BAB 48

Drama Completed 919412

Haura melangkah keluar dari bilik Puan Sri Normah dengan wajah yang sugul. Sehingga kini dia masih tidak mendapat respon dari Mikael. Pada awalnya dia ingin bertanya tentang Mikael kepada Puan Sri Normah tetapi nampak gayanya wanita itu juga tidak tahu tentang keberadaan Mikael.

Haura sempat singgah dan berbual seketika dengan Laila sebelum dia kembali ke biliknya. Namun kehadiran Suri telah mematikan langkah serta hasratnya.


"Korang sembang pasal apa ni?" tanya Suri. Laila dan Haura sama-sama terdiam. Mereka saling berbalas pandang.


"Sembang kosong je. Kamu dari mana ni?" soal Laila kembali kepada Suri.


"Saya ada hal sikit tadi." balas Suri sambil matanya menjeling ke arah Haura. Haura hanya mendiamkan dirinya.

Melihat Haura yang tersenyum bila berbicara dengan Laila membuatkan Suri berasa sakit hati. Dia merasakan seolah-olah Haura sedang menyindirnya. Tadi dia melihat Mikael yang tersengih sendirian, kini Haura pula. Hatinya sakit bagai disiat-siat.

Suri dapat rasakan kehadirannya di situ seperti tidak dialu-alukan. Tanpa berkata panjang dia kemudian pergi meninggalkan Laila dan Haura. Selang beberapa ketika Haura meminta diri untuk kembali ke biliknya.

Di pertengahan jalan Suri telah menarik Haura dengan kasar ke suatu sudut. Agak terlindung dari pandangan para pekerja yang lain. Haura mengaduh kesakitan dek tubuhnya terhentak ke dinding. Dia sangat terkejut dengan tindakan Suri itu.


"Apa masalah kau ni Suri?" marah Haura. Di renungnya tajam ke mata wanita itu. Dia menggosok lengannya yang terasa sakit itu.


"Apa yang kau dah buat pada Mikael?" soal Suri bernada marah sambil matanya cerlung memandang Haura. Lengan Haura digenggam kuat. Haura tergamam.


"Apa maksud kau?" balas Haura. Dia merentap kasar tangannya dari genggaman Suri.


"Kau tak payah nak berlakon la depan aku. Aku tahu ada benda yang tak baik yang kau dah buat pada Mikael, kan?" ujar Suri.


"Tolonglah jangan merepek. Kau jangan nak reka cerita yang bukan-bukan dekat sini." balas Haura. Hatinya mula rasa gelisah. Dia tertanya-tanya apakah yang Suri maksudkan itu. Ada sesuatu yang telah terjadi pada Mikael ke?


"Aku yang reka cerita atau kau yang tak nak perkara sebenar terbongkar? Selama aku kerja dekat sini, aku tak pernah tengok Mikael macam tu tau. Tapi semua tu berubah dengan sekelip mata je. Itupun selepas kau jadi PA dia." ujar Suri kasar.


"Kau ada jumpa dengan dia ke? Dia ada dekat mana sekarang?" dengan laju Haura bertanya. Dahi Suri berkerut.


"PA apa macam ni kalau bos sendiri pun tak tahu ada dekat mana. Macam ni la bila orang yang tak ada pengalaman buat kerja. Satu benda pun tak boleh diharap." bisik Suri sendirian.


"Kenapa kau tanya? Kau nak pergi keruhkan lagi keadaan? Lepas kau tak dapat Dazrin, sekarang kau nak goda Mikael pulak?" sindir Suri kepada Haura namun Haura tidak menghiraukan semua itu. Yang dia ingin tahu sekarang adalah tentang keberadaan Mikael.


"Tolonglah Suri. Bagitahu aku dekat mana kau jumpa dia. Seharian aku call dan mesej dia tapi tak berjawab." bergetar suaranya bertanya kepada Suri. Dia benar-benar ingin tahu di mana dan bagaimana keadaan Mikael ketika itu.


"Terang lagi bersuluh. Kau tak nampak lagi ke? Atau kau memang sengaja buat-buat tak nampak?" Suri memerlinya lagi.


"Aku betul-betul tak faham apa yang kau maksudkan tu Suri." balas Haura.


"Mikael tu sebenarnya bencikan kau!" Ujar Suri sambil menolak Haura dengan jari telunjuknya. Haura terdiam. Mukanya merah padam menahan rasa. Kata-kata Suri itu terasa sungguh tajam sehingga menusuk ke dalam hatinya.


"Dia tak nak kau ada dekat dengan dia sebab tu dia tak respon semua call dan mesej kau tu. Dari cara layanan dia pada kau pun dah boleh nampak sama ada dia suka ataupun tidak." Tambah Suri lagi. Dia memang sengaja berkata begitu untuk menyakitkan hati Haura.

Haura diam tak berkutik. Rasa sebak menyelubungi dirinya. Suri menguntumkan senyuman yang sinis. Dia berasa puas melihat Haura dalam keadaan yang sebegitu. Baginya itulah balasan jika Haura mencabar kesabarannya.


"Eiii! Jijik la aku tengok muka kau yang acah-acah suci ni. Kau dengar sini ye Haura, ni amaran aku pada kau. Jangan sesekali terfikir nak rampas Mikael dari aku. Dia hanya akan jadi milik aku seorang. Sekali lagi kalau aku dapat tahu kau buat sesuatu pada Mikael nahas kau. Jangan ingat aku borak kosong ye." Suri memberi amaran kepada Haura panjang lebar. Dia kemudian meninggalkan Haura sendirian.

Fikiran Haura melayang jauh entah ke mana. Hatinya juga terasa sungguh hiba. Bukan kerana amaran yang diberikan oleh Suri tetapi kerana memikirkan keadaan Mikael. Dia tidak akan berasa tenang selagi tidak mendapat perkhabaran dari lelaki itu.


"Kenapa dia tak telefon aku semula? Memang dia benci sangat ke pada aku sampai nak call balik pun susah. Kot ye pun balas la mesej tu." bisik hati Haura sambil melihat skrin telefonnya. Dia kemudian melangkah lemah menuju ke biliknya.

Mikael sedang membuat kerja di mejanya. Sedang dia ralit menelaah dokumen tanpa tersengaja sikunya telah tertolak beberapa dokumen yang yang berada di sisi kanannya sehingga terjatuh ke lantai.


"Ish! Time ni jugak la kau nak jatuh." bebel Mikael sendirian. Dia kemudian tunduk untuk mengutip dokumen-dokumen tersebut.

Serentak dengan itu Haura menolak perlahan pintu bilik tersebut. Fikirannya masih lagi jauh melayang entah ke mata. Untuk beberapa ketika dia merenung meja Mikael yang masih kosong. Haura kemudian berpaling untuk pergi ke mejanya.

Tiba-tiba dia terdengar ada satu bunyi yang datang dari sebalik meja Mikael. Langkahnya terhenti. Mikael mengangkat tubuhnya dah meletakkan semula dokumen tersebut ke atas meja. Dengan laju Haura berpaling.


"Mikael......." ujar Haura pendek. Dia sungguh tidak percaya lelaki itu sudah berada di hadapannya pada ketika itu. Mikael kaku. Dia tercengang melihat reaksi yang diberikan oleh Haura.

Haura segera berlari ke arah Mikael. Namun dia menghentikan langkahnya apabila menyedari yang dirinya semakin hampir dengan lelaki itu. Kata-kata Suri bergema di kepalanya.


"Dia bencikan kau."

Haura cuba untuk mengawal dirinya. Terlalu banyak soalan yang ingin dia ajukan pada lelaki itu sehingga satu kata pun tidak keluar dari mulutnya. Perasaannya bercampur baur antara sebak dan gembira. Haura sendiri tidak tahu untuk menggambarkan perasaannya pada saat itu.


"Apahal kau ni? Tenung aku macam tu." soal Mikael setelah melihat Haura berkelakuan yang agak aneh itu. Dia tidak pernah melihat Haura sebegitu.


"A-awak okay ke? Ada sakit dekat mana-mana?" tanya Haura. Suaranya terketar-ketar. Dia menggenggam kuat kedua belah tangannya menahan rasa.


"Soalan apa yang kau tanya ni?" soal Mikael kembali. Dia pelik dengan kelakuan Haura itu.


"Kenapa awak tak reply mesej saya? Kenapa awak tak jawab call saya?" soalnya bertubi-tubi. Hatinya rasa sungguh sebak.


"Kau okay ke tak? Lain macam je aku tengok." dengan lembut Mikael bertanya setelah melihat keadaan Haura.


"Macama mana saya nak okay kalau awak...." Haura tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dadanya sudah terasa seperti hendak meletup. Haura tertunduk. Dia menarik nafas yang dalam untuk cuba mengawal perasaannya yang kian berkecamuk itu. Mikael terdiam. Dia sungguh bingung.


"Kenapa dengan dia ni. Tak pernah pulak aku tengok dia macam ni. Aku ada buat silap ke? Tak kan sebab aku tak balas mesej dengan call dia kot." tutur Mikael di dalam hati. Matanya tidak lari dari memandang Haura yang tertunduk di hadapannya itu.


"Aku pergi airport ta......" belum sempat Mikael menghabiskan kata-katanya Haura dengan laju memotong.


"Awak pun nampak okay jadi saya anggap tak ada apa-apa yang serius berlaku." ujar Haura mendatar.


"Benda yang serius? Apa maksud kau?" soal Mikael ingin tahu. Dia benar-benar buntu memikirkan kenapa Haura tiba-tiba sahaja berkelakuan yang sedemikian.


"Saya minta diri dulu." ujar Haura lagi tanpa menghiraukan pertanyaan dari Mikael itu. Dia kemudian membuka langkah yang laju untuk keluar dari bilik itu kerana dia terasa sungguh lemas.


"Tunggu!" Mikael menghalang. Langkah Haura terhenti seketika. Mikael pergi mendapatkan Haura. Dia berdiri di hadapan wanita itu.


"Apa maksud kau? Boleh tolong jelaskan pada aku tak, biar aku faham." tanya Mikael.

Haura hanya mendiamkan dirinya. Bukan kerana dia tidak mahu menjawab tetapi dadanya berasa sungguh sebak sehingga tidak mampu untuk berkata-kata. Sekali lagi Haura cuba melangkah keluar tetapi kali ini Mikael memegang tangan Haura dari bergerak meninggalkannya di situ.


"Aku tanya kau ni, kau dengar tak? Jangan buat aku naik angin boleh tak?" ujar Mikael sambil tangannya menggenggam pergelangan tangan Haura.


"Lepaslah....." ujar Haura sambil meronta-ronta untuk meloloskan dirinya dari genggaman Mikael.


"Aku tak akan lepaskan kau selagi kau tak bagitahu aku kenapa kau jadi macam ni. Aku ada buat silap dengan kau ke? Tak kan sebab aku tak jawab call kau sampai kau nak merajuk macam ni." balas Mikael panjang lebar.


"Saya risaukan awak." ujar Haura sambil memandang tepat ke mata Mikael. Mata mulai berkaca.

Setelah mendengar apa yang diungkapkan oleh Haura itu perlahan-lahan Mikael melepaskan genggaman tangannya. Dia rasa sangat terkejut.


"Semalaman saya tidur tak lena sebab fikirkan pasal awak." Akhirnya Haura membuka mulut. Suaranya tersekat-sekat. Hatinya terasa sungguh sesak.


"Saya ingatkan ada sesuatu yang buruk dah jadi pada awak sebab tu saya mesej dan call awak berkali-kali. Tapi satu pun awak tak respon." Air mata Haura sudah hampir melimpah di saat di meluahkan rasa di dadanya itu.


"Saya tahu awak tak suka saya jadi PA awak, tapi jangan la buat saya tertanya-tanya macam ni." Haura tertunduk. Dia menyeka air mata yang jatuh mengalir dipipinya. Mikael terdiam. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan pada ketika itu. Haura kemudian berjalan laju keluar dari bilik itu meninggalkan Mikael sendirian.

Dengan rasa yang oenuh gelora di dada Haura berlari menuju ke aras paling atas iaitu bumbung bangunan. Di sana Haura menyorok di sebalik dinding dan melepaskan tangis sepuas-puasnya.


"Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku mesti rasa macam ni? Aku sepatutnya bersyukur sebab dia tak apa-apa. Tapi... kenapa hati aku rasa sakit sangat." tuturnya di dalam hati. Air matanya tak berhenti mengalir.

Mikael masih tercegat di dalam biliknya. Waktu bagaikan terhenti seketika. Mikael bingung. Perlahan-lahan dia berjalan untuk duduk di kerusinya. Jiwa dan mindanya terasa kosong. Dia tidak dapat berfikir dengan waras.

Dup! Dap! Dup! Dap!

Bunyi degupan jantungnya amat kuat sehingga kedengaran di telinganya. Mikael meletakkan telapak tangannya di dada dan di usapnya perlahan. Fikirannya melayang jauh memikirkan tentang Haura.


"Apa maknanya semua ni?" bisik Mikael perlahan.

*****

Naimah berjalan masuk ke dalam bilik Puan Sri Normah. Dia seperti ingin menyampaikan sesuatu kepada bosnya itu.


"Mikael dah masuk office ke?" tanya Puan Sri Normah.


"Dah puan sri." balas Naimah ringkas.


"Nanti panggil dia untuk jumpa saya segera." Naimah mengangguk faham.


"Puan sri, saya rasa ada sesuatu yang berlaku antara Haura dan Mikael."


"Kenapa kamu cakap macam tu? Apa yang kamu nampak?"


"Saya baru je lepas nampak Haura berlari keluar dari bilik sambil menagis. Tapi saya tak pasti la punca yang sebenar. Mikael saya tak nampak pulak." ujar Naimah selaku mata-mata Puan Sri Normah. Sejak Naimah kembali bertugas dia sudah mengarahkan Naimah untuk memerhatikan gerak geri Haura dan juga Mikael.


"Mesti ada perkara yang dah jadi antara mereka. Tapi tak apa kamu teruskan perhatikan mereka berdua. Apa-apa hal kamu terus maklumkan pada saya." balas Puan Sri Normah. Naimah kemudian keluar untuk pergi memanggil Mikael.

Mikael melangkah masuk seperti biasa. Dia tidak menunjukkan kegusaran dihatinya itu.


"Mana kamu pergi? Dari pagi lagi nenek tunggu kamu." ujar Puan Sri Normah. Mikael tersenyum sambil mengambil tempat di samping neneknya itu.


"Sorry sangat nek. Tadi Mika pergi airport, ambil Aunty Rita."


"Oh yeke? Sepatutnya kamu bagitahu la nenek sepatah kata. Ni tak terus diam membisu." balas neneknya itu.

Rita adalah adik kepada Dato Rizal, merangkap ibu saudara kepada Mikael. Dia bekerja sebagai doktor psikiatri di luar negara. Sebelum ini Mikael pernah mendapatkan rawatan dengannya selama beberapa tahun sebelum Mikael dibenarkan pulang semula ke Malaysia.


"Nenek nak tanya sikit dengan kamu ni."


"Tanya apa nek?"


"Nenek tengok Haura macam lain macam sikit hari ni, kenapa ye? Kamu ada buli dia ke sampai dia moody macam tu." tanya Puan Sri Normah. Mikael terdiam. Dia tidak menyangka neneknya iti akan bertanyakan tentang Haura.


"Y-yeke nek? Mika tak perasan pulak. Macam biasa je Mika tengok dia." balas Mikael cuba berdalih.


"Kamu jangan nak buli dia pulak. Bukan lama pun dia kongsi bilik dengan kamu tu. Jangan nak bagi tekanan sangat pada dia. Kamu kena tahu yang perempuan ni ada ketikanya emosi dia sangat rapuh. Walau kuat macam mana pun dia sebelum ni akan ada masanya dia jatuh." tutur Puan Sri Normah panjang lebar dengan harapan cucunya itu akan faham.

Mikael hanya mendiamkan dirinya tanpa sepatah kata. Dia terbayangkan wajah Haura yang merah serta matanya yang berkaca. Sekali lagi fikirannya melayang memikirkan wanita itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience