BAB 29

Drama Completed 919430

Datin Norlie memotong buah-buahan yang telah dibasuh bersih oleh Mak Wan. Dia menyusun buah tersebut ke dalam pinggan. Mak Wan pula sedang sibuk menghidang beberapa jenis kuih muih ke dalam dulang untuk dijadikan sajian minum petang.


“Tak apa Mak Wan. Yang ini biar saya aje yang bawa ke depan. Mak Wan tolong bawa dulang air tu ye.” Tutur Datin Norlie kepada Mak Wan. Mak Wan hanya mengangguk. Sememangnya jikalau Datin Norlie sudah masuk ke dapur semua benda ingin dibuatnya sendiri.

Datin Norlie membawa dulang berisi makanan itu ke meja di laman rumahnya. Kelihatan Puan Sri Normah sedang duduk di situ sambil membaca sebuah buku motivasi islamik. Itulah hobi wanita itu sekiranya dia mempunyai masa yang terluang.


“Jemput makan mak.” Pelawa Datin Norlie. Tangannya ligat menyusun pinggan ke atas meja.

Puan Sri Normah meletakkan buku tersebut di atas meja. Dia membetulkan kedudukannya. Mak Wan menuang air teh wangi ke dalam cawan lalu dihulurkan kepada Puan Sri Normah dan Datin Norlie. Dia kemudian beransur pergi.


“Suami kamu mana? Mak tak nampak batang hidung dia pun hari ni.” Tanya Puan Sri Normah. Datin Norlie yang sedang menghirup air teh itu segera menjauhkan bibir cawan dari mulutnya.


“Dia on-call hari ni mak. Katanya ada pembedahan penting.”


“Dah jarang betul mak tengok dia lekat dekat rumah hari-hari minggu macam ni. Busy dengan kerja memanjang.”


“Dah kerja dia mak. Nor okay je. Lagipun Nor kan ada mak dekat sini.” Datin Norlie bermanja dengan ibunya itu.


“Azrael pun dah pindah keluar. Jarang-jarang lah jugak dia balik ke sini. Mikael tu tak payah cakap la. Ada macam tiada. Dari pagi sampailah dah nak masuk senja ni, mak belum nampak lagi batang hidung dia.” Rungut Puan Sri Normah.


“Alah, biarkanlah dia mak. Mungkin dia keluar dengan kawan-kawan dia ke. Lagipun hari ni kan hari cuti dia. Ini ajelah masa yang ada untuk dia tenangkan diri.” Datin Norlie cuba memujuk.


“Mak ni bukan apa, sekarang ni boleh la mak temankan kamu. Kalau mak dah tak ada nanti macam mana?” tambah Puan Sri Normah.


“Apa mak ni cakap macam tu. Nor tak suka lah.” Datin Norlie mencapai kuih sardin gulung lalu dikunyahnya kasar. Ibunya pula menghirup air teh yang terhidang di depannya.


“Nor, mak tengok Mikael tu lain macam sikit sejak kebelakangan ni. Kamu ada tahu apa-apa ke?” tanya Puan Sri Normah kepada Datin Norlie. Datin Norlie mengerutkan mukanya.


“Entahlah mak. Nor pun perasan jugak. Keruh sangat air mukanya.” Balas datin Norlie.


“Kamu tak ada tanya dia? Mana tahu dia ada masalah ke.”


“Nor dah cuba tanya dia tapi mak tahu la perangai Mikael tu macam mana. Bukannya dia suka kongsikan masalah dia dengan orang lain. Walau dengan Nor sekali pun.” Luah Datin Norlie tentang perangai anaknya itu.


“Tapi beberapa hari lepas Nor ada terdengar satu bunyi yang pelik dari bilik Mika. Tapi Nor tak boleh nak cakap itu bunyi apa sebab kurang jelas. Bila Nor ketuk pintu bilik dia dan bertanya, Mika cakap dia okay je.” Tambahnya lagi panjang lebar.


“Kamu rasa ada kaitan dengan kejadian yang dulu ke?” tanya Puan Sri Normah. Riak wajahnya sedikit rungsing memikirkan kejadian tersebut.


“Eh, Nor tak rasa ada kaitan dengan hal tu mak. Benda tu kan dah lama berlaku dan doktor pun dah bagitahu yang Mikael pun dah pulih sepenuhnya.”


“Mak pun berharap yang macam tu jugak.” Balas Puan Sri Normah. Kemudian dihirupnya kembali teh wangi itu.


“Nenek, aunty!” sapa Dazrin riang.


“Kamu dari mana ni?” tanya Puan Sri Normah kepada cucunya itu.


“Dari gym nek. Nampak sado tak?” balas Dazrin sambil memperagakan tubuhnya seperti ahli bina badan. Sempat dia menyakat neneknya itu. Datin Norlie tertawa kecil melihat gelagat anak saudaranya itu.


“Dazrin, jomlah makan sama-sama.” Pelawa Datin Norlie.


“Wah! Banyaknya makanan. Aunty masak ke?” balas dazrin sambil berjalanmengambil tempat di meja tersebut.


“Mestilah aunty yang masak, tapi Mak Wan yang buat semua ni.” Datin Norlie berseloroh. Puan Sri Normah serta Dazrin melepaskan tawa mereka.


“Kamu tak balik langsung ke rumah kamu Dazrin?” tiba-tiba Puan Sri Normah bersuara. Dazrin terdiam. Datin Norlie mencuit peha ibunya itu sambil mengerutkan dahi.


“Nenek bukannya apa, mommy kamu tu dah berkali call nenek suruh kamu balik. Naik rimas nenek dibuatnya. Katanya lagi kamu tak jawab langsung panggilan dia.” Tambahnya lagi.


“Maaf kalau Dazrin dah menyusahkan nenek. Dazrin masih belum bersedia untuk balik menghadap muka mommy lagi. Lepas apa yang dia dah buat sebelum ni pada Dazrin dan Haura.” balas Dazrin mendatar. Datin Norlie sedikit terpinga-pinga apabila nama Haura disebut.


“Maaf aunty mencelah, Haura tu siapa? Kekasih Dazrin ke?” Puan Sri Normah memandang Dazrin dengan pandangan yang serius. Dazrin cepat-cepat menggelengkan kepalanya.


“Bukan aunty. Dia kawan Dazrin dan juga pekerja di Khazzan Group. Mommy dah salah faham tentang hubungan kami dan dia telah serang Haura dekat office tempoh hari. Senang cerita mommy dah menghina Haura di depan pekerja yang lain. Sedikit sebanyak dah rosakkan hubungan kami berdua.” Ujar Dazrin panjang lebar. Datin Norlie sekadar mengangguk mendengar apa yang diceritakan oleh Dazrin.


“Kamu ambillah masa kamu, nenek tak kesah. Tapi pastikan kamu jawab panggilan mommy kamu tu. Berterus terang dengan dia.”


“Terima kasih nenek.” Balas dazrin pendek.

*****

Mikael duduk termenung di dalam pejabatnya. Sungguh jauh renungannya itu. Ada sesuatu yang sedang mengganggu di fikiran lelaki tersebut. Tiba-tiba telefon bimbit Mikael berdering. Nama Rissa terpampang di skrin. Setelah beberapa bulan menghilang baru kini Rissa muncul kembali mencari Mikael.


“Hello Rissa.” Sapa Mikael mendatar.


“Hello sayang! Oh my god. I rindu giler nak dengar suara you! You tengah buat apa tu?”


“I tengah kerja ni. Kenapa?” Balas Mikael malas.


“You ni kenapa? Macam tak suka je I call you.” Tanya Rissa separa merajuk.


“Ada apa you call I ni. Bukan ke you tengah busy urus bisnes aunty you dekat sana.” Soal Mikael kembali.


“Yes. I’m quite busy right now sayang. Tapi I rindu sangat dengan you. Bila you nak datang sini jumpa dengan I.” tanya Rissa.


“Tak sure lagi. I pun busy jugak sekarang ni. You tu bila nak balik Malaysia.” Tanya Mikael. Namun Rissa mengabaikan pertanyaan tersebut lalu menukar topik.


“Actually, I ada something nak bagitahu you ni.” Tutur Rissa sedikit teruja.


“Nak bagitahu apa?” soal Mikael. Entah kenapa tiba-tiba je dia rasa tidak sedap hati.


“Ada satu company ni offer I kerja. Dia orang ni memang famous sangat tau dekat sini.” Rissa membuka cerita.


“So, jawapan you?” soal Mikael pendek.


“Mesti la I terima sayang. Peluang macam ni datang sekali je seumur hidup tau. I’m so excited to tell you about this. Dan you orang pertama yang I bagitahu tau. Even my parents pun tak tahu lagi pasal ni.” Tutur Rissa dengan penuh teruja.


“Finally! Impian I akan menjadi kenyataan jugak. Betul tak sayang?” Mikael hanya mendiamkan diri. Menyedari hal itu Rissa sedikit panas hati kerana terasa bagai diabaikan oleh Mikael.


“Mikael! You dengar tak apa yang I bagitahu you ni?” Rissa mula rasa marah. Dia sungguh tidak suka apabila Mikael tidak menghiraukannya.


“Iya, I dengar. By the way, tahniah sebab apa yang you idamkan selama ini bakal jadi kenyataan. I’m happy for you.” Balas Mikael untuk sedapkan hati Rissa.


“Thank you sayang. You tahu kan yang I sayang you sangat-sangat.” Balas Rissa. Nada suaranya kembali ceria.


“I tahu. Okay la Rissa, kejap lagi I ada meeting ni. I’ll call you back later.” Mikael mematikan panggilan. Dia kemudian menghela keluh yang panjang.

Haura dan Laila dilihat sedang sibuk menguruskan perihal berkaitan majlis sambutan ulangtahun Puan Sri Normah. Dalam masa sebulan untuk mereka yang masih setahun jagung untuk uruskan perkara ini memang agak mencabar. Tambahan pula Haura terpaksa menghadap beberapa orang yang susah untuk memberikan kerjasama dengannya.


“Kak Laila, ada simpan tak dokumen untuk majlis ni yang tahun lepas punya? Atau majlis-majlis yang lain ke.” Haura bertanya kepada Laila.


“Akak pun first time handle majlis ni. Sebelum ni Naimah dengan Suri yang buat.” Balas Laila.


“Suri? Nanti akak tolong tanya Suri boleh? Saya malaslah nak berurusan dengan dia tu. Risau jadi lain pulak nanti.”

Di sebalik dinding, Suri telah mencuri dengar perbualan tersebut. Dia bergegas berlari ke mejanya.


“Okay. Nanti akak cuba tanya. Tapi kalau tak silap akak, Naimah pun ada simpan salinan tu. Cuba kamu cari dalam almari file dia dekat belakang tu.”


“Oh yeke? Okay nanti saya cuba cari. Tapi kalau akak dapat salinan tu dari Suri jangan lupa bagitahu saya tau.” Laila mengangguk faham. Haura kemudiannya kembali ke mejanya. Laila pula mencari kelibat Suri yang tiba-tiba sahaja hilang dari pandangan.


“Mana pulak budak Suri ni pergi. Macam-macam hal betul la dia nih.” Rungut Laila sendirian. Dia kemudian pergi menjenguk di meja kerja Suri.


“Haa! Ada pun kamu. Akak nak tanya sikit ni.”


“Tanya apa?” balas Suri pendek.


“Kamu ada simpan tak maklumat majlis puan sri yang tahun lepas punya. Akak nak buat rujukan.” Tanya Laila.


“Alamak! Saya tak pasti ada dengan saya atau tak. Nanti saya cuba cari ye kak.” Balas Suri dengan nadanya yang lembut. Laila pelik dengan perubahan Suri yang tiba-tiba itu. Namun dia mengabaikannya.


“Baiklah. Kalau ada cepat-cepat bagitahu akak tau.” Balas Laila. Suri tersenyum lalu menganggukkan kepalanya. Laila pun berlalu pergi.

Apabila kelibat Laila hilang dari pandangan, senyuman di bibir Suri juga turut padam. Dia kemudian membuka laci miliknya. Kelihatan fail maklumat yang diperlukan Laila sudah ada dengannya namun dia telah menipu wanita itu.

*****

Dazrin dilihat sedang berbincang bersama Haura di dalam bilik mesyuarat. Laila turut berada di situ. Mereka membincangkan tentang cadangan rumah anak yatim yang akan terlibat serta jumlah tetamu yang akan hadir. Tiba-tiba Suri datang membuka pintu.


“Maaf ganggu. Datin Noreen datang nak jumpa Encik Dazrin.” Haura membuntangkan matanya. Air mukanya sedikit cemas. Begitu juga dengan Laila.

Dazrin segera bingkas bangun untuk keluar berjumpa dengan ibunya. Namun belum sempat dia keluar Datin Noreen telah pun berjalan masuk ke dalam bilik tersebut. Dengan spontan Haura dan Laila terus berdiri di sisi meja. Datin Noreen memandang mereka berdua.


“Kau lagi. Keras betul hati kau ye.” Datin Noreen memarahi Haura kerana masih lagi bermesra dengan anaknya.


“Mommy tolonglah jangan mulakan. Dazrin dah penat la nak layan kerenah mommy yang macam ni.” Balas Dazrin.


“Lagipun sekarang ni Dazrin bukannya bermesra dengan Haura seperti yang mommy sangka. Kami tengah berbincang tentang kerja. Tolonglah faham.” Tambahnya lagi.


“Sebab kamu nak bela perempuan yang datang entah dari mana ni, kamu sanggup lawan cakap mommy? Dazrin, mommy ni ibu kamu tau.”


“Ya mommy, Dazrin tahu. Tapi Dazrin minta tolong sangat dengan mommy jangan buat onar lagi dekat sini. Cukuplah sekali mommy dah malukan dia depan orang ramai.”


“Mommy sungguh tak sangka Dazrin. Sampai macam ni sekali kamu berubah disebabkan perempuan jalang ni!”


“Mommy!” Dazrin menengking ibunya itu. Datin Noreen sungguh terkejut. Amarahnya semakin membuak-buak.

Suri puas melihat Haura yang tidak mampu untuk mengangkatkan wajahnya. Dia seperti tidak berdaya untuk melawan kata Datin Noreen itu.


“Baru kau tahu langit ni tinggi ke rendah. Hari tu boleh la kau berlagak sebab Encik Mikael ada. Sekarang ni putera mana pulak yang nak datang untuk selamatkan kau. Terima la nasib kau Haura. Siapa suruh cari pasal dengan aku.” Bisik Suri sendirian. Dia yang berada di muka pintu tersenyum puas.


“Tolong jaga sikit mulut kamu tu Noreen! Kamu tak ada hak untuk kata dia macam tu!” Tiba-tiba Puan Sri Normah nenolak pinta lalu masuk ke dalam bilik tersebut.

“Mak… Bukan ke mak ada temujanji dengan doktor hari ni?” Datin Noreen terkejut melihat ibunya yang berada di situ. Dia mengetap bibir dan cuba untuk mengawal kemarahannya.


“Kenapa? Kalau mak tak ada dekat sini lagi seronok la kamu maki budak tu, kan?” Marah Puan Sri Normah.


“Aku tak faham betul la. Kenapa semua orang dekat sini nak back up perempuan ni. Padahal dia dah jatuhkan reputasi syarikat kita ni mak!” Datin Noreen mula naik angin.


“Tutup mulut kamu Noreen!” Puan Sri Normah memberi amaran.


“Jampi apa yang kau dah bagi pada keluarga aku ni sampai semua orang tunduk pada kau?” tempik Datin Noreen lagi kepada Haura.


“Pengawal! Tolong bawa dia keluar dari sini sekarang.” Panggil Puan Sri Normah. Dia sudah tidak tahan melihat anak perempuannya itu membuat onar di pejabatnya.


“Mak!” Datin Noreen tak sangka ibunya sanggup berbuat begitu kepadanya demi Haura.


“Kau jangan nak sentuh aku!” marahnya kepada pengawal berkenaan.

Datin Noreen keluar dari bilik mesyuarat dengan perasaan yang sangat marah. Dia menjeling tajam ke arah Haura. Suri turut tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh Puan Sri Normah itu. Dia berlari mengekori Datin Noreen.


“Kamu tak apa-apa ke?” Puan Sri Normah bertanya kepada Haura. Dia rasa serba salah.


“Saya okay puan sri. Datin tak ada bertindak kasar pun pada saya.” Balas Haura sambil tersenyum pahit.


“Sekali lagi, saya minta maaf bagi pihak mommy saya. Saya sendiri pun dah tak tahu nak buat macam mana lagi.” Haura mengangguk faham. Namun ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.


“Saya nak tanya. Apa yang datin maksudkan tadi? Yang saya dah jatuhkan reputasi syarikat.” Soal Haura kepada Puan Sri Normah. Wanita itu saling berpandangan dengan cucunya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience