BAB 28

Drama Completed 919171

Satu balang popcorn dipangku oleh Mona sebagai peneman dikala dia menonton sebuah filem seram dari negara seberang, Thailand, bertajuk ‘Coming Soon’ di kaca televisyen. Tangannya tak berhenti menyuap popcorn ke dalam mulut. Dikunyahnya perlahan. Haura datang dari arah dapur dengan membawa dua tin air 7UP lalu diletakkan di atas meja kopi.


“Semata-mata sangat kau datang sini, kan. Nak suruh aku teman kau tengok cerita ni. Nak sangat tengok cerita hantu tapi penakut.” Ujar Haura sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Mona.


“Alah, bukannya selalu. Alang-alang aku tengah free aku datang la sini. Sambil-sambil tu boleh la aku bergosip dengan kau.” Balas Mona. Matanya masih tertumpu pada cerita tersebut. Haura tersenyum. Dia turut sama melayan filem tersebut.

Sepanjang 1 jam 30 minit menonton berkali-kali mereka menjerit kerana terkejut. Disusuli pula dengan ketawa yang terbahak-bahak kerana tertawakan diri mereka sendiri. Mona menekup muka dengan kedua belah tangannya. Dia mencuri-curi lihat cerita itu dari celah-celah jarinya sahaja. Haura pula menyorokkan wajahnya disebalik bantal kecil.

Usai menonton cerita, Mona mengemas serba sedikit di ruang tamu manakala Haura mencuci pinggan di dapur. Jam sudah hampir menjengah pukul 1 pagi.


“Haura, kita kan tengok cerita ni. Jadi kita akan dapat nasib yang sama ke?” Mona mereka-reka cerita, berseloroh dengan Haura.


“Iyelah Mona. Macam mana kalau dia ikut kita? Nanti kita pun akan turut terperangkap dalam movie tu jugak la kan.” Haura turut melayan drama yang dicipta Mona itu. Mereka berdua kemudian tertawa.


“Tadi mommy Dazrin datang serang aku dekat office.” Haura menukar cerita. Dirinya masih lagi berdiri di sinki dapur. Mata Mona terbeliak.


“Pasal gosip tu ke?” soal Mona ingin tahu. Dia segera menutup tv yang terpasang di depannya. Telefon bimbitnya juga diletakkan di sisi demi fokus pada cerita Haura.

“Ha’ah.” Balas Haura pendek sambil mengelap tangannya menggunakan tisu. Haura kemudian berjalan ke ruang tamu. Mona tidak berpuas hati dengan jawapan Haura yang sangat simple itu.


“Apa yang dia dah buat pada kau? Dia ada cederakan kau ke?” tanya Mona. Haura menggelengkan kepalanya.


“Bukan aku. Tapi ada orang lain yang cedera.” Tutur Haura sedikit lemah. Dia melepaskan keluh. Dahi Mona berkerut.


“Kalau bukan sebab dia aku tak tahu apa yang jadi pada aku tadi.” Tambah Haura lagi.


“Siapa? Dazrin?” sekali lagi Haura menggelengkan kepalanya.

“Mikael…” jawab Haura. Mona tertawa sinis seperti tidak percaya. Haura lantas memandang Mona.


“Mamat tak guna yang selalu sakitkan hati kau tu? Harap muka je hensem tapi perangai haprak.” Balas Mona. Dia masih lagi tidak dapat menahan tawanya itu. Haura mengangguk.


“Aku rasa kan, dia tu okay je sebenarnya tapi perangai dia yang dingin dan suka cari salah orang tu yang buat aku sakit hati. Tapi tadi dia lain sangat.” Balas Haura mengenangkan kejadian di tempat letak kereta tadi.


“Lain macam mana maksud kau?”


“Kan aku ada bagitahu kau hari tu pasal aku gaduh dekat office. Tadi dia tiba-tiba minta maaf dengan aku sebab dia tengking aku tempoh hari. Macam tak percaya pulak.” Ujar Haura panjang lebar.


“Alah! Memang patut pun dia minta maaf dengan kau. Sepatutnya hari tu lagi tau.” Balas Mona sedikit kasar. Dia sungguh geram dengan sikap Mikael yang telah bertindak secara membabi buta itu.


“Ish kau ni. Dah lah, dah lewat ni. Aku masuk tidur dulu. Nanti jangan lupa tutup lampu.” balas Haura mematikan perbualan. Mona mengangguk. Haura kemudian berjalan menuju ke biliknya.

*****

Hari ini kesihatan Pak Wahid tidak begitu baik jadi anaknya, Zaidi telah mengambil alih tugas Pak Wahid sebagai pemandu keluarga Puan Sri Normah. Zaidi menghentikan kereta yang dipandunya di depan pintu masuk sebuah hospital swasta. Datin Norlie yang berada di tempat duduk belakang mempersiapkan diri untuk keluar.


“Terima kasih Zaidi. Nah, ambil ni.” Tutur Datin Norlie lemah lembut. Dia kemudian menghulurkan wang kertang bernilai RM50 sebanyak tiga keping kepada Zaidi.


“Eh! Duit apa ni datin?” soal Zaidi sopan.


“Ambil ajelah duit ni. Buat belanja kamu.” Balas Datin Norlie.


“Tak apa datin. Duit saya masih cukup lagi ni.” Zaidi menolak.


“Kamu ambil je. Anggaplah sebagai pemberian dari saya buat kamu. Lagipun saya dah anggap kamu ni dah macam anak saya sendiri.” Balas Datin Norlie. Zaidi tidak sanggup untuk menolak lalu mengambil wang tersebut dari pegangan Datin Norlie.


“Terima kasih datin.” Balas Zaidi sambil tersenyum. Datin Norlie kemudian keluar dari kereta tersebut.

Ketika di lobi hospital, Datin Norlie telah ternampak kelibat seorang lelaki yang sangat mirip dengan abang iparnya, Dato Zubir yang dilihat sedang berjalan dengan tergesa-gesa. Dia cuba mengejar lelaki tersebut namun dia telah hilang jejak disebalik pintu. Datin Norlie kemudian berpatah balik lalu segera menuju ke bilik Dato Rizal.


“Bang, dekat lobi tadi Nor ada terserempak dengan abang Zubir. Dia datang jumpa abang ke?” tanya Datin Norlie kepada suaminya.

Dato Rizal hanya mendiamkan diri seolah-olah tidak mendengar pertanyaan itu. Gerak geri serta riak diwajahnya sedikit mencurigakan. Sebolehnya dia tidak ingin menjawab pertanyaan itu. Dia juga berharap isterinya itu tidak akan menyedari akan perkara tersebut.


“Abang dengar tak apa yang Nor cakap ni.” Datin Norlie menyoal. Geram sungguh dia dengan kelakuan suaminya itu.


“Ye abang dengar. Dia tak ada datang jumpa abang pun.” Balas Dato Rizal malas. Sesekali dia mengerling ke arah isterinya itu.


“Kalau dia tak datang jumpa abang buat apa dia datang dekat hospital ni? Dia ada sakit kot bang.” Datin Norlie tertanya-tanya.


“Ish kamu ni Nor, jangan nak mengarutlah. Entah-entah orang yang kamu nampak tadi tu bukan dia tapi orang lain. Pelanduk dua serupa.” Balas Dato Rizal.

Datin Norlie menganggukkan kepala tanda setuju dengan apa yang dikata oleh suaminya.


“Jomlah, nanti lewat pulak.” Dato Rizal mengajak isterinya.

*****


“Bulan depan saya akan buat majlis doa selamat sempena ulangtahun kelahiran saya.” Puan Sri Normah memaklumkan perkara tersebut dalam sebuah mesyuarat di pejabatnya.

Sudah menjadi rutin tahunan, setiap kali tiba ulangtahun kelahiran, beliau akan meraikannya dengan mengadakan majlis doa selamat di kediamannya bersama anak-anak yatim. Majlis seperti ini memang sudah menjadi kewajipan baginya.


“Saya nak Haura uruskan semua perihal berkaitan majlis itu nanti. Laila, saya nak kamu bantu Haura sepanjang persiapan tu nanti.” Laila mengangguk faham. Suri yang turut berada bersama di situ membuntangkan matanya kerana terkejut dengan apa yang baru diperkatakan oleh Puan Sri. Dia mengetapkan bibirnya.


“Baik, Puan Sri.” balas Haura sambil mencatat maklumat penting ke dalam planner miliknya.


“Dazrin, Mikael, macam biasa kamu berdua pun tolonglah Haura nanti ye.” Puan Sri Normah memberi peringatan kepada kedua cucunya itu. Dazrin mengangguk faham kemudian memandang Haura. Haura tersenyum kepadanya.

“Laila dah ada untuk bantu, kan? Buat apa Mika nak kena bantu lagi.” Balas Mikael kasar.

Semua orang di dalam bilik mesyurat itu terkejut dengan jawapan dari Mikael itu termasuk Puan Sri Normah. Dia tahu ada sesuatu yang telah berlaku kepada cucunya itu.


“Atau kamu nak nenek tukar tugas. Biar kamu dengan Haura je yang uruskan semua ni?” Puan Sri Normah mengertak Mikael. Mata Mikael terbuntang.


“Apa ni nek! Tak naklah!” Kata-kata Mikael itu sungguh tajam menusuk ke hati Haura.

Hatinya terasa sungguh sakit mendengar jawapan dari Mikael. Air mukanya turut berubah. Dia dapat rasakan yang Mikael sungguh tidak senang akan dirinya. Puan Sri Normah melirik ke arah Haura.


“Kalau tak nak, kamu ikutlah apa yang nenek bagitahu tadi.” Balas Puan Sri Normah. Mikael kemudiannya mengangguk malas.

Selepas insiden di tempat letak kereta tempoh hari, Haura menjangkakan hubungannya dengan Mikael akan ada sedikit perubahan. Namun sia-sia. Mikael masih lagi dengan sikapnya yang dulu.

Tetapi Haura perasan sikap Mikael pada hari itu sangat berbeza. Tidak seperti Mikael yang dia kenal. Dari pandangannya sahaja sudah dapat tahu betapa sombong dan angkuhnya lelaki tersebut. Namun sikapnya kali ini menjadi berkali-kali ganda lebih teruk. Haura cuba untuk bermanis muka dengan Mikael namun tetap dibalas kasar oleh Mikael.


“Saya pulak macam mana Puan Sri? Nak kena buat apa je?” Soal Suri yang setia menantikan tugas yang akan diberikan kepadanya.


“Maaf saya terlupa pasal awak. Untuk kali ni awak tolong cover kerja-kerja mereka berdua ni di pejabat.” Balas Puan Sri Normah. Suri mengangguk. Senyumannya kelat.

Dia tidak menyangka tugas yang sudah bertahun dikendalikan olehnya kini dirampas oleh Haura dalam sekelip mata sahaja. Suri menjeling tajam ke arah Haura. Tangannya digenggam kuat menahan marah. Suri tahu jika puan sri mengamanahkan seseorang untuk menguruskan majlisnya maka orang tersebut adalah orang yang paling dipercayai oleh Puan Sri Normah.


“Saya rasa itu je buat masa ni, kalau tak ada apa-apa boleh bersurai.” Puan Sri Normah menamatkan perbincangan.


“Mikael, kamu tunggu sekejap. Nenek ada benda sikit nak bincang dengan kamu.” Arah Puan Sri Normah. Mikael yang baru mengangkat punggungnya dari kerusi terpaksa membatalkan niatnya itu.

Seorang demi seorang berjalan keluar dari bilik mesyuarat tersebut. Kini hanya tinggal Mikael dan Puan Sri Normah. Tanpa memanjangkan waktu wanita itu terus menyuarakan apa yang terbuku dihatinya.


“Kenapa dengan kamu ni Mikael? Dua tiga hari ni nenek tengok perangai kamu ni lain macam.” Soal Puan Sri Normah penuh prihatin.


“Mana ada nek. Mika rasa sama je macam biasa. Apa yang lainnya.” Balas Mikael mendatar.


“Kamu ada masalah dengan Haura ke?” Puan Sri Normah cuba meneka.


“Dah kenapa nenek tanya soalan macam tu.” Mikael terkejut apabila ditanya soalan itu.


“Iyelah sejak Haura tu kerja dekat sini nenek perasan perangai kamu ni makin menjadi-jadi. Atau kamu memang tak suka dengan keputusan nenek yang ambil Haura kerja dekat sini.” Balas Puan Sri Normah.


“Bukan tak suka nek tapi…. Entahlah Mika pun tak tahu nak explain macam mana. Dengar suara dia je boleh buat Mika bad mood satu hari.” Balas Mikael. Air mukanya keruh.

Dia sendiri tidak tahu mengapa dirinya menjadi sebegitu apabila berdepan dengan insan yang bernama Haura. Kadang-kadang hatinya menjadi sakit yang teramat apabila berdepan dengan wanita itu. Padahal Haura tidak melakukan apa-apa kesalahan kepadanya.


“Kamu ingat nenek tak tahu ke macam mana kamu layan dia dekat sini? Nenek ada mata-mata yang memerhati tau.” Bidas Puan Sri Normah. Dia tahu sikap cucunya itu macam mana. Bukan Haura seorang sahaja yang telah menjadi mangsanya. Mikael terkedu.


“Kalau iye pun kamu tak suka dia, kamu tak boleh layan dia macam tu. Kita kerja satu office dan kamu pewaris syarikat ni kena tunjukkan sikap yang professional. Jangan campur adukkan urusan kerja dengan hal peribadi. Isu kamu tak suka dia kamu kena tolak tepi bila kamu ada di office.” Tambahnya lagi.


“Iyelah.. Mika janji.” Balas Mikael setelah ‘dibasuh’ oleh neneknya itu.


“Jadi macam mana dengan permintaan arwah atuk? Ada apa-apa perkembangan.” Puan Sri Normah menukar topik perbualan.


“Permintaan apa? Kahwin?” balas Mikael malas. Ini lagi satu hal yang membuatkan otaknya berserabut. Dari segenap sudut dia diasak dengan soalan tersebut. Puan Sri Normah sekadar tersenyum. Melihat reaksi cucunya itu dia sudah tahu apa jawapan yang akan diberitahu oleh Mikael.


“Masa yang sudah berlalu takkan terganti lagi. Gunakan waktu yang ada dengan sebaiknya untuk diri kamu. Nenek pasti kamu akan temui dan kecapi bahagia yang kamu idamkan selama ini.” Balas Puan Sri Normah sebelum melangkah keluar dari bilik tersebut. Mikael diam tidak berganjak.


“Bahagia?” gumam Mikael perlahan. Senyuman sinis terukir nipis dibibirnya. Namun raut wajahnya menunjukkan perkataan ‘bahagia’ itu adalah ibarat sengsara baginya. Hati Mikael bagai dirobek-robek.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience