BAB 72

Drama Completed 919566

Skrin telefon bimbit ditekan. Berkali-kali Haura cuba menghubungi Juita namun tidak berjaya. Dari siang hari sehinggalah tengah malam satu panggilan pun tidak dijawab. Mesej juga tidak dibalas.


"Apa yang dah jadi ni? Kenapa dia ambil cuti lama sangat." bisik Haura sendirian. Dia sungguh risaukan keadaan rakan sepejabatnya itu.

Melihat bateri telefonnya yang sudah merah dia terus menyambungkannya pada alat pengecas di atas meja. Haura kemudian merebahkan dirinya pada katil. Digosok kasar wajahnya itu.


"Aww..!" Haura mengaduh kesakitan.

Dia segera bingkas bangun lalu mencapai cermin kecil di atas meja. Ditilik lama wajahnya itu di cermin. Melihat luka yang ditinggalkan oleh Rissa pada dirinya.

"Kalau aku tahu ni 'hadiah' yang aku akan dapat awal-awal lagi aku taknak masuk campur. Biar dua orang tu main tarik rambut sampai botak." ujar Haura perlahan sambil menyentuh lembut luka dipipinya. Wajahnya berkerut.


"Kau pun satu Haura, acah-acah nak jadi hero konon. Padanlah dengan muka kau tu." bebelnya lagi pada diri sendiri.


"Rissa tu pun satu, kalau nak tampar tu tampar ajelah. Tak payah bagi dengan cincin sekali. Tak pasal-pasal rabak pipi aku. Dah kurang harga hantaran." omelnya lagi.

Kringgg! Kringgg!

Bergetar tubuh Haura kerana terkejut. Hampir terjatuh cermin kecil yang dipegangnya ketika itu dek deringan tersebut. Telefon bimbit yang sedang dicas di atas meja dijeling sebelum dia menjawab panggilan tersebut.

"Hello, dah tidur ke?" tanya Mikael di sebalik telefon.

"Belum lagi. Ada apa call tengah malam buta macam ni?" tanya Haura kembali kepada Mikael sambil duduk di birai katil.

"Rindu."

Pendek sahaja jawapan dari Mikael namun sudah cukup membuatkan hati Haura berbunga-bunga. Dia bagaikan berada di awang-awangan. Haura menjerit tanpa suara sambil menggelepar di atas katil menendang angin.

"Mengada-ngada." balas Haura manja.

"Luka kau tu macam mana? Dah okay ke?" Mikael menukar topik.

"Sikit je ni. Lepas dengar suara awak terus hilang rasa sakit." balas Haura nakal. Mikael tertawa kecil.

"Lepas ni tolong jangan buat macam tu lagi. Aku tak suka." Haura mengangguk meskipun Mikael tidak dapat melihatnya.

"By the way, apa yang Rissa buat dekat office tadi? Dia datang nak jumpa dengan awak ke?"

"Entah, manalah aku tahu." balas Mikael selamba.

Setelah itu Mikael mendiamkan dirinya buat seketika. Haura berasa sedikit hairan. Dia merasakan ada sesuatu yang lelaki itu ingin sampaikan kepada dirinya.

"Awak ada nak bagitahu saya apa-apa ke?" tanya Haura tanpa berselindung.

Mikael yang masih mengumpul keberanian agak terperanjat. Dia tidak menyangka wanita itu dapat meneka apa yang sedang bermain difikirannya pada ketika itu. Tanpa membuang masa Mikael terus memberitahu Haura perkara yang sebenar.

"Tadi aku jumpa dengan ayah dan ibu kau?"

"Hah? Jumpa dekat mana?" Haura tertinggikan suaranya dek terkejut.

"Bukan terserempak tapi aku yang pergi berjumpa dengan ayah dan ibu kau. Aku bagitahu mereka yang hujung minggu ni family aku akan hantarkan rombongan." balas Mikael serius.

Haura hampir tersedak air liur sendiri apabila mendengar kata-kata Mikael itu. Dia segera bangkit dari tempat duduknya. Matanya membulat separa percaya dengan apa yang baru didengarinya itu.

"M-minggu depan? Awak bagitahu ayah dengan ibu yang awak nak hantar rombongan minggu depan?" lantang suara Haura di sebalik telefon.


"Ha'ah. Benda baik buat apa kita nak lengahkan. Betul tak?" balas Mikael selamba.


"Ya saya tahu tapi awak belum kenalkan saya pada family awak lagi. Takkan tiba-tiba dah nak pergi masuk meminang." ujar Haura lagi.


"Rasanya semua family aku dah kenal kau." sakat Mikael.


"Saya serius tau. Awak janganlah main-main." rajuk Haura.


"Pasal tu kau tak perlu risau, nanti aku akan uruskan semuanya." balas Mikael cuba meyakinkan Haura.


"Awak cakap senanglah. Awak bukannya duduk dekat tempat saya. Macam mana kalau family awak tak setuju. Malu saya nanti." nada Haura berbaur risau. Dia takut jika keluarga Mikael tidak dapat menerimanya.


"Kau tak payah nak fikir yang bukan-bukan. Aku jentik dahi kau tu nanti. Tak pasal-pasal jadi jendul pula. Dah pergi tidur sana. Jumpa dekat office esok. Love you." ujar Mikael sebelum mematikan panggilan tersebut.

Haura kaku. Jantungnya bagai terhenti buat seketika. Itulah kali pertama Mikael mengungkapkan kata 'I Love You' kepadanya. Wajah Haura kembali merah padam dek kehangatan kata cinta dari Mikael itu.

*****

Lampu berwarna-warni menghiasi ruang. Dihidupkan lagi dengan alunan muzik rancak yang mampu membuatkan para pengunjung menari mengikut rentak lagu tersebut.

Rissa dilihat sedang duduk termenung di salah sebuah meja yang terdapat di dalam kelab malam tersebut. Terngiang-ngiang dikepalanya tentang perkara yang diberitahu oleh Suri sebelum dia meninggalkan Khazzan Group siang hari tadi.


"Tunggu!" Seraya laungan tersebut, Rissa yang baru membuka pintu kereta berpaling ke arah suara tersebut. Suri tercungap-cungap.

Melihat Suri gerangan yang telah memanggilnya, Rissa sekadar menjeling. Dia tidak mahu menambah masalah yang baru di situ setelah diberi amaran oleh Puan Sri Normah.


"Aku tahu kau datang sini nak dapatkan kembali cinta Mikael kan?" ujar Suri tanpa berselindung setelah melihat wanita itu seperti tidak mengendahkannya.

Rissa yang ingin melangkah masuk ke dalam perut kereta berhenti buat seketika. Dia menoleh semula ke arah Suri yang masih berdiri di belakangnya.


"Masuk dalam kereta." arah Rissa ringkas. Pintu kereta diliriknya. Suri menurut perintah. Pemandu di arah untuk menunggu di luar kereta.

Suri sudah tidak sabar menunggu. Ketika dia ingin membuka mulut, sepantas kilat telapak tangan Rissa ditala ke mukanya. Suri terkesiap. Beberapa inci sahaja jarak dari mukanya itu.


"Bagi I bercakap dengan manager I dulu." ujar Rissa. Untuk beberapa ketika Suri tidak mengeluarkan sebarang butir bicara.


"Silakan." akhirnya Rissa memulakan bicara setelah selesai berbicara dengan pengurusnya. Suri segera membetulkan kedudukan.


"Mikael reject kau sebab tu kau menggelupur datang ke sini untuk tagih cinta dia semula. Betul tak?" sekali lagi Suri mengeluarkan ayat yang berani mati kepada Rissa. Mata Rissa terbuntang luas.


"M-menggelupur? You cakap I menggelupur?" tanya Rissa separa percaya. Suri mengangguk laju.


"Untuk pengetahuan you, I ni girlfriend Mikael tau. I dengan dia dah bercinta lama." balas Rissa memberikan fakta.


"Pembetulan, kau tu dah jadi ex-girlfriend dia kan." Suri sengaja menuang minyak ke dalam api. Rissa berdengus kasar. Suri tersenyum.


"Tapi tak semudah tu kau boleh dapatkan Mikael semula. Sebab dia dah 'ditambat'." tambah Suri lagi. Rissa berkerut. Dia tidak faham apa yang dimaksudkan oleh wanita itu.


"Haura, perempuan tu dah 'mandrem' Mikael supaya jatuh hati pada dia. Kau sendiri nampak macam mana Mikael backup dia tadi kan? Depan staff lain pun dia berani buat macam tu. Kau rasa?" Suri mula menabur hasutannya.

Berdesing telingan Rissa mendengar kata-kata Suri itu. Terbayang dimindanya wajah bengis Mikael ketika memarahinya tadi. Rasa amarahnya yang tadi telah beransur hilang kembali menggelegak. Tangannya mula menggigil. Melihat reaksi yang diberikan Rissa, Suri puas.


"Mana you tahu semua tu? Jangan nak reka cerita lah. You pun bukannya baik sangat."

Agak pedas Rissa membidas kata-kata Suri. Wajah Rissa dijeling tajam seolah-olah ada laser yang terpancar keluar. Tangannya juga digenggam kuat menahan rasa marah.


"Sabar Suri, kawal diri kau." bisiknya pada diri sendiri.


"Aku memang bukan orang baik tapi sekurang-kurangnya aku tak berlagak suci macam perempuan tu." balas Suri sedikit kasar. Rissa tersenyum sinis.


"Okay. So apa motif you bagitahu I semua ni?"


"Aku nak tolong kau dapatkan semula cinta hati kau tu tapi dengan syarat kau kena tolong aku." Suri memberitahu niat sebenarnya berjumpa dengan wanita itu.


"Tolong apa?"


"Singkirkan perempuan tu dari hidup Mikael buat selama-lamanya." Rissa berkerut.


"Singkirkan dia buat selama-lamanya? Maksud you?"


"Tak kesahlah kau nak buat dia berhenti dari sini ke apa. Janji dia tinggalkan Mikael dan juga Khazzan Group."

Rissa ketawa terbahak-bahak mendengar perancangan Suri itu. Hampir 20 minit berbincang akhirnya sampai ke penamatnya. Setelah mendapatkan kata sepakat Suri melangkah keluar dari kereta dengan riak wajah yang puas. Senyuman nipis terukir diwajahnya. Sempat dia melemparkan jelingan pada Rissa sebelum berlalu pergi.

*****

Di pantri, Haura dan Laila sedang menikmati sarapan pagi yang dibeli oleh Laila.


"Boleh tahan juga luka dekat pipi kamu tu." tegur Laila memandang Haura. Luka dipipi disentuh Haura dengan belakang tangan.


"Tak ada apalah. Sikit je ni." balas Haura sambil tersenyum.


"Lain kali tak payahlah nak masuk campur kalau dia orang tu bergaduh. Tak bawa untung pun." Pesan Laila. Haura sekadar mengangguk.


"Apa-apa pun perempuan tu memang dah melampau. Dia sendiri tahu yang kamu cuma nak leraikan pergaduhan tu. Boleh dia tampar kamu sampai luka macam ni." bebel Laila lagi apabila terkenangkan kejadian semalam.


"Biarlah kak, benda pun dah jadi. Saya pun dah malas nak fikir pasal benda ni lagi."

Beep! Beep!

Notifikasi telefon Haura berbunyi. Satu mesej dari Mikael terpapar di skrin. Haura segera membaca mesej tersebut.


"Sorry, aku tak masuk office pagi ni ada meeting dekat luar. Uncle Zubir minta kau incharge Rissa hari ni. Staff dia tiba-tiba je cuti. Thanks in advance." - Luth Mikael

Haura berkerut? Temankan Rissa? Perempuan yang baru bagi penampar pada dia semalam? Haura melepaskan tawa kecil. Laila yang berada di hadapannya pada ketika itu pelik melihat kelakuan Haura itu.


"Haura, are you okay?" tanya Laila.


"Okay. Saya okay je kak." balas Haura laju.

Di lobi, Rissa Arianna yang kelihatan seperti sedang menantikan kehadiran seseorang menjadi tumpuan kerana keterampilannya yang sungguh mencuri perhatian. Dia mengenakan dress satin hitam berpotongan midi yang mengikut bentuk tubuh. Rambutnya diikat 'ponytail' menaikkan lagi serinya.

Ada di antara pekerja yang mengambil gambarnya secara diam ada juga yang bergosip mengenai kejadian semalam. Namun Rissa hanya kekal berwajah selamba.

Haura berlari setengah mati apabila mrngetahui bahawa Rissa sedang menunggunya di lobi.


"Maafkan saya Cik Rissa." ucap Haura dengan nafas yang tercungap-cungap.

Rissa meletakkan semula majalah yang dibacanya ke atas meja. Tangan disilang. Haura direnung dari atas hingga ke bawah.


"You tahu kan kenapa I ada dekat sini hari ni?" Haura mengangguk laju.

Setelah itu Rissa segera bangkit dari kerusi. Kunci kereta dicampakkan kepada Haura. Haura terkebil-kebil tidak mengerti.


"You nak tunggu apa lagi, cepatlah pergi."

Melihat Haura yang masih kaku di situ membuatkan Rissa sedikit berang. Wajah Haura dijeling tajam.


"Berapa lama lagi I nak kena tunggu? I ada photoshoot tau. Macam ni ke attitude staff Dato' Zubir? Oh my god!" rungut Rissa dengan wajah yang menjengkelkan.

Tanpa melengahkan masa Haura segera berlari anak menuju ke kereta. Enjin kereta dihidupkan. Namun Rissa masih lagi berdiri di luar.


"Eh minah ni tak reti nak masuk ke? Tadi cakap sibuk sangat. Nak tunggu apa lagi." omel Haura di dalam hati.

Knock! Knock!

Tiba-tiba tingkap kereta diketuk. Rissa menjegilkan mata memandangnya. Haura tersenyum tawar.


"Cik Rissa nak tunggu apa lagi ye?" tanya Haura. Sambil menyilangkan tangan, wanita itu menjeling ke arah pintu kereta.


"What? Aku nak kena bukakan pintu kereta untuk dia? Level kayangan betul minah ni. Sabarlah wahai hati." rungutnya lagi.

Dengan terpaksa Haura melangkah keluar. Dia menurut perintah. Pintu dibuka dengan penuh sabar. Rissa melemparkan senyuman kepadanya. Namun senyuman itu sangat menyakitkan hati. Suri yang melihat dari jauh tersenyum puas.

Sepanjang dua jam setengah photoshoot berlangsung Haura tidak duduk diam. Ada saja arahan yang dia terima dari Rissa. Ketika waktu makan tengah hari sebutir nasi pun Haura tidak sempat menjamah. Dia sekadar mengalas perut dengan sebuku roti dan juga sebotol jus oren yang dibelinya di kedai serbaneka.


"It's a wrap!"

Haura menghela keluh yang panjang. Akhirnya tamat juga sisi photoshoot untuk hari ini. Tidak dinafikan kesemua gambar yang diambil sangat cantik. Rissa sememangnya mempunyai bakat yang luar biasa dalam bidang tersebut.


"Cik nak saya hantarkan ke mana? Office atau rumah?" tanya Haura yang beranggapan Rissa sudah mahu pulang ke rumah.


"What? No. I nak cuci-cuci mata dekat Pavilion. Dah lama I tak pergi shopping dekat situ." balas Rissa bersahaja.


"Pavilion? Shopping?" ujar Haura separa percaya. Matanya terbuntang luas. Rissa mengangguk sambil tersenyum.

*****

Mikael membuka pintu biliknya namun kelibat Haura masih tidak kelihatan. Sesi photoshoot dah habis sejam yang lepas. Ke mana pula Rissa membawa wanita itu pergi? Dia segera menghubungi Haura.


"Hello, ada apa? Saya sibuklah." ujar Haura seraya menjawab panggilan tersebut. Suaranya seperti berbisik.


"Kau ada dekat mana ni? Photoshoot dah habis kan?" tanya Mikael risau.


"Pavi. Tiba-tiba dia nak shopping pula. Dia dah keluar, nanti saya call awak balik." ujar Haura sebelum menamatkan panggilan.

Mikael segera bergegas keluar dari biliknya. Hatinya tidak senang memikirkan tentang Haura. Lebih-lebih lagi apabila dia ada bersama Rissa Arianna. Namun langkah Mikael mati apabila Suri menghalang jalannya. Direnung lama wajah wanita tersebut.


"Encik dah lama ke sampai?" tanya Suri cuba menggoda. Tidak terus menjawab pertanyaan itu, Mikael malah mengajukan soalan yang lain kepada Suri.


"Suri, awak sibuk ke?" tanya Mikael.


"Tak. Kenapa encik?"


"Keluar dengan saya sekejap."

Suri tersenyum sendiri. Dia tidak menyangka akhirnya lelaki itu akan mengajaknya keluar. Benar kata hatinya, sekiranya Haura tidak lagi wujud di situ, dialah orang yang akan dicari oleh Mikael.

Tiba di Pavilion, Suri berjalan seiringan dengan Mikael. Hatinya terasa sungguh bahagia. Ingin saja dia merangkul lengan lelaki itu.


"Encik, kita nak ke mana ni?" tanya Suri setelah mereka berjalan di tempat yang sama untuk kali yang kedua.


"Oh sorry. Awak tunggu sekejap ye." balas Mikael tanpa memandang ke arah Suri. Matanya masih lagi melilau mencari sesuatu. Suri hanya tersenyum.


"Kalau dengan awak lama-lama pun saya tak kesah." bisik hati Suri.

Entah bagaimana tiba-tiba kasut yang dipakai Suri tersadung menyebabkan dia tertumus ke hadapan. Mujurlah dia sempat berpaut pada lengan Mikael. Serentak dengan itu juga Rissa dan Haura muncul di hadapan mereka berdua.


"Mikael. You buat apa ni?"

Mikael dan Suri serentak berpaling ke arah suara tersebut. Haura memandang mereka silih berganti. Di kesempatan itu Suri merangkul lengan Mikael dengan niat untuk membuat Haura cemburu. Senyuman sinis terukir diwajahnya. Rissa berkerut.


"Eh Rissa, you buat apa dekat sini?" tanya Mikael.


"Shopping." jawab Rissa pendek. Matanya dilirik pada gugusan beg kertas yang penuh di tangan Haura. Mikael berbalas pandang dengan Haura.

Mikael meminta beg kertas tersebut dari Haura. Selepas itu dia memberikannya kepada Suri. Tanpa membantah Suri segera mengambil beg tersebut meskipun dia agak terpinga-pinga.


"Haura, jom." Mikael mengajak Haura pergi dari situ.


"Apa maksud you Mikael?" tanya Rissa sambil menarik tangan Mikael. Lelaki itu melepaskan pegangan tersebut.


"Sorry I lupa nak bagitahu. Kalau you nak sambung shopping atau pergi ke mana-mana boleh ajak Suri. Dia akan gantikan tempat Haura." balas Mikael selamba. Rissa terkedu.

Mikael menarik tangan Haura untuk pergi. Namun dia berhenti seketika untuk menyerahkan kunci kereta milik Rissa kepada Suri. Sempat Haura mengucapkan terima kasih kepada Suri dan mengenyitkan mata kerana sudi mengantikan tempatnya. Wanita itu mencelik luas matanya memandang Haura.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience