BAB 61

Drama Completed 919405

Sebuah kereta berwarna putih yang dipandu oleh Datin Noreen bergerak masuk ke perkarangan rumahnya. Dia memarkir kereta tersebut bersebelahan dengan sebuah kereta Lexus LC milik anak lelakinya, Dazrin Ikhwan.

Ketika dia keluar dari perut keretanya, Datin Noreen mengerutkan dahinya sambil mengerling ke arah kereta tersebut. Dia seolah-olah pelik dan tidak percaya apabila melihat kereta anaknya itu.


"Eh, Dazrin ada dekat rumah ke sekarang ni?" bisik Datin Noreen pelik. Dia melihat jam yang terikat rapi di tangan kirinya.

Sungguh jarang perkara ini berlaku kerana Dazrin lebih gemar keluar berjumpa dengan kawan-kawannya atau lepak di rumah Puan Sri Normah. Rumahnya ini hanyalah sekadar tempat persinggahan untuk dia tidur dan menukar pakaiannya sahaja.


"Yanti!" jerit Datin Noreen memanggil orang gajinya.

Setelah memanggil untuk beberapa kali barulah seorang wanita yang berusia dalam lingkungan lewat 30an berlari keluar dengan tergesa-gesa mendapatkan Datin Noreen. Wanita itu lengkap berpakaian seragam berwarna hitam berserta apron berwarna putih.


"Kau pergi mana hah? Aku panggil bukan main susah lagi kau nak keluar." marah Datin Noreen. Cerlung matanya memandang orang gajinya itu.


"Maaf datin, saya sedang mencuci pinggan di dapur." ujar Yanti yang berasal dari negara jiran sambil menundukkan kepalanya.


"Menjawab! Dah, pergi ambil barang aku dekat dalam bonet. Lepas tu bawa naik ke bilik aku terus." arah Datin Noreen kasar.

Tanpa banyak bicara Yanti terus bergegas menuju ke bonet kereta lalu mengeluarkan beberapa buah beg kertas yang berisi barangan dari berbagai jenama.


"Dazrin ada dekat rumah ke?"


"Ada datin. Sudah hampir dua jam juga Encik Dazrin pulang." balas pembantu rumahnya itu.


"Bagus juga dia ada dekat rumah. Bolehlah aku tanya dia pasal perkembangan rancangan dia tu." bisik Datin Noreen di dalam hati.

Dia kemudian mula berjalan masuk ke dalam rumahnya diikuti oleh Yanti di belakang. Datin Noreen merebahkan tubuhnya pada sofa empuk di ruang tamu rumahnya. Seorang lagi pembantu rumah keluar dari dapur dengan membawa dulang kecil yang berisi segelas air.

Datin Noreen mengambil gelas tersebut lalu meneguk air untuk membasahkan tekaknya yang sedikit kering itu. Setelah itu dia meletakkan kembali gelas ke atas dulang lalu memberi isyarat tangan supaya pembantu rumahnya itu beredar dari situ dengan kadar segera.

Dengan pantas pembantunya berundur lalu kembali semula ke dapur. Datin Noreen bersandar pada sofa kemudian menghela keluh yang berat. Mungkin kerana dia berasa penat selepas shopping dengan rakannya tadi.


"Mummy dah balik ke Kak Yanti?"

Tanya Dazrin apabila dia terserempak dengan Yanti di hadapan pintu biliknya. Kebetulan pada waktu itu dia ingin turun ke bawah untuk mengambil sesuatu di dalam keretanya.

Dazrin kemudian mengerutkan dahinya apabila melihat begitu banyak beg kertas berjenama yang dipegang oleh Yanti sehingga penuh kedua belah tangan wanita itu. Ibunya itu kalau sudah keluar shopping, selagi tidak penuh bonet kereta selagi itulah dia akan terus berbelanja.


"Sudah Encik Dazrin. Ini semua barangan datin yang saya perlu letakkan di dalam kamarnya." balas Yanti sedikit mengah kerana baru sahaja usai memanjat belasan anak tangga. Dazrin menganggukkan kepalanya kemudian berlalu pergi.

Datin Noreen yang sedang berehat di sofa sambil memejamkan matanya seketika terdengar seperti bunyi tapak kaki yang berjalan menuruni anak tangga. Perlahan-lahan dia membuka matanya.


"Dazrin! Nak pergi mana tu?"

Pertanyaan dari Datin Noreen itu membuatkan Dazrin sedikit terperanjat. Serta-merta dia mematikan langkahnya. Dazrin menyangkakan ibunya itu sudah terlelap dek kepenatan.


"Nak ambil barang sekejap." balas Dazrin malas. Dia kemudian bergegas keluar menuju ke keretanya.

Beberapa ketika kemudian Dazrin kembali semula dan mendapati Datin Noreen masih lagi berada di ruang tamu menunggu kehadirannya.


"Mummy nak cakap dengan kamu sikit." ujar Datin Noreen.


"Sekarang ke? Lain kali tak boleh ke mummy?" balas Dazrin.


"No, mummy nak cakap sekarang juga. Mummy dah bagitahu kamu hari tu kan."

Datin Noreen tetap berkeras untuk berbincang dengan anaknya pada waktu itu juga. Dazrin mengeluh. Dengan langkah yang berat dia berjalan ke arah ibunya itu lalu melabuhkan punggungnya pada sofa bertentangan dengan Datin Noreen.

Namun keadaan diam buat seketika sebelum Datin Noreen membuka bicaranya.


"Mummy perlukan penjelasan daripada kamu. Tolong ceritakan pada mummy sekarang, mummy nak dengar semua perancangan kamu tu.

Sekali lagi Dazrin melepaskan keluh yang panjang. Dia sudah dapat meneka tentang perkara yang bakal disoal oleh ibunya. Ikutkan hati dia tidak mahu langsung untuk bercakap tentang perkara itu.

Namun nasi sudah pun menjadi bubur. Semua itu berpunca dari dirinya juga apabila dia secara tidak sengaja telah memetik nama Mikael pada Datin Noreen demi menghalang ibunya itu dari membuat kekecohan di restoran tempoh hari.


"Tak ada apapun yang Dazrin nak ceritakan pada mummy." balas Dazrin selamba.


"Tak ada cerita? What do you mean?"


"I'm so sorry mummy. Sebenarnya pada malam tu Dazrin dah tipu mummy. Dazrin ajak Haura keluar dinner sebab Dazrin memang nak keluar dengan dia. Tak ada kena mengena pun dengan Mikael."


"What? Are you kidding me Dazrin?"

Datin Noreen meninggikan suaranya. Pembantunya rumahnya yang sedang mengemas di dapur turut terperanjat mendengar teriakkannya itu. Namun mereka kembali menyambung melakukan tugas masing-masing sebelum dilihat oleh Datin Noreen.


"Demi perempuan tu kamu sanggup tipu mummy?" ujar Datin Noreen dengan penuh amarah di dada. Dia benar-benar tidak percaya anak lelakinya yang selama ini patuh pada arahannya telah berkata dusta dengannya.


"Dazrin tak back up Haura tapi Dazrin cuba melindungi mummy dari mencipta kontroversi yang akan menjatuhkan imej mummy serta syarikat." ujar Dazrin panjang. Sungguh tegas dia menjawab kata ibunya.

Datin Noreen hilang kata di saat mendengar kata-kata anaknya itu. Namun dia masih lagi tidak mempercayainya sepenuh hati. Sejak Haura hadir dalam hidup Dazrin, anaknya itu telah mula melawan katanya.


"Okay, tak apa. Biar mummy sendiri yang akan siasat pasal Mikael tu. Tapi mummy pun nak kamu tahu yang mummy akan buat apa sahaja asalkan perempuan itu tidak masuk ke dalam keluarga kita. Mummy bersumpah!"

Usai menyampaikan kita tersebut Datin Noreen segera mengangkat tubuhnya lalu mencapai beg tangan yang terletak di sisinya lalu berlalu pergi meninggalkan Dazrin sendirian.


"Mummy! Tolong jangan apa-apa kan Haura!" teriak Dazrin merayu kepada ibunya itu.

Namun Datin Noreen tidak menghiraukannya malah wanita itu melemparkan jelingan yang tajam kepada anak lelakinya itu.

*****

Haura berjalan mundar-mandir di hadapan pintu bilik Luth Mikael. Kata-kata Mona telah menghantuinya sepanjang malam. Dia masih berfikir sama ada dia perlu untuk berjumpa dengan Puan Sri Normah ataupun tidak. Fikirannya bercelaru. Sehingga kini Mikael tidak memgendahkannya. Haura merasakan lelaki itu seolah-olah ingin menjauhkan diri darinya.


"Apa aku nak kena buat ni?" tutur Haura sendirian.

Suri yang ternampak Haura sedang mundar-mandir dalam keadaan gelisah terasa sungguh puas. Dia yakin hubungan antara Luth Mikael dan juga Jannatul Haura bakal berakhir meskipun belum bermula.


"Tahniah Suri. Kau dah berjaya buatkan Mikael yang bodoh tu percaya yang perempuan ni ada hubungan istimewa dengan Dazrin. Jadi mudahlah kerja kau lepas ni." ujar Suri sambil tertawa puas. Dia kemudian berlalu pergi untuk meneruskan kerjanya dengan wajahnya terhias dengan satu senyuman yang lebar.

Setelah penat berdiri Haura merebahkan tubuhnya pada kerusi. Kakinya sungguh tidak duduk diam sekali. Digerakkan kakinya tanpa henti dengan laju. Sama laju dengan degupan jantung yang sedang di rasainya.


"Haura kau tak boleh tunggu lagi. Makin lama makin besar salah faham kau dengan Mikael nanti."

Kata hati Haura menyuruhnya untuk berterus-terang. Tanpa berfikir panjang Haura terus bangkit dari duduknya lalu bergegas menuju ke bilik Puan Sri Normah.


"Kamu boleh duduk dulu sekejap lagi Puan Sri akan kembali." ujar Naimah selaku pembantu Puan Sri Normah. Haura menganggukkan kepalanya.

Haura menunggu dengan penuh debaran di hati. Perasaannya bercampur-baur. Beberapa minit kemudian Puan Sri Normah tiba di biliknya itu. Haura bingkas bangun lalu memberi salam hormat kepada bosnya itu.


"Ha Haura, dah lama saya tak berbual dengan kamu. Duduklah dulu." sapa Puan Sri Normah. Haura sekadar menurut perintah.


"Naimah cakap kamu ada benda nak bagitahu saya, apa dia?" tanya Puan Sri Normah lagi.

Apabila soalan itu diajukan kepadanya lidah Haura menjadi kelu. Mulutnya terkunci rapi tanpa sepatah kata pun yang keluar. Puan Sri Normah berasa sedikit pelik dengan kelakuan Haura itu.


"Ada kena mengena dengan Mikael ke?"

Puan Sri Normah cuba untuk memancing Haura supaya lebih terbuka untuk memberitahunya. Meskipun Haura sedikit kaget apabila wanuta tua itu menyebut nama Mikael tetali Haura masih tidak mempunyai kekuatan yang kuat untuk berterus-terang dengan wanita di hadapannya itu.


"Atau kamu nak bagitahu saya pasal gosip yang sedang menjadi buah mulut semua pekerja dekat sini."

Mata Haura terbuntang luas memandang ke arah Puan Sri Normah. Dia mengumpul sepenuh tenaganya untuk berterus-terang dengan wanita yang berada di hadapannya itu.


"Sebelum tu saya nak minta maaf banyak-banyak dengan Puan Sri. Saya tak berniat pun untuk jatuhkan nama baik syarikat ni. Saya betul-betul tak sangka kerana saya terima pelawaan makan malam dari Dazrin telah menyebabkan Mikael menjauhkan diri dari saya." ujar Haura panjang lebar.

Namun dari suara Haura itu Puan Sri Normah tahu bahawa wanita itu sedang dilanda darah gemuruh. Dia mendengar penjelasan dari Haura dengan penuh minat.


"Jadi saya nak minta dengan Puan Sri tolong tarik balik hukuman yang Puan Sri dah kenakan pada Mikael. Dia tak ada kena mengena pun dalam hal ni."


"Saya yang bersalah sebab dah rosakkan imej syarikat dengan gosip murahan saya tu. Saya taknak dia dihukum disebabkan kesalahan yang berpunca daripada saya....." tambah Haura lagi.

Kali ini suaranya mula terketar-ketar. Matanya juga sudah mula berkaca. Jari jemarinya digenggam kuat demi mengawal perasaannya yang makin memberontak.


"Hukuman yang saya bagi pada Mikael?" Puan Sri Normah bertanya kembali kepada Haura. Wanita itu sekadar menganggukkan kepalanya kerana hatinya kian terasa sebak.


"Kamu bergaduh dengan Mikael ke?" tanya Puan Sri Normah. Namun sepantas kilat Haura menggelengkan kepalanya.


"Tak, kami tak bergaduh pun. Sebelum ni dia layan saya elok je tapi lepas gosip ni tersebar dia terus jauhkan diri dari saya."

Hujung bibir Puan Sri Normah sedikit terangkat. Sebuah senyuman yang nipis terukir. Hampir sahaja tidak dapat dikesan oleh Haura.


"Tapi kenapa kamu cakap saya hukum dia pulak?"


"Pada waktu yang sama Puan Sri panggil dia untuk berjumpa. Lepas dia balik dari jumpa Puan Sri la dia terus layan saya acuh tak acuh je."


"Saya rasa kamu ni dah salah faham. Saya tak ada kenakan apa-apa hukuman pun pada dia. Kalau betul saya terkesan dengan gosip kamu tu, buat apa saya nak panggil dia padahal kamu dengan Dazrin yang telah timbulkan isu ni. Betul tak?" ujar Puan Sri Normah sambil tersenyum. Haura memandangnya pelik.


"Kalau Puan Sri tak ada hukum dia kenapa dia berubah sikap dengan saya. Nak tak nak je bila bercakap dengan saya. Saya sangka dia marahkan saya sebab...." belum sempat Haura menghabiskan kata-katanya Puan Sri Normah laju memotong.


"Kamu berdua ni dah saling salah faham. Cuba kamu slow talk dengan dia. Mungkin dia akan okay sikit."

Haura menggelengkan kepalanya. Sudah puas dia mencari peluang untuk bertanya pada lelaki itu namun langsung tidak dihiraukan oleh Mikael.

*****

Mikael menguak pintu biliknya dan mendapati Haura tiada di tempat duduknya. Dia mengerutkan dahi. Wajahnya kelihatan sangat dingin. Kebetulan pada waktu itu Mikael melihat Suri yang baru tiba di pejabat. Dia terus pergi mendapatkan wanita itu.


"Suri, ada nampak PA saya tak?" ujar Mikael sambil melirik ke arah meja kerja milik Haura.


"PA? Kenapa dia tak sebut je nama Haura tu? Dah naik jijik ke dengan perempuan murahan yang kaki kikis tu. Baru kau tahu siapa Haura tu sebenarnya." bisik Suri. Hatinya terasa sungguh bahagia.


"Rasanya dia masih belum balik lagi Encik Mikael. Tadi dia keluar makan dengan Laila." balas Suri sambil tersengih.

Serentak dengan itu Laila muncul dengan membawa satu beg kertas berwarna biru gelap. Dia terkejut melihat Mikael sedang berbual-bual dengan Suri. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena.


"Nanti tolong bagitahu dia yang saya dah tak masuk ke office hari ni." ujar Mikael.

Suri tersenyum lebar sambil menganggukkan kepalanya. Laila yang rasa tidak sedap hati terus datang menyampuk.


"Encik Mikael buat apa dekat sini?" soal Laila lembut. Riak wajah Mikael yang dingin itu membuatkan Laila berasa sedikit gugup.


"Tinggalkan pesanan untuk PA yang sudah hilang jejak." balas Mikael dingin.


"H-Haura ada hal sikit tapi sekejap lagi dia akan masuk office."


"Tak ada masa saya nak tunggu dia. Nanti tolong sampaikan pesanan tu. Lagi satu minta tolong dengan dia jangan contact saya langsung kalau bukan pasal kerja." ujar Mikael sebelum berlalu pergi.

Laila sangat terkejut dengan perubahan sikap Mikael itu. Namun dia sekadar memerhati sahaja lelaki itu pergi sehingga hilang dari pandangannya.


"Apalah yang Haura dah buat kali ni sampai Encik Mikael dah naik benci nak tengok muka dia." tutur Suri dengan nada menyindir. Laila membuntangkan matanya memandang ke arah Suri.


"Mulut kamu tu jaga sikit ye Suri."


"Kau tak nampak lagi ke reaksi yang Mikael bagi setiap kali dia cakap pasal Haura. Lebih teruk lagi sampai nama Haura pun dia dah tak sudi nak sebut. Mungkin dia rasa jijik agaknya."


"Suri!” tempik Laila. Kata-kata Suri itu benar-benar sudah melampau.

Haura terus berlari apabila mendengar suara Laila. Dia tidak tahu apa yang sedang terjadi antara mereka berdua namun dia sungguh terkejut apabila Laila menengking Suri di depan khalayak.


"Suri, kau buat apa ni? Kak Laila, apa yang dah jadi?" tanya Haura.

"Baguslah kau dah datang. Aku ada pesanan istimewa untuk kau."

"Pesanan untuk aku?"

"Encik Mikael cakap dia dah tak masuk office hari ni. Dan dia taknak kau contact dia walau sekali pun."

Suri menyampaikan satu per satu pesanan yang ditinggalkan oleh Mikael kepadanya.


"Huh? Apa yang kau merepek ni? Kak Laila......." Laila menganggukkan kepalanya lemah.


"Kesian betul aku tengok kau ni.Tak habis-habis timbulkan masalah dekat office ni. Kau tak ada rasa malu ke atau rasa bersalah? Kalau aku jadi kau aku malu tau nak tayang muka aku tu dekat sini."


"Suri! Tutup mulut kamu tu!" marah Laila lagi.


"Aku cakap berdasarkan fakta. Perempuan kaki kikis macam dia ni mana cukup satu, mesti nak pasang lebih baru asyukkk...."

Tidak percaya dengan apa yang di dengarinya itu Haura terus berlari menuju ke bilik Mikael. Laila berasa sungguh berang dengan sikap Suri yang seperti menabur garam di atas luka.

"Sekurang-kurangnya ada orang yang berebut nakkan dia. Kamu tu ada ke orang yang nak? Orang busuk hati macam kamu ni kalau baling pada anjing pun dia taknak tau." bidas Laila kasar sebelum pergi mendapatkan Haura.

Suri terkedu. Darahnya kian menggelegak mendengar sindiran dari Laila itu. Tangannya juga menggigil dek rasa marah yang teramat kuat.

Share this novel

norsila
2022-10-02 02:03:09 

poninglah haura ni..dah bos cmtu..bhenti joo lah..kojo..tk ado nk poning kepalo..huuu


NovelPlus Premium

The best ads free experience