BAB 101

Drama Completed 919597

Kringgg!

Deringan penggera yang kuat itu telah memeranjatkan Mikael yang sedang terbaring di atas katil. Dengan mata yang masih tertutup tangannya mula menggagau meja di sisi katilnya lalu mematikan deringan tersebut. Kelopak matanya sedikit terbuka. Sempat dia mencuri pandang telefon bimbitnya itu sebelum membalingnya ke atas tilam.

Waktu menunjukkan sudah masuk pukul 6.15 pagi. Bermakna beberapa jam sahaja lagi dia bakal menamatkan zaman bujangnya dengan wanita yang belum pernah dia temui.

Keluh berat dilepaskan sebelum matanya dipejam kembali. Tangan pantas mencapai bantal hotel yang empuk lalu ditekup ke muka. Sejujurnya dari semalam dia langsung tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya terganggu. Hatinya juga tidak tentu arah. Hati dan mindanya tidak seiringan. Mempertikaikan kembali keputusan yang telah dibuat ketika emosinya tidak stabil. Alangkah bagus kalau dia tidak perlu melalui hari tersebut.

"Betul ke apa yang aku buat ni? Dah bersediakah aku?"

Berkali-kali soalan itu berlegar di mindanya. Sungguh berat untuk dia menerima kenyataan tersebut. Namun segalanya sudah terlambat. Nasi telah menjadi bubur. Lagipun dia sendiri sudah mengikat janji dengan ibunya mengenai perkara tersebut. Dia juga tidak mahu tindak tanduknya nanti akan merosakkan nama serta maruah keluarganya.

Knock! Knock!

Sedang asyik mengelamun sendirian tiba-tiba pintu biliknya diketuk seseorang. Suara Datin Norlie sayup kedengaran di sebalik pintu memanggil namanya. Sekali lagi keluh berat dihela. Dengan malas dia bangkit dari baringnya lalu membuka pintu.

"Belum bangun lagi ke? Dah pukul berapa ni nanti lewat pula." Tegurnya apabila melihat wajah anak terunanya yang masih separa sedar. Mikael tidak bersuara. Dia cuma mengusap matanya malas.

"Jangan nak buat muka macam tu. Hari ni hari penting kamu tau. Sekarang ni kamu pergi mandi dan solat subuh." Arah Datin Norlie.

"Baru pukul berapa, awal lagi." Balas Mikael. Datin Norlie mencelik luas matanya mendengar jawapan yang keluar dari mulut anaknya itu. Dengan spontan bahu Mikael dipukul. Geram.

"Awal kamu cakap? Kamu tu dah la mandi macam anak dara lepas tu nak bersiap lagi. Ingat cukup ke masa yang ada ni? Kita bersiap awal tak apa asalkan jangan biar pihak pengantin perempuan pula yang menunggu."

Bebel Datin Norlie panjang lebar. Mikael mencebik. Berat sungguh hatinya untuk meneruskan majlis tersebut.

"Alah bukan nak kena gerak jauh pun. Majlis buat dekat hotel ni juga." Butir bicara Mikael tidak begitu jelas di pendengaran ibunya. Seolah-olah dikunyah ayat-ayat tersebut.

Merasakan anaknya itu bagai memberi seribu satu alasan sekali lagi dia menyuruhnya bersiap dengan kadar segera.

"Kamu dah tengok isi sampul yang mama bagi pada kamu hari tu?" Soal Datin Norlie yang secara tiba-tiba teringatkan perkara itu.

Mikael sekadar menggeleng. Tiada keinginan untuk melihat wajah atau mengenali wanita yang bakal menjadi suri hidupnya itu. Dia sebenarnya bimbang jika akan berubah hati. Dia meletakkan sepenuh kepercayaan pada pilihan orang tuanya.

Secara rambang dia hanya tahu wanita itu adalah anak kepada salah seorang kenalan ibunya. Macam mana rupa dia atau apa namanya Mikael langsung tiada minat untuk tahu. Biarlah dia kenal dengannya pada hari perkahwinannya nanti. Hari ini.

*****

Sepasang baju melayu berwarna putih terletak elok ditubuh lelaki itu. Lengkap bersongkok dan bersampin. Boleh cair hati mana-mana wanita yang melihatnya. Segak sungguh!

Dato' Rizal yang baru tiba di situ tersenyum melihat anak lelakinya itu. Terpancar riak bahagia di wajahnya. Berbeza pula dengan bakal pengantin itu yang muncungnya panjang sedepa. Tiada secalit senyuman terhias diwajahnya meskipun sudah di andam ringkas oleh pak andam. Malah wajahnya kelihatan semakin pucat.

Jika secara luaran sudah kelihatan pucat lesi bak mayat, dalamannya pasti sudah tidak keruan lagi. Jantungnya berdegup dengan sangat kencang. Serba-serbi yang dibuat semua rasa tidak kena. Dato' Rizal kemudian mendekati anaknya itu.

"Kenapa monyok je ni? Tak nampak langsung macam orang nak pergi nikah. Tak ada seri." Mikael tersentak dengan teguran tersebut. Dia segera berpaling lalu melemparkan senyuman yang agak kelat kepada bapanya.

Dato' Rizal selamba memperkemaskan persalinan yang digayakan oleh Mikael. Sambil itu dia menitipkan pesanan buat anak lelakinya itu.

"Rileks, tak payah risau sangat. Ini semua jalan yang kamu sendiri pilih. Reda dan ikhlaskan semuanya inshaAllah hati kamu akan berasa lebih tenang. Papa masa nak kahwin dengan mama kamu dulu pun macam ni juga." Ujarnya disusuli dengan tawa kecil. Mikael tersenyum nipis.

"Jomlah, mama kamu dari tadi tak duduk diam. Takut kamu lambat katanya." Ujarnya sebelum kekuar dari bilik tersebut.

Datin Norlie menghampiri ibunya yang bersendirian di dalam bilik. Di tangannya terdapat sekeping kad undangan milik Haura. Lama dia merenung kad tersebut.

"Mak okay ke tak? Mika nak kahwin dah kejap lagi." Tanya Datin Norlie. Puan Sri Normah sekadar mengangguk. Namun anak matanya tidak lekang melirik ke arah pintu.

"Haura pun nikah hari ni juga."

Mikael yang sedang mencuri dengar disebalik pintu tersentak. Matanya terbuntang luas. Dia terkejut sehingga pasu yang ada di situ dilanggar tanpa sengaja. Datin Norlie dan Puan Sri Normah segera menoleh ke arah tersebut.

Macam mana dia boleh terlupa tarikh pernikahan mereka adalah pada hari yang sama. Dia sendiri bersetuju apabila ibunya meletakkan tarikh tersebut untuk mereka berdua diijab kabul. Sama seperti Haura dan pasangannya.

*****

"Cantiknya anak ibu." Tegur Puan Hafizah apabila melihat Haura yang manis mengenakan busana kurung moden berwarna putih. Ada sedikit lace di lengan dan kaki baju. Haura sekadar tersenyum tawar.

"Kenapa ni?" Puan Hafizah berkerut melihat pantulan wajah anaknya yang suram itu di cermin. Haura menggelengkan kepala.

"Mikael dah tahu ke?" Haura mengangkat bahu tanda tidak tahu. Giliran Puan Hafizah pula menggeleng. Keluh pendek dihela.

"Okay dah siap." Mak andam yang sedang meriasnya bersuara setelah usai melakukan sentuhan terakhirnya pada bakal pengantin tersebut. Servis memang terbaik ditambah pula hasil andaman yang sangat tiptop. Puan Hafizah tersenyum. Sangat berpuas hati.

"Ibu rasa betul ke apa yang Haura buat ni?" Tiba-tiba soalan tersebut diaju apabila mak andam telah keluar dari bilik tersebut.

"Apa kata hati kamu?" Puan Hafizah membalas kembali dengan pertanyaan.

Haura diam membisu. Mata dipejam seketika sebelum menghela nafas yang panjang. Setelah itu wajahnya kembali mengukir senyuman. Bertambah seri dengan solekan yang terhias diwajahnya itu.

"Terima kasih ibu sentiasa ada dengan Haura. Ibulah sumber kekuatan Haura selama ini. Lepas ni dah tak boleh nak manja-manja dengan ibu lagi." Suaranya mula berbaur sebak. Tubuh ibunya segera dipeluk. Puan Hafizah tersenyum nipis.

"Kenapa pula? Lepas kahwin dah tak nak bermanja dengan ibu lagi ke? Yelah orang dah ada suami, kan. Kenalah bermanja dengan suami pula." Sakat Puan Hafizah menghapuskan kesedihan yang mula membalut jiwa mereka. Hati ibu mana yang tidak sedih untuk melepaskan anaknya kepada orang lain.

*****

Tok kadi telahpun tiba. Dengan jiwa yang kosong Mikael melangkah masuk ke dalam dewan tersebut. mukanya masam mencuka. Apabila dicuit oleh Dazrin barulah dia memaksa diri untuk terus tersenyum meskipun hatinya sudah entah ke mana. Dia langsung tidak memandang wajah tetamu yang hadir ke majlisnya itu. Sepertinya tiada apa untuk diraikan.

Giliran pengantin perempuan pula berjalan memasuki dewan diiringi dengan alunan selawat ke atas junjungan mulia nabi Muhammad S.A.W. Dengan veil labuh yang menutup wajah dia berjalan melepasi Mikael. Anak matanya sempat mencuri pandang ke arah lelaki tersebut tetapi malangnya bakal suaminya itu hanya tunduk melihat lantai. Langsung tidak berminat ke atas dirinya.

Mikael benar-benar patah hati. Mengenangkan Haura mungkin kini telah sah menjadi milik lelaki lain hatinya pedih bagai dihiris. Hatinya jadi tak keruan. Ingin saja dia berlari keluar dari dewan itu. Muka merah menahan rasa. Di dalam hati sudah banjir dengan tangisan. Dia hanyut dalam khayalannya. Segala apa yang diucapkan oleh tok kadi langsung tidak masuk ke dalam telinga.

"Mika!"

Sehinggalah Dato' Rizal menepuk bahunya barulah dia tersedar dari lamunannya yang panjang. Wajah tok kadi dipandang kosong apabila dia melihat tangan lelaki itu terhulur di hadapannya. Bingung seketika.

"Kamu ni nak kahwin ke tidak?"

Pertanyaan spontan yang keluar dari mulut tok kadi itu mengundang tawa para tetamu. Segan sungguh rasanya sehingga tidak mampu untuk mengangkat muka. Dengan teragak-agak tangan tok kadi akhirnya disambut oleh Mikael.

"Alhamdulillah, boleh kita mulakan ya." Dato' Rizal dan beberapa yang lain menganggukkan kepala. Mikael menutup mata sambil menarik nafas yang dalam.

"Luth Mikael bin Rizal, aku nikahkan dikau dengan Jannatul Haura binti Zamzuri, berwakil walikan aku dengan mas kahwinnya sebanyak RM1001 tunai."

"Aku terima nikahnya Jannatul Hau ..."

Lafaznya terhenti. Serta-merta tangan ditarik lantas dia berdiri. Terbeliak matanya memandang tok kadi. Wajah bapanya dipandang silih berganti dengan semua yang ada di keliling meja. Wajah Encik Zamzuri terpapar di kaca pandangannya. Lelaki itu duduk betul-betul di sebelah tok kadi dengan senyuman dibibir.

Mikael mula melihat sekeliling dewan. Setiap wajah di situ cuba di amatinya. Datin Norlie dan Puan Sri Normah memandang ke arahnya sambil tersenyum. Kepala diangguk perlahan. Dia masih bingung. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah pengantin perempuan yang sedang duduk di atas pelamin. Sayangnya wajah masih lagi tertutup. Puan Hafizah yang berada di sisi pengantin perempuan memberi isyarat supaya meneruskan majlis. Mikael jatuh terduduk di kerusi.

"Macam mana ni? Nak teruskan ataupun tidak?" Sekali lagi tok kadi inginkan kepastian.

"Kita teruskan tok." Balas Dato' Rizal.

"Aku terima nikahnya Jannatul Haura binti Zamzuri dengan mas kahwinya sebanyak RM1001 tunai."

"Sah?"

"Sah. Sah."

"Alhamdulillah."

Tidak semena-mena airmata Mikael mengalir laju keluar dari tubir mata. Dia masih lagi tidak percaya. Semua itu bagaikan mimpi baginya. Dato' Rizal memeluk tubuh Mikael disaat lelaki itu mencapai tangannya untuk bersalam.

Satu demi satu langkah diambil menuju ke pelamin untuk bersua dengan wanita yang sudah bergelar isteri. Perlahan-lahan dia membuka veil yang menutupi wajah wanita itu. Sekali lagi airmata jantannya jatuh apabila melihat wajah isterinya itu.

"Apa ni, habis rosak makeup saya tau." rengek Haura manja. Mikael tertawa kecil.

Sebentuk cincin permata disarungkan di jari manis Haura. Dahi isterinya itu kemudian dikucup lembut. Terpancar riak bahagia di wajah kedua mempelai itu.

"Terima kasih sebab dah kotakan janji awak untuk saya." Ujar Haura. Mikael berkerut.

"Saya?" Soal Mikael. Haura mengangguk laju. Mikael menggeleng.

"Abang. Mulai sekarang panggil saya abang. Dan abang akan panggil awak sayang." Balas Mikael dengan wajah yang selamba. Haura memberi reaksi yang kurang senang seolah-olah tidak setuju dengan cadangan tersebut.

"Eh, abang ni suami tau sayang. Cepatlah sayang."

"Eii, mengada-ngadanya." Balas Haura sambil mencubit manja pinggang suaminya itu. Merah padam mukanya apabila disakat sebegitu.

Selepas selesai sesi bergambar Mikael kemudian menghulurkan tangannya lalu disambut oleh Haura sebelum mereka turun dari pelamin untuk bertemu dengan tetamu yang datang.

Puan Sri Normah dan Datin Safiah saling berbalas senyuman. Melihat kegembiraan yang terpancar dari wajah cucu-cucunya itu membuat mereka tersenyum puas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience