BAB 62

Drama Completed 919326

Mikael tiba di Lapangan Terbang Tawau seorang diri. Abangnya tidak dapat datang bersama kerana Khayla Miasara, isteri kepada Noah Azrael telah dikejarkan ke hospital.

Mikael berjalan keluar sambil tangannya menarik sebuah bagasi berwarna biru gelap. Matanya melilau melihat sekeliling lalu terlihat seorang orang lelaki berusia sekitar awal 40an dilihat sedang memegang papan tanda Encik Luth, Khazzan Group. Mikael segera menghampiri lelaki itu.


"Encik Budi kan?" tanya Mikael kepada lelaki itu.

Dato' Zubir telah memberitahu Mikael bahawa Budi orang yang akan menjemputnya apabila dia tiba di lapangan terbang kelak.


"Ya, saya Budi. Encik ni......"


"Saya Luth..... Mikael, wakil bagi pihak Dato' Zubir untuk meeting bersama dengan Dermaga Holdings." balas Mikael sambil melirik ke arah papan tanda yang ada di tangan Budi itu.

Budi kemudian terus membawa Mikael menuju ke keretanya untuk bergerak pulang ke resort. Dia sudah sedia maklum yang Noah Azrael tidak dapat bersamanya pada hari tersebut.

Setelah memakan masa 2 jam lebih akhirnya Mikael tiba di resort tersebut. Suasana di pulau tersebut sungguh nyaman tambahan pula permandangannya juga tidak kurang hebatnya seperti di luar negara. Budi terus membawa Mikael ke biliknya untuk berehat.


"Encik boleh berehat dahulu dekat sini. Kalau ada apa-apa encik boleh panggil saya." ujar Budi. Mikael menganggukkan kepalanya.


"Okay baik. Terima kasih." balas Mikael ringkas. Budi kemudian keluar meninggalkan Mikael sendirian.

Mikael merebahkan tubuhnya di katil sambil melepaskan keluh yang berat. Dek perjalanan yang jauh tubuhnya berasa sedikit penat. Akhirnya Mikael terlelap jua.

*****

Puan Sri Normah sedang berada di dalam biliknya. Dia kelihatan seperti sedang bersiap untuk keluar.

Knock! Knock!

Seraya pintu biliknya diketuk, wajah Naimah terpampang disebalik pintu. Wanita itu segera melangkah masuk diikuti oleh Jannatul Haura.


"Puan Sri nak jumpa dengan saya ke?" tanya Haura. Puan Sri Normah menganggukkan kepalanya sambil menyuruh Haura untuk duduk.


"Naimah, tolong bagitahu pada Wahid lagi 15 minit saya turun." arah wanita itu kepada pembantunya. Dia kemudian datang menghampiri Haura.


"kamu free tak esok?" tanya Puan Sri Normah kepada Haura.


"Free. Kenapa ya Puan Sri."

Tanpa melengahkan masa Puan Sri Normah terus memberitahu kepada Haura tentang Azrael yang tidak dapat pergi ke Sabah kerana isterinya sedang bertarung nyawa untuk melahirkan anak sulung mereka. Lalu dia meminta Haura untuk pergi menggantikan tempat Azrael tanpa Haura tahu bahawa Mikael telah pun berada di sana.


"Berapa hari saya akan pergi ke sana?" tanya Haura.


"Lebih kurang 3 hari."


"Kenapa saya Puan Sri? Saya rasa Mikael atau Dazrin lebih layak untuk pergi ke sana sebab saya tak tahu apa-apa pun pasal projek tu." Haura masih tidak yakin dengan keputusan yang dibuat oleh Puan Sri Normah itu.


"Jadi kamu tak boleh pergi la ni?" ujar wanita yang hampir sebaya dengan opahnya itu.

Haura mula menjadi serba-salah. Pada mulanya dia tidak mahu untuk ke Sabah bagi menggantikan tempat Azrael kerana dia sudah buat perjanjian dengan Mikael.

Hujung minggu ini lelaki itu ingin membawa Haura berjumpa dengan ibunya. Semua itu adalah perjanjian yang telah mereka persetujui untuk saling menyamar menjadi pasangan masing-masing. Namun setelah di pujuk oleh Puan Sri Normah akhirnya Haura bersetuju.


"Baiklah saya akan pergi. Tapi kalau saya gagal macam mana?"


"Tentang itu kamu tak perlu risau. Dekat sana dah ada seorang wakil dari Khazzan Group, kamu cuma perlu assist dia je. Lagipun dokumen penting untuk meeting tu masih ada dekat sini sebab tu juga saya terpaksa hantar kamu ke sana." jelas Puan Sri Normah panjang lebar. Haura menganggukkan kepalanya.


"Flight kamu esok pagi ye. Hari ni kamu boleh balik awal untuk siapkan barang kamu untuk ke Sabah esok. Jangan lupa bawa dokumen ini sekali. Penting." tambah Puan Sri Normah lagi sambil menghulurkan fail kepada Haura. Haura menerimanya dengan hati yang berat.

Usai perbincangannya dengan Puan Sri Normah, Haura kembali ke mejanya. Dia membelek-belek fail yang diberikan oleh Puan Sri Normah sebentar tadi. Dia cuba untuk memahami isi kandung yang terdapat pada setiap helaian dokumen tersebut.

Sedang dia asyik menelaah dokumen itu, tiba-tiba telefon pejabatnya berdering. Mungkin kerana terlalu khusyuk Haura sangat terkejut dengan deringan itu. Hampir terpelanting fail yang ada ditangannya itu. Tanpa membuang masa dia terus menjawab panggilan tersebut.


"Hello, Khazzan Group. Boleh saya bantu?" sapa Haura mesra.


"I nak bercakap dengan Mikael. Sambungkan panggilan I pada dia sekarang." Ujar wanita di sebalik telefon. Nadanya kedengaran sedikit kasar.


"Maaf cik. Encik Mikael tak masuk office hari ni. Cik nak tinggalkan apa-apa pesanan ke? atau...."


"What? Dia tak masuk office? Dah 2 hari I call nombor personal dia tapi tak berangkat. Dia pergi mana eh?"

Haura terkedu buat seketika. Belum sempat dia menghabiskan ayatnya wanita itu telah cepat mencelah. Lebih mengejutkan apabila wanita itu mengatakan dia telah cuba menghubungi Mikael sendiri tetapi tiada jawapan. Haura mula mengerutkan dahinya.


"Encik Mikael memang tak ada bagitahu apa-apa pada saya ataupun tinggalkan sebarang pesanan. Saya minta maaf ye cik." balas Haura penuh sopan.

Namun jawapan yang diberikan oleh Haura tidak dapat diterima oleh wanita itu. Tanpa rasa bersalah dia terus memarahi Haura secara membabi buta.


"You buat kerja ke tak? Bos you pergi mana pun you tak tahu. Pekerja jenis apa you ni? Makan gaji buta ke? You ingat office tu datuk you yang punya ke?" marah wanita tersebut. Darah Haura secara automatik menggelegak apabila wanita itu menuduhnya tanpa usul periksa. Namun dia cuba untuk mengawal rasa marahnya itu demi menjaga nama baik syarikat.


"Maaf sekali lagi ye cik. Saya memang tak tahu tentang keberadaan Encik Mikael sekarang ini. Kalau saya tahu sekalipun saya tak akan bagitahu cik kot. Saya rasa mesti ada sebab kenapa Encik Mikael tidak jawab panggilan peribadi cik tu, kan. All the best and good luck. Semoga pencarian cik membuahkan hasil." balas Haura pedas.

Tanpa sempat wanita itu membalas Haura segera meletakkan ganggang telefonnya dengan kasar.

Haura terus berdiri. Dia menarik lalu menghembuskan nafasnya berulang kali bagi menenangkan dirinya. Tangannya tak henti-henti mengibas mukanya yang mula berumah menjadi merah.

Rasa marahnya sudah hampir sampai ke kemuncak. Dadanya turut berombak dek rasa geram dengan kata-kata wanita tersebut.


"Mulut macam puaka. Suka hati je cakap aku ni makan gaji buta. Aku bukan main struggle lagi kerja dekat sini sebab nak kena hadap perangai bos yang emo je memanjang." bebel Haura. sesekali dia mengusap dadanya yang kian berombak.


"Sabar Haura. Kau jangan macam-macam. Tak pasal-pasal nama kau trending lagi sekali dekat office ni." Haura cuba memujuk dirinya. Setelah dirinya kembali tenang di duduk kembali di kerusinya. Dia segera mengeluarkan telefon bimbit dari dalam laci lalu cuba menghubungi Mikael namun masih jua tidak dijawab.


"Tak payah cakap perempuan tu lah, aku pun mental kalau kena palau macam ni. Hari ni saja dah berapa kali aku call dia sekali pun tak angkat. Manalah kau pergi Mikael oii... Lagi lama aku kerja dekat sini boleh jadi gila agaknya." omel Haura lagi.

*****

Kringgg! Kringgg!

Untuk kesekian kalinya telefon bimbit Mikael berdering. Dia yang agak kepenatan bangkit dengan lemah untuk mengambil telefonnya yang berada di atas meja sisi katil.

Dia melihat gerangan si pemanggil dengan matanya yang separa terbuka. Beberapa ketika kemudian dia membaling perlahan telefon tersebut ke atas katil kemudian merebahkan kembali tubuhnya pada tilam empuk itu dalam posisi meniarap. Setelah beberapa minit akhirnya deringan tersebut berhenti.

Beep! Beep!

Tiba-tiba satu notifikasi WhatsApp masuk ke telefon milik Mikael itu. Dengan malas dia mencapai telefon tersebut. Mata Mikael yang pada awalnya masih kuyu terus terbuntang luas apabila membaca isi kandung mesej yang diterimanya.


"I dah ada dekat depan rumah you. I bagi you pilihan sama ada you nak angkat call I atau you nak I masuk dalam rumah you, jumpa dengan nenek dan parents you. You buat pilihan, I bagi you masa 5 minit Mika. Kalau you tak call I sekarang, I akan tekan loceng rumah you." - Rissa Arianna

Dengan tergopoh-gapah Mikael terus bangkit dari katil. Tanpa membuang masa dia terus menelefon Rissa kembali. Untuk panggilan yang pertama Rissa sengaja tidak menjawab panggilan itu namun setelah berkali-kali Mikael menghubunginya akhirnya wanita itu menjawab.


"You buat apa dekat rumah I? You balik sekarang." ujar Mikael.


"Sayang, I dah balik Malaysia. hari tu you juga yang suruh I balik kan. So sekarang I dah ada dekat sini. Bila you nak datang jumpa I." balas Rissa dengan nada yang manja.


"Rissa, please leave me alone. Antara you dengan I dah tak ada apa-apa hubungan lagi." ujar Mikael dingin.


"You yang nak putuskan hubungan ni tapi I taknak. I masih sayangkan you Mika. Please jangan tinggalkan I. I sanggup buat apa saja asalkan you stay dengan I." balas Rissa berbaur ugutan.


"Bukan tu isu dia sekarang ni. Biar I berterus terang dengan you. Sejujurnya I dah tak ada apa-apa perasaan pada you tapi kita still lagi boleh berkawan kalau you nak."

Kata-kata yang diluahkan oleh Mikael itu membuat Rissa Arianna terkedu. Dia tidak menyangka lelaki itu benar-benar ingin meninggalkan dirinya.


"So betullah khabar angin yang I dengar tu?" balas Rissa. Namun nada suaranya kini berubah. Tidak lagi kedengaran manja.


"Khabar angin apa pula ni? You tak payah nak mengarutlah Rissa." balas Mikael malas.


"Well, I dah buat keputusan I sendiri. So see you soon, sayang." ujar Rissa sebelum mematikan panggilan tersebut.


"Rissa nanti dulu. Hello? Rissa?"

Mikael merasakan ada sesuatu yang telah dirancang oleh wanita itu namun dia sendiri tidak tahu. Mikael hanya mampu berharap agar wanita itu dapat terima keputusannya itu dengan hati yang terbuka.

*****

Haura bersiar-siar sambil menghirup udara segar di sekitar resort. Terasa sudah sekian lama dia tidak menikmati permandangan indah seperti ini.

Budi telah memaklumkan kepadanya bahawa Encik Luth akan bertemu dengannya pada jam 9.00 pagi esok sebelum mesyuarat bersama pihak Dermaga Holdings dimulakan.


"Harap-haraplah semua akan berjalan lancar. Risau juga kalau aku spoil kan semuanya nanti." bisik Haura sendirian.

Sedang dia asyik melayan perasaannya itu, tiba-tiba bayangan Mikael menjelma di benak fikirannya. Mungkin kerana esok sepatutnya mereka akan berjumpa dengan Datin Norlie. Akan tetapi Haura tidak memberitahu kepada Mikael yang dirinya kini sedang berada di Sabah atas urusan kerja.


"Perlu ke aku bagitahu dia? Kalau aku call bukannya dia angkat pun. Buat makin sakit hati aku ni ada la." tutur Haura sendirian.

Dia sebenarnya risau jika dia tidak memaklumkan kepada Mikael, lelaki itu akan bertambah marah akan dirinya nanti. Sehingga kini Mikael masih lagi tidak menghubunginya ataupun membalas semula mesej yang telah dihantar.


"Assalamualaikum, maaf kalau saya mengganggu. Saya nak minta maaf sangat dengan awak sebab esok saya tak dapat tolong awak untuk jumpa dengan mama awak. Saya ada urusan lain yang lebih penting untuk dilakukan." - Haura

Tanpa berfikir panjang Haura terus menekan butang hantar di skrin telefonnya itu. Beberapa hari ini hatinya sungguh gusar melihat perubahan Mikael yang sangat ketara itu. Namun dia masih tidak menjumpai punca mengapa lelaki itu bersikap dingin dengannya.

*****

Mikael meletakkan kembali telefon ke atas meja di sisinya. Dia kemudian menghela keluh yang berat. Seperti ada sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya. Dia kemudian mencapai gelas di atas meja lalu menyedut jus epal miliknya itu.


"Ego sangat ke aku ni? Kenapa aku sama sekali tak boleh untuk berdepan dengan dia walaupun sekejap? Perasaan aku bercampur baur." tutur Mikael sendirian.

Mikael baru sahaja membaca mesej yang dihantar oleh Haura. Tindakan yang di ambil oleh Mikael dengan tidak menghiraukan Haura sangat drastik sehinggakan dia sendiri tidak tahu kenapa dia bertindak sedemikian.


"Aku nak jumpa dia. Aku nak dengar suara dia. Tapi aku tak boleh.... buat masa sekarang ni...." bisiknya lagi.

Tidak lama kemudian Budi datang menghampiri. Dia kelihatan seperti ingin menyampaikan sesuatu kepada Mikael.


"Encik Luth, untuk meeting besok encik perlu terus pergi ke site. Pihak Dermaga Holdings nak berjumpa dekat sana." ujar Budi yang sungguh pekat loghat Sabahnya itu.


"Pukul berapa meeting kita esok?"


"Pukul 11.00 pagi. Saya dah bagitahu pada Cik Jannah untuk jumpa di lobi pukul 9.00 pagi besok." balas Budi. Mikael menganggukkan kepalanya.

Namun Budi tidak terus pergi setelah menyampaikan maklumat tersebut kepada Mikael. Seperti ada sesuatu yang lain ingin disampaikan olehnya.

Mikael menyedari akan perkara itu lalu bertanya kepada Budi.


"Ada apa-apa lagi ke?"


"Maaf encik, saya sebenarnya nak jemput encik datang makan malam dekat rumah saya malam ni. Saya ada buat jamuan kecil sempena hari lahir anak bongsu saya. Itupun kalau encik tak keberatan." ujar Budi teragak-agak.


"Oh yeke. Pukul berapa majlis tu nanti?"


"Sekitar jam 8 malam. Saya boleh ambil encik dekat sini nanti."

"Eh tak apa. Nanti bagi lokasi rumah, kalau saya free inshaAllah saya akan datang." Budi mengangguk faham.

Setelah memberikan alamat rumahnya serta sedikit penerangan barulah Budi berlalu pergi.

*****

Haura melihat jam di tangannya yang sudah menujukan pukul 8.15 malam. Dia mencapai fail di atas katil lalu bergegas keluar dari biliknya.

Keadaan sedikit kelam kabut kerana dia terlupa untuk memberikan fail tersebut kepada Budi untuk diserahkan kepada Encik Luth. Dia kemudian terus mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menghubungi Budi.


"Assalamualaikum Encik Budi. Maaf kalau saya mengganggu encik malam-malam macam ni." sapa Haura sopan.


"Waalaikumussalam, ya Cik Jannah. Ada apa-apa masalah ke dekat resort?" jawab Budi di sebalik telefon.


"Eh tak. Tak ada masalah apa pun. Saya sebenarnya nak minta tolong Encik Budi serahkan dokumen kepada Encik Luth, boleh? Saya lupa nak bagi siang hari tadi."

"Rumah saya tengah ada majlis sekarang ni, tapi tak apa sekejap lagi saya datang ambil dokumen tu." ujar Budi. Haura mula menjadi serba-salah.

"Eh, tak apalah kalau Encik Budi sibuk. Boleh bagi nombor Encik Luth tak? Nanti saya sendiri hantar dokumen ni pada dia." Haura membuat keputusan untuk menyerahkan sendiri dokumen itu kepada Encik Luth.

Puk!

Usai sahaja dia bercakap dengan Budi telefon yang dipegang olehnya telah terjatuh ke lantai dek perlanggaran yang berlaku antara dirinya dengan seorang jejaka.


"Maaf saya tak sengaja." laju ucapan maaf itu keluar dari mulut Haura. Dia tidak menyalahkan lelaki itu langsung kerana dia tahu salah datang dari pihaknya.

Share this novel

norsila
2022-10-05 12:17:29 

bc cm saya yg stress..bukan bdk bdua tu..hahahahaha ...


NovelPlus Premium

The best ads free experience