BAB 8

Drama Completed 919664

Datin Noreen mundar-mandir di ruang tamu rumahnya seperti sedang memikirkan sesuatu. Hatinya sungguh tidak tenteram memikirkan tentang harta peninggalan Tan Sri Mokhtar yang bakal diterima oleh Mikael. Baginya Dazrin lebih berhak ke atas harta tersebut.


“Aku kena buat sesuatu supaya harta wasiat bertukar tangan menjadi milik Dazrin.” Bisik Datin Noreen sendirian.

Kemudian dia terlihat Dazrin yang sedang berjalan turun sambil memasang butang di leher bajunya. Datin Noreen terus mempelawa Dazrin untuk bersarapan pagi. Dato Zubir awal-awal pagi lagi sudah keluar. Sejak kebelakangan ini dia kerap bersarapan di luar. Dazrin sedikit pelik dengan kelakuan ibunya pagi ini. Jarang sekali Datin Noreen itu menemaninya untuk bersarapan pagi.


“Kenapa mommy?” tanya Dazrin yang sedang menikmati sandwich tuna bersama jus oren. Dia dapat rasakan Datin Noreen ingin memberitahunya sesuatu kerana sedari tadi ibunya itu seperti tidak senang duduk.


“Pasal wasiat arwah datuk. Mommy nak kamu pasang mata pada Mikael. Pastikan dia tidak berjaya untuk tunaikan semua syarat-syarat tu.” Arah Datin Noreen.

Dazrin mengeluh perlahan. Dia hanya sekadar mendiamkan diri mendengar perancangan Datin Noreen itu. Terus hilang seleranya pada pagi itu. Melihat anak bujangnya yang seperti acuh tak acuh itu membuat Datin Noreen sedikit panas hati.


“Dengar tak apa yang mommy tengah cakap ni?”


“Ya mommy Dazrin dengar.” Balas Dazrin malas. Dia kemudian melihat jam di tangannya lalu segera bangkit dari kerusi.


“Nak ke mana pulak tu? Mommy belum habis cakap lagi ni.”


“Dah lewat ni mommy, Dazrin pergi office dulu ya.”


“Mommy nak kamu report pada mommy everything pasal Mikael yang kamu tahu.”


“Yes boss!” balas Dazrin singkat. Tangannya di angkat ke arah Datin Noreen. Selepas itu dia menggapai tangan ibunya untuk bersalam kemudian mencium pipi wanita itu.

*****


“Busy nampak. Masak apa je tu?” tegur Datin Safiah sambil menuju ke dapur. Kelihatan Haura sedang membancuh air kopi untuk dimakan bersama nasi goreng kampung air tangan Mak Mah, pembantu rumah Datin Safiah.


“Ada apa-apa yang nak opah tolong ke?”


“Rasanya takde apa dah ni, tinggal nak hidang je.” Balas Haura sambil tersenyum


“Morning everybody!” sapa Aisyatul Hanna riang sambil menuju ke meja makan lantas memeluk Datin Safiah dari belakang


“Amboi... bukan main happy lagi, adalah tu yang nak dibodeknya nanti. Dah pergi tolong hidang makanan tu, opah nak nak panggil datuk kamu sekejap.”


“Beres bos!” balas Hanna nakal. Datin Safiah tersenyum kemudian berlalu pergi.

Sarapan sudah sedia terhidang. Datin Safiah bersama suami serta cucu-cucunya kelihatan sedang menjamu selera. Hilai tawa mereka memecah keheningan pagi.


“Perghhh!!! Kak Haura ni kalau masak tak pernah tak sedap, memang tiptop. Dah boleh kahwin ni. Betul tak opah?” Hanna berseloroh.

Hampir tersembur keluar nasi di dalam mulut Haura dek kerana terkejut mendengar ayat yang terkeluar dari mulut Hanna itu. Lantas tangan kanannya laju mencapai jug yang berisi air kosong lalu dituangnya ke dalam cawan. Lalu dia meneguk air tersebut untuk melegakan tekaknya yang terasa perit. Haura kemudiannya melemparkan renungan yang tajam kepada Hanna.


“Alamak! Hanna ni dah kenapa pagi-pagi lagi dah cakap pasal kahwin. Spoil mood betul lah. Cepuk kang!” Haura membalas sambil mengangkat tangannya acah-acah untuk memukul adiknya. Hanna kemudian bertindak dengan mengelakkan diri dari terkena pukulan itu. Dia memang sengaja membakar line kakaknya itu.

Datin Safiah menggelengkan kepalanya melihat gelagat dua cucunya itu. Dato Malik sekadar tersenyum.


“Ibu kamu call atuk tadi tanya bila kamu berdua nak balik jenguk dia, rindu katanya.” Dato Malik membuka mulut. Haura dan Hanna saling membalas pandangan.


“Hanna esok dah kena balik. Cuti dah habis. Kak Haura macam mana?” balas Hanna sambil duduk kembali di kerusinya.


“Hanna balik la dulu. Akak belum puas lagi tinggal dekat sini. Nak manja-manja dulu dengan opah sepuas-puasnya. Lagipun cuti akak masih banyak lagi.” Tutur Haura sambil tersengih. Hanna mencebikkan bibirnya tanda merajuk dengan jawapan yang diberikan oleh kakaknya itu. Dia sangat mengharapkan kakaknya itu segera pulang ke Kuala Lumpur.

*****

Haura berjalan keluar dari dapur dengan membawa sepinggan buah-buahan potong sebagai pencuci mulut. Setibanya dia dia ruang tamu dia mencari kelibat datuk serta adiknya yang telah hilang dari pandangan. Melihat mata Haura yang melilau itu Datin Safiah dapat membaca apa yang berlegar dalam fikiran cucunya itu.


“Atuk kamu baru je keluar dengan Hanna, katanya nak pergi beli barang. Atuk kamu tu pantang kena bodek sikit dengan adik kamu tu. Suka sangat manjakan cucu kesayangan dia tu.” bebel Datin Safiah Panjang lebar. Haura tersenyum mendengar bebelan manja opahnya itu. Dia kemudian mengambil tempat di sebelah Datin Safiah.


“Kamu ada apa-apa yang nak kongsikan dengan opah ke? Bukan apa, sejak kamu ke sini opah tengak kamu ni dah lain sangat. Tak ceria macam dulu.” Tanya Datin Safiah setelah terdiam untuk beberapa ketika. Sudah lama dia mahu bertanyakan soalan ini dan mungkin inilah waktunya.


“Haura okay aje, opah tak payahlah risau sangat.” Balas Haura yang cuba meyakinkan Datin Safiah.


“Macam mana opah tak risau. Lepas opah tengok kamu menangis teruk tempoh hari, hati opah terus tak tenang tau. Apa yang dah jadi pada kamu kali ni? Siapa lelaki tu?” soal Datin Safiah tegas. Dia tahu betapa susahnya Haura untuk bangkit selepas dikecewakan oleh Syahmi.


“Betul opah Haura tak apa-apa. Opah janganlah risau sangat nanti kesihatan opah pulak merosot.” Pujuk Haura sambil menggosok lembut sepasang tangan milik Datin Safiah. Dia sungguh risau dengan kondisi opahnya jika terus-terusan macam ini. Sebulan sekali opahnya akan ke Institut Jantung Negara untuk pemantauan.

Enggan membebankan Datin Safiah dengan masalah yang dihadapinya, Haura menguatkan diri untuk menjelaskan segalanya dan berterus terang perihal dirinya. Haura membuka mulut dengan memberitahu yang dia sudah berhenti kerja di Kuala Lumpur. Datin Safiah sedikit terkejut mendengar pengakuan Haura itu. Diusap lembut dadanya untuk menenangkan diri.

Melihat reaksi Datin Safiah itu, Haura sedikit cuak kerana dia tahu opahnya itu bakal memarahinya. Datin Safiah pernah beberapa kali memujuk Haura untuk bekerja dengannya tapi telah ditolak oleh Haura kerana memilih untuk kekal bekerja di sana. Tangan Haura mula tidak duduk diam, menguis sesama sendiri mencari akal untuk menjelaskan kepada Datin Safiah.


“Ada masalah sikit dekat tempat kerja tu so Haura ambil keputusan untuk berhenti terus.” Jelas Haura dengan suaranya yang perlahan dan tenggelam timbul. Sebolehnya dia tidak mahu memberitahu apa yang Badrul telah cuba lakukan ke atas dirinya.

Mendengar jawapan Haura itu membuatkan Datin Safiah terdiam seketika. Dia masih ragu dengan jawapan Haura itu. Datin Safiah menarik nafas yang dalam lalu menghembuskannya perlahan-lahan seolah-olah sedang menahan sesuatu dihatinya. Haura juga sudah mula takut untuk bersuara.


“Haura ingat nak stay dekat sini dulu buat sementara waktu ni, boleh kan opah?” tanya Haura manja sambil merangkul lengan opahnya itu.


“Terpulanglah pada kamu Haura, opah tak kisah. Lagipun kamu dah besar panjang dan lebih tahu akan diri kamu berbanding opah.”


“Terima kasih opah.” Haura mengucup pipi Datin Safiah lalu dipeluk erat tubuh tua itu.

“Tapi jangan lupa bagitahu ibu dengan ayah kamu.” Datin Safiah mengingatkan Haura untuk memberitahu Encik Zamzuri dan Puan Hafizah mengenai perkara ini.

Naluri seorang nenek yang melihat cucunya membesar di depan mata, Datin Safiah dapat merasakan ada sesuatu yang Haura merahsiakan darinya namun dia tidak memaksa Haura untuk berterus terang malah beranggapan memberi Haura ruang adalah keputusan yang terbaik.

*****

Puan Sri Normah memanggil semua anak dan cucunya untuk makan malam bersama di rumah. Semenjak suaminya, Tan Sri Mokhtar meninggal dunia, semakin jarang mereka anak beranak makan bersama.


“Dina balik bila Noreen? Kalau tak silap mak dia ada bagitahu nak pindah balik Malaysia tahun ni.” Tanya Puan Sri Normah kepada Datin Noreen. Kali terakhir dia bersua muka dengan cucu perempuannya itu pada hari pembacaan wasiat. Selepas itu dia terus pulang ke Australia.


“Yelah nek, Khayla pun tak sempat nak jumpa dengan Dina tempoh hari.” Sambung Khayla Miasara, menantu sulung Dato Rizal dan Datin Norlie.


“Entahlah mak. Agaknya dia memang dah taknak balik Malaysia kot. Nak terus jadi minah salleh dekat sana. Tapi bagus juga kalau dia tak balik.” Balas Datin Noreen sinis.

“You ni kenapa cakap macam tu. Dina tu anak kandung you tau bukan anak orang lain.” Dato Zubir berbisik keras menegur kelakuan Datin Noreen yang seakan-akan tidak menyukai anak perempuannya itu. Entah apa yang sudah Soraya Edina lakukan sehingga dia berkata sedemikian.

Datin Noreen kemudian menjeling ke arah Dato Zubir. Sudah berbuih mulut Dato Zubir menegur sikap isterinya itu tetapi semuanya sia-sia seperti mencurahkan air ke daun keladi. Dazrin yang sudah masak dengan perangai ibunya itu sekadar pekakkan telinga.

“Dina ada call Zubir mak. Dia ada bagitahu akan balik dalam masa terdekat ni. Suami dia pun akan ikut sekali.” Dato Zubir memberitahu Puan Sri Normah mengenai anak perempuannya yang kini sedang berada di luar negara.


“Baguslah kalau macam tu. Tinggal lama-lama dekat tempat orang pun nak buat apa, kan.” Balas Puan Sri Normah.


“Hujung minggu ni mak nak ke KT ada urusan sikit. Mikael, nanti kamu teman nenek ye.” Ujar Puan Sri Normah sambil matanya tertuju ke arah Mikael yang sedang berada di sebelah Datin Norlie. Dia seperti tidak mengambil pusing apa yang telah berlaku disekelilingnya. Lebih-lebih lagi jika melibatkan ibu saudaranya itu. Mikael tersentak dari lamunan selepas disiku oleh Datin Norlie. Semua mata tertumpu padanya. Mikael bersilih ganti memandang ibunya dan Puan Sri Normah. Dia kemudian sekadar mengangguk kepalanya selepas dimaklumkan sekali lagi oleh ibunya.


“Urusan apa pulak ni sampai Mikael kena ikut? Kenapa tak ajak Dazrin sekali? Ke ada kena mengena dengan wasiat tu ? Ishhhh tak boleh jadi ni!” Datin Noreen mengomel di dalam hati. Dia mula mencari akal.


“Ada urusan apa mak? Dazrin pun free hujung minggu ni bolehlah dia ikut sekali. Kan Dazrin?” Ujar Datin Noreen sambil menyiku lengan Dazrin. Matanya dibesarkan tanda isyarat kepada anaknya itu. Dazrin yang agak terkejut hanya mampu tersenyum kelat mengiakan kata-kata Datin Noreen.


“Hmm.... boleh jugak. Hujung minggu ni kamu berdua ikut nenek. Azrael nanti kamu uruskan hal-hal di pejabat. Kalau ada masalah terus maklumkan kepada nenek.” Noah Azrael sekadar mengangguk faham.


“Berapa lama mak pergi ke sana?” tanya Datin Norlie.


“Lebih kurang dua tiga hari macam tu. Kalau semuanya berjalan lancar, cepatlah mak balik.” Balas Puan Sri Normah sebelum menyambung untuk menjamah hidangan makan malamnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience