BAB 53

Drama Completed 919566

Kereta yang dipandu oleh Dazrin bergerak masuk ke dalam perkarangan rumahnya. Datin Noreen yang sedang menantikan kepulangan anaknya itu segera berlari ke muka pintu. Dia kelihatan tidak tenang dan tidak tentu arah.

Dazrin melangkah keluar dari keretanya. Namun dia agak pelik apabila melihat ibunya tercegat di muka pintu seperti sedang menantikan sesuatu. Dia segera menoleh ke belakang lalu melihat sekeliling. Tetapi tiada apa dibelakangnya. Dazrin menutup pintu keretanya lalu berjalan menghampiri Datin Noreen.


"Mummy buat apa dekat depan pintu ni? Ada orang nak datang ke?" tanya Dazrin sedikit pelik.


"Mummy tunggu kamu. Kenapa lewat sangat balik hari ni?" jawab Datin Noreen. Dazrin menjadi bertambah pelik.


"Tunggu Dazrin? Ada apa mummy? Kenapa tak tunggu dekat dalam je." tanya Dazrin lagi sambil kakinya melangkah masuk ke dalam rumah.

Datin Noreen mengekori anak lelakinya itu sehingga ke ruang tamu. Dazrin kemudian merebahkan tubuhnya di salah satu sofa yang ada di ruang tamu tersebut sambil menghela keluh yang panjang. Sesekali dia mengerling ke arah ibunya.


"Dah buang tabiat ke mummy aku ni? Tiba-tiba je tunggu aku balik kerja. Siap tunggu dekat depan pintu lagi. Padahal sebelum ni tak pernah pun dia tunggu aku balik." bisik Dazrin di dalam hati. Kelakuan ibunya itu telah mencetuskan sedikit rasa curiga di hatinya.


"Mummy okay ke tak ni? Dazrin tengok mummy gelisah semacam je? Ada sesuatu yang tak baik dah berlaku ke?" tanya Dazrin sambil matanya memandang ke arah Datin Noreen yang sedang berjalan mundar-mandir di hadapannya. Perasaan ingin tahunya itu menjadi semakin membuak-buak.


"Ada apa-apa update pasal Mikael? Dah lama kamu tak bagitahu mummy apa-apa berita pasal dia." tanya Datin Noreen seraya menghentikan langkahnya.


"Again, mummy? Dah berapa kali Dazrin bagitahu yang Dazrin tak nak jadi spy mummy lagi." balas Dazrin sedikit kasar.


"So, sekarang ni kamu nak bagitahu mummy yang kamu dah tak ambil tahu langsung pasal kehidupan peribadi Mikael. Macam tu?" tanya Datin Noreen dengan nada yang sedikit marah. Dazrin mengangguk laju.


"Ish... Tak boleh jadi ni. Habis rosak plan aku." tutur Datin Noreen sendirian tetapi dapat didengari oleh Dazrin. Namun dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa pada ketika itu.


"By the way, kamu tahu kan yang Mikael dah nak kahwin tak lama lagi?" ujar Datin Noreen. Dazrin sangat terkejut dengan berita tersebut.


"Apa? Mika dah nak kahwin? Dengan siapa mummy?" soal Dazrin kembali dengan nada yang sangat terkejut. Datin Noreen tidak segera menjawab pertanyaan dari anaknya itu.


"Mummy cuba cool down sikit. Mummy percaya ke dengan berita yang tak tahu datang dari mana ni? Tak mungkinlah Mikael tu akan kahwin dalam masa terdekat ni." balas Dazrin menidakkan berita tersebut.

Pada masa yang sama Dazrin turut tertanya-tanya siapakah gerangan bakal isteri Mikael itu setelah ibunya masih tidak membuka mulut.


"Kenapa kamu cakap macam tu?" tanya Datin Noreen.


"Mummy, Mikael tu girlfriend pun tak ada, macam mana dia nak kahwin. Lagipun mummy tahu sejarah silam dia macam mana kan." balas Mikael lagi.


"Tapi berita ni datang dari mulut auntie kamu sendiri, mama si Mikael tu. Takkan masih tak percaya lagi. Nenek kamu pun cakap benda yang sama jugak." ujar Datin Noreen lagi. Dazrin terdiam tidak berkutik. Dia sungguh tidak menyangka akan perkara itu.


"Dia nak kahwin dengan siapa?" Dazrin tertanya-tanya. Dia sungguh tidak percaya dengan perkhabaran tersebut.


"Maknanya kamu memang tidak ambil tahu la pasal ni." tutur Datin Noreen perlahan.


"Tak. Dazrin memang tak tahu apa-apa pasal ni." balas Dazrin.


"Tak boleh jadi ni. Mummy nak kamu halang perkara tu dari terjadi. Pastikan Mikael tak akan dapat kahwin dengan perempuan tu." ujar Datin Noreen memberi arahan kepada Dazrin.


"Perempuan tu? Siapa dia?" tanya Dazrin lagi.


"Manalah mummy tahu. Nenek dengan auntie kamu tak bagitahu mummy pun. Tapi mummy nak kamu siasat dan cari siapa perempuan tu." jawab wanita itu tanpa rasa bersalah.


"Untuk apa mummy? Nak rosakkan hubungan dia orang ke? Dazrin taknak." Dazrin masih berkeras untuk tidak mengikuti arahan dari ibunya itu. Datin Noreen mula berasa berang.


"Kamu jangan memandai nak ajar mummy. Mummy tahu apa yang mummy buat. Kamu just ikut apa yang mummy suruh. Itupun kalau kamu masih anggap diri kamu tu anak mummy." Datin Noreen mengugut Dazrin.


"Mummy!” Dazrin meninggikan suaranya. Datin Noreen menjeling ke arah anak lelakinya itu.


"No. Mummy dah taknak dengar apa-apa alasan dari kamu lagi. Semuanya terpulang kepada kamu sekarang ni. Kalau kamu rasa kamu tu anak mummy, kamu buatlah apa yang mummy suruh. Cukup simple." ujar Datin Noreen lagi.

Dazrin mati kata. Dia tidak dapat melawan kata-kata ibunya itu. Dia kini di dalam dilema. Meskipun dia tidak suka dengan sikap yang ditunjukkan oleh Datin Noreen itu tetapi dia tetap perlu menghormati wanita itu sebagai ibunya.

***

Haura berjalan menuju ke pantri sambil membawa sebuah buku di tangannya. Dia baru sahaja usai berbual dengan Laila. Dia ke pantri untuk membancuh air buat mereka berdua memandangkan Laila sedang sibuk melakukan tugasnya.


"Apa hubungan kau dengan Mikael? Korang berdua ada apa-apa ke? Dan apa lagi masalah yang kau dah cetuskan kali ni." soal Suri yang tiba-tiba muncul menghampiri Haura yang sedang mengambil sesuatu di rak. Haura sedikit terperanjat. Dia kemudian mengerling ke arah Suri.


"Apa benda yang kau merepek ni?" balas Haura tanpa memandang wajah Suri.


"Dah tu kenapa pagi-pagi buta lagi Mikael cari kau? Kalau kau tak timbulkan masalah takkan dia terhegeh-hegeh cari kau awal pagi macam ni." balas Suri sinis.


"Mikael cari aku? Dah kenapa pulak? Ish.. Mamat ni pun satu hal, tak menyabar langsung. Macamlah aku boleh lari dari dia." bebel Haura di dalam hati. Tangannya tak berhenti membancuh air.


"Woi, kau ni dah pekak ke? Jawablah apa yang aku tanya tu." Suri menujal bahu Haura dengan kasar sehingga air yang dibancuh oleh Haura tertumpah sedikit ke atas kabinet.

Haura mengeluh panjang. Namun dia tetap tidak menjawab pertanyaan Suri itu. Haura mencapai selembar tisu lalu mengelap sisa air yang tumpah itu. Perkara tersebut telah membuat Suri bertambah sakit hati.


"Kurang ajar punya perempuan. Mentang-mentanglah kau kerja dengan Mikael kau nak berlagak dengan aku. Kau memang sengaja nak sakitkan hati aku, kan?" tutur Suri sendirian. Dadanya turun naik dengan laju dek menahan rasa marah yang menyelubungi dirinya.

Setelah usai membersihkan perkakas yang digunakan, Haura mengambil 2 gelas air tersebut lalu mula membuka langkah untuk keluar dari pantri tersebut. Namun Suri tetap jua menghalang. Haura menjeling tajam ke arah Suri.


"Apasal kau tak jawab soalan aku? Kau memang sengaja nak naikkan darah aku kan." ujar Suri kasar. Tangannya sudah mula menggigil menahan marah.


"Aku rasa kau ni dah nyanyuk la Suri. Tapi tak apa biar aku bagitahu kau sekali lagi. Untuk pengetahuan kau aku ni PA Mikael. Memang sah-sah la dia akan cari aku. Takkan dia nak pergi cari kau pulak kan." balas Haura sinis.

Terasa dirinya seperti diherdik oleh Haura, Suri mula bertindak di luar kawalan. Dia telah menolak Haura dengan kasar sehingga rapat ke dinding pantri. Dua cawan air kopi panas yang di pegang oleh Haura turut tertumpah lalu terkena pada tangannya.

Haura mengaduh kesakitan. Hampir saja gelas tersebut terlucut dari pegangannya. Namun dengan pantas dia meninggalkan gelas tersebut ke atas meja yang berdekatan.

Suri menggenggam kuat kolar baju Haura sehingga wanita itu mendongakkan kepalanya dan terasa sedikit lemas.


"Hei, perempuan tak guna! Tolong sedar diri tu sikit, jawatan yang kau pegang sekarang ni asalnya milik aku tau. Bukannya milik kau!” tengking Suri.


"Lepaskan aku lah." ujar Haura sambil meronta-ronta untuk melepaskan diri. Tetapi dia tidak berdaya kerana tangannya terasa sangat sakit dan pedih dek terkena air panas sebentar tadi.

Namun Suri tidak menghiraukan kata-kata Haura itu malah dia melemparkan senyuman yang sinis kepada Haura. Berkali-kali Haura cuba untuk meleraikan genggaman tangan Suri yang kuat itu namun hampa. Suri seolah-olah seperti orang yang sudah hilang akal.

Berbekalkan sisa kudrat yang ada Haura cuba melawan, dan akhirnya dia berjaya meloloskan diri dari genggaman Suri. Wanita itu tertolak sedikit ke belakang dek tolakan yang agak kuat dari Haura.

Tanpa berfikir panjang Haura segera berlari untuk keluar dari bilik tersebut. Namun tindakan Suri lebih pantas apabila wanita itu berjaya menarik tangan Haura dari meninggalkan tempat itu.

Puk!

Sekali lagi tubuh Haura terhentak ke dinding. Kali ini Suri telah bertindak dengan lebih agresif lagi apabila dia telah menghempap dada Haura dengan lengannya. Apabila Haura meronta untuk melawannya, Suri telah memberi tekanan di lehar Haura pula sehingga menyebabkan wanita itu sukar untuk bernafas.


"K-kau dah gila ke Suri. Lepaskan aku. Jangan sampai aku hilang sabar dengan kau." jerit Haura namun suaranya seperti tersekat dikerongkong.


"Kenapa? Kau nak pukul aku? Kau jangan nak berlagak samseng la dengan aku. Aku tanya kau dengan cara baik kan. Kau jawab la elok-elok sikit." balas Suri sinis.


"Macam ni kau cakap cara baik? Tarik orang sesuka hati lepas tu hayun ke dinding. Baik kau cakap? Jari tu tak henti dok tuding atas muka aku. Itu ke istilah tanya cara baik kau tu." bidas Haura kasar. Suri menjadi bertambah berang dengan kata-kata Haura itu.

"Melawan? Kau tak payah nak ajar akulah. Aku tahu apa yang aku buat. Lagipun aku ni senior kau tolong tunjuk rasa hormat tu sikit." ujar Suri sambil memegang dagu Haura. Matanya memandang tepat ke mata Haura namun sedikit pun tiada rasa takut di hati Haura.


"Memang dah kau ni dah gila la Suri. Aku akan hormat kau kalau kau pun hormat aku sebagai junior kau. Tapi yang kau tengah buat pada aku sekarang ni bukan satu tanda hormat tapi satu penindasan." tanpa rasa gentar Haura sekali lagi membidas kata-kata Suri itu. Dia juga turut membalas kembali renungan Suri itu dengan tajam sekali.

Pap!

Satu tamparan hebat singgah di pipi Haura. Terasa seperti ada haba yang mengalir di pipinya. Serentak dengan itu juga Laila berjalan masuk ke dalam bilik pantri tersebut. Dia sangat terkejut melihat apa yang sedang berlaku di depan matanya itu.


"Suri!" jerit Laila. Suri dan Haura serentak memandang ke arah Laila yang sedang berdiri tidak jauh dari mereka berdua. Suri menghela keluh yang panjang.


"Alahai, dah datang dah si kaki penyibuk ni." tutur Suri perlahan. Haura yang mendengar kata-kata itu menjeling memandang Suri.


"Apa yang kamu dah buat ni? Lepaskan Haura sekarang." ujar Laila sambil melangkah untuk mendekati mereka berdua.


"Kau tak payah nak jaga tepi kain oranglah. Kau pergi je buat kerja kau tu." balas Suri kasar. Dia turut menjeling tajam ke arah Laila. Langkah Laila mati untuk seketika.


"Kamu dengar sini ye Suri, akak bagi kamu 2 pilihan. Sama ada kamu nak lepaskan Haura dengan kadar segera atau kamu nak akak report kamu pada pihak atasan." Laila meninggikan suaranya. Kata-kata tersebut juga kedengaran agak tegas di telinga Haura.

Dengan pantas Haura berpaling melihat ke arah Laila. Dia berasa sangat terkejut dengan tindakan yang dilakukan oleh Laila itu. Selama ini dia tidak pernah melihat Laila meninggikan suaranya sebegitu rupa.


"Kau dah pandai nak mengugut aku ke sekarang ni?" soal Suri diikuti dengan ketawa sinis.


"Tak, ini bukan satu ugutan tapi pilihan. Akak bagi kamu peluang untuk pilih jalan yang mana satu kamu nak. Tapi kamu kena ingat satu perkara, silap buat percaturan teruk akibat yang kamu kena tanggung." ujar Laila panjang lebar. Suri masih lagi tidak percaya yang Laila kini sudah pandai melawan kata-katanya.


"Kau ingat aku akan termakan dengan kata-kata kau ni? Semua tu sampahlah." balas Suri kasar.


"Guna akal kamu tu sikit, Suri. Kalau berita ni sampai ke pengetahuan Encik Mikael, kamu ingat dia akan lepaskan kamu dengan mudah ke? Kamu sendiri lebih kenal perangai Encik Mikael tu macam mana, kan?" balas Suri cuba menggoyahkan hati wanita itu. Suri terdiam seketika. Dia menjeling ke arah Haura.


"Dia tak akan tahulah kalau korang tak buka mulut pasal kejadian ni." Suri membalas.


"Sebab tu akak minta kamu lepaskan Haura sekarang. Kamu tahu yang akak tak main-main kan." ujar Laila lagi. Suri berdengus kasar. Ikutkan hati dia tak ingin lepaskan Haura tetapi dia terpaksa demi menghalang dari kelakuannya itu diketahui oleh Mikael.


"Kamu kena ingat, dekat sini ada banyak mata yang sedang memerhati dalam kita tak sedar. Terlalu banyak CCTV bergerak. Silap langkah, lambat laun akan terbongkar juga perbuatan kamu ni." tambah Laila. Suri kemudian melepaskan Haura perlahan-lahan.

Sepantas kilat Laila terus menarik Haura jauh dari wanita itu. Haura menggosok dada serta lehernya yang terasa sakit. Laila segera memeriksa keadaan Haura.


"Haura, kamu tak apa-apa ke? Ada cedera dekat mana-mana tak?" soal Laila dengan nada cemas. Haura menganggukkan kepalanya.


"Saya okay kak. Sikit je ni." balas Haura sedikit lemah sambil melemparkan senyuman yang tawar kepada Laila. Tangannya pula mengusap lembut pipinya yang masih terasa hangat.


"Eiii.. mengada-ngada betul. Dahlah malas aku nak layan kerenah korang berdua ni. Makin di biar makin sakit hati aku ni. Baik aku pergi buat kerja aku lagi bagus." ujar Suri sebelum melangkah pergi.

Namun apabila Suri tiba di depan pintu bilik tersebut kakinya tiba-tiba sahaja berhenti melangkah. Matanya terbuntang luas apabila melihat sosok seorang lelaki yang sedang berdiri tegak di hadapannya. Mulutnya juga turut ternganga. Suasana tiba-tiba sahaja berubah menjadi dingin.


"En-Encik Mikael." ujar Suri tergagap-gagap. Mendengar sahaja nama tersebut keluar dari mulut Suri, Laila segera berpaling ke arah mereka. Dia sungguh terkejut dengan kehadiran Mikael di situ.

Namun berbeza pula dengan Haura. Dia tidak segera berpaling ke arah Mikael malah dia hanya memandang lelaki itu sepintas lalu. Itupun sekadar acuh tidak acuh sahaja.


"A-apa yang encik buat dekat sini?" soal Suri. Mikael memandangnya dingin. Suri sungguh cuak jika Mikael ternampak kejadian yang berlaku sebentar tadi.


"Haura masuk bilik aku sekejap. Ada benda sikit yang aku nak bincang dengan kau." tanpa menjawab pertanyaan Suri itu, Mikael segera mengarahkan Haura untuk ke biliknya. Suri menghela keluh yang lega.

Tanpa memberikan sepatah kata, Haura segera membetulkan pakaiannya lalu berlalu pergi meninggalkan Laila sendirian. Mata Mikael melirik ke arah Haura yang berlalu melepasinya itu. Dia kemudian mengalihkan kembali pandangannya kepada Suri. Dia memandang Suri dan Laila silih berganti.


"Korang berdua dah tak ada kerja nak buat ke?" soal Mikael dingin. Dengan menggelabah mereka berdua segera meninggalkan bilik tersebut.

Share this novel

norsila
2022-08-21 01:00:49 

lembiklah haura ni..aduh..tendang joo lah suri tu..atau balas blk tmparnya tu...huuu


NovelPlus Premium

The best ads free experience