BAB 69

Drama Completed 919171

Pang!

Satu tamparan kuat hinggap di pipi Juita. Dia jatuh terduduk. Air matanya mula mengalir. Sungguh bengis pandangan Suri kepada Juita.


"Kau tak faham bahasa ke? Aku dah cakap yang aku tak akan keluarkan duit satu sen pun untuk kau anak beranak. Tak cukup ke kau dah lahap duit mak aku dulu?" tengking Suri. Mukanya merah dek rasa marah yang teramat kuat.


"Tapi kak, ayah memang betul-betul perlukan rawatan tu. Kalau tak bayar bil tu nanti pihak hospital akan stopkan rawatan tu."

"Ah, lantak dia la. Nak stopkan rawatan ke apa ke, pergi mampus. Aku tak nak ada apa-apa kaitan dalam urusan kau dengan bapak kau tu. Eh, baik mati jelah bapak kau tu. Tak habis-habis menyusahkan orang." balas Suri kasar.


"Akak......"


"Lagi sekali kau ungkit pasal benda ni, mampus kau aku kerjakan. Faham!" tengkingnya lagi. Dia kemudian mencapai kunci kereta lalu meluru keluar.

Juita tidak mampu bersuara. Dia benar-benar buntu. Mana dia nak cekau duit untuk bayar bil hospital ayahnya itu. tangisannya makin kuat kedengaran.


"Juita minta maaf ayah."

*****

Haura kembali ke ruang tamu sambil membawa dua gelas air coklat panas buat Mona dan dirinya. Dia mengambil tempat di sebelah sahabatnya itu.


"Nah." Haura menghulurkan gelas kepada Mona. Mereka kemudian menghirup perlahan menikmati minuman tersebut.


"Mona, kau ingat tak aku ada cerita pada kau pasal kes ragut hari tu."


"Ragut? Yang kau first time jumpa dengan Mikael tu ke? Kalau yang tu aku ingat la. Kenapa?" balas Mona bersahaja. Matanya tidak beralih dari skrin televisyen yang sedang menyiarkan drama kegemarannya itu.


"Tadi masa dekat hospital aku terserempak dengan akak yang aku tolong tu. Kak Rosie." ujar Haura. Sepantas kilat Mona berpaling memandang sahabatnya itu.


"Hospital? Kau buat apa dekat sana? Kau tak sihat ke?" Tanya Mona sedikit risau. Haura menggelengkan kepala menidakkan perkara itu.


"Aku hantar budak office aku." balas Haura ringkas.


"Ish kau ni, buat takut aku je. Lain kali cakap tu biar terang." bebel Mona. Dia berasa sedikit lega.

Namun air muka Haura berubah apabila dia teringatkan keadaan Juita. Wanita itu benar-benar dalam kesusahan. Muka Haura berkerut memikirkan hal tersebut. Mona perasan perubahan sikap Haura itu dan berasa sedikit pelik. Dia mencapai alat kawalan jauh lalu menutup televisyen. Pandangannya kini tertumpu pada Haura.


"Kau ada masalah ke? Cerita la dengan aku." ujar Mona. Haura sekadar memandangnya tanpa suara.


"Memang ada benda yang tengah ganggu fikiran aku sekarang ni tapi aku tak tahu macam mana nak bagitahu pada kau." balas Haura.


"Pulak dah. Lepas tu macam mana aku nak tolong kau. Straight to the point je, bagitahu aku pasal apa. Tak payah nak berkias ke apa ke."


"Apa kau akan buat kalau kenalan kau perlukan duit untuk bayar kos perubatan ayah dia? Tapi kau kenal gitu-gitu je dengan dia."


"Oh pasal duit ke? Kau nak minta pendapat aku la ni?" tanya Mona sekali lagi. Haura mengangguk.


"Pada pendapat aku kalau dia memang memerlukan dan kita pun mampu, bagi jelah. Tak luak pun duit tu kan. Tapi pastikan dia memang betul-betul guna untuk benda tu la. Nak lagi afdal kau bayar terus untuk kegunaan apa, jangan bagi cash. Maklumlah sekarang ni banyak sangat scammer. Ada yang sanggup menipu cakap nak beli susu dan pampers anak. Bila kita cakap nak bagi barang pada dia tak nak pulak." panjang lebar Mona memberikan pendapatnya. Haura masih lagi berkerut.


"Tulah. Pasal scammer tu berlambak aku tengok dekat Fac. Dekat dalam group Whatsapp pun bersepah. Makin hari makin banyak sampai hilang rasa percaya pada semua tu." Mona mengganggukkan kepalanya.

Kring! Kring!

Tiba-tiba telefon bimbit Haura berdering. Dia mencapai telefon yang berada di atas meja kopi lalu melihat nama si pemanggil. Tanpa berfikir panjang dia terus menekan butang merah. Beberapa ketika kemudian telefonnya kembali berdering berkali-kali. Haura menekupnya dengan bantal. Mona sekadar memerhati tingkah laku sahabatnya itu.

Setelah itu deringan telefonnya terus tidak kedengaran. Namun diasak pula dengan bunyi notifikasi yang masuk tanpa henti. Haura segera membaca mesej yang di terimanya.


"Kau masih marahkan aku ke? Tolong jawab call aku. Aku memang tak ada apa-apa hubungan pun dengan Rissa tu. Tolonglah percaya." - Luth Mikael.

Tetapi selepas membaca mesej tersebut dia tetap mengabaikannya. Telefon bimbit diletakkan di tepi. Mona mengerling ke arah Haura sambil menghirup air coklat panas di tangannya. Mukanya mula berkerut. Haura seperti ada merahsiakan sesuatu daripadanya. Dia berdehem perlahan, cuba memancing perhatian Haura. Namun tidak dihiraukan oleh wanita itu.

Beep! Beep!

Untuk kesekian kalinya notifikasi telefon Haura berbunyi. Dia tidak mengendahkannya. Dihirup air coklat panas miliknya. Namun matanya tetap melirik ke arah telefon bimbitnya itu. Kalah dengan ego sendiri akhirnya Haura membaca mesej tersebut yang datang dari Mikael.


"Mungkin hubungan kita ni terlalu baru. Dan mungkin juga susah untuk kau percayakan aku lepas apa yang jadi tadi. Tapi satu je yang aku nak kau tahu. Sekarang ni hanya ada satu nama yang bertakhta dihati aku. Kau dah jadi orang yang sangat penting dalam hidup aku." - Luth Mikael

Sebuah senyuman lebar terukir di bibir Haura disaat dia membaca mesej tersebut. Hatinya terasa berbunga-bunga sehingga dia terlupa Mona sedang memerhatikannya.


"Woi! Kau ni dah kenapa tersengih-sengih macam kerang busuk." tegur Mona sambil menjengah untuk melihat mesej yang diterima Haura. Sepantas kilat dia menjauhkan telefon tersebut dari Mona. Haura sangat terkejut. Mujur tidak terlepas gelas di tangannya itu.


"Apa benda yang kau sorok dari aku ni? Sejak akhir-akhir ni aku perasan perangai kau lain macam sangat tau. Baik kau bagitahu aku sekarang sebelum aku korek lebih dalam lagi." ujar Mona. Matanya tajam memandang Haura. Wanita itu hanya tersengih memandangnya. Makin bertambah rasa geram di hati Mona melihat reaksi yang diberikan oleh sahabatnya itu.

*****

Mikael tiba di pejabat. Dia berjalan menuju je biliknya. Haura yang sedang duduk di mejanya segera bangun apabila sedar akan kehadiran lelaki itu. Mikael tersenyum melihat ke arahnya namun dibalas hambar oleh Haura. Mikael merasakan wanita itu masih lagi marah terhadap dirinya. Haura terus mengikuti Mikael masuk ke dalam biliknya.

Satu dulang berisi sandwich dan juga segelas air teh terhidang di atas meja. Mikael tersenyum. Dia meletakkan begnya perlahan lalu menoleh ke arah Haura yang sedang berdiri di belakangnya.


"Kau ke yang sediakan sarapan ni untuk aku?" tanya Mikael sambil tersenyum namun tidak dilayan oleh Haura.


"Meeting dengan Encik Khalid pukul 10.00 pagi nanti. Lepas tu pukul 2.30 petang kita akan meeting dengan Dato' Zubir tentang event bersama Cik Rissa Arianna."

Haura memberitahu jadual Mikael untuk hari tersebut. Nama Rissa sengaja ditekankan. Mikael mengeluh. Haura memandang lelaki itu ala kadar je. Namun Mikael menatap Haura dengan penuh perasaan. Dia buntu. Tak tahu macam mana cara untuk memujuk wanita itu. Haura pula sengaja berpura-pura jual mahal demi melihat kesungguhan lelaki itu untuk memujuknya.


"Setakat ni itu je jadual encik. Apa-apa penambahan saya akan maklumkan kemudian. Saya minta diri dulu." tutur Haura seraya berpaling untuk keluar. Namun langkahnya terhenti apabila Mikael menghalangnya dari keluar dari bilik tersebut. Haura sedikit terperanjat.


"We need to talk." ujar Mikael.


"Bukan sekarang." balas Haura pendek. Dia kemudian berlalu meninggalkan lelaki itu. Tetapi Mikael tidak berputus asa. Dia menarik tangan Haura lalu digenggamnya erat.


"Please Haura. Aku tak akan dapat fokus dengan kerja kalau masih ada salah faham antara kita." rayu Mikael.

Haura mengerling ke arah lelaki itu. Dengan sedikit kasar Haura melepaskan tangannya dari genggaman Mikael. Dia kemudian menuju ke sofa lalu menghempaskan dirinya pada sofa empuk itu.


"Okay saya bagi awak masa 10 minit untuk explainkan semuanya pada saya." ujar Haura. Mikael mula berjalan mendekatinya lalu duduk di sebelah wanita itu.

Sungguh berat rasa hati Mikael untuk bercerita mengenai sejarah hubungannya dengan Rissa Arianna. Lebih-lebih lagi apabila sikap Rissa itu sendiri yang seolah-olah ingin mendapatkan kembali hatinya. Dia risau jika timbul perselisihan faham dan berlaku pergaduhan besar antara dirinya dan wanita di hadapannya itu.


"Aku mengaku yang aku pernah kenal dan rapat dengan Rissa. Dia sebenarnya bekas teman wanita aku. Kami putus masa dia dekat oversea lagi. Terlalu sibuk dengan karier masing-masing menjadi punca utama hubungan kami tamat." Mikael mula membuka cerita.


"Dia juga yang jadi punca utama kenapa aku cari perempuan untuk berlakon jadi girlfriend aku. Dia tak nak jumpa mama dan papa dengan alasan dia masih belum bersedia untuk kahwin. Lagipun impian dia untuk tempa nama di luar negara masih belum tercapai. Padahal aku tak ajak dia kahwin pun. Kemudian kami lost contact untuk beberapa bulan. Lepas tu aku ambil keputusan untuk tamatkan hubungan kami yang seolah-olah menjadi penghalang untuk kerjaya dia." tambah Mikael lagi panjang lebar.


"Dah putus? Jadi korang memang dah tak ada apa-apa hubungan lagi kan?" tanya Haura. Mikael mengangguk laju.


"Tapi kenapa saya rasa dia tu macam masih lagi terkejar-kejarkan awak?"


"Kalau betul dia masih nakkan aku, itu hak dia. Tapi aku jamin dia tak akan berjaya sebab aku dah tak ada hati dengan dia. Hati aku hanya untuk kau seorang je. Tak akan ada orang lain yang boleh gantikan tempat kau dalam hidup aku." ucap Mikael serius. Dia benar-benar meluahkan segala isi hatinya kepada wanita itu.

Ucapan kata yang terlafaz dari bibir Mikael itu kedengaran sangat romantis di telinga Haura. Mukanya mula menjadi merah padam dek rasa teruja dan malu dengan luahan hati tersebut. Senyuman manis terukir di bibirnya. Hatinya terasa sungguh bahagia. Namun sedaya upaya dia cuba menyorokkan perasaannya itu supaya tidak terlalu menonjol.


"Okay saya percayakan awak. Saya harap perasaan awak pada saya ni tak akan pernah luntur walaupun sedikit." balas Haura. Mikael menganggukkan kepalanya. Haura tersenyum. Dia kemudian meminta diri untuk keluar melakukan tugasnya seperti biasa.

*****

Tiba di pejabat Dato' Zubir, Mikael dan Haura segera dibawa ke bilik mesyuarat. Kurang dari 15 mimit lagi mesyuarat akan dimulakan. Mereka berdua orang yang terawal tiba di situ. Dato' Zubir masih tidak kelihatan di dalam bilik mesyuarat tersebut. Haura membantu Mikael menguruskan dokumen yang akan dibentangkan sebentar lagi.

Beberapa minit kemudian pintu bilik tersebut dikuak. Soraya Edina mula melangkah masuk diikuti oleh Syed Syahmi di belakangnya. Haura terkesiap. Dia tidak menjangkakan perkara ini. Namun dia cuba untuk bersikap profesional dalam tugasnya dengan tidak mencampur adukkan hal peribadi dengan kerja.


"Hello guys. Sorry lambat sikit. Dah lama ke sampai?" tanya Soraya kepada mereka berdua.


"Kami pun baru je sampai. By the way, bila Dina dengan Syahmi masuk kerja dekat sini? Nenek tak ada bagitahu apa-apa pun." tanya Mikael.


"Dina dah lama, Syahmi je yang baru mula kerja dekat sini. Masa awal-awal Dina balik hari tu nenek dah minta kami masuk kerja dengan daddy tapi Syahmi tolak sebab nak jaga hati mummy. Tapi lepas daddy pujuk barulah dia setuju."


"Aunty dah tahu ke pasal ni?" tanya Mikael lagi. Soraya menggelengkan kepalanya.

Sedang dia asyik berbual dengan sepupunya itu, Soraya sedar ada sedikit kejanggalan antara Haura dan juga suaminya. Dia melirik ke arah Haura dan Syahmi silih berganti. Mikael juga turut menyedari perkara itu.


"Macam mana kerja dekat sini? Okay ke?" Tanya Mikael kepada Syahmi yang dari tadi hanya mendiamkan diri.


"Alhamdulillah setakat ni semua okay." balas Syahmi sedikit gagap dek terkejut. Mikael mengangguk.

Tidak lama selepas itu sekali lagi pintu bilik dibuka. Kelibat Rissa Arianna mula menghiasruang bilik mesyuarat itu. Dengan penuh mesra dia menyapa semua orang di dalam bilik tersebut. Setelah itu dia segera mendekati lelaki itu.


"Excuse me, you boleh duduk dekat tempat lain tak? I nak duduk dekat sini." ujar Rissa. Haura sedikit terpinga-pinga.


"Apahal pulak minah ni? Siapa dia tiba-tibe je datang nak ambil tempat aku. Padahal banyak lagi tempat duduk kosong dekat dalam bilik ni." bebel Haura di dalam hati.

"Cik Rissa, boleh duduk dekat sini." ujar Soraya sambil menunjukkan kerusi di sebelahnya.

"Nope, I nak duduk dekat sini. So you boleh bangun." balas Rissa sambil pandangannya dialih kepada Haura.


"Rissa please jangan nak bual hal dekat sini. Be professional, okay!" bisik Mikael kasar. Riak wajah Haura mula berubah.


"Rissa? Jadi minah ni la ex Mikael. Perempuan yang meroyan bila Mikael tak jawab call dia hari tu. Kesian. Harap tuan je lawa tapi perangai hauk." bisik Haura sendirian. Tanpa dia sedar tawa kecil terlepas dari mulutnya.

Empat pasang mata menoleh ke arah Haura. Rissa cerlung memandangnya. Darahnya mendidih apabila mendengar tawa Haura itu. Dia merasakan wanita itu sedang tertawakan dirinya. Tangannya digenggam menahan marah.


"Semua dah ada dekat sini? Kalau macam tu bolehlah kita mulakan meeting kita ni sekarang." ujar Dato' Zubir yang baru tiba di bilik tersebut. Rissa terpaksa membatalkan niatnya untuk menyerang Haura. Dia kemudian berjalan menuju ke tempat duduk yang tersedia di sebelah Soraya.

Mikael memandang Haura dengan wajah yang sedikit risau. Baru sahaja dia berbaik dengan wanita itu tapi kini timbul pula isu baru yang boleh membuatkan mereka berdua bermasam muka. Namun Haura tidak menghiraukannya. Dia sekadar melihat dari ekor matanya sahaja.

Dalam diam Syahmi memerhatikan semua itu. Dia merasakan ada sesuatu yang terjadi di antara mereka bertiga. Pandangan Mikael kepada Haura juga sangat mencurigakan.


"Haura dengan Mikael ada apa-apa hubungan ke? Rissa ni pula siapa? Apa kaitan dia dengan dua orang tu?" bisik hati Syahmi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience