BAB 30

Drama Completed 919581

Datin Noreen berjalan menuju ke keretanya. Kakinya dihentak kuat. Dia sungguh marah pada Haura, kerana wanita itu dia dihalau sebegitu rupa oleh ibunya sendiri. Suri berlari mendapatkan Datin Noreen yang ketika itu baru sahaja ingin membuka pintu kereta.


“Datin! Tunggu dulu!” panggil Suri. Datin Noreen memalingkan mukanya memandang Suri. Suri berdiri betul-betul di depannya.


“Kau memang tak guna, kan. Kau cakap puan sri keluar tapi kenapa dia ada tercegat dekat situ?” soal Datin Noreen dengan nada marah. Jarinya dituding ke muka Suri.


“Saya minta maaf datin. Puan sri memang dah keluar tadi. Saya tak sangka pulak yang dia akan berpatah balik ke pejabat.” Balas Suri sambil menundukkan tubuhnya.


“Sudahlah. Disebabkan kau, aku kena halau dari syarikat aku sendiri tau. Macam manalah aku boleh percayakan kau.” Ujar Datin Noreen.


“Sekarang ni datin nak buat apa? Takkan nak biar je perempuan tu bermaharajalela dekat sini?” Tanya Suri serius. Datin Noreen terdiam.

Melihat reaksi wanita itu membuatkan hujung bibir Suri sedikit terangkat. Dia tersenyum. Umpan yang dilempar sepertinya sudah dimakan oleh Datin Noreen.


“Nak tak kalau saya tolong datin untuk singkirkan perempuan tu dari syarikat ni.” Suri kemudian menawarkan khidmatnya kepada Datin Noreen.


“Apa maksud kau?” Soal Datin Noreen kembali.


“Saya akan tolong datin untuk memastikan perempuan tu keluar dari sini dan tak ganggu anak datin lagi. Datin tak perlu untuk kotorkan tangan datin tu. Semuanya saya yang akan uruskan.” Datin Noreen berfikir panjang. Dia merenung dalam mata Suri seketika. Sungguh licik wanita yang sedang berdiri di depannya itu.


“Kiranya kau akan bertindak sebagai kuli aku, untuk menghapuskan perempuan itu. Aku hanya perlu beri arahan pada kau dan kau akan melaksanakan tugas tersebut. Macam tu?” Suri terkedu. Perkataan kuli itu kedengaran agak hina bagi dirinya. Namun demi menyingkirkan Haura dia kemudian mengangguk.


“Kalau kau tak berjaya macam mana?” Tanya Datin Noreen lagi untuk kepastian.


“Saya tetap akan pastikan benda ni berjaya. Datin jangan risau.” Suri tersenyum. Jelas terpampang sisi jahat Suri ketika itu.

*****

Jam telah menunjukkan pukul 2.30 pagi. Mikael dilihat sedang terbaring di atas katil dibiliknya. Tidurnya tidak lena. Cahaya yang sangat terang memancar tepat ke muka Mikael. Dia berkerut. Tangannya di silangkan ke muka. Peluh dingin mula terbit di dahinya.

Nafas Mikael juga turun naik dengan laju. Dia mengerang seperti sedang dalam kesakitan. Perkara itu berterusan sehinggalah Mikael tersedar dari mimpi tersebut. Dia segera bingkas bangun. Jantungnya berdegup dengan kencang sekali. Mikael meraup wajahnya yang keruh itu.


“…Sophia…” tiba-tiba nama itu diseru oleh Mikael. Air mata bercucuran di pipinya. Sesekali kedengaran esakkannya yang kecil lalu ditekup dengan kedua belah tangannya.

Mikael cuba menahan tangisnya itu dari didengari oleh orang lain. Sejak kebelakangan ini Mikael tidak dapat melelapkan matanya langsung. Setiap kali dia terlelap pasti mimpi ngeri tersebut datang menghantui lenanya.

Setelah tangisnya reda, Mikael menguatkan dirinya untuk bangkit lalu berjalan menuju ke sebuah almari yang terdapat di dalam bilik itu. Langkah yang di ambilnya kelihatan dengan sungguh lemah. Mikael menggagau sesuatu dari dalam laci almari tersebut. Sebotol pil tidur dikeluarkan.

Dia mengambil beberapa biji ubat tersebut lalu dimasukkan ke dalam mulut. Dia kemudian duduk di birai katil lalu mencapai segelas air putih yang tersedia di atas meja di sisi katil itu. Mikael meneguk air tersebut beberapa kali sebelum dia kembali merebahkan tuduhnya di katil untuk cuba melelapkan mata. Selimut ditarik lemah, matanya pula dikatup rapat. Perlahan-lahan air mata mula mengalir kembali di pipinya.

*****

Mata Suri melilau mencari kelibat Laila di segenap ruang pejabat namun tidak juga dia temui. Haura juga tidak kelihatan batang hidungnya pada ketika itu. Suri mencapai telefon bimbitnya lalu menelefon Laila. Cubaan yang pertama panggilan tersebut telah di reject oleh Laila.


“Berani kau reject call aku.” Suri merengus sambil memandang skrin telefonnya.

Dia berlari menuju ke tangga. Suri mencuba sekali lagi. Namun kali ini panggilan itu tidak jawab langsung oleh Laila. Suri mengetap bibir menahan marah. Telefon bimbit ditangannya digenggam kuat. Dadanya mula berombak. Dia menghembus nafas yang berat. Suri kemudian menekan kasar skrin telefonnya untuk menelefon Laila sekali lagi.


“Hello, Kak Laila ada dekat mana? Dari tadi lagi saya cari akak tapi tak jumpa.” Sapa Suri. Suaranya sedikit bergetar. Akhirnya Laila menjawab juga panggilannya.


“Kenapa Suri? Akak ada dekat lobi ni.” Balas Laila sedikit kalut.


“Oh yeke? Patutlah saya cari akak dekat office tak ada. Saya baru nak bagi akak fail yang akak minta tu. Tak apalah saya pergi dekat sana.” Balas Suri sambil membuka langkah menuruni anak tangga menuju ke lobi.


“Eh tak payah Suri. Akak dah nak naik ni. Suri tunggu akak dekat office ye.” Balas Laila lembut. Nafasnya sedikit mengah.

Suri menghentikan langkahnya. Dia merasakan seperti Laila sedang menyembunyikan sesuatu darinya. Kerana tidak dapat mengawal kemarahannya, tidak semena-mena dia telah tersalah memijak pada anak tangga lalu terjatuh.

AHHH!

Suri menjerit. Laila yang masih lagi berhubung dengan Suri menghentikan langkahnya setelah mendengar jeritan Suri itu.


“Suri? Kamu tak apa-apa ke? Apa yang dah jadi?” soal Laila cemas namun tiada jawapan dari Suri. Yang kedengaran hanyalah suara wanita itu mengaduh kesakitan.

Melihat telefonnya masih menyala di lantai, dia segera mencapai telefon tersebut.


“Tolong kak. Saya jatuh tangga ni.” Ujar Suri di sebalik telefon. Suara tersekat-sekat seperti menahan sakit.


“Astaghfirullah hal azim.” Laila mengucap panjang. Dia segera berlari menuju ke tangga kecemasan.

Tiba di tangga kecemasan Laila melihat Suri yang sedang duduk di anak tangga sambil mengusap lututnya. Dia segera mendapatkan Suri.


“Ya Allah! Macam mana kamu boleh terjatuh ni Suri?” tanya Laila dengan cemas.


“Entahlah kak, saya pun tak tahu nak cakap macam mana.” Suri membalas.


“Ada cedera dekat mana-mana ke?” tanya Laila lagi sambil tangannya membelek-belek tubuh Suri untuk memeriksa sekiranya wanita itu tercedera. Suri menggelengkan kepalanya.


“Kamu ni buat akak risau ajelah. Nasib baik akak tak ada sakit jantung tau.” Tambah Laila lagi.


“Nah! Ni fail yang akak minta.” Suri menghulurkan sebuah fail kepada Laila. Dahi Laila berkerut.


“Eh, takkan akak dah lupa kot. Fail majlis tahun lepas. Kan akak minta untuk buat rujukan.” tambah Suri.

“Maaf sangat Suri, sebenarnya Haura dah ada fail tu. Akak memang betul-betul lupa nak bagitahu kamu.” balas Laila. Rasa marah Suri meledak kembali apabila Laila memberitahu bahawa dia sudah ada salinan fail tersebut.


“Oh yeke?” balas Suri pendek. Senyuman kelat terukir dibibirnya.


“Jomlah akak bawa kamu ke bilik rehat. Nanti akak sapukan ubat pada luka tu.” Laila bingkas bangun lalu menghulurkan tangannya kepada Suri. Suri menyambutnya dengan hati yang marah.

Ketika mereka berjalan menuruni anak tangga, Suri dengan sengaja telah menghulur kakinya ke depan. Malang sungguh tidak berbau. Laila telah tersadung kaki tersebut lalu jatuh tergolek ke lantai. Suri berpura-pura terkejut lalu menjerit.

“Kak Laila!” teriak Suri. Dia berlari menghampiri Laila yang telah terbaring di lantai. Laila mengaduh kesakitan.

Suri membantunya untuk bangun tetapi tangan kirinya terasa sungguh sakit sekali. Dia tidak dapat menggerakkan tangannya itu. Di kepalanya juga ada sedikit darah yang mengalir dek terhantuk kuat pada bucu tangga. Suri melirik ke arah Laila. Senyuman sinis terukir dibibirnya.


“Ya Allah, teruknya keadaan akak. Tolong!” Suri menjerit meminta tolong. Akhirnya beberapa pekerja yang lain datang membantu. Laila segera dikejarkan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

*****

Tiba di ruangan kecemasan sebuah hospital swasta, Haura berlari menuju ke kaunter untuk bertanyakan perihal Laila yang telah dibawa masuk beberapa jam yang lepas. Dazrin mengekorinya dari belakang. Setelah mendapat maklumat yang diingini dia segera meluru ke katil tersebut. Dia melihat Laila yang sedang terbaring lemah manakala tangan serta kepalanya dalam keadaan berbalut.


“Kak Laila. Macam mana boleh jadi macam ni?” tanya Haura. Dia segera duduk di bangku yang terdapat di sebelah katil. Haura sungguh risau melihat keadaan Laila itu.


“Haura, Encik Dazrin.” Balas Laila lemah. Dia cuba untuk bangkit tapi dihalang oleh Dazrin.


“Awak tak payah bangun, rehat je.” Ujar Dazrin lembut.

Haura membuka cerita bahawa Juita, salah seorang rakan kerja mereka telah memaklumkan kepadanya tentang kejadian itu. Dia sungguh terkejut serta cemas apabila mendapat berita tersebut. Mujurlah pihak catering yang mereka ingin ketemu pada petang itu membatalkan temujanji disaat akhir. Haura dan Dazrin terus bergegas ke hospital untuk melawat Laila.


“Benda berlaku dengan sekelip mata je. Akak pun tak dapat nak ingat dengan elok.” Balas Laila.


“Tak apa. Akak tak payah fikir sangat pasal benda tu. Sekarang ni akak fokus pada kesihatan akak je, okay.” Haura menyuruh Laila untuk tidak terlalu memikirkan hal itu kerana risau akan memberi kesan buruk kepada dirinya kelak. Laila mengangguk.

Tiba-tiba telefon bimbit Dazrin berdering. Dia meminta diri untuk menjawab panggilan tersebut sebentar. Di kesempatan itu, Laila telah memberitahu Haura tentang kejadian tadi di mana Suri ada bersamanya ketika perkara itu berlaku. Haura mula mengesyaki Suri namun Laila menafikannya kerana Suri juga tercedera ketika itu. Haura melepaskan keluh.

Beberapa ketika kemudian Dazrin kembali dengan riak wajah yang ketat.


“Haura, saya minta maaf saya terpaksa pergi sekarang. Ada hal sikit.” Ujar Dazrin serba salah.


“Okay tak apa. Nanti saya naik grab je.” Balas Haura sambil tersenyum. Dazrin segera mengundur diri setelah menyapa Laila.

Haura menemani Laila buat seketika di hospital sehinggalah suami kepada Laila tiba. Seraya itu Haura bangun dari kerusi lalu memberi laluan kepada suami Laila untuk duduk di situ. Tanpa berlengah Haura segera meminta diri untuk pulang.


“Terima kasih cik.” Tutur suami Laila perlahan.

Nafasnya kedengaran mengah. Mungkin kerana dia terburu-buru datang melihat isterinya itu. Haura mengangguk lalu tersenyum. Pandangannya beralih kepada Laila. Dia kemudian keluar meninggalkan mereka berdua sendirian.

*****

Puan Sri Normah telah memanggil Haura serta Suri untuk masuk ke biliknya. Dia ingin tahu secara terperinci tentang apa yang sudah terjadi kepada Laila. Haura memandang Suri yang sedang duduk di depannya. Begitu juga dengan Puan Sri Normah. Suri dilihat menggibit bibirnya berkali-kali seperti seseorang yang sedang dalam keresahan.


“Kenapa berat sangat hati ni aku rasa yang perempuan ni ada kena mengena dengan kejadian yang menimpa Kak Laila tu?” getus hati Haura.


“Sabar Haura. Kau jangan nak bertindak melulu. Kau tak ada bukti nak tuduh dia.” Haura memujuk hatinya untuk bersabar. Dia mengetap bibirnya.

Suri mula membuka bicara. Dia menceritakan semuanya kepada Puan Sri Normah di mana dia ingin memberikan fail dokumen kepada Laila namun dia terjatuh tangga. Apabila Laila datang untuk membantunya, Laila pula yang tersadung kaki lalu terjatuh.


“Keadaan kamu pulak macam mana?” tanya Puan Sri Normah kepada Suri.


“Alhamdulillah, saya okay puan sri. Ada kesan lebam dan calar sikit je dekat kaki.” Balas Suri dengan lemah lembut. Haura hanya mendiamkan diri.


“Baguslah kalau macam tu. Sebaiknya kamu pergilah dapatkan rawatan susulan. Risau jika ada kecederaan yang kita tidak nampak dengan mata kasar.” Ujar Puan Sri Normah. Dia risau jika pekerjanya itu mengalami kecederaan dalaman.

Puan Sri Normah sememangnya seorang yang mementingkan kesihatan pekerjanya. Baginya jika seseorang itu sihat tubuh badan maka segala kerja yang akan dilakukan juga akan membuahkan hasil yang baik. Sebaliknya pula akan berlaku apabila seseorang pekerja memaksa dirinya untuk melakukan sesuatu tugasan dalam keadaan yang tidak sihat.


“Berkenaan dengan majlis saya nanti, saya nak kamu menggantikan tempat Laila.” Dengan pantas Suri menganggukkan kepalanya.

Haura mencelik luas matanya. Dia mencuri pandang ke arah Suri yang sedang tersenyum lebar memandangnya. Ada sesuatu mengenai Suri yang mengganggu konsentrasi Haura.


“Kamu dah Haura akan saling membantu untuk menguruskan majlis ini. Saya tak nak ada berita yang tak enak sampai ke telinga saya sepanjang kamu berdua melakukan tugas ini.” Tambah Puan Sri Normah lagi. Kali ini matanya beralih memandang kepada Haura.


“Baiklah, puan sri.” Balas Haura dan Suri serentak. Haura menjeling ke arah Suri.

Usai perbincangan tersebut mereka berdua meminta diri untuk keluar. Tertutup sahaja pintu bilik Puan Sri Normah, raut wajah Suri terus berubah.


“Hey perempuan, mulai sekarang kalau kau nak majlis tu berjalan dengan lancar kau kena ikut arahan aku!” tutur Suri dengan nada yang angkuh sekali. Haura yang sudah berjalan ke depan mengerutkan dahi.


“Apahal pulak aku nak kena ikut kata kau!” balas Haura kasar. Sungguh sikap Suri itu telah mencabar jiwanya. Namun dia tetap mengawal suaranya itu dari didengari oleh Puan Sri Normah.


“Kau tu budak intern je. Tak tahu apa-apa pun pasal majlis tu. Aku ni dah berapa kali uruskan, so aku lebih tahu.” Dengan berlagak Suri membalas.


“Hmmm yelah. Dari aku duduk berbahas dengan kau ni, baik aku pergi berborak dengan anjing dekat seberang jalan sana.” Balas Haura pedas. Dia sudah malas untuk bertekak dengan wanita itu. Makin dilayan makin menjadi-jadi perangainya.


“Kau jangan nak berlagak dengan aku la Haura. Hormat sikit, aku ni senior kau.” Suri mula naik angin.

Baru sahaja Haura ingin membalas kata-kata Suri itu Mikael muncul di depan mereka. Suri membetulkan rambut serta pakaiannya lalu menghalang laluan Mikael. Dia menyapa lelaki itu dengan penuh kepura-puraaan.


“Encik Mikael, bila encik sampai? Dah berapa hari encik tak masuk office.” Tutur Suri manja. Mikael hanya mendiamkan diri. Haura mencebik. Dia cukup menyampah dengan perangai Suri itu. Mikael mencuri pandang ke arah Haura sepintas lalu.


“Dah kenapa minah ni? Menggelitis semacam je. Kalau nak buat aku sakit hati memang kau silap la Suri.” Bisik Haura di dalam hati. Dia tersenyum sinis memandang Suri. Haura kemudian pergi berundur meninggalkan Suri dan Mikael.


“Tengok ni, semalam saya terjatuh dekat tangga tau. Nasib baik saya tak apa-apa.” Tambah Suri lagi sambil menunjukkan kesan lebam di tangannya. Mikael tetap tidak menunjukkan sebarang minat.


“Excuse me! Tolong ke tepi sikit. Saya tak ada masa nak berborak dengan awak dekat sini.” Dengan dingin Mikael membalas kepada Suri. Suri terdiam kaku, ai mukanya turut berubah. Perlahan-lahan dia berganjak ke tepi. Seraya itu Mikael terus berjalan masuk ke bilik Puan Sri Normah.

Sayup kedengaran suara Haura mentertawakan Suri. Suri berasa sungguh geram dan marah. Dia berjalan dengan menghentakkan kakinya dengan kuat. Tiba di depan meja Haura, dia telah menjeling tajam ke arah wanita itu. Haura cuba menyembunyikan tawanya. Namun dia cukup terhibur melihat Suri yang telah di ‘reject’ mentah-mentah oleh Mikael.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience