BAB 90

Drama Completed 919533

Hari silih berganti namun keadaan Haura masih tiada perubahan. Dia asyik memencilkan dirinya di dalam bilik. Boleh dikatakan hampir setiap malam juga Puan Hafizah mendengar suara tangis anaknya itu. Perkara itu membuatkan dirinya berasa sangat bimbang dan seolah-olah terasa seperti dejavu baginya.


"Bang, tengoklah keadaan anak kita tu asyik murung je, makin hari makin teruk. Risau betul hati Izah ni." Ujar Puan Hafizah kepada Encik Zamzuri yang berdiri di sisinya. Mereka melihat Haura yang hanya duduk di birai katil sambil memandang ke luar tingkap dari muka pintu bilik anaknya itu.


"Dia tak ada bagitahu apa-apa ke pada awak?" Tanya Encik Zamzuri namun isterinya itu sekadar menggelengkan kepala. Keluh pendek dihela perlahan.

Itulah sikap Haura yang paling mengganggu ibu dan bapanya di mana dia tidak pernah untuk meluahkan apa yang sedang terbuku dihatinya. Segala beban dan masalah tidak pernah dia kongsikan. Dia lebih gemar untuk menanggungnya sendirian. Itulah yang sedang terjadi kini.

Selepas Mona menghantar Haura pulang tempoh hari, keadaan anaknya itu bertambah teruk. Benarlah kata orang, naluri seorang ibu tidak pernah salah. Kebimbangan yang menyelubungi diri Puan Hafizah ternyata benar setelah melihat perubahan sikap anaknya itu dari hari ke hari.

Puan Hafizah cuba untuk mengorek rahsia tersebut dari Mona namun hampa kerana wanita itu juga tidak tahu apa yang telah terjadi kepada sahabatnya itu. Ketika Mona menemui Haura di rumahnya, dia tidak mengeluarkan sebarang kata hanya suara tangisan yang jelas kedengaran di telinga Mona. Setelah itu Haura diam seribu bahasa. Tiada satu patah perkataan yang keluar dari mulutnya sehinggalah ke hari ini.

Tiba-tiba sebuah kereta bergerak masuk ke perkarangan rumah mereka. Puan Hafizah segera menuju ke muka pintu setelah melihat Datin Norlie keluar dari perut kereta tersebut. Dia kemudian mempelawa wanita itu untuk masuk ke dalam rumahnya.


"Haura mana?" Tanya Datin Norlie sambil menghirup air teh yang dihidangkan kepadanya. Matanya meliar melihat sekeliling. Puan Hafizah dan suaminya saling berpandangan.


"Haura ada dekat dalam bilik. Sekejap saya cuba panggil dia." Balas Puan Hafizah. Datin Norlie segera menghalang.


"Eh, tak apa. Biarkan dia berehat." Balas Datin Norlie lembut. Puan Hafizah tidak membantah. Dia duduk kembali di kerusinya. Keluh pendek dilepaskan.


"Keadaan Haura sejak kebelakangan ini tak berapa nak baik. Lepas dia balik dari jumpa Mikael hari tu, dia jadi makin teruk. Tak tahulah apa yang dah jadi antara mereka. Dah puas kami tanya tapi satu patah kata pun tak keluar dari mulut dia."

Datin Norlie kaku sejenak. Dia kemudian meletakkan kembali cawan yang berada di tangannya ke atas meja kopi. Terbit sedikit riak bersalah di wajahnya. Nafas yang dalam ditarik sebelum menghembusnya perlahan-lahan.


"Tujuan saya datang ke sini hari ni untuk memohon maaf kepada encik dan puan sekeluarga. Saya nak minta maaf bagi pihak anak saya. Saya tahu semua ni berpunca dari Mikael. Puan pun tahu macam mana keadaan Mikael sekarang ni, kan. Mungkin ada kata-kata yang dia ungkapkan sehingga mengguris hati Haura. Sekali saya minta maaf." Ujar Datin Norlie. Sekali lagi Puan Hafizah dan Encik Zamzuri saling berpandangan.


"Maksud datin? Mereka ada perselisihan faham ke?" Datin Norlie menggelengkan kepalanya sebagai respon kepada pertanyaan dari Puan Hafizah.


"Mikael... dia langsung tak dapat cam Haura. Dia tiada ingatan tentang perhubungan mereka malah dia berkeras yang mereka tidak saling mengenali dan Haura terasa sangat asing baginya. Dia hanya ingat bekas tunangnya yang sudah meninggal 6 tahun lepas." Balas Datin Norlie panjang lebar. Mata Puan Hafizah terbuntang luas. Dia dan suaminya sangat terkejut akan perkara itu.


"Berat sungguh ujian mereka kali ini." Ujar Encik Zamzuri. Datin Norlie sekadar menganggukkan kepalanya.


"Keadaan Mikael macam mana? Ada kemungkinan ingatan dia untuk pulih?" Tanya Puan Hafizah.

Datin Norlie kemudian memberitahu segalanya kepada bakal besannya itu berkenaan keadaan Mikael sepertimana yang telah dimaklumkan oleh doktor kepadanya. Puan Hafizah dan Encik Zamzuri sekadar mendengar. Sesekali keluh panjang dihela. Mereka terdiam sejenak.


"Sekarang ni keadaan dia semakin teruk selepas kami berterus terang tentang arwah tunangnya yang terdahulu. Dia masih belum boleh terima berita tersebut. Perkara yang sama telah berlaku pada Mikael 6 tahun lepas dan kini berulang kembali. Dia seperti terkurung di masa silamnya sendiri. Saya tahu Haura sangat terkesan dengan perkara itu jadi saya minta maaf bagi pihak Mikael." Ujar Datin Norlie panjang lebar. Setiap bait kata yang dilontarkannya itu berbaur sebak. Puan Hafizah mencapai tangan wanita itu lalu digenggamnya lembut.


"Datin tak perlu minta maaf. Tiada apa yang perlu kami maafkan. Tiada seorang pun yang minta semua ni terjadi. Kita anggaplah semua ni ujian untuk kita semua."

Tanpa mereka sedar Haura mencuri dengar perbualan mereka tersebut. Matanya berkaca menahan tangis. Tidak sanggup untuk dia mendengar perkhabaran tentang tunangnya itu. Dia tahu hatinya terluka tetapi dia lebih memikirkan soal hati Mikael berbanding hatinya sendiri. Dia kemudian kembali semula ke biliknya.

*****

Sudah hampir 10 minit Haura berdiri di hadapan pintu bilik Mikael. Dia teragak-agak masuk ke dalam bilik tersebut untuk bertemu dengan tunangnya itu. Dia terlalu rindukan lelaki itu namun pada masa yang sama dia tidak mahu menambahkan luka dihati Mikael.

Sedang dia asyik mengelamun tiba-tiba pintu bilik tersebut dikuak dari dalam. Wajah Soraya terpampang di muka pintu. Wanita itu menyapanya dalam keadaan yang sedikit terkejut.


"H-Haura ...?" Tegur Soraya sepatah. Haura yang berdiri di hadapannya kaku tanpa suara.


"Nak jumpa dengan abang Mika ke? Kenapa tak masuk je terus?" Tanya Soraya namun Haura masih tidak mampu untuk bersuara. Soraya memandangnya dengan penuh tanda tanya.


"You okay ke tak ni Haura? Lemah semacam je I tengok you ni. Jom masuk, boleh you rehat sekejap dekat dalam bilik." Ujar Soraya seraya mencapai tangan Haura. Sepantas kilat Haura mengeraskan badannya seperti batu. Langkah Soraya mati seketika. Dia segera berpaling ke arah wanita itu.


"T-tak apa, saya datang lain kali je. Saya tak tahu ada orang yang tengah melawat dia. Maaf mengganggu." Balas Haura tergagap-gagap. Dia cuba untuk berlalu dari situ namun dihalang oleh Soraya. Wanita itu mengerutkan wajahnya.


"Ganggu? You tak payah nak mengarutlah Haura. Tak ada istilah ganggu pun tau sebab I je yang ada dekat sini sekarang. I tolong jagakan abang Mika sekejap sebab aunty ada hal sikit. Mungkin petang baru dia datang semula." Balas Soraya. Haura hanya mendiamkan diri. Dia masih tidak yakin untuk bertemu dengan lelaki itu.


"I tahu you takut nak jumpa dengan abang Mika. You risau kalau hati you terluka lagi dengan kata-kata dia, kan? You tak perlu risaukan benda tu Haura sebab dia sedang lena dekat dalam itu. Aunty cakap doktor "tidurkan" dia sebab dia mengamuk lagi." Tambah Soraya lagi setelah melihat reaksi Haura yang serba-salah untuk melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. Dia sudah sedia maklum tentang kejadian tempoh hari.

Soraya kemudian menarik lembut tangan Haura untuk masuk bersama-sama dengannya ke dalam bilik tersebut. Jantung Haura berdegup dengan kencang sekali di saat dia melihat Mikael yang sedang lena di atas katil. Tanpa sedar kakinya terus melangkah menghampiri lelaki itu. Soraya sekadar memerhati. Keadaan jeda untuk beberapa ketika.

Haura menatap wajah Mikael dengan penuh kasih. Terubat rasa rindu yang kian bersarang dihatinya itu. Tanpa diduga airmatanya mula bertakung. Soraya kemudian menghampiri Haura yang sedari tadi hanya berdiri di hujung katil. Bahu wanita itu disentuh perlahan.


"Haura, I nak keluar sekejap. You tolong tengokkan abang Mika." Bisik Soraya yang cuba untuk memberi ruang kepada Haura untuk melepaskan rasa rindunya pada Mikael. Haura tidak mengangguk ataupun menggeleng. Setelah itu Soraya berlalu pergi meninggalkan mereka berdua.

Kerusi yang terdapat di sisi katil ditarik perlahan sebelum Haura melabuhkan punggungnya. Beg tangan yang tersangkut dibahu dilepaskan perlahan-lahan lalu diletakkan di sisinya. Sekali lagi wajah Mikael direnungnya lama. Tanpa dia sedar jemari runcingnya mula "menari-nari" di sekitar wajah Mikael. Namun belum sempat wajah lelaki itu disentuh, Haura segera mengalihkan tangannya.

Haura menarik nafas yang panjang sambil kedua belah matanya dikatup rapat. Jari jemarinya pula dirapatkan ke dada lalu digenggam kuat. Haura kemudian menggelengkan kepalanya beberapa kali. Sedaya-upaya dia cuba untuk mengawal dirinya itu. Setelah merasakan dirinya sudah cukup kuat, perlahan-lahan dia mula mencapai tangan lelaki itu lalu digenggam erat.


"I miss you so much."

Serentak dengan itu mutiara jernih yang sudah lama bertakung mula mengalir jatuh membasahi pipi. Segala rasa gundah yang bergejolak di dadanya pecah. Benteng hatinya ternyata sangat rapuh. Haura cuba untuk sembunyikan tangisnya itu kerana bimbang jika lelaki itu tersedar dari lenanya. Apabila dirinya sudah mulai tenang barulah Haura membuka bicaranya.


"Maaf, saya terpaksa datang senyap-senyap macam ni. Saya tak nak emosi awak terganggu dengan kehadiran saya." Tutur Haura. Suara kedengaran sedikit serak.


"Maaf juga sebab baru sekarang saya ada keberanian untuk bertemu dengan awak meskipun tanpa pengetahuan awak."


"Awak ingat tak masa kita mula-mula berjumpa hari tu. Separuh mati saya kerjakan awak sebab saya ingatkan awak peragut rupa-rupanya saya salah orang." Haura tertawa kecil ketika mengimbau kembali detik pertemuannya dengan Mikael.


"Masa itu saya memang menyampah betul dengan perangai awak yang poyo tu. Reti nak melenting je. Lepas tu layan saya ni macam kuli batak. Sakit hati kita tau." Ujar Haura seolah-olah merajuk.


"Tapi tulah orang tua-tua pernah pesan, jangan terlalu bencikan seseorang takut lama-lama nanti bertukar jadi sayang. Tak sangka benda tu benar-benar terjadi. Saya tak tahu di waktu bila saya mula menyimpan perasaan pada awak. Saya dah mula sayangkan awak meskipun awak selalu kasar dengan saya. Masa awak bagitahu saya yang awak nak kahwin dengan saya, itulah saat yang paling bahagia dalam hidup saya. Kebahagiaan yang saya idamkan selama ini seolah-olah sudah semakin hampir." Tambahnya lagi sebelum diam buat seketika. Cincin di jari Mikael diusap dengan dengan ibu jarinya.


"Kalaulah saya buang ego saya jauh-jauh pada malam tu pasti semua ni tak akan berlaku. Awak pun tak akan menderita macam ni." Ujar Haura sambil matanya terkunci pada wajah tenang lelaki itu. Nada suaranya kembali kedengaran sebak. Perlahan-lahan dia mula meleraikan genggaman tangannya.

Haura kemudian mengagau sesuatu dari beg tangannya. Satu kotak baldu kecil berwarna biru gelap dikeluarkan. Dia kemudian mencabut cincin yang tersarung di jarinya lalu diletakkan ke dalam kotak baldu tersebut. Haura menghela keluh yang sangat berat.


"Saya tahu tindakan saya ni terlalu pentingkan diri dan saya tak menafikan semua tu. Saya tak kuat untuk berdepan dengan awak dan ahli keluarga awak yang lain selepas apa yang dah terjadi. Semua ni berlaku disebabkan kedegilan saya. Saya punca awak jadi macam ni dan saya tak dapat maafkan diri saya sendiri."


"Saya terlalu cintakan awak Mikael tapi saya juga rasa yang diri saya ni tak layak untuk jadi teman hidup awak. Saya yakin awak akan lebih bahagia tanpa adanya saya di sisi awak." Ujar Haura mengakhiri bicaranya. Kotak cincin diletakkan di atas meja di sisi katil tersebut. Dengan berat hati Haura memulangkan semula cincin pertunangannya.


"Jika benar dia untukku, aku yakin suatu hari nanti Kau pasti akan satukan kami tanpa mengira sejauh mana hati dan jasad kami terpisah. Jika jodoh, kita pasti akan bertemu." Bisik Haura di dalam hati sebelum melangkah keluar dari bilik tersebut.

*****

BEBERAPA BULAN KEMUDIAN

Tempoh wasiat sudahpun mencapai titik akhir. Sekali lagi mereka berkumpul di kediaman Puan Sri Normah untuk pembahagian harta yang sepenuhnya. Encik Musa selaku peguam yang telah dilantik mula membacakan isi wasiat pembahagian harta tersebut.


"Seperti yang telah termaktub di dalam wasiat areah Tan Sri Mokhtar, harta yang diwariskan kepada Luth Mikael akan diserahkan kepada Dazrin Ikhwan diatas kegagalan beliau untuk memenuhi syarat yang telah ditetapkan." Ujar Encik Musa satu persatu.

Tiada seorang pun yang cuba untuk membantah keputusan tersebut termasuk Dazrin sendiri. Soraya yang turut berada di situ benar-benar kecewa dengan sikap ibu dan abangnya itu. Mikael yang turut berada di situ tidak memberikan sebarang respon. Dia seolah-olah tidak berminat dengan semua itu. Mungkin kerana terkejut apabila mengetahui bahawa datuknya sudah meninggal dunia.


"Tahniah Datin Noreen diatas kejayaan datin untuk bolot semua harta arwah datuk. Akhirnya semua dah jadi kenyataan, kan?" Ucap Soraya sarkastik. Kesemua ahli keluarga yang berada di situ sangat terkejut dengan tindakannya itu.

Datin Noreen membuntangkan matanya memandang ke arah anak perempuannya itu. Dia tidak menyangka wanita itu akan menyindir dirinya di depan ahli keluarga yang lain. Darahnya mula rasa mendidih.


"Kamu mengarut apa ni Dina?" Marah Datin Noreen. Soraya tertawa sinis. Datin Norlie dan Puan Sri Normah saling berpandangan. Mikael berkerut. Dia kemudian bangkit untuk kembali ke biliknya. Tidak berminat untuk menonton "drama" yang tersaji di depan matanya itu.


"Seronok la mummy sebab dah dapat apa yang dihajati selama ini. Bolehlah anjurkan parti dengan kawan-kawan mummy nanti. Tak cukup dengan rampas kebahagiaan abang Mika sekarang mummy rampas harta dia pula." Balas Soraya namun kata-katanya itu sedikit sebanyak telah merenggut hati Mikael. Lelaki itu memberhentikan langkahnya pada anak tangga. Wajah sepupunya itu direnung dari jauh.


"Rampas kebahagiaan?" Bisik Mikael di dalam hati. Dia tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh wanita itu. Namun perasaan ingin tahu mula membuak-buak. Dia kemudian sekadar memasang telinga.


"Jaga sikit mulut kamu tu Dina. Kamu sendiri dengar apa yang peguam tu bagitahu yang Mikael gagal untuk penuhi kehendak wasiat." Datin Noreen masih cuba membela dirinya meskipun semua kebenaran sudah terbongkar.


"Ya memang dia tak dapat penuhi kehendak wasiat tu tapi kenapa? Hanya tinggal 2 hari sebelum mereka berkahwin tiba-tiba semua ni berlaku. Kalau mummy tak busuk hati dan tak buat rancangan bodoh mummy pada malam tu, Haura tak akan bergegas keluar dari rumah ni. Kemalangan tu pun tak akan pernah terjadi dan abang Mika pun tak akan jadi macam ni." Balas Soraya lagi. Suaranya bergetar dek rasa marah yang amat kuat. Dia sangat terkilan kerana ibunya itu masih tidak mahu mengaku kesalahannya. Datin Noreen mati kata.


"Dina tolong jangan kurang ajar dengan mummy. She's still your mother." Dazrin mula menyampuk apabila melihat Soraya seperti sudah hilang rasa hormat kepada ibu kandungnya itu.

"Dina minta maaf. Selepas apa yang mummy dah buat pada Haura dan abang Mika, rasa hormat tu dah tak ada lagi. Disebabkan dendam kesumat mummy pada arwah datuk, orang lain yang jadi mangsa. Dina betul-betul tak sangka yang mummy ni manusia yang tak ada hati perut dan Dina malu ada ibu yang kejam macam ni."

Pang!

Satu tamparan hebat singgah di pipi kiri Soraya. Dia terkesiap. Semua yang menyaksikan perkara itu turut terkejut. Datin Noreen cerlung memandang anak perempuannya itu. Namun Soraya membalasnya dengan sebuah senyuman.


"Pukullah kalau itu dapat memuaskan hati mummy. Tapi mummy kena ingat, meskipun mummy pukul Dina sampai habis nyawa sekalipun, mummy tetap tak akan dapat memadam walau sekelumit kesalahan yang mummy dah buat pada mereka. Sudah-sudahlah menegakkan benang yang basah." Bidas Soraya pedas.

Kepala Mikael mula terasa sakit apabila dia cuba untuk mengingati peristiwa yang sudah lenyap dari kotak memorinya. Lututnya mula terasa lemah, hampir saja dia terjatuh. Mujurlah tangannya tangkas berpaut pada pagar tangga tersebut. Dia berdengus lemah. Azrael segera berlari mendapatkannya apabila terdengar suaranya itu. Lelaki itu cuba untuk memapahnya menaiki anak tangga namun ditolak oleh Mikael.


"Apa yang dah berlaku sebenarnya." Tanya Mikael sedikit lemah namun Azrael sedikit teragak-agak untuk menjawab pertanyaan tersebut. Melihat reaksi yang yang ditunjukkan oleh abangnya itu dia yakin ada sesuatu yang mereka sembunyikan dari pengetahuannya.


"Apa yang aunty dah buat? Kenapa tak ada seorang pun yang bagitahu pada Mika sebelum ni." Tanya Mikael. Suaranya mula meninggi tetapi tetap kedengaran lemah. Mikael menantikan jawapan dari ahli keluarganya namun hampa.


"Mama, nenek? Kenapa semua diam? Dina tolong bagitahu abang apa yang dah berlaku pada malam tu."

Soraya menghela keluh pendek. Dia sedar yang dia sudah terlanjur bicara. Dia memukul lembut mulutnya yang lantang tidak bertempat itu. Dek rasa marah yang membuak-buak dia terlupa akan janji untuk merahsiakan kejadian itu dari pengetahuan Mikael. Soraya kemudian memandang wajah Datin Norlie dan Puan Sri Normah silih berganti. Dia tidak pasti sama ada dia perlu berterus terang ataupun tidak. Bimbang jika akan mengganggu emosi serta memberi tekanan kepada Mikael kelak.


"Mika apa kata kamu pergi berehat dulu." Tutur Puan Sri Normah lembut. Namun Mikael sekeras-kerasnya menolak. Dia mahu tahu apa sebenarnya yang telah terjadi kepada dirinya.

Puan Sri Normah akur akan permintaan cucunya itu. Dia kemudian meminta Soraya untuk menceritakan segala yang telah berlaku kepada Mikael. Fikiran lelaki itu sungguh bercelaru, pada masa yang sama hatinya terasa sungguh sesak sehingga dia sukar untuk bernafas. Tiba-tiba ada satu gambaran yang kurang jelas bermain di kaca fikiran yang membuatkan kepalanya bertambah sakit. Mikael mengerang kesakitan. Kepalanya diketuk berkali-kali dan akhirnya dia pengsan tidak sedarkan diri.

Soraya menangis tidak berlagu di sisi lelaki itu. Tidak henti kata maaf terucap dari mulutnya. Datin Norlie memeluk wanita itu dengan erat bagi menenangkannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience