BAB 50

Drama Completed 919566

Knock! Knock!

Pintu kamar Mikael diketuk. Datin Norlie menolak perlahan pintu tersebut. Mikael yang sedang duduk di meja kerjanya berpaling ke arah ibunya itu. Dia melemparkan senyuman yang tawar.


"Boleh mama masuk?" tanya Datin Norlie.


"Eh masuk jelah mama. Macam tak biasa pulak." balas Mikael nakal.


"Manalah tahu kot-kot kamu tengah sibuk ke, kan?" balas Datin Norlie sambil kakinya melangkah masuk ke dalam bilik tersebut.

Datin Norlie kemudian duduk di birai katil sambil matanya melirik memandang anak terunanya itu.


"Sehari dua ni mama tengok kamu macam stress je. Mika ada masalah ke?" tanya Datin Norlie. Mikael tersentak dengan pertanyaan ibunya itu.


"Mana ada mama. Mungkin sebab penat sangat kot. Sebab tu mama nampak Mika macam stress je." balas Mikael tanpa memandang ke arah ibunya.


"Baguslah kalau macam tu." balas Datin Norlie pendek sebelum kembali mendiamkan diri.

Mikael dapat rasakan seperti ada sesuatu yang ingin ibunya itu sampaikan kepadanya.


"Mama ada apa-apa yang nak bagitahu Mika ke?" tanya Mikael perlahan. Datin Norlie sedikit terperanjat. Dia tahu yang dia tidak dapat untuk menyorokkan apa-apa dari anaknya itu.


"Bila Mika nak bawa bakal isteri Mika jumpa dengan mama? Dah lama tau mama tunggu." tanya Datin Norlie tanpa berselindung.

Mikael diam tak berkutik. Serta-merta dirinya kaku dari melakukan sebarang kerja. Dia tidak menyangka ibunya itu akan membangkitkan soal perkahwinan kerana sudah agak lama Datin Norlie tidak mengasaknya dengan pertanyaan itu.


"Err... Bukan Mika tak nak bawa dia jumpa dengan mama tapi..." kata-kata Mikael terhenti sekerat jalan.


"Tapi apa? Kita dah tak boleh tunggu lama lagi tau. Mika faham kan maksud mama?" balas Datin Norlie. Mikael mengangguk perlahan.


"Minggu depan boleh ke kalau kamu kenalkan dia pada mama?" tanya Datin Norlie dengan tiba-tiba.


"Hah? Mi-minggu depan?" soal Mikael kembali dengan nada yang terkejut. Datin Norlie menganggukkan kepalanya dengan laju sambil matanya memandang tepat ke mata Mikael.

Mikael serba salah sehingga tergagap-gagap dibuatnya. Datin Norlie tersenyum nipis. Dia sebenarnya tahu yang anaknya itu telah berbohong kepadanya. Tetapi pada masa yang sama dia turut berharap apa yang diperkatakan oleh anaknya itu adalah benar.


"Kenapa kamu terkejut sangat ni? Salah ke apa yang mama tanya?" Datin Norlie berpura-pura.


"Tak... Bukan macam tu mama. Mika cuma terkejut je sebab rasa macam cepat sangat." balas Mikael.

Baru sahaja beberapa minit yang meoas Mikael putuskan hubungan dengan Rissa. Tiba-tiba ibunya cakap nak jumpa minggu depan. Perempuan mana yang dia nak cekau dalam masa yang singkat macam tu.


"Cepat apanya. Dah berbulan kamu cakap nak bawa dia jumpa mama tapi sampai sekarang bayang pun tak nampak lagi. Kalau kamu tak bawa dia jumpa mama minggu depan biar mama yang bawa kamu dan kenalkan kamu dengan bakal isteri kamu." balas Datin Norlie panjang lebar. Mata Mikael terbeliak mendengar kata-kata ibunya itu.


"Tapi mama....." belum sempat Mikael menghabiskan katanya Datin Norlie segera memotong.


"Tak ada tapi-tapi lagi. Nak atau tak nak kamu kena bawa dia jumpa dengan mama minggu depan. Okay?" tambah ibunya lagi.

Mikael terdiam. Datin Norlie kemudian bangkit dari tempat duduknya untuk keluar. Sebelum keluar sempat dia mengusap lembut belakang anaknya itu.

Untuk beberapa ketika Mikael termenung di meja kerjanya sambil menongkat dagu. Dia buntu. Mikael tidak tahu apa yang harus dia lakukan pada saat itu.

Beep! Beep!

Notifikasi di telefonnya berbunyi. Mikael tidak segera membaca mesej tersebut kerana dia menyangkakan mesej itu datang dari Rissa yang cuba untuk memujuknya. Ternyata sangkaannya itu salah.

Apabila dia membuka notifikasi tersebut nama Haura tertera di skrin telefonnya. Sepantas kilat tangannya membuka mesej yang dihantar oleh Haura itu. Mikael begitu teruja. Hatinya juga terasa berbunga-bunga. Namun apabila dia membaca isi kandung mesej tersebut dahinya berkerut.


"Apa benda yang dia hantar ni?" tutur Mikael sendirian. Dia sedaya upaya cuba untuk mentafsir apa yang ingin di sampaikan oleh Haura. Mikael cuba bertanya kepada Haura namun wanita itu tidak membalas pertanyaannya itu.

Selang beberapa minit barulah Mikael dapat meneka mesej yang dihantar oleh wanita itu. Tanpa berfikir panjang Mikael segera menelefon Haura.


"Hello....." sapa Mikael setelah panggilan itu dijawab.


"Hmm....." jawab Haura malas di sebalik telefon.


"Marah betul dia dengan aku. Sampai aku call, nak jawab hello pun malas." bisik hati Mikael.


"Kau marahkan aku ke?" tanya Mikael dengan tiba-tiba. Haura tersentak.


"M-marah? Mana ada. Kenapa saya nak marah awak pulak." tergagap-gagap Haura menjawab. Mikael tersenyum disebalik telefon.


"Aku minta maaf." tutur Mikael perlahan.


"Untuk apa?" Haura berpura-pura tidak tahu meskipun hatinya sudah mula berbunga.


"Pagi tadi aku ambil auntie aku dekat airport. Telefon aku tak ada bateri jadi aku tinggal dalam kereta untuk cas. Bukan aku sengaja tak nak respon call dan mesej kau." ujar Mikael panjang lebar. Haura tersenyum.


"Hmmm.... Yelah." balas Haura pendek.


"Tak ikhlasnya jawab. Kau tak percayakan aku ke?" tanya Mikael.


"Mana awak tahu saya tak ikhlas. Main tembak je." balas Haura separa merajuk.


"Baguslah kalau macam tu."

Keadaan menjadi diam buat seketika. Masing-masing tidak tahu untuk berbicara tentang apa.


"Pasal hujung minggu ni...." belum sempat Mikael menghabiskan kata Haura telah mencantasnya dengan laju.


"Yang tu awak tak dah tak perlu fikir. Semuanya dah settle. Saya dah bagitahu ibu dengan ayah saya." balas Haura mematikan kata.


"Oh yeke?" balas Mikael perlahan. Entah kenapa hatinya terasa sedikit kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh Haura itu.

Setelah tiada apa yang ingin dibicarakan mereka menamatkan panggilan tersebut. Mikael menyandarkan tubuhnya pada kerusi sambil memejamkan matanya.

Kata-kata Haura sebentar tadi terngiang-ngiang di telinganya. Mikael meletakkan telapak tangannya di dada dan mengusapnya lembut. Seperti ada sesuatu yang menusuknya.

*****


"Barang penting yang nak kena bawa kau dah siapkan ke? Ubat kau dah telan? Minyak angin dengan gula-gula semua kau dah ambil?" soal Mona panjang lebar.


"Mona, aku nak balik rumah ibu aku je. Bukannya nak pergi berperang." Haura berseloroh. Dia tertawa kecil melihat gelagat sahabatnya itu.


"Baguslah kalau semua dah ada." balas Mona lega.


"Betul kau tak nak ikut sekali?" tanya Haura kepada Mona.


"Ya, aku nak marathon drama Korea kegemaran aku ni. Sambil tu boleh aku bermanja-manja dengan Gio." balas Mona menolak pelawaan Haura untuk ke rumahnya.


"Tak apalah kalau kau dah cakap macam tu. Aku gerak dulu. Jangan lupa kunci pintu." ujar Haura.


"Ya aku tahu. Kau tak payah nak ajar aku sangatlah." balas Mona. Haura tersenyum.


"Kau tu, drive kereta elok-elok. Kalau ada apa-apa hal terus call aku." pesan Mona lagi.


"Ya!” jerit Haura sebelum masuk ke dalam perut kereta.

Beberapa ketika kemudian kereta yang dipandu Haura mula meninggalkan perkarangan rumahnya dan meninggalkan Mona sendirian.

*****

Puan Sri Normah dilihat sedang berbual-bual dengan Datin Norlie dan juga Rita, ibu saudara dan juga merangkap doktor kepada Mikael.


"Mika mana? Saya tak nampak pun dia." tanya Rita.


"Ya tak ya jugak. Rasanya tadi dia ada tapi sekarang entah ke mana pulak dia menghilang." ujar Puan Sri Normah.


"Mungkin ada dekat atas kot mak. Biasalah Mikael tu, tak habis-habis dengan kerja dia. Hari minggu macam ni pun masih nak hadap kerja dia yang tak sudah-sudah tu. Nanti Nor panggil dia turun." bebel Datin Norlie panjang lebar.


"Eh, tak apa. Kalau dia sibuk biarlah. Nanti free dia turun la tu." Rita menghalang Datin Norlie dari pergi memanggil Mikael untuk turun bertemu dengannya.


"By the way, macam mana keadaan dia sekarang? Semuanya okay ke?" Rita mula bertanyakan tentang keadaan Mikael.


"Alhamdulillah sekarang dia nampak makin sihat dan ceria jugak." jawab Datin Norlie. Rita tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.


"Baguslah kalau macam tu. Maknanya dia tak skip la makan ubat yang saya bagi pada dia tempoh hari."


"Ubat? Ubat apa? Setahu Nor Mika tak ada makan apa-apa ubat lepas dia balik Malaysia. Rita sendiri yang bagitahu kami hari tu, kan?" tanya Datin Norlie sedikit bingung. Puan Sri Normah turut memandang Rita dengan riak wajah tertanya-tanya.

Rita agak terkejut dengan reaksi Puan Sri Normah dan juga Datin Norlie yang seakan-akan tidak tahu mengenai perkara tersebut.


"Ubat yang saya selalu bagi pada dia tu la, ubat mana lagi." balas Rita bersahaja.


"SSRI? Anti-depressants tu?" soal Datin Norlie lagi untuk kepastian. Rita mengangguk laju.

Rita mula rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Datin Norlie dan Puan Sri Normah kelihatan amat terkejut dengan berita tersebut. Dia beranggapan Mikael telah menyembunyikan perkara tersebut dari pengetahuan ahli keluarganya yang lain.


"Beberapa bulan yang lepas Mikael ada contact saya. Dia cakap penyakit dia tu dah datang serang dia semula. Dia tak ada bagitahu apa-apa ke?" Rita mula membuka bicara. Datin Norlie dan Puan Sri Normah saling berpandangan sebelum mereka berdua menggelengkan kepala.


"Mikael bagitahu saya yang dia tak boleh nak tidur malam. Sebab setiap kali dia cuba untuk lelapkan mata mimpi lama dia tu mesti akan datang. Dada dia pun rasa sesak sangat sehingga menyebabkan dia sukar untuk bernafas." ujar Rita panjang lebar.


"Ya Allah. Kenapa Mika tak bagitahu pada kita semua mak?" Datin Norlie mula risau akan keadaan anaknya itu.


"Dengar dari yang kamu cerita ni pun dah buat mak terbayangkan macam mula-mula Mika sakit dulu. Teruk sangat keadaan dia masa tu." ujar Puan Sri Normah.


"Betul tu mak. Masa dia bagitahu saya hari tu memang saya risau sangat. Lepas tu saya minta dia datang jumpa saya untuk rawatan lanjut. Tapi Mikael menolak dan dia cuma minta saya berikan dia ubat sahaja." balas Rita


"Nor ada perasan juga perubahan sikap Mikael. Dia sering berjaga malam. Bila Nor tanya dia cakap dia sibuk nak siapkan kerja dia. Rupa-rupanya Mikael sedang berlawan dengan emosi dia. Kalaulah Nor lebih prihatin dengan keadaan Mikael mesti dia tak akan jadi teruk semula macam ni." tutur Datin Norlie panjang lebar. Dia berasa sungguh kesal.

Sedang mereka rancak berbual, Mikael berjalan menuruni anak tangga untuk ke dapur. Datin Norlie yang menyedari akan perkara itu segera memanggil Mikael.


"Mikael, mari sini sekejap." panggil Datin Norlie. Mikael menghentikan langkahnya lalu memandang ke arah ibunya.


"Ada apa mama?" soal Mikael sambil kakinya melangkah menghampiri wanita itu. Dia agak terkejut apabila menyedari akan kehadiran ibu saudaranya di situ.


"Auntie Rita..." ujar Mikael separa terkejut. Rita tersenyum ke arahnya.


"Kamu duduk sini sekejap. Ada benda sikit yang mama nak tanya pada kamu." arah Datin Norlie dengan nada yang serius. Mikael mula berasa tidak sedap hati.


"Dah kenapa dengan mama aku ni. Macam ada benda penting je yang dia nak bincang. Nak kata pasal kahwin, baru je semalam dia borak dengan aku." bisik Mikael di dalam hati. Dia turut melihat wajah neneknya yang kelihatan sedikit risau.

Belum sempat Datin Norlie membuka mulut, tiba-tiba sahaja Dazrin muncul dan datang mencelah.


"Good morning, nenek." sapa Dazrin ceria sambil memeluk erat neneknya itu dari belakang.


"Ishh.. kamu ni Dazrin kalau tak buat nenek terkejut memang tak sah. Nasib baik nenek tak ada sakit jantung tau." balas Puan Sri Normah.


"Eh, doktor pun ada sekali?" ujar Dazrin sambil mengambil tempat bersebelahan dengan neneknya itu.


"Ada apa kamu datang rumah nenek hari ni? Bukan ke hari minggu macam ni kamu pergi main golf dengan daddy kamu?" tanya Puan Sri Normah kepada Dazrin.

"Tak jadi. Dazrin lupa yang daddy pergi Sabah minggu ni. Alang-alang Dazrin free hari ni Dazrin datang la sini lepak dengan nenek." balas Dazrin. Mikael mengerutkan dahinya.


"Free? Bukan ke hari ni kau kena pergi jumpa dengan....." tanpa sempat menghabiskan kata-katanya itu, Mikael tersedar yang Haura telah berbohong padanya.


"Mama, nenek, Mika minta maaf. Mika ada hal yang nak kena uruskan dekat luar. Nanti Mika balik kita sambung semula ye." ujar Mikael dengan tergesa-gesa sebelum berlari naik ke biliknya.

Mikael mencapai dompet serta kunci kereta miliknya lalu berlari menuju ke kereta. Tanpa menunggu masa yang lama dia terus menekan pedal minyak dan memecut laju.

*****

Di kediaman Puan Hafizah, Haura dilihat sedang membantu ibunya membuat persiapan juadah yang akan dihidangkan untuk makan tengah hari nanti. Haura tidak banyak bicara, dia hanya fokus pada kerjanya sahaja. Sesekali dia dilihat termenung jauh.


"Haura, kamu okay ke tak ni? Monyok je ibu tengok. Kalau rasa tak sihat kamu pergilah rehat. Ibu boleh buat sendiri." ujar Puan Hafizah. Haura yang sedang memotong sayur tersentak dengan pertanyaan ibunya itu.


"Eh tak adalah ibu, Haura okay je." balas Haura sambil membetulkan kedudukannya.

Puan Hafizah sedikit risau melihat keadaan Haura itu. Lebih-lebih lagi apabila dia hanya datang sendirian tanpa Mikael. Puan Hafizah risau jika anaknya itu telah dikecewakan sekali lagi oleh lelaki. Namun dia tiada keberanian untuk bertanyakan hal itu kepada Haura.


"Opah pergi hospital dengan Hanna ke ibu?" soal Haura menukar topik.


"Taklah. Hanna keluar dengan Zaquan. Nak beli barang hantaran katanya. Ayah dengan datuk kamu la yang pergi ke hospital." balas Puan Hafizah.


"Oh yeke.... Macam mana keadaan opah sekarang, ibu?" tanya Haura lagi sebagai langkah berjaga-jaga sebelum dia memberitahu ahli keluarganya tentang hubungan dia dengan Mikael yang sebenar.


"Alhamdulillah, makin baik. Opah kamu tu dah siap pergi meeting sana sini. Bosan katanya kalau duduk dekat rumah ni." balas Puan Hafizah sambil tertawa kecil. Haura turut tertawa.

Tiba-tiba mereka berdua terdengar bunyi riuh di ruang tamu.


"Panjang umur, itu baru je kita borak pasal dia, dah pun sampai." ujar Puan Hafizah. Beberapa ketika kemudian Datin Safiah datang menjengah ke dapur.


"Eh, dah sampai cucu opah ni. Dah lama ke kamu sampai?" tanya Datin Safiah kepada Haura.


"Tak adalah lama sangat tapi sempatlah jugak Haura masak satu jenis lauk." balas Haura nakal. Datin Safiah tertawa dengan jawapan Haura itu.


"Mana Mikael? Opah tak nampak pun dia. Kamu kata dia datang sekali dengan kamu hari ni." tanya Datin Safiah setelah menyedari ketiadaan Mikael di situ.


"Err... Dia tak dapat datang hari ni opah. Dia ada hal penting." tergagap-gagap Haura membohongi opahnya. Datin Safiah menganggukkan kepalanya.

Usai memasak di dapur, Haura mula menghidang lauk ke atas meja makan sementara menunggu Hanna dan Zaquan sampai.


"Assalamualaikum......" tiba-tiba mereka terdengar suara orang memberi salam.


"Eh siapa pulak yang datang tu." tanya Datin Safiah.


"Tak apa, biar Haura yang pergi tengok." balas Haura sambil berjalan menuju ke pintu.

"Waalaikumussalam........" Langkah dan kata Haura terhenti. Matanya terbuntang luas serta mulutnya sedikit ternganga kerana terkejut.


"Mi-Mikael?" Soal Haura pendek. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihat olehnya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience