku tak bodoh macam bini muda kau tu Zubir. Dan kau pun sama juga bodoh macam dia. Aku berani jamin betina tu sanggup nikah dengan kau sebab duit je." Herdik Datin Noreen lagi. Puas hatinya apabila dapat membuatkan suaminya itu panas hati.


"Noreen tolong jaga kata-kata you tu. Ini masalah antara kita berdua jangan nak libatkan isteri I dalam masalah ni." Dato' Zubir mula meninggikan suaranya apabila nama Rosie dipetik.


"Siapa kata dia tak ada kaitan? Dia dah rampas kau dari aku. Kalau dia perempuan yang baik dia tak akan ganggu suami orang. Perempuan jalang je yang suka rampas hak orang ni." Tambahnya lagi.


"Noreen!" Bergema suara Dato' Zubir di segenap ruang bilik. Serentak dengan itu tangannya laju dihayun untuk menampar isterinya itu namun dia sempat membatalkan niatnya itu. Menggigil tangan Dato' Zubir ketika dia menurunkan kembali tangannya ke sisi. Nafasnya juga naik turun dengan laju dek menahan marah.

Datin Noreen sangat terkejut apabila lelaki itu mengangkat tangan untuk menamparnya. Matanya sudah mula berkaca. Dia merasakan suami itu sudah mula berubah. Dato' Zubir yang selama ini hanya menurut segala kata-katanya sudah berani menaikkan tangan ke mukanya. Ego Datin Noreen sedikit tercalar. Dia rasa tercabar dan perasaan marahnya semakin membuak-buak.


"Kau nak tampar aku? Tamparlah kenapa berhenti? Aku sikit pun tak heranlah dengan tamparan kau tu. Rasa sakit tu tak akan setanding dengan rasa sakit hati aku sekarang ni." Tempiknya ke muka Dato' Zubir

Belum sempat Dato' Zubir menjawab tiba-tiba pintu bilik dibuka dari luar. Hampir serentak Datin Noreen dan Dato' Zubir memandang ke arah pintu tersebut. Dazrin yang baru ingin melangkah masuk terkebil-kebil melihat ke arah ibubapanya itu. Keadaan jeda sejenak. Dato' Zubir mengambil peluang itu untuk menamatkan perang mulut antara dia dan isterinya itu.


"Sudahlah Reen, I dah tak nak bertekak dengan you lagi. I tahu you penat dan I pun penat juga. I akan bincang dengan you bila emosi you dah benar-benar stabil. Dazrin kamu temankan mummy kamu ye." Balas Dato' Zubir setelah diam untuk beberapa ketika. Dazrin sekadar mengangguk.


"Aku nak kau ceraikan perempuan tu!" Laung Datin Noreen. Langkah kaki Dato' Zubir serta-merta terhenti. Dia berpaling melihat ke arah isterinya itu. Begitu juga dengan Dazrin yang sangat terkejut dengan permintaan ibunya itu.


"You cakap apa ni Noreen?" Tanya Dato' Zubir berbaur marah.

"Kau dah pekak ke? Aku cakap ceraikan perempuan tu. Kalau kau rasa masih nak hidup dengan harta bapak aku ni ceraikan perempuan tu. Aku tak akan izinkan kau gunakan satu sen pun harta keluarga aku ni untuk perempuan jalang tu." Balas Datin Noreen kasar.


"Apa yang mummy cakap ni?" Sampuk Dazrin.


"Kamu jangan masuk campur." Marah Datin Noreen kepada anaknya itu. Dazrin terkedu. Dia tidak mampu untuk melawan kata-kata ibunya itu.


"You dah gila Noreen."


"Ya, memang aku dah gila. Sekarang kau buat keputusan kau, sama ada kau akan ceraikan isteri kau tu ataupun tidak."


"Kau memang dah melampau Noreen! Kau dengar sini, aku tak akan sesekali ceraikan isteri aku!" Ujar Dato' Zubir lantang. Datin Noreen rasa tercabar. Bukan itu jawapan yang dia mahukan. Dadanya semakin berombak laju. Matanya juga sudah mula merah dan berkaca.


"Kalau kau tak nak lepaskan bini muda kau tu, kau ceraikan aku sekarang. Aku dah jijik tengok muka kau." Balas Datin Noreen kuat. Bergetar suaranya disaat mengungkapkan kata-kata tersebut.

Dato' Zubir diam tidak berkutik. Dia benar-benar terkejut dengan permintaan isterinya itu. Pada masa yang sama dia merasakan statusnya sebagai suami sudah dipijak lumat oleh wanita itu. Dato' Zubir perlahan-lahan melangkah menghampiri Datin Noreen yang berdiri tidak jauh dari dirinya. Namun Dazrin cuba untuk menghalang. Dia tidak mahu kata-kata keramat tersebut diluahkan oleh bapanya itu.


"Daddy tolong jangan dengar apa yang mummy cakap tu. Dazrin tahu yang mummy tengah stress sebab tu dia cakap merapu." Ujar Dazrin perlahan seraya menahan lelaki itu dari terus melangkah. Dato' Zubir tersenyum tawar memandang wajah anak lelakinya itu. Bahu Dazrin ditepuk lembut. Kemudian pandangannya beralih pula pada isterinya pertamanya itu.


"Noreen binti Mokhtar..." Bergetar suara Dato' Zubir disaat dia menyebut nama isterinya itu. Setelah itu dia terdiam buat seketika.


"Daddy ...!" Tutur Dazrin perlahan. Datin Noreen tegak berdiri menunggu kata-kata keramat itu diungkapkan oleh suaminya. Tidak dapat dibaca riak wajah yang ditunjukkan oleh Datin Noreen pada ketika itu. Dato' Zubir menarik nafas yang panjang sebelum menyambung kembali kata-katanya yang terputus di tengah jalan.


"Noreen binti Mokhtar, I minta maaf sebab I tak dapat nak patuh arahan you untuk kali ini. I tak nak buat sebarang keputusan dalam keadaan yang tertekan macam ni. I nak you muhasabah diri you dan fikir masak-masak sama ada you masih nak menghabiskan sisa hidup you dengan I ataupun tidak. Bila you dah dapat semua jawapan tu baru I akan buat keputusan." Ujar Dato' Zubir panjang lebar. Dazrin menghela nafas lega setelah mendengar penjelasan dari bapanya itu.


"Dan I tak akan balik ke rumah ni buat sementara waktu. I harap you gunakan waktu yang ada ni untuk mencari jawapan yang you perlukan tu." Tambah Dato' Zubir lagi sebelum berlalu pergi meninggalkan Dazrin dan Datin Noreen di dalam kamar tersebut.

Setelah Dato' Zubir berlalu pergi, Datin Noreen rebah terjelepok ke lantai. Lututnya tiba-tiba sahaja terasa lemah. Dazrin segera berlari mendapatkan ibunya itu. Namun dia berasa sedikit sayu apabila melihat airmata yang mengalir laju jatuh di pipi ibunya itu. Tubuh wanita itu dirangkul lembut. Dazrin memeluk erat tubuh ibunya bagi menenangkannya. Lama-kelamaan tangisan Datin Noreen semakin kuat kedengaran. Dazrin turut mengalir airmata melihat keadaan ibunya itu.

Share this novel

EMAacik1974
2023-01-20 18:08:27 

updare sis


NovelPlus Premium

The best ads free experience